Pages

Showing posts with label coretan. Show all posts
Showing posts with label coretan. Show all posts

Friday, 21 August 2020

Minum petang di The Orchid Conservatory, The Majestic Hotel, KL

 

Bismillahirahmanirahim 


Afternoon tea atau minum petang adalah budaya Inggeris sejak berabad lamanya. Budaya ini juga telah masuk ke alam kita sewaktu zaman penjajah British. Pegawai British, raja raja, aristokrat dan kumpulan berada selalunya yang menyertai majlis atau mengadakan minum petang ini. Durasi majlis selalunya mengambil tempat dilewat petang sekitar jam 4 ke 6 petang. Menariknya adalah pada juadah yang dihidangkan. Kek, kuih muih tempatan dihidang bersama kopi atau teh. Selain itu, finger food juga disediakan. Selalunya juadah yang dihidangkan dalam porsi sedikit kerana tidak lama dari majlis ini waktu untuk makan malam pula. Etika pemakaian pula berbagai, kalau dulu-dulu di negeri inggeris atau wakil British akan mengenakan busana dan pakaian rasmi. Yang wanitanya berpakaian dress ropol-ropol dipadankan dengan payung. Kalau di zaman kini pakaian smart casual sudah memadai untuk hadir ke majlis minum petang ini. Oh ye sebagai tambahan, kalau dahulu ada limitasi dalam menyertai majlis ini dek kerana hanya golongan atasan sahaja yang dibenarkan pergi akan tetapi sekarang semua boleh selagi mampu. Banyak juga hotel atau cafe yang menawarkan set minum petang dan saya bersama pasangan telah pergi ke salah satu tempat minum petang yang cantik lagi indah sabtu lalu. 

Si Dia telah menyatakan hasrat ingin membawa saya ke tempat minum petang untuk menyambut hari jadi saya tapi malangnya full booked. Sungguh saya terharu dia ingat yang saya ingin sekali ke the Majestic hotel dan akhirnya sabtu lalu 15.8.2020 saya dapat pergi ke sana dengannya. Bayangkan kami terpaksa menunggu kurang lebih 3 minggu untuk mendapatkan tempat minum petang ini. Disebabkan si Dia sangat sukakan orkid, kami bersetuju untuk minum petang di the Orchid Conservatory. Boleh dikatakan dalam banyak sudut hotel yang berkonsepkan zaman colonial ini yang ini paling cantik dan harganya sedikit dari norma untuk berdua. Juga one of a kind. 

Sebelum hari yang dijanjikan saya sudah pening memikirkan pakaian yang ingin dipakai pada hari tersebut. Sehari sebelum saya ambil keputusan untuk pakai apa sahaja yang ada dan kebetulan pagi sebelum ke minum petang saya ada meeting di pavilion. Tidaklah sampai hajat nak jadi princess petang itu. Saya mengenakan blouse singkat putih dengan jaket flora pemberian eja di Istanbul bersama jeans dan sepatu clark raya. Dipadankan dengan tudung bawal berwarna krim dan beg mariam duck berona hijau askar ( almaklumlah bercinta dengan askar). Saya rasa confident berpakaian sebegitu walaupun seusai saya sampai disapa pekerja hotel yang ingatkan saya adalah doktor yang datang untuk program di hotel tersebut. 

Oh ye masuk je pintu hotel baru setapak dua saya nampak Si Dia. Santai sahaja bajunya, berkemeja biru (hadiah harijadinya dari saya) bersama singlet kelabu uniqlo barangkali dan berseluar slack hijau atau mungkin denim berkasut coklat formal. Diiring saya keatas sebelum ditunggu saya sudah solat. Seusai solat dia membawa saya ke tempat yang dituju. Nervous kerana expectation saya tinggi untuk melihat tempat yang kami akan minum petang. Pintu kaca ditolak untuk masuk ke perut ruang conservatory orchid  yang nyaman lagi cantik. Terpegun saya seketika melihat tempat ini. Saya mulanya ingat ia besar walaupun hanya kecil. Padanlah hanya boleh menempatkan 15 orang pada satu satu masa. Konsep ini saya suka kerana lebih privasi untuk pengunjung meluangkan masa bersama yang tersayang. Bila saya masuk ke ruangan ini mata saya lepas mengagumi kecantikan orkid teralih ke kerusi saya yang terletaknya sejambak bunga. Terus si Dia tersenyum kerana beliau telah membawa sejambak bungam lily untuk buah hatinya (Sayalah orang itu). Saya terharu. Saya akui dia memang pandai buat kejutan. Saya alihkan bunga itu dan duduk untuk menantikan juadah minum petang dihidang. 

Untuk seterusnya biar gambar yang bercerita.... 
















Akhir kalam, sesi minum petang cari Inggeris ini menarik dan satu hari nanti kalau saya mahu juga afternoon tea hunting di tempat-tempat lain. Barangkali Fraser Hills mahupun cameron highland atau juga di London. 


nota kaki : Sepetang yang indah di taman bunga Orkid bersama MSAH. Doakan yang baik-baik buat kami ye :) 


Monday, 25 May 2020

Raya 2020


Bismillahirahmanirahim

baju raya rona deep chocolate bersama tudung sophie nealofar


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.. La ilaha ilallahu wa Allahuakbar, Allahuakbar wa lillahilhamd. 

gambar bersama syurga saya MAMA
Syukur dan takbir kepada Allah yang maha esa dapat kita semua meraikan raya atau hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Sebulan berpuasa rasa seperti seminggu. Singkat tetapi penuh dengan hikmah. Bagi seluruh ummat Islam di dunia secara umum dan Malaysia secara khusus, ramadan dan syawal tahun ini adalah yang paling unik kerana disambut dengan norma baharu @ the new norm . Seperti yang sedia maklum, vaccine untuk COVID19 masih belum dijumpai dan jumlah kes walaupun berkurang di Malaysia, masih lagi dipantau dengan ketat agar tidak melonjak semula kes baharu atau barangkali wujud kluster baru dipanggil kluster hari raya. Saat saya menulis blog ini, siang tadi sewaktu sidang media KKM dimaklumkan jumlah positif melonjak ke 172 orang. Satu kejutan yang tidak mengejutkan barangkali. Ini kerana ada kluster baru wujud iaitu kluster depo tahanan. Saya risau dalam tempoh seminggu dua ini akan ada pula tambahan kes kerana hari raya. Masih ada lagi berdegil meneruskan tradisi rumah terbuka sedangkan kita dibenarkan pada hari pertama sahaja. Silalah ingat yang frontliner dah penat menjaga dan mengawal, janganlah bebal sangat. 

Walaubagaimanapun, ada yang menarik di raya kali ini. Banyak istilah kali pertama yang berlaku. Kali pertama banyak yang beraya diperantauan (dirumah masing-masing di negeri bekerja kerana tidak boleh lintas negeri). Pertama kali jadi imam solat sunat aidilfitri di rumah kerana tidak dibenarkan ke masjid. Pertama kali, tidak berjabat tangan mahupun berpeluk bila berjumpa. Juga pertama kali rumah terbuka diganti dengan sesi zoom terbuka @ virtual rumah terbuka. Semua ini menunjukkan uniknya manusia dalam mereka cipta cara untuk berhubung antara satu sama lain serta menyesuaikan diri dengan norma baharu. Sedari PKP yang pertama sudah mula dikeluarkan skill baru ini akan tetapi lebih seronok ketika di hari raya. 

menu pagi raya tradisi SJNN



abang ipar (abg Faiz), kakak, saya dan MAMA
dengan 2 orang anak buah mama ya, Ammar dan Fariha
MIA dalam gambar Hanan
Bagi saya dan keluarga pula, Alhamdulillah setelah hampir 3 tahun tidak menyambut ramadan dan beraya di rumah saya diberi kesempatan untuk melakukannya. Di tahun ini juga mama paling riang kerana rumah rasa meriah dengan hilai tawa dan tangisan anak buah yang tiga. Pulang nun jauh dari Shah Alam nak beraya dengan kami. Juga riang mama bila anak-anaknya yang take charge memasak untuk raya. Pelbagai lauk saya dan kakak beraksi menyiapkan. Satu kenyataan yang pasti, kakak dah pandai masak. Saya selaku yang jadi tukang masak kat rumah rasa bangga sebab akak bila dah kahwin dan beranak tiga ni dah mula pandai masak. Kalau dulu teringat sampai bergaduh dengan baba pasal masak sambal sotong. Menu kami yang pelbagai itu pula adalah makanan tradisi kami sekeluarga. Sering dinanti oleh sanak saudara bila berkunjung ke rumah. Antaranya, sup tulang, lodeh, kuah kacang, dendeng daging, rendang daging, ayam masak merah, ketupat dan lemang. Sedap macam dulu-dulu. Yela sendiri masak dan sendiri makan ye dak? 
mama dan anak -anaknya

PKP juga telah menyebabkan ada diantara sepupu saya yang tidak dapat pulang beraya dan mama sebagai mak sedara yang tua menjadi tempat dikunjungi sepupu dan saudara yang tidak dapat pulang. Ramai juga datang ke rumah kami sewaktu raya pertama tetapi tidaklah sampai 20 orang pada satu masa. Saya selaku anak dara rumah perlu menyiapkan segala serba serbinya menyambut tetamu yang datang. Menunggu juga yang sorang itu berkunjung tetapi kerana tugas tak dapat beliau beraya. Tambahan pula katanya malu nak datang ke rumah kalau seorang. Apapun mohon doa untuk kami ye sidang pembaca! 

Akhir kata, raya 2020 adalah tahun untuk kita rasa syukur dan masa untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Selalunya kita ambil lewa sahaja kemudahan dan nikmat yang diberi untuk bersama meraikan raya. Kali ini bila ditarik nikmat itu ada yang stress dan sedih tak dapat beraya tetapi dengan adanya teknoloji terubat rindu semua. Tambahan pula seperti saya yang pernah beraya diperantauan, masa yang ada untuk diluangkan bersama keluarga raya tahun ini saya manfaatkan sehabis baik untuk sama-sama kami raikan.Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dihadapan mahupun tahun depan yang penting kita hidup diwaktu ini dan saat ini. Bahagiakan diri, bahagiakan keluarga, bahagiakan hati. Selamat hari raya aidilfitri. Maaf zahir dan batin. 


satu gambar bersama si DIA yang bertugas dihari raya <3

nota kaki : raya sehabis baik tapi jangan balun semua makanan. Nanti terkejut pula perut tu. Syukur dengan nikmat dan moga kita sentiasa dibawah lembayung Allah SWT. 










Tuesday, 19 May 2020

Redha


Bismillahirahmanirahim

gambar diambil dari instagram @thefamily.uk 


Senario 1 

"Adik, setiap apa yang berlaku pada kita dan dugaan yang Allah berikan kita kena redha. Dalam redha itu ada rahmat Allah. Kalau kita tak redha, susah untuk kita dapat rahmat Allah". 

Kata - kata diatas selalu disebut pada mama setiap kali teringatkan arwah baba. Atau kadangkala bila ada yang bertanya bagaimana mama mampu menjaga baba yang menjalankan rawatan dialisis selama 12 tahun. Kerana tahap redha yang tinggi mama menjadi seorang yang kuat dan tabah. Contoh isteri mithali yang sentiasa menjaga dan mencintai baba sepenuh hatinya. Sehingga kini juga mama sering kata yang dia sangat mencintai baba dan merelakan pemergian baba adalah benda yang berat tetapi ketetapan yang Allah tentukan. Kadang ada yang mengusik mama untuk berkahwin lain, akan tetapi mama akan jawab dengan baik, mama tak nak kahwin dengan sesiapa dah, cukup baba seorang sahaja. Mama janji nak tunggu baba di pintu syurga. Cinta mereka walaupun terpisah nyawa tetapi tidak pada hati dan doa. Redha adalah kunci yang mengutuhkan lagi cinta mama dan baba. 

Senario 2 

"Amirah, redha mak ayah itu penting dalam kita nak belajar atau tuntut ilmu. Sama juga dengan redha Allah. Kalau nak berjaya kena ingat ini"

Dahulu sewaktu di sekolah menengah, saya ada seorang ustazah yang sangat sayangkan saya. Jujur saya katakan ustazah ini jugalah yang membentuk saya kepada siapa saya dihari ini. Dia jugalah yang berjaya memujuk saya kembali ke jalan yang diredhai. Bukanlah saya ni budak liar (pergi clubbing, pesta etc tak pernah sebab baba garang sebelum jam 6 dah kena ada dirumah), tetapi liat dalam nak beribadah. Saya dulu sampai sekolah tingkatan lima tak pakai tudung selepas waktu sekolah tetapi ustazah mengajar dengan hati yang ikhlas telah sedikit demi sedikit membuatkan saya ingin berubah ke arah kebaikan. Alhamdulillah ramadan pertama 2008 saya mula memakai tudung sepenuh masa. Kembali kepada redha, saya dahulu selepas tamat sekolah menengah ada sedikit konflik dengan mama dan baba sebab saya nak sangat masuk UIAM. Masa itu saya sudah dapat tawaran ke UITM untuk pengajian asasi undang-undang. Saya bertekad nak juga sampai satu tahap tidak mahu bercakap dengan mama dan baba. Habis sudah dipujuk tetap degil. Sampai satu ketika, saya dimaklumkan untuk daftar UPU semua UITM tanpa satu tempat untuk UIAM. Sedih tapi kena buat demikian untuk mendapat restu mama dan baba. Saya katakan pada ustazah kesedihan ini dan ustazah pesan seperti diatas. Saya pun redha dengan keputusan yang diambil kedua mama dan baba saya. Tidak lama kemudian, jiran sebelah rumah saya dahulu secara tiba-tiba menghubungi mama, ditanya pada mama kalau saya ingin masuk ke UIAM. Pada waktu itu saya rasa subhanaAllah, Allah jawab doa saya. Ini rahmat Allah kalau redha. 

Senario 3 

" Akak saya tahu akak sayangkan dia tapi nak buat macam mana, hati manusia itu berbolak balik dan pemilik hati itu adalah Allah. Akak kena redha dengan keputusan yang dia buat dan akak boleh berdua semampu akak untuk tenang dan diberi kekuatan"

Saya pernah suka pada seseorang tetapi selalunya tepuk sebelah tangan. Saya tidak pernah bercinta. Ada satu ketika itu Allah berikan saya ruang dan peluang untuk rasa cinta dan suka saya bertukar cinta itu bertepuk dua tangan. Saya dan dia itu kawan rapat agak lama tapi tidak pernah saya rasa cinta atau suka pada dia lebih dari seorang kawan. Pernah juga saya katakan kalau ada satu hari nanti saya suka dia mahu terbalik dunia. Kami bercinta dan saya suka dia. Benar dunia memang terbalik. Dunia saya yang terbalik kerana paksi saya pada dia selepas Allah, Rasulullah dan keluarga. Ada satu ketika itu dia berkata hasrat nak berkahwin dan selepas itu terus senyap. Hubungan kami regang dan khabar kahwin itu lenyap. Walaupun sampai satu tahap pak long saya (telah kembali ke rahmatullah pada tahun ini) sampai mengalir air mata gembira bila saya khabarkan ada orang nak berkahwin dengan saya. Di pihak kami yang perempuan pasti persiapan itu perlu ke depan. Banyak perkara untuk disiapkan. Tetapi sudah ketentuan Allah belum sampai jodoh kami. Dia senyap sepi dan mengambil keputusan untuk berdiam diri. Sehingga ke hari ini saya masih doakan dia supaya diberi ketetapan hati kerana sekali lagi isu ini menjadi perkara paling tidak disukainya. Saya ingat lagi adik rumah saya bersama beberapan adik yang lain memujuk saya kerana sedih berhari-hari sedih tidak lega. REDHA kak, serahkan segalanya pada Allah. Setelah beberapa ketika air mata saya kering dan Allah kirimkan ramai teman baik untuk memberi semangat dan dorongan. Mama juga kembali baik denganku dan kami sekeluarga lebih baik hubungan kerana sebelum itu sampai bergaduh tak bertegur kerana malu dengan beberapa keluarga yang tahu perihal ini yang tidak jadi. Redha dalam ujian Allah bagi syafaat. 


Kita didalam kehidupan ini, sering kali kita mengeluh kalau ditimpa ujian. Sedangkan ujian itu sebenarnya rahmat untuk kita sekiranya kita dapat melaluinya dengan baik. Firman Allah SWT yang bermaksud : Jikalau mereka bersungguh-sungguh redha dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta mereka berkata "cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan sebahagian daripada kurniaNya, dan demikian (pula) RasulNya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap pada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka)." (Surah at Taubah ayat 59). Syukur adalah regu untuk redha, seperti dalam ayat alQuran yang saya petik, syukur dengan nikmat Allah dan cukup Allah bagi kita akan memberikan kita kebahagiaan dan kurniaan dariNya yang tak terhitung nilainya. Sebagai konklusi, ingin saya ingatkan diri saya dan anda diluar sana untuk apabila berlaku sesuatu (selalunya dugaan mahupun yang tidak disukai) pada anda, redhalah dengan ketentuannya. Kerana hikmah disebalik itu yang perlu kita lihat dan amati. Setiap yang dihajati akan ada ketentuannya cepat atau lambat sahaja Allah akan bagi. Hikmah dalam dugaan adalah satu kemanisan iman. Moga Allah kuatkan hati-hati mereka diluar sana dan sentiasa diberikan REDHA yang tinggi hendaknya. Jagi diri, jaga iman, jaga hati. 


nota kaki : simpan saya dalam doa kalian dan saya akan simpan kalian dalam doa saya. 


Wednesday, 13 May 2020

Misi Pulang IST-KL (bahagian 1)


Bismillahirahmanirahim...


Burung besi yang membawa kami PULANG


16 April 2020, setelah hampir tujuh bulan di Turki untuk mulakan PhD akhirnya saya berangkat pulang ke Malaysia. Kali ini hampir berkali-kali perasan di bolak balik antara nak balik atau tidak. Mana tidaknya, Istanbul kini seperti rumah kedua dan sebati dengan diri. Bukan tak sayang Malaysia tetapi disini jalan hidup saya sedari hampir enam tahun yang lalu. COVID 19 menjadi asbab untuk saya pulang kali ini. Pada mulanya, saya tidak merasa keperluan untuk balik. Juga kami dikhabarkan 600 usd adalah jumlah yang perlu dibayar jika mahu pulang bersama pesawat sewaan khas kerajaan Malaysia ke Turki. Semasa pengumuman pertama tentang penerbangan saya mengambil keputusan memujuk mama untuk memberi restu tinggal sahaja di Turki. Sama juga saya tanyakan perihal ini kepada si Dia, jawapnya mudah dengar cakap mama. Selepas berjaya pujuk mama untuk merelakan saya tinggal saya mula tenang dan menjalankan aktiviti harian seperti hari-hari biasa. Sampailah bila satu kes positif di Turki melangkau ke 5000 ke 6000 kes sehari. 

disini tempat yang terbaik untuk melihat matahari naik
tempat inspirasi menulis thesis master
dan untuk PhD
Pada ketika itu perihal rayuan rakyat Malaysia yang mahu pulang dari Turki telah memasuki berita utama di Malaysia. Saya yang pada asalnya tenang dihubungi bertalu-talu oleh rakan dan keluarga. Masa itu saya fikir perlu ke saya rasa risau? Kerana saya masih ada atap di kepala, ruang bilik sendiri dan bekalan makanan yang mencukupi. Tidak lama kemudian mama menghubungi dan menyatakan ramai saudara mara bertanya tentangku. Ada juga yang menyeru mama memanggilku pulang. Masa ini saya kembali tak tenang. Hari mendatang dengan kiraan detik waktu dan setiap sujud saya doa agar diberi petunjuk untuk pulang atau tidak. Akhir untuk menentukan keputusan saya meminta mama menghubungi pak ngah Jaafar (abang kepada arwah baba) untuk pendapat. Pak ngah yang merupakan mantan pengarah hospital melaka dan hospital Tuanku Jaafar, Seremban menasihatkan saya pulang sekiranya ada chartered flight. Saya akur dengan pendapat pak ngah dan mula menghubungi MASAT jika ada tempat kosong untuk saya turut serta pulang. 

sunrisa yang dirindui
Pada mulanya, pihak MASAT mengkhabarkan tiada tempat kosong kerana sudah penuh semuanya. Saya sudah mula berasa resah gelisah kerana mana tidaknya, tak pasti lagi dapat pulang bila sudah berasa ingin pulang. Jauh juga merenung apakah yang akan berlaku disini dan akan adakah peluang untuk saya bertemu keluarga. Teringat saya lagi di tengah malam 13 April kalau tak silap Zharif menelefon saya dan menawarkan peluang untuk pulang. Tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju. Keesokan paginya, Zharif kembali menelefon dan kali ini adalah untuk meminta saya bersama menjadi team beliau untuk misi PULANG MASAT. Waktu ini saya dah mula rasa seperti menjalankan sesuatu yang besar. Macam mission impossible pun ada. Mana tidaknya tugasan kami adalah memastikan pelajar Malaysia yang ingin pulang dibawa ke Istanbul dengan selamat dan sempat sebelum kapal terbang take off membawa kami pulang ke Malaysia. 

Masih saya ingat team kami hanya ada lima orang sahaja, Zharif, saya, Char, Raden dan Salsabila. Itu sahaja tetapi perform (masuk bakul angkat sendiri). Oh ye team ini ditubuhkan sejurus selepas kami dimaklumkan yang penerbangan kami akan bertolak dua hari lagi. Bayangkan dalam waktu yang singkat perlu sedia serba serbi. Kami bahagi tugas kepada tiga, team makanan, team luar Istanbul dan team dalam Istanbul. Saya ditugaskan menyediakan makanan, minuman serta topeng muka untuk semua penumpang pesawat yang pulang. Jumlah kurang lebih 400 orang dan alhamdulillah Allah mudahkan urusan saya. Kemudian bagi team luar Istanbul yang paling mencabar, ini kerana misinya adalah untuk membawa kurang lebih 69 orang pelajar dari luar Istanbul (kurang lebih 15 negeri) dan ada diantara mereka yang perlu naik bas hampir 17 jam kerana jalan udara dan keretapi tidak berfungsi. Pergerakan dari satu bandar ke bandar yang lain juga mencabar dengan mereka perlu keluar untuk dapatkan pengesahan gabenor negeri untuk melintas negeri. Sampai satu ketika kami bertikam lidah dengan wakil gabenor dan polis kerana birokrasi setiap negeri atau bandar berbeza. 



Saya malam sebelum itu susah nak lelapkan mata. Iyalah secepat itu keputusan untuk pulang dan meninggalkan harta saya (buku) membuatkan saya sebak. Apakah akan ada peluang saya pulang dan membaca serta menatap buku-buku tersebut lagi? Hanya Allah sahaja yang tahu. Selepas bergelut mengemas beg berejam lamanya sayapun melelapkan mata. Kurang lebih untuk dua jam sahaja kerana saya perlu bergegas menuju ke lapangan terbang seawal jam tujuh pagi waktu tersebut. Pagi itu saya menung panjang, melihat matahari terbit dari tingkap bilik saya yang menjadi ruang paling saya suka dan sayang. Ditambah pula bilik ditata hias warna putih saya pandang sekeliling dan berdoa agar diberi rezeki pulang kesana. Dengan kenderaan sewaan saya , naa dan Zharif bergegas ke lapangan terbang untuk menguruskan pelajar yang pulang. Setibanya kami di lapangan terbang, kawalan ketat di pintu masuk memberi kesukaran buat kami. Dengan pantas kami bertugas terus memberi kerjasama dengan pegawai polis di pintu utama kerana majoriti pelajar yang sudah tiba dari dalam dan luar istanbul tidak boleh bertutur fasih dalam bahasa Turki. 

bersama adik rumah yang juga berpartisipasi sebagai volunteer PULANG
Habis diluar didalam lapangan terbang saya rasa habis satu airport saya tawaf kerana mudik kesana kesini memberi arahan pada mereka yang sudah masuk. Komiti yang sampai sikit jadinya yang sikit ini perlu pantas. Sampai satu tahap itu saya jadi seperti ketua padang kawad memberi arahan kepada semua. Bayangkan seorang kawal dekat kurang lebih 300 orang. Memang macam Spartan war la gamaknya. Bangga sat sebab suara sendiri bergema di airport yang digelar the biggest in the world and Europe. Saat yang ditunggu telah tiba, saya dan komiti akhirnya menjadi yang terakhir menuju ke  anjung perlepasan. Dengan masa yang limited nak tercabut kaki sebab seharian tak duduk dan perlu bergegas ke pintu perlepasan kalau tidak selamat tinggal. Terasa kosong sekali lapangan terbang ini kerana tiada satupun kedai yang dibuka didalam ruang perlepasan. Pada hari tersebutpun hanya ada 3 penerbangan dan semua itu adalah chartered flight. Flight yang mengambil kami adalah flight air asia yang kebetulan baru habis menjalankan misi ke Bosnia untuk menghantar bekalan topeng muka untuk rakyat Bosnia. 

Sampai di pintu perlepasan ground manager memerli saya. Saya gelarkan orang tersebut X bey.

" Sen patronsun degil mi? Neden gec geliyor? Ucak hemen simdi gidecek. "
(Awak bukan ketua tadi ke? kenapa lambat sangat datang? Kapal terbang dah nak terbang dah.)

team volunteer pulang 
Saya hanya mampu sengih dan berlari masuk ke dalam kapal terbang. Sudah tidak kisah kerana terlampau penat dan hanya mahu tidur dan berehat. Saya yang mulanya gemuruh nak naik flight sampai lupa perasaan itu. Masuk pesawat semua pandang dan saya berlalu ketempat duduk yang terletak di barisan tengah dan tempat duduk tengah. Air asia sempit untuk saya yang plus size tetapi syukur dan bersabar dengan tempoh 10 jam tidak bergerak kemana-mana. Alhamdulillah, sepanjang penerbangan kami baik sahaja, melewati air turbulence pun yang saya kira mild impaknya. Saya rasa barangkali rasa takut saya sudah hilang. Alhamdulillah. Bolehlah mula terbang ke mana-mana tanpa takut lagi. 10 jam dalam kapal terbang, dikiri Hazim (junior dari Ankara) dan kanan seorang pelajar basaksehir yang menjadikan tangan saya bantal. Nyenyak sungguh dia tidur. Dunlopillow la katakan. Saya bangun dan tidur sepanjang perjalanan kerana penat. Kami disajikan makanan Malaysia sebanyak dua kali, satu makan malam nasi bersama daging masak hitam dan sarapan nasik goreng kampung bersama itu dibekalkan air mineral spirtzer. Pergh sedap tak terhingga. 

Selepas sepuluh jam kami tiba dan selepas keluar dari pesawat pengalaman tidak akan dilupakan bermula ...........

Malaysia saya PULANG




bersambung ... 


nota kaki : Dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung. Aku sudah PULANG :) 




Friday, 13 March 2020

Kerana kita manusia


Bismillahirahmanirrahim. 




Apa khabar iman?
Apa khabar hati?
Apa khabar diri?


Diri sebagai insan terkadang pasti terlupa menanyakan persoalan diatas ini pada diri kita. Kerana kita rasa kita sudah cukup memahami diri sendiri. Atau mungkin kerana terlalu sibuk mencari cinta dan perhatian dari orang lain. Sedangkan yang perlu kita utamakan dulu adalah diri kita. Misalan yang saya boleh ambil adalah peringatan keselamatan dalam kapal terbang. Bagi mereka yang sering atau pernah menaiki kapal terbang, sebelum berlepas taklimat keselamatan akan dimainkan atau ditunjukkan. Sering kali diingatkan diwaktu kecemasan utama diri anda dahulu untuk memakai mask oxygen sebelum membantu orang disebelah anda atau anak anda. Ada dua persepsi manusia berkenaan situasi ini. Pertamanya, orang yang setuju dengan tindakan ini dengan mengikut arahan adalah orang yang memikirkan cara yang terbaik dalam menyelamatkan dirinya untuk membantu orang lain. Disituasi kedua, orang yang memikirkan betapa "selfish" orang tersebut tidak membantu orang lain dahulu dari dirinya. Kalau anda disituasi tersebut, yang mana satu yang akan anda pilih? 

Pada hemat saya tidak mengapa memilih untuk selamatkan diri dahulu. Tidak mengapa mendahulukan diri sendiri dahulu. Tidak mengapa jika anda "fight for yourself" dahulu. Kerana anda adalah pemilik diri anda, ada hak ke atas diri anda dan penentu kehidupan anda. Sering kali kita rasa bersalah mendahulukan diri kita kerana takut persepsi orang sekeliling. Saya sendiri merasakan perasaan itu. Terkadang kita merasakan sentiasa diperhatikan dan di "judge" oleh orang sekeliling. Sedangkan perasaan itu akhirnya menjadi "defense mechanism" terhadap diri kita sendiri. Secara tidak sedar dan ini sangat tidak sihat. Dari situ akan membawa kepada "selfless and lack of love". 

Peringatan buat diri dan mereka yang rasa apa yang saya rasa. 

it's ok to prioritise yourself. 
Love yourself more before you love others. 
Take good care of yourself before you take care of others. 
Be kind to yourself. 
Because later, 
you will be love and will spread the love to others. 
you will be kinf to others. 
you will be at good term with people around you and your loves one. 


Akhir kata, 

You are the creator of your own destiny
and 
be courage! 




nota kaki : sekarang pandemic covid 19 sedang melanda dunia. Jaga diri, kebersihan dan kesihatan diri ye! 






Tuesday, 7 January 2020

Terima kasih 2019


Assalamualaikum. 






Hari ini telahpun masuk hari ke 7 dalam tahun 2020. Cepat bukan hari bertukar ganti. Pagi ke malam juga pantas berlalu terutama di musim sejuk. Kalau dicongak dari hari masa, bulan dan tahun pasti kita ini rasa singkat dan terkadang rasa panjang. Semua itu tergantung pada cara kita menggunakan masa dan bagaimana kita menghadapi masa. Kenapa saya berkata begitu? Semua ini kerana kita yang punya kuasa untuk menentukan apa yang akan bersama kita, apa yang kita mahu lakukan dan apa yang perlu ditinggalkan. Selalu kita diperingatkan apa yang lepas itu biarlah dibelakang dan kita perlu terus melangkah ke hadapan. Kalau falsafah hidup saya, sekali-sekala toleh kebelakang itu tidak salah kerana yang indah dan jerih itu yang membawa kita hidup dimasa ini. 

Tahun 2019 subhanaAllah bagi diri saya sendiri sangat pantas berlalu pergi dan diakhiri alhamdulillah dengan puji pada ilahi. Kerana mulanya agak mendatar dan penuh dengan liku dan sendu tapi syukur kerana disulam dengan bahagia. Sering saya berpegang pada ayat Allah dalam kesusahan ada kesenangan. Itu gambaran ringkas 2019 saya. 

Senarai di bawah ini adalah yang terbaik di tahun 2019 saya : 

1. Mula ke gym pada 1.3.2019 (stop seketika selepas raya)


2. Mama datang ke Istanbul di minggu kedua raya aidilfitri (Jun 2019)


3. Defend thesis (3.7.2019)




4. Graduan Master Sejarah Islam dari Marmara Universiti (9.7.2019)



5. Pulang ke Malaysia pada hari jadi (12.07.2019)


6. Mula PhD dalam Sejarah (23.9.2019)



7. Berjalan ke Edirne (Disember 2019)


Banyak lagi yang ingin dimasukkan dalam list tetapi ini paling disyukuri. Sungguh Allah itu maha kuasa dan pemberi segala yang diperlukan  pada masanya. Saya bersyukur kerana ditahun itu juga dihadirkan pelbagai kawan dan insan untuk belajar dari dan memberi. Ada episod duka dan juga suka. Terima kasih bagi yang hadir dan pergi. Setiap satu dari kalian sangat beerti dalam hidup saya. 

Azam tahun 2020 saya tidak ada bezanya dari sebelumnya. Paling utama adalah saya sedang mencari diri dan hala tuju hidup. Gapai impian dan memenuhi azam-azam lepas yang masih belum mampu dipenuhi. Semoga kalian yang membaca blog saya juga diberikan kekuatan dan diberkati hidup untuk memenuhi azam yang telah ditetapkan. Bak kata seorang senior saya " dalam hidup ini Amirah ada masa perlu cepat dan ada ketika perlu perlahan-lahan. Seperti kita didalam sampan. Pelan pelan kayuh tapi konsisten supaya sampai destinasi yang ingin dituju.". 





Selamat maju jaya. 

Selamat tahun baru 2020. 



Thursday, 14 March 2019

İyiki doğdun Sana

Bismillahirahmanirahim. 

Bugün senin doğum günü. 
Mutlu yıllar kutlu olsun. 
Seni çok seviyorum ama biz ayrıldık. 
Biz aşktan önce olduk. 
Ama şimdi Arkadaşım gibi yani.

Umuttum vardır ama Allah plan yaptık.
Bekleriz.
Ama sen her zaman benim dualarımda.
Beni unutmasın.



Sunday, 10 March 2019

B-E-N-C-I-N-T-A


Bismillahirahminirahim. 


Hari ini tidak banyak dilakukan. 
Mengemas rumah. 
Menyapu dan masak. 
Usai zohor keluar berjumpa teman baik. 
Dibawa barang tempah dari Oxford. 
Untuk ditenangkan hati ini. 
Lokmaland dituju. 
Tempat pemanis mulut yang baru. 
Rasanya boleh tidak seru. 

Terus langkah menuju. 
Ke kedai kopi yang bersekutu. 
Disana belek buku ikigai. 
Serta menghirup kopi hitam americano. 

Di soal beberapa kali
Apa rasa hati.
Mula rasa benci dan ingin maki 
tapi rasa cinta masih bersarang dihati. 

Apakah dia di sana rasa yang sama. 
Atau mungkin kurang tunduk pada yang esa. 
Mungkin juga tiada rasa. 
Kerana benci pada cinta. 
Kau hilangkan aku punya rasa. 
Sampai janggal semuanya. 
Tapi kau masih gantungkan rasa. 
Mungkin ego yang menjaga. 

Doaku kan baik-baik sahaja. 
Agar satu hari nanti kita bersama. 
atau mungkin tidak. 
Tapi kau tidak sakitkan hati yang baru bertakhta. 
Jangan kau buat macam aku. 
Ini kali pertama berasa sebegitu. 
Sakitnya hanya tuhan yang tahu. 
Kerana sayangkan tidak tipu. 
Kerana Cinta bertukar benci pada cinta. 



Capa Sehremini, Istanbul, Turki
10.03.2019

Thursday, 7 March 2019

4 TAHUN BERLALU #masihrindu


Bismillahirahmanirrahim 

kucupan dahi buatmu yang dirindu

Tajuk itu mengambarkan bagaimana saban tahun saya pasti akan menghitung hari-hari yang datang dan bulan berganti tahun. Bukan sesuatu yang mudah tetapi takkan pernah di buang dari kota minda saya sampai bila-bila. Tarikh 7 Mac 2015 adalah tarikh dimana baba kesayangan saya telah dijemput Allah pulang kepadaNya. Sungguh tiada siapa pinta untuk perpisahan ini lagi pula saya ketika itu sudah pulang ke Istanbul semula. Boleh dikatakan genap sebulan sedari pulang dari Kuala Lumpur untuk cuti musim sejuk dan kenduri kahwin kakak.  


Jika di putar semula waktu itu, seakan semalam waktunya menerima khabar itu. Sedih dan pedih tidak perlu dinyata kerana saya ini seorang yang tidak mudah merembeskan air mata terutama di depan ahli keluarga. Kalau diulang tayang waktu itu saya ingat saya di dinleme odasi baru usai bertutur telefon bersama Hazwan. Saya melihat message yang masuk menderu ke telefon bimbit melalui whatsapp.  Saat itu tidak terduga apa yang akan dilihat. Terus melihat ruangan keluarga Che Mat Khatan Family. Scroll dari atas ke bawah ditemukan satu message yang membuatkan jantung saya berhenti degup sesaat. Mak Sedara saya yang digelar Mak Itam menulis diruangan itu " Orang cuba contact angah dan along tapi tak dapat. Ateh dah takde. Alfatihah". Nafas terasa sesak sekali dan kaki mula rasa longlai. Orang yang dimaksudkan itu adalah Baba. Saya meluru ke bahagian tengah tempat dimana letaknya kerusi-kerusi di aras dormitory. Kebetulan ada Nadja di situ. Terus saya pergi kepadanya dan rebah di depannya memberi khabar pemergian Baba.

Saat itu juga Nadja berlari ke bilik dan mendapatkan adik-adik yang lain untuk membantu saya. Saya mengambil nafas perlahan-lahan terus menelefon nombor telefon baba dengan harapan Baba akan menjawab tetapi tidak di jawab lansung. Bertalu-talu saya menelefon semula dan akhirnya mama angkat panggilan telefonku. Mama lantas berkata " adik takpe dik Baba pergi  dalam keadaan tidur. Ada di sebelah Mama ni. Adik Baba pergi dengan baik dik. Kita doa banyak-banyak ye. ". Saya seakan tidak percaya perkara ini berlaku. Terus semua kenangan bersama Baba bermain di fikiran. Terasa belum lagi diri ini dapat berbakti kepada Baba. Sama juga disaat itu teringat rindu yang bersarang dihati. Kurang lebih 3 minggu sedari kali terakhir berhubung dengan Baba. Kerana banyak yang berlaku sebelum pemergian Baba yang biarlah menjadi simpanan keluarga kami.

Habis bertutur dengan mama di telefon saya terus meluru balik ke bilik dan terus mengambil wudhu solat dan membaca Yaasin. Tidak tertanggung berat hati ini memikirkan Baba pergi buat selamanya ketika saya tidak disisinya. Sungguh berat rasanya dan itulah perkara yang perlu dihadap oleh mereka yang tinggal di luar negara atau jauh dari keluarga. Saya ingat ketika itu saya ditawarkan peluang balik ke Malaysia oleh abang senior Syahril Azfar yang kebetulan sedang berada di Turki dalam rangka kerja menghantar bantuan kepada rakyat Syria. Beliau dengan bantuan senior yang lain di Malaysia telah membelikan tiket pulang buat saya.

gambar raya 6 tahun lepas

Pengarah asrama bersama warden semua dikhabarkan tentang berita itu. Keesokan paginya mereka datang bergilir-gilir ke bilik saya untuk menyampaikan ucapan takziah. Tidak kurang yang membacakan Yaasin bersama. Pagi jam 10 saya bertolak ke Ataturk Havalimani dengan taksi bersama adik-adik dorm. Masih ingat lagi ketika itu tiada apa yang saya bawa hanyalah al quran, passport, purse dan sedikit biskut bekalan adik adik kerana saya tidak makan dari semalam. Air mata cuba disekat  dan bila terasa ingin jatuh disapu dengan cepat supaya tiada yang sedar.

Kapal terbang Malaysia Airlines di naiki mengambil masa 10 jam untuk sampai ke Kuala Lumpur. Sewaktu dalam penerbangan teringat saya nangis teresak dalam mimpi dan kemudiannya ternampak Baba senyum berpakaian ihram sambil melambai padaku. Bila tersedar rupanya kapal terbang tersebut sedang melalui tanah haram. Seterusnya saya kembali tidur. Tidak lama kemudian kembali bermimpikan Baba kali ini baba datang dekat denganku dan mencium dahiku. Seraya itu saya terbangun dan mendapati air mata mengalir dipipi. Rupanya sudah nak sampai ke Malaysia. Sesampai di Kuala Lumpur saya tersenyum sinis kerana sudah pasti tiada dari ahli keluarga yang akan hadir mengambil airport. Alhamdulillah Kak Naheed isteri Abg Syah datang mengambilku bersama Kak Paan dan Kak Kina. Merekalah sahabatku dunia akhirat.

Sesampai dirumah saya terus masuk ke rumah. Dari pintu pagar sudah terlihat wajah saudara mara yang sugul dan mula sebak melihat saya sampai dari jauh. Saya sebelum itu telahpun berniat untuk tidak menangis terutama di depan keluarga kerana itu sahaja yang boleh dilakukan untuk semua. Untuk kuat demi mereka. Terus saya salam pak long yang ada diluar rumah. Kemudiannya dengan debar masuk ke rumah mencari mama yang ketika itu didapur. Sungguh tidak ku sangka saudara mara yang berada di dapur ke semuanya mula menangis teresak-esak ketika melihat saya. Kakak yang nampak tubuhku disamping mama mula menangis dengan kuatnya. Hanya saya sahaja yang tidak nangis kerana telah berjanji pada diri tidak akan mengalirkan air mata lagi di depan mereka.

Sesudah itu, mama membawaku masuk ke dalam biliknya dan menunjukkan baju terakhir Baba pakai dan meninggalkan saya keseorang di dalam bilik itu. Saat itu ketika sendiri barulah air mata jatuh membasahi pipi. Sungguh rindu dan sedih tidak dapat menatap dan mengucup pipi baba serta memohon kemaafan buat kali terakhir. Hanya Allah sahaja yang tahu rasa dalam hati ini. Sehingga kini rasa itu ada dan doa sahaja penghubung buat saya dan Baba. Kerana saya percaya Husnul Khatimah pengakhiran buat Baba. Petang itu saya ke kuburan Baba dengan suggul rasa dihati membacakan Yaasin buat Baba di kuburannya.

Ketika di gerakkan jemari menaip kisah ini, esoknya genap 4 tahun Baba pergi bertemu Sang Pencipta. Pejam celik pejam celik dah selama itu Baba pergi. Dalam masa yang sama kakak telah pun selamat melahirkan 3 orang anak. Menjadi penyeri keluarga setelah Baba pergi. Anak angkat Baba yang Korea Esther pun telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. In total dah 4 cucu Baba. Dari adik je belum lagi kerana jodoh belum sampai lagi.

Baba walaupun kita tidak dapat bersua untuk kali terakhir tetapi adik pasti Allah itu punya perancangan yang terbaik dan syurga inshaAllah tempat kita akan bersua. Semoga adik menjadi anak solehah yang sentiasa tidak lupa untuk mendoakan Baba di sana. Adik akan lakukan sehabis baik untuk menjadi anak yang memberi gembira buat Mama dan Baba serta keluarga kita. Moga kita semua disatukan disyurga nanti. Sehingga itu doalah yang menghubungkan kita. Terima kasih Baba atas didikan dan dorangan buat adik sedari kecil hingga dewasa. Adik sentiasa merindui Baba. Sayang adik tidak akan kurang buat Baba. Cinta pertamaku.

SJNN family photo


Adik yang merinduimu
Istanbul, Turki
1717pm
06032019


nota kaki : Mohon doakan Alfatihah buat arwah Baba saya Shahrin bin Che Mat. Terima Kasih. 


Tuesday, 5 March 2019

Saluran Air


Bismillahirahmanirahim


Pada ahad pagi hari minggu lalu saya telah bangun seawal jam 0430 pagi untuk menyiapkan tempahan makanan untuk kumpulan pelancong Malaysia yang mahu ke Bursa. Selepas 2 jam berperang di dapur alhamdulillah selesai menyediakan 20 set makanan nasi goreng bersama ayam goreng berempah dan sambal belacan diulamkan timun. Jam 0745 pagi keluar ke rumah di kedinginan pagi transisi musim sejuk ke musim bunga mengangkut 3 beg berisi makanan dan air tempahan. Alhamdulillah ala kulli hal atas rezeki yang diterima. Pulang dari menghantar makanan satu perang lagi muncul iaitu mengemas dapur pasca perang pertama. Sungguh bahagian ini yang paling tidak semua orang suka tetapi saya suka kerana sedari kecil memang suka bermain air. Mama pernah sekali cerita yang saya sehingga dibawa mimpi bermain air tatkala penat seharian membantu membasuh pinggan mangkuk di kenduri rumah nenek. 

Semua periuk belanga, sudu dan bekas dikumpul berdekatan singki dengan harapan boleh dibasuh one shot tapi baru dua tiga perkakas dibasuh air sudah memenuhi ruangan singki dapur. Mulanya saya fikir mungkin sampah dilantai singki menyukarkan air lalu tetapi jangkaanku meleset. Saya mula mengeluarkan semua barang yang perlu dicuci dari dalam singki dan memeriksa. Sejurus itu terdengar bunyi titisan air. Dicari punca rupanya dari bawah singki. Air mula menitik petanda ada yang sumbat. Melihat pada lelohong aluran air ternyata kosong. Maksudnya benar sangkaanku yang air tersumbat mungkin kerana kotoran atau sisa makanan yang berlebihan pada bukaan mulut lorong air. 

Mulalah saya menjadi seperti kelasi kapal yang sedang gigih mengeluarkan air dari kapal yang bocor. Besen demi besen dikeluarkan air. Ditatang bekas air yang penuh ke tandas dan dibuang ke singki tandas. Sehingga tinggal searas satu garis jari. Mulalah pula kerja yang agak renyah iaitu menggunakan mangkuk kecil diletakkan dibawah singki dan bersama kain untuk menyerap air yang tinggal. Sehingga tiada lagi air saya terus mengambil screwdriver dan membuka saluran air tersebut. Nah kotol sekali. Sisa makanan dan kotoran yang sudah menjadi lendiran campuran habuk dan benda asing menjadi asbab ia tersumbat. Saya tuntas cabut saluran tersebut dan membawa ke tandas untuk dibersihkan. 


Dalam saluran itu hitam dan kotor sekali. Air dialirkan dan setiap kali itu juga kotoran hitam yang keluar. Dimasukkan sabun beberapa kali sehingga kotoran tersebut hilang. Tuntas itu juga saya terbayangkan saluran paip itu seperti perut manusia. Kita sering sekali makan pelbagai benda dan kurang rasanya menghadkan pengambilan sesuatu itu. Baik dan buruk diselang seli. Terkadang perut kita menjadi sakit kerana penghadaman tidak baik mungkin faktor utamanya adalah makanan yang diambil. Justeru itulah datangnya logik untuk puasa supaya sistem penghadaman kita dapat berehat dan membaiki dari kerosakan yang berlaku. Seperti mana sistem saluran air perlu di rawat/dibersihkan sama juga buat perut kita. Selain dari puasa, makanan yang dipilih juga penting untuk memastikan kekuatan serta ketahanan perut kita. Bukanlah ia ingin diguna sehari dua tetapi selamanya. 

Antara langkah yang terbaik untuk menjaga perut kita adalah ; 
  1. Lakukan lebih senaman
  2. Kekalkan diet yang sihat
  3. Minum air secukupnya
  4. Ambil pro- dan prebiotik secukupnya
  5. Hadkan pengambilan lemak, garam, dan gula


Dengan memastikan kesihatan perut terjaga kita akan menjalani hidup yang lebih sihat dan selesa. Bukan apa perut itu boleh diumpamakan seperti central/pusat utama badan yang mana kalau sistemnya lumpuh maka lumpuh lah secara keseluruhan badan serta mencacatkan urusan harian kita. 


nota kaki : dahulu saya selalu sakit perut sehinggakan beberapa kali ke hospital. Rupanya kerana tidak makan dengan betul dan tidak menjaga kesihatan perut. Sekarang saya lebih berhati-hati dan sayangkan diri serta perut saya lebih!




Friday, 15 February 2019

Ada apa dengan CINTA?


Bismilllahirahmanirahim



Tajuk kali ini agak cliche akan tetapi realiti bersempena semalam Hari Kekasih aka Valentine Day. Saya sendiri sepanjang hidup tak pernah menyambut hari sedemikian kerana memang tiada niat mahupun orang untuk menyambutnya dengan. Banyak sekali fatwa yang dikeluarkan berkenaan larangan atau hukum menyambut sambutan tersebut. Berbagai cerita disebaliknya juga yang timbul. Misalnya, Valentine day adalah hari memperingati St. Valentine yang dibunuh kerana mempertahankan agama Catholic. Kalau sahaja mereka di luar sana faham erti ini sebaiknya tidak meraikan bukan apa ini bukanlah sesuatu yang perlu kita ikuti. 

Berbalik kepada tajuk, C-I-N-T-A adalah satu perkataan yang sering sekali diungkap dan dirasa oleh manusia. Ia tidaklah hanya terlimit pada antara lelaki dan perempuan tetapi membawa maksud yang lebih Universal. Yang paling utama adalah Cinta pada Allah, Cinta pada Rasul, Cinta pada Agama,  Cinta pada ibu dan bapa, Cinta pada keluarga, Cinta pada masyarakat, Cinta pada Negara, Cinta pada semua. Bagaimana kita boleh definisikan cinta? Kalau yang saya nyatakan tadi hanyalah sebahagian dari kerangka besar makna cinta. 

Apa definisi sebenar tentang cinta pada pandangan anda? Kalau dari hemat saya maksud cinta itu adalah apabila kita mencintai seseorang itu keranaNya. Pemegang hati yang utama seseorang manusia itu perlulah Allah sahaja dan dengan izinNya kita boleh mencintai makhluknya. Mungkin dalam derapan keyboard mudah untuk diungkap tetapi zahirnya tidak mudah. Ya saya sendiri mengaku terkadang terlebih sedih untuk makhluknya sampai lupa yang memegang hati itu adalah Allah. Jadi pulang kepadaNya dan memohon dariNya adalah yang terbaik. 

Bagaimana cara terbaik untuk kembali kepadaNya? Kembali dekat dan sujud padanya. 

Saya menemui salah satu blog yang saya fikir menarik untuk di lawati 

Pada satu artikel post mereka ada menggariskan 4 perkara untuk kembali kepada Allah,

1. Bersyukur kepada Allah

 Dr Aid Al-Qarni dalam bukunya La Tahzan mengingatkan, “Ingatlah setiap nikmat yang Allah anugerahkan kepada Anda. Karena Dia telah melipatkan nikmat-Nya dari ujung rambut hingga ke bawah kedua telapak kaki.”

Pesan tersebut memang patut kita renungkan. Karena di dalam Al-Qur’an Allah juga menegaskan bahwa nikmat Allah terhadap diri kita tak bisa dihitung jumlahnya.
وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّواْ نِعْمَتَ اللّهِ لاَ تُحْصُوهَا إِنَّ الإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).” (QS:  Ibrahim [14]: 34).


2. Berprasangka baik kepada Allah 

“Jauhilah oleh kalian berprasangka (kecurigaan), karena sesungguhnya prasangka itu adalah sedusta-dustanya pembicaraan.” (HR. Bukhari).
Kemudian di dalam Al-Qur’an, Allah menegaskan;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيراً مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan pra-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari pra-sangka itu adalah dosa.” (QS: Al-Hujurat [49]: 12).


3. Sabar dalam ikhtiar  

Allah akan sentiasa menyertai dan mencintai kita kerana kesabaran kita. Umar bin Khattab berkata, " Dengan kesabaran, kita tahu makna hidup yang baik."


 4. Tawakkal kepada Allah

Ibnu Hajar Al Asqolani berkata, " Tawakkal iaitu memalingkan pandangan dari berbagai sebab setelah sebab disiapkan." Eritnya, sebab bukanlah penentu, tetapi Allah Yang Maha Menentukan.


Konklusinya, kalau ada sekelumit rasa yang menghalang kita dari mencintai yang lebih patut dicintai beristighfar. Kalau kita benar-benar sayangkan manusia atau makhluk ciptaanNya, sandarkan rasa itu pada Allah SWT kerana dia pencipta, maha pengasih lagi penyayang serta pemegang hati-hati mereka. Kalau dikejar cinta ilahi kita tidak ada kecewa dan berduka kerana itu yang hakiki.

nota kaki: Alhamdulillah ala kulli hal. Selamat bercinta dengan Ilahi :) Salam Jumaat. 

Friday, 11 January 2019

Snowfall 2019


Bismillahirahmanirahim



Hari Selasa lepas saya mengambil keputusan keluar rumah dan menuju ke Sultan Ahmet Mosque untuk mengambil gambar. Dari malam sebelumnya snow turun ringan seperti taburan gula icing diatas kek meliputi kota Istanbul. Sedari maklum sebelumnya saya tidur agak lewat menanti turunnya salji dengan penuh harapan lebat sehingga meliputi keseluruhan Istanbul. Tetapi seperti tahun sebelumnya tidak lebat mungkin kerana faktor perubahan iklim di Istanbul khususnya. Kalau di daerah lain ribut salji melanda sehinggakan sekolah terpaksa ditutup.

Saya pergi ke kawasan Sultan Ahmet bersama teman rumah saya Salsabila. Kami keluar rumah dalam kurang lebih jam 10 pagi. Sepanjang perjalanan saya sungguh teruja melihat salju putih meliputi jalan, tidak kurangnya pada pokok dan kenderaan. Sesampai kami di Sultan Ahmet saya seperti anak kecil yang kegembiraan kerana salju turun lagi. Berjalan ke depan masjid sambil play tourist mengambil gambar. Setiap tahun sewaktu musim salju saya pasti akan ke tempat wajib saya mengambil foto. Bukan apa tahun berlalu dan mungkin size juga berbeza juga.

satu gambar dengan Salsabila

Kami bersua foto dan kemudian Salsabila pergi kerana ada mesyuarat. Saya sendirian duduk di hadapan tempat duduk menghadap masjid biru. Tidak lama kemudian saya telefon mama dan kami bervideo call sambil melihat landskap yang indah. Harapan saya satu hari nanti mama juga boleh duduk disebelah saya sambil melihat view ini tika musim salju. Habis dengan mama sambung pula dengan Nisa Rosli. Dia yang ketika itu di dorm di Umraniye. Mulalah kami bertutur dalam bahasa Turki kerana ramai sekali pelawat dari Malaysia yang lalu lalang di depan saya. Tangan saya mula bertukar merah dan kejung kerana sejuk dan tiba-tiba ribut salju melanda kawasan yang duduk tadi. Terpaksalah saya meneruskan langkah ke tempat lain sebab sejuk tak terhingga.

video call bersama mama 

Saya berjalan ke depan Hagia Sophia dan kemudian menuju ke Gulhane. Saya berharap untuk mencari kucing sebab nak beri makanan tapi malangnya tiada pula. Mungkin disebabkan sejuk mereka berteduh ditempat yang lebih panas. Berjalan di gulhane seorangan dengan cuaca yang nyaman. Terus selepas itu saya ambil tramvay menuju ke Capa dan terus ke kedai kopi untuk membeli secawan kopi. Waktu sejuk ni dapat hirup kopi panas sangat mengasyikkan.!


Dari dopamine saya lajukan langkah pulang ke rumah kerana tak sabar nak buka puasa. Oh ye saya baru sahaja mulakan "intermittent fasting". Intermittent fasting ini adalah amalan untuk memberikan perut kita berehat dan makan pada waktu tertentu. Ini dapat melatih kita untuk mengawal makan dan memberikan kerehatan pada badan kita. Yela mana taknya selama ini asyik belasah makanan je. Cara kawalan makan ini adalah sama seperti puasa bulan ramadhan cumanya kita dibenarkan minum air sewaktu sedang berpuasa. Mohon doakan saya dipermudahkan ye dan dapat kurangkan berat untuk lebih sihat :)


Gulhane Park

Akhir kata, musim sejuk dan waktu salju turun adalah saat yang paling saya sukai dan tunggu. Salju cepat cair dan indahnya hanya bisa dilihat sebentar sahaja. Kena hargai kecantikan ini kerana ia hanya seketika. Kalau dah berlalu pergi pasti dirindui. Terima kasih Allah kerana ruang dan peluang yang diberikan untuk melihat keindahan ciptaanmu.

Sultan Ahmet Mosque


nota kaki : Seni cok özledim.