Pages

Showing posts with label celebration. Show all posts
Showing posts with label celebration. Show all posts

Monday, 25 May 2020

Raya 2020


Bismillahirahmanirahim

baju raya rona deep chocolate bersama tudung sophie nealofar


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.. La ilaha ilallahu wa Allahuakbar, Allahuakbar wa lillahilhamd. 

gambar bersama syurga saya MAMA
Syukur dan takbir kepada Allah yang maha esa dapat kita semua meraikan raya atau hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Sebulan berpuasa rasa seperti seminggu. Singkat tetapi penuh dengan hikmah. Bagi seluruh ummat Islam di dunia secara umum dan Malaysia secara khusus, ramadan dan syawal tahun ini adalah yang paling unik kerana disambut dengan norma baharu @ the new norm . Seperti yang sedia maklum, vaccine untuk COVID19 masih belum dijumpai dan jumlah kes walaupun berkurang di Malaysia, masih lagi dipantau dengan ketat agar tidak melonjak semula kes baharu atau barangkali wujud kluster baru dipanggil kluster hari raya. Saat saya menulis blog ini, siang tadi sewaktu sidang media KKM dimaklumkan jumlah positif melonjak ke 172 orang. Satu kejutan yang tidak mengejutkan barangkali. Ini kerana ada kluster baru wujud iaitu kluster depo tahanan. Saya risau dalam tempoh seminggu dua ini akan ada pula tambahan kes kerana hari raya. Masih ada lagi berdegil meneruskan tradisi rumah terbuka sedangkan kita dibenarkan pada hari pertama sahaja. Silalah ingat yang frontliner dah penat menjaga dan mengawal, janganlah bebal sangat. 

Walaubagaimanapun, ada yang menarik di raya kali ini. Banyak istilah kali pertama yang berlaku. Kali pertama banyak yang beraya diperantauan (dirumah masing-masing di negeri bekerja kerana tidak boleh lintas negeri). Pertama kali jadi imam solat sunat aidilfitri di rumah kerana tidak dibenarkan ke masjid. Pertama kali, tidak berjabat tangan mahupun berpeluk bila berjumpa. Juga pertama kali rumah terbuka diganti dengan sesi zoom terbuka @ virtual rumah terbuka. Semua ini menunjukkan uniknya manusia dalam mereka cipta cara untuk berhubung antara satu sama lain serta menyesuaikan diri dengan norma baharu. Sedari PKP yang pertama sudah mula dikeluarkan skill baru ini akan tetapi lebih seronok ketika di hari raya. 

menu pagi raya tradisi SJNN



abang ipar (abg Faiz), kakak, saya dan MAMA
dengan 2 orang anak buah mama ya, Ammar dan Fariha
MIA dalam gambar Hanan
Bagi saya dan keluarga pula, Alhamdulillah setelah hampir 3 tahun tidak menyambut ramadan dan beraya di rumah saya diberi kesempatan untuk melakukannya. Di tahun ini juga mama paling riang kerana rumah rasa meriah dengan hilai tawa dan tangisan anak buah yang tiga. Pulang nun jauh dari Shah Alam nak beraya dengan kami. Juga riang mama bila anak-anaknya yang take charge memasak untuk raya. Pelbagai lauk saya dan kakak beraksi menyiapkan. Satu kenyataan yang pasti, kakak dah pandai masak. Saya selaku yang jadi tukang masak kat rumah rasa bangga sebab akak bila dah kahwin dan beranak tiga ni dah mula pandai masak. Kalau dulu teringat sampai bergaduh dengan baba pasal masak sambal sotong. Menu kami yang pelbagai itu pula adalah makanan tradisi kami sekeluarga. Sering dinanti oleh sanak saudara bila berkunjung ke rumah. Antaranya, sup tulang, lodeh, kuah kacang, dendeng daging, rendang daging, ayam masak merah, ketupat dan lemang. Sedap macam dulu-dulu. Yela sendiri masak dan sendiri makan ye dak? 
mama dan anak -anaknya

PKP juga telah menyebabkan ada diantara sepupu saya yang tidak dapat pulang beraya dan mama sebagai mak sedara yang tua menjadi tempat dikunjungi sepupu dan saudara yang tidak dapat pulang. Ramai juga datang ke rumah kami sewaktu raya pertama tetapi tidaklah sampai 20 orang pada satu masa. Saya selaku anak dara rumah perlu menyiapkan segala serba serbinya menyambut tetamu yang datang. Menunggu juga yang sorang itu berkunjung tetapi kerana tugas tak dapat beliau beraya. Tambahan pula katanya malu nak datang ke rumah kalau seorang. Apapun mohon doa untuk kami ye sidang pembaca! 

Akhir kata, raya 2020 adalah tahun untuk kita rasa syukur dan masa untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Selalunya kita ambil lewa sahaja kemudahan dan nikmat yang diberi untuk bersama meraikan raya. Kali ini bila ditarik nikmat itu ada yang stress dan sedih tak dapat beraya tetapi dengan adanya teknoloji terubat rindu semua. Tambahan pula seperti saya yang pernah beraya diperantauan, masa yang ada untuk diluangkan bersama keluarga raya tahun ini saya manfaatkan sehabis baik untuk sama-sama kami raikan.Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dihadapan mahupun tahun depan yang penting kita hidup diwaktu ini dan saat ini. Bahagiakan diri, bahagiakan keluarga, bahagiakan hati. Selamat hari raya aidilfitri. Maaf zahir dan batin. 


satu gambar bersama si DIA yang bertugas dihari raya <3

nota kaki : raya sehabis baik tapi jangan balun semua makanan. Nanti terkejut pula perut tu. Syukur dengan nikmat dan moga kita sentiasa dibawah lembayung Allah SWT. 










Tuesday, 7 October 2014

Iyi Baylamlar 2014 ( Eidul Adha 2014)

Allahuakbar 
Allahuakbar 
Allahuakbar 
Lailaaha IllAllahu Allah akbar
Allahuakbar walillahil-hamd 

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji buat Tuhan sekalian Alam. 

mama adik raya kat depan blue mosque 


                    Selepas 23 tahun hidup dan bermukim di Malaysia, hari ini buat kali pertamanya saya menyambut hari raya eidul adha di perantauan. Sesungguhnya perasaan yang dirasai tika ini bukanlah yang diingini tetapi adalah suatu pengalaman buat bekalan di hari kelak. Pada mulanya keterujaan melanda diri, mana tidaknya pengalaman beraya di perantauan selalu di idam tetapi indah pada pernyataan bukan pada pemaknaan. Seperti kata Albert Camus "Anda tidak boleh mencipta pengalaman. Anda mesti menghadapinya.” Ini menggambarkan setiap satu pengalaman bukanlah boleh tercipta melalui imaginasi tetapi pandang realiti. 

Kisah malam raya 

     Petang mantai kami telah mengambil keputusan mencari gerai makanan Indonesia ( Warung Indonesia) yang terletak di bahagian Eropah untuk memenuhi kempunan kami untuk makan makanan Asia. Dalam perjalanan kelihatan lautan manusia membanjiri pekan - pekan kecil serta besar di serata Istanbul. Sedari Umraniye Carsi ke Grand Bazaar kelihatan ramai seperti di Jalan Tunku Abdul Rahman membeli persiapan raya. Benarlah kata - kata pujangga, jauh perjalanan luas pengalaman (betul ke). Oh ye kembali ke kisah malam raya, selepas memenuhi keinginan makan makanan Asia saya bersama Ilya, Anis dan Munawwarah bergerak pulang ke Umraniye dengan perut kenyang.

      Seperti biasa kami menggunakan means of transportation yang mula sebati dengan kami iaitu Tramvay dari Markaz Efendi ke Sikerci, kemudian menaiki Marmaray ( keretapi bawah laut) dan Bas dari Uskudar ke Umraniye. Kisah lucu bermula sesampai di Uskudar apabila kami dengan confident tunggu bas di tepi jalan (bukan di durak) kemudian bila bas lalu pak cik bas tidak mahu memberhentikan bas. Sudahnya kami terpaksa buka langkah dan berlari untuk mengejar bas yang bergerak menuju ke stesyen seterusnya yang terletak lebih kurang 5minit berjalan kaki biasa. Kami berjaya masuk ke dalam bas dalam keadaan tercunggap cunggap dan pak cik bas hanya sengih. Syukur tak terhingga pak cik bas sebenarnya sengaja melengahkan pergerakan bas untuk menunggu kami.

      Suasana di dalam bas masih sesak walaupun sudah jam 9 lebih malam. Kelihatan anak kecil yang penat pulang membeli persiapan raya tersengguk sengguk melawan mata. Si ibu memegang erat anaknya. Anak muda rancak berborak, pasangan kekasih berpelukan dan Pakcik Tua tidur dengan nyenyaknya. Sungguh ini adalah suasana yang sudah lama tidak dirasai lagi lagi pada saat hari mantai aidiladha.


Pagi raya di Masjid Biru 

lautan manusia pelbagai bangsa menunggu peluang melihat Presiden Turki
      Seawal jam 5.30 pagi saya telah bangkit untuk bersiap solat hari raya di masjid Sultan Mehmet Fatih atau nama lainnya Masjid Biru. Bergerak ke durak(bas) seterusnya ke marmaray dan trampway. Sayangnya sesampai disana Solat Eidul Adha sudahpun berakhir tetapi kenangan terindah yang berlaku pagi tersebut adalah apabila saya dan pelajar Malaysia yang lain dapat melihat secara dekat Presiden Turki yang baru Recep Tayyip Erdogan. Kami dengan gigih menunggu bersama lautan manusia di luar pintu masjid untuk melihat Presiden Turki tersebut. Sungguh sewaktu beliau melangkah keluar dari masjid tepukan tangan dan laungan takbir bergema di masjid Biru. Sewaktu itu dapat saya rasakan aura beliau sebagai seorang pemimpin Islam yang bakal mengembalikan zaman kegemilangan kerajaan Uthmaniyyah. 

amati gambar ini dan anda akan nampak President Turki 
      Selepas waktu itu, kami bergerak duduk di laman di tengah tengah di antara masjid biru dan aya sofya. Masing masing melakukan hal sendiri. Ada yang skype dengan keluarga, bergambar dan sebagainya. Saya pula berusaha menghubungi keluarga melalui skype tetapi tiada balas. Agak sedih rasa di hati tidak dapat mendengar suara mama dan baba serta kakak dan dalam masa yang sama menunjukkan Masjid Biru dan aya sofya yang mama idamkan untuk dilihat. Alhamdulillah pada waktu itu sepupu kesayanganku Ayu yang sudi skype dan hubungi keluargaku. Baba kata tab didalam bag tak dengar panggilan yang aku lakukan. 

      Dalam pada waktu santai di taman tersebut, datang sekumpulan pelancong dari Ireland di bawa oleh pemandu pelancong mereka seorang orang tempatan. Perkara yang keluar dari mulut pemandu pelancong tersebut membuatkan saya berasa ingin bertukar menjadi makhluk hijau. Beliau bercerita mengenai kedua dua bangunan yang bertentangan iaitu Aya Sofya dan Blue Mosque. Dikatakan beliau Masjid Biru dibina atas sebab Sultan Mehmet ini menunjukkan superiority dan keagungan lebih dari Aya Sofya sedangkan Aya Sofya telah terbina lebih lama dari Masjid Biru. Dibuka juga cerita wanita harem Sultan Sulaiman dan cerita yang buruk mengenai Kesultanan Uthmaniyyah. Selepas membuat penjelasan saya bingkas mahu bangun dan membetulkan pernyataan beliau tetapi sepasang suami Isteri yang mengikuti rombongan tersebut datang pada orang pemandu pelancong mereka dan menegur beliau kerana bercerita tentang perkara yang tidak benar dan cuba melagakan kedua-dua agama. Kembali tersenyum dan saya berjumpa dengan beberapa pasangan dari Ireland berborak dan sempat mengambil gambar kenangan. 


Raya bersama sang perantau

ukhwah fillah 
      Selama dua hari berturut- turut saya telah dijemput untuk bersama pelajar Malaysia menyambut Aidil Adha. Pada hari raya pertama, kami ke rumah akhwat pelajar Malaysia di turki untuk makan- makan dan taaruf selain menyambut hari raya. Hampir semua sahabat Malaysia yang belajar di Turki hadir untuk berkongsi rasa raya bersama. Ini adalah sesuatu yang pasti di nanti setiap anak perantau di mana sahaja di dunia ini. Kami di hidangkan ayam masak merah, lemang, ketupat, sate dan pelbagai lagi. Walaupun tidaklah seperti di Malaysia tetapi memadai rasanya. Oh ye lupa nak beritahu kami mendapat cuti selama 4 hari untuk menyambut hari raya. 

gambar beramai ramai
gambar raya kedua 
     Seterusnya, pada hari seterusnya kami berkumpul semua, pelajar perempuan dan lelaki di majlis rasmi anjuran PPMT( Persatuan Pelajar Malaysia Turki) yang diadakan di Bahchelievler. Jauh sekali lokasinya tetapi demi rasa kesatuan hadirkan jua semangat dan jasad ke sana. Sungguh kami berasa bersyukur kerana pada saat ini ada seramai 150 pelajar Malaysia turut serta bersama pelajar dari Singapura dan Brunei. Majlis dimulakan dengan ucapan alu aluan oleh pengarah tourism Malaysia di Turki, disambung dengan sembang santai dan seterusnya taaruf in between all the student. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak menganjur kerana berjaya menyatukan kesemua kami. Diharap setiap satu antara kita menjadi pewaris semangat Al Fateh di Malaysia dan dunia. 

Iktibar dari sejarah lalu 

    Eiduladha bukanlah semeriah eidulfitri tetapi pemaknaan kisah kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya perlu diambil iktibar. Peristiwa yang tercatat disebalik eiduladha adalah kesanggupan Nabi Ibrahim a.s. untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. sebagai simbolik ketaatannya kepada Allah SWT. Namun Allah SWT telah menggantikan bahan sembelihannya kepada kambing biri-biri (kibas) dan mengarahkan Nabi Ibrahim untuk menyembelih kibas berkenaan. Pengajaran yang sangat bermakna buat segenap umat Islam di seluruh dunia for the past thousands of years. Jangan dipandang mudah dan diambil pemaknaan secara zahir sahaja bagi setiap perkara yang berlaku dan sebaiknya pemaknaan ruhaniyyah perlu diamati. 



wallahu'allam.

nota kaki : Salam rindu buat keluarga, eiduladha buat diriku tahun ini dimaknakan dengan kembaraku ke Turki untuk ilmu.