Pages

Showing posts with label historiantobe. Show all posts
Showing posts with label historiantobe. Show all posts

Monday, 1 February 2021

Februari 2021

 

Bismillahirahmanirahim dan Assalamualaikum 



    Tahun 2021 telahpun tiba. To be exact dah sebulan berlalu dan sudah masuk bulan ke 2 iaitu bulan Februari. Sekejap bukan rasanya waktu berlalu. The long or we can say not in the calendar year 2020 berlalu with a blink of an eye rasanya. Walaupun baru sebulan berlalu saya rasakan banyak sekali yang saya pelajari dan banyak yang saya mahu lagi kecapi. Semakin pendek waktu semakin kita rasa mahu menggunakan waktu dengan baik bukan? Seperti list panjang impian yang kita kecapi perlu dilunaskan secepat yang mungkin. Bagi saya mungkin saya selalu suka go with the flow dan santai sahaja tetapi melihat keadaan peredaran dunia dan realiti umur nak masuk 30 tahun ni saya rasa perlu saya segerakan setiap perkara yang saya mahu dan inshaAllah mampu lakukan. 

Walaupun aneh bunyinya tapi yelah kita tak tahu apa ada dihadapan tetapi yang pasti kita boleh bersedia untuk sesuatu yang pasti (iaitu kehidupan selepas ini). Saya akronimkan 4 perkara yang saya ingin buat kepada P.I.K.E (P-PhD atau pelajaran/kerjaya, I- Ibadah, K-Kesayangan dan E- Emosi). 4 perkara ini yang bagi saya sangat penting dan yang saya mahu sekali kecapi dan timbangtarakannya. PIKE  boleh kita definisikan a sharp point or spike boleh juga summit atau puncak. Itu yang saya mahu kecapi. Fidunya wal akhirah. Balance tapi utama yang keutamaan adalah IBADAH pada ALLAH kerana ALLAH maha pemberi, maha penyayang dan pemegang hidup, hati dan mati serta jalan saya. 

Saya yang selalu suka lihat belakang pada kenangan terkenang yang tahun ini diwaktu ini saya buat ini dan itu dan saya berada disini dan situ tapi tahun ini masih lagi saya di Malaysia dan yang paling penting saya masih bersama mama yang tersayang. Sungguh ini adalah anugerah yang terindah. Tidak dinafikan terkadang mahu sahaja rasanya lari kembali ke Istanbul kerana disana adalah tempat selamat untuk saya. Tempat saya boleh berasa saya dan boleh dikira lari dari realiti. Tapi sampai bila nak berlarikan?  Solusi untuk mereka yang suka lari (baca : ini saya) adalah menghadapi apa sahaja yang berlaku didepan mata. Ini kerana dengan tidak lari dan hadapi masalah boleh selesai, kesulitan boleh dipermudahkan dan semua boleh belajar dan paling penting boleh move on. 

Cakap mudah tapi payah kalau tiada usaha dan semangat ye tak? Saya ingat lagi sahabat saya berkata Amirah, dalam hidup ini motivasi itu perlu. sangat perlu. Akan tetapi perlu dilaksanakan dulu the first step barulah bermotivasi kerana kalau hanya bermotivasi dahulu tanpa buat takkan bergerak. Awak akan stagnant dan awak akan selesa hanya dengan motivasi yang awak ada. Sama juga kalau nak Allah berikan apa yang kita doakan. Kita kena usaha untuk dapatkan apa yang kita nak. Bila kita dah berusaha barulah kita bertawakal dan berserah kerana Allah yang mencorak jalan hidup kita dan kita perlu terima seadanya. Ada lagi satu teori yang saya pernah belajar masa perhimpunan kat sekolah dulu. Masa zaman saya join pembimbing rakan sebaya. THE SECRET nama program dan bukunya. Penulis buku tu dia percaya dengan LAW OF ATTRACTION. Kita boleh dapat sesuatu yang kita mahu itu dengan menulis dan sentiasa memikirkan dan menyebut tentang perkara itu. Ini kerana akan terwujud gelombang yang pada akhirnya akan membawa kita mendapatkan benda yang kita hajati itu. It happened btw. We become what we want. We get what we want. Ini adalah seperti self motivation and mind training to be exact. 

Saya seperti awal tadi saya katakan banyak yang saya mahu lunaskan di tahun 2021. Teras yang banyak itu dimudahkan faham kepada PIKE. Moga saya dapat mencapat setiap hajat saya dan 2021 menjadi tahun saya yang paling bermakna. Mohon doa semua ye. Saya juga doakan untuk setiap satu orang yang membaca ini. Oh ye sebelum saya tutup post ini. Peringatan pada semua, LIFE CAN BE BEAUTIFUL, IF YOU MAKE IT BEAUTIFUL. IT IS UP TO YOU. 


Selamat tahun baru 2021 semua :) 


nota kaki : azam tahun baru saya sama tetapi dengan harapan baru. moga istiqomah. 
 

Thursday, 24 January 2019

Muzium Rahmi M Köç


Bismillahirahmanirahim

team muzium dalam kapal selam

Pada 11 Januari 2019, saya telah pergi ke muzium Rahmi M Köç bersama Fatiha, Nafeesah dan Nasihah. Ia adalah perancangan yang singkat kalau tak silap beberapa hari sebelumnya. Muzium ini terletak di daerah Hasköy, Beyoglu. Kalau dari Eminonu mungkin dalam 30 minit ke 1 jam menaiki kenderaan awam. Muzium ini mengambil perhatian saya ketika pergi ke rumah Char yang terletak kurang lebih 7 minit berjalan dari situ. Dari luar nampak gah dan kurang lebih post republic dengan koleksi kereta, jet fighter dan lain lagi. Hari yang kami pergi itu cuaca tidak menyebelahi kami kerana hujan sepanjang hari. 



Muzium ini dikenali sebagai antara muzium terbesar di Istanbul yang merangkumi keluasan kawasan sebanyak 27,000 m2. Terdapat 3 bahagian iaitu Bangunan Mustafa V. Köç , Kawasan pelabuhan bersejarah Haskoy, Open Air Musuem. Nama muzium ini telah diambil dari seorang hartawan yang sangat kaya iaitu Rahmi M Köç. Beliau adalah ahli perniagaan yang terkaya di Turki yang asetnya dan produk digunakan di seluruh Turki. Muzium ini adalah milik penuh keluarga beliau yang didalamnya mempunyai barangan bersejarah tinggalan keluarga ini dari turun temurun. Dari permainan kanak-kanak, miniature, barisan kereta, jet peribadi, kapal terbang, kapal laut, pelbagai jenis mesin, barangan teknologi masa dulu dan kini terdapat di muzium ini. Ada juga kawasan khas di dalam muzium ini yang ditujukan khas untuk Presiden pertama Turki iaitu Mustafa Kamal Ataturk. 

sapu tangan yang ada terdapat beberapa titis darah Presiden Ataturk

Selain itu, tinggalan Uthmaniyyah juga dapat dilihat pada muzium ini. Bangunan utama muzium ini dulu adalah tempat pembuatan kapal yang telah digunakan sejak dari kurun ke 19. Ada juga di ruangan luar muzium ini mempamerkan pelbagai jenis kereta api yang digunakan di zaman Uthmaniyyah sehingga republik. Boleh dikatakan disini adalah tempatnya untuk melihat peredaran zaman untuk sistem pengangkutan di Turki terutama di lewat kurun ke 19. Antara yang menarik adalah vagon/gerabak kereta api yang dinaiki oleh Sultan Abdul Aziz (Sultan ke 33 Uthmaniyyah) ketika ke London. 


Aktiviti yang saya paling tunggu dalam kunjungan ke muzium ini adalah lawatan ke Kapal Selam. Pada mulanya saya agak teragak-agak untuk pergi kerana takut tak muat dan saya ada sedikit claustophobia. Tapi dengan dorongan adik-adik yang ada bersama saya pergi juga. Oh ye sebelum terlupa tiket masuk muzium utama adalah sebanyak 7tl dan untuk lawatan ke kapal selam adalah sebanyak 6tl. Berbalik kepada kapal selam, kapal selam tersebut dinamakan TCG. Uluç Ali Reis. Ia merupakan kapal selam yang telah diberikan kepada armada laut Turki oleh armada perang US. Menariknya, kapal selam ini pernah berkhidmat ketika perang dunia kedua. Selepas diberikan kepada Turki ia digunakan selama kurang lebih 50 tahun sebelum di tamatkan perkhidmatan pada 2002. Kami sangat beruntung kerana yang membawa kami melawat kapal selam ini adalah jurutera kapal itu sendiri Encik Ahmet Malalan. 


Setelah ke kapal selam kami berhenti sebentar memanjat ke atas awan untuk melihat kapal terbang pertama yang digunakan Turkish Airlines. Kapal tersebut adalah dari tahun 1970an yang kapasiti penumpang hanyalah 15 orang sahaja. Menarik tetapi gerun kerana kapal tersebut diletakkan dalam kedudukan senget dan tinggi dilangit.




Sebenarnya kalau diikutkan kami hanya sempat menghabiskan 70 peratus sahaja kawasan muzium dan itupun telah mengambil waktu kurang lebih 4 ke 5 jam. Ada lagi sebahagian tempat kami tidak lawati iaitu bangunan Mustafa V. Köç. Kalau ditanya mahu atau tidak pergi ke muzium ini sudah tentu iya kerana ada sebahagian tempat tidak habis dilawati dan banyak lagi aktiviti yang menarik boleh dicuba disini. Habis lawatan kami terus ke rumah Char untuk makan kerana perut pun sudah bergendang. 




nota kaki : Kemajuan sistem pengangkutan telah membawa manusia dari satu tempat ke tempat yang lain dengan cepat. 


Friday, 11 January 2019

Snowfall 2019


Bismillahirahmanirahim



Hari Selasa lepas saya mengambil keputusan keluar rumah dan menuju ke Sultan Ahmet Mosque untuk mengambil gambar. Dari malam sebelumnya snow turun ringan seperti taburan gula icing diatas kek meliputi kota Istanbul. Sedari maklum sebelumnya saya tidur agak lewat menanti turunnya salji dengan penuh harapan lebat sehingga meliputi keseluruhan Istanbul. Tetapi seperti tahun sebelumnya tidak lebat mungkin kerana faktor perubahan iklim di Istanbul khususnya. Kalau di daerah lain ribut salji melanda sehinggakan sekolah terpaksa ditutup.

Saya pergi ke kawasan Sultan Ahmet bersama teman rumah saya Salsabila. Kami keluar rumah dalam kurang lebih jam 10 pagi. Sepanjang perjalanan saya sungguh teruja melihat salju putih meliputi jalan, tidak kurangnya pada pokok dan kenderaan. Sesampai kami di Sultan Ahmet saya seperti anak kecil yang kegembiraan kerana salju turun lagi. Berjalan ke depan masjid sambil play tourist mengambil gambar. Setiap tahun sewaktu musim salju saya pasti akan ke tempat wajib saya mengambil foto. Bukan apa tahun berlalu dan mungkin size juga berbeza juga.

satu gambar dengan Salsabila

Kami bersua foto dan kemudian Salsabila pergi kerana ada mesyuarat. Saya sendirian duduk di hadapan tempat duduk menghadap masjid biru. Tidak lama kemudian saya telefon mama dan kami bervideo call sambil melihat landskap yang indah. Harapan saya satu hari nanti mama juga boleh duduk disebelah saya sambil melihat view ini tika musim salju. Habis dengan mama sambung pula dengan Nisa Rosli. Dia yang ketika itu di dorm di Umraniye. Mulalah kami bertutur dalam bahasa Turki kerana ramai sekali pelawat dari Malaysia yang lalu lalang di depan saya. Tangan saya mula bertukar merah dan kejung kerana sejuk dan tiba-tiba ribut salju melanda kawasan yang duduk tadi. Terpaksalah saya meneruskan langkah ke tempat lain sebab sejuk tak terhingga.

video call bersama mama 

Saya berjalan ke depan Hagia Sophia dan kemudian menuju ke Gulhane. Saya berharap untuk mencari kucing sebab nak beri makanan tapi malangnya tiada pula. Mungkin disebabkan sejuk mereka berteduh ditempat yang lebih panas. Berjalan di gulhane seorangan dengan cuaca yang nyaman. Terus selepas itu saya ambil tramvay menuju ke Capa dan terus ke kedai kopi untuk membeli secawan kopi. Waktu sejuk ni dapat hirup kopi panas sangat mengasyikkan.!


Dari dopamine saya lajukan langkah pulang ke rumah kerana tak sabar nak buka puasa. Oh ye saya baru sahaja mulakan "intermittent fasting". Intermittent fasting ini adalah amalan untuk memberikan perut kita berehat dan makan pada waktu tertentu. Ini dapat melatih kita untuk mengawal makan dan memberikan kerehatan pada badan kita. Yela mana taknya selama ini asyik belasah makanan je. Cara kawalan makan ini adalah sama seperti puasa bulan ramadhan cumanya kita dibenarkan minum air sewaktu sedang berpuasa. Mohon doakan saya dipermudahkan ye dan dapat kurangkan berat untuk lebih sihat :)


Gulhane Park

Akhir kata, musim sejuk dan waktu salju turun adalah saat yang paling saya sukai dan tunggu. Salju cepat cair dan indahnya hanya bisa dilihat sebentar sahaja. Kena hargai kecantikan ini kerana ia hanya seketika. Kalau dah berlalu pergi pasti dirindui. Terima kasih Allah kerana ruang dan peluang yang diberikan untuk melihat keindahan ciptaanmu.

Sultan Ahmet Mosque


nota kaki : Seni cok özledim. 

Thursday, 10 January 2019

Nota Balkan Rara - Bosnia Herzegovina Part 1


Bismillahirahmanirahim 




Kembara masuk hari ke 4 dan saya meninggalkan Dubrovnik, Croatia ke Mostar, Bosnia Herzegovina. Perjalanan dari Autobusni Kolodvor Dubrovnik ke Mostar mengambil masa 3 jam dan harga tiket sehala adalah dalam 15 euro. Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan pemandangan Blue Lagoon dan jambatan baru bina menghubungkan Croatia dan Bosnia. Masih teringat lagi tika itu melihat matahari dihujung lautan luas diantara dua pulau yang sungguh indah. Selepas itu saya selelap sebelum kami tiba ke destinasi yang dituju iaitu Mostar, Bosnia. Oh ye sebelum itu, keadaan di sempadan negara di point immigration berjalan dengan lancar. 

Kami tiba di Mostar sekitar jam 6 petang dan matahari sudah mula redup. Turun dari bas kami mengambil keputusan mengambil teksi ke rumah penginapan yang kami tempah melalui air bnb. Kalau ikutkan ia mengambil masa kurang lebih 15 ke 20 minit berjalan tetapi disebabkan kami kepenatan kami ambil sahaja teksi. Sesampai di rumah tersebut kami disambut dengan mesra oleh pemilik rumah iaitu Puan Fatma. Beliau yang tidak boleh berbahasa inggeris hanya menggunakan gerak badan untuk kami berhubung. Rumah beliau sangat kemas dan cantik dengan rona warna yang ceria menghiasi dinding. Kami meletakkan barang dan kemudian solat sebelum turun berjumpa Fatma semula. Beliau dan anak lelaki beliau mengusahakan rumah konsep bed and breakfast yang sering mendapat review yang baik di laman sesawang air bnb dan booking.com. Taip GUESTHOUSE MIRZA untuk maklumat lanjut harga penginapan. Kami diajak Puan Fatma pusing kota mostar di waktu malam. Beliau yang kelihatan berumur kurang lebih 70 tahun kelihatan sihat dan aktif berjalan ke bandar lama Mostar yang jaraknya 1 km jauhnya. Kami pusing kota tersebut dan pulang berehat. Kami bangkit sedikit lewat kerana penat hari sebelumnya belum habis lagi. 

BLAGAJ 


Jika ke Mostar salah satu tempat utama yang perlu dilawati adalah Tekke di Blagaj. Kawasan ini terletak 15 minit dari kota lama Mostar. Ada dua cara untuk ke sana. Pertama dengan kereta/teksi dan Kedua dengan bas. Kami mengambil teksi kerana ia lebih mudah dan cepat. Harga teksi ke sana adalah dalam 5 USD. Tekke adalah dalam bahasa Turki yang bermaksud rumah beruzlah tarikat sufi sangat terkenal di blagaj. Dibuka oleh seorang Ulama Sufi pada kurun ke 14 yang bermusafir ke kawasan tersebut. Sehingga hari ini tempat tersebut telah dijaga oleh Tarikat Naksyabandiyah dari Turki. Tempat ini menjadi tumpuan pelancong terutamanya dari Turki. Air yang mengalir dari sungai dari dalam gua memberi ketenangan yang tidak terhingga. Jangan lupa untuk merasa makan ikan trout di restoran berhampiran tekke tersebut. Harga satu set makanan dalam 8  euro dan portion besar! 







KOTA MOSTAR


Hampir separuh hari saya dan Kak Leeza berada di blagaj. Di situ kami dapat merehatkan minda dan badan kami untuk mengumpul semangat menyambung perjalanan kami kembara Balkan yang tinggal 2 negara lagi. Separuh perjalanan kami belajar tentang banyak perkara dan paling penting mengenali satu sama lain. Balik dari Blagaj kami terus ke old city Mostar. Saya seperti biasa terus menuju ke muzium dan mengambil masa kurang lebih 30 minit sendirian. Di muzium mostar bridge (Stari Mostar) saya memanjat ke menara yang setiap tingkat ada meletakkan tinggalan sejarah sampai ke atas sekali saya dapat melihat view Mostar 360 darjah. Seperti biasa dimana sahaja saya pergi mesti muzium tempat yang paling tiada orang tetapi saya bahagia kerana itu adalah kegembiraan bagi saya. Kami juga pergi melihat sekitar Kujundziluk (Pasar Lama) dan menghabiskan baki masa melawati dan bergambar di bawah jambatan Stari Mostar. Jambatan tersebut telah dibina oleh Sultan Sulaiman pada kurun ke 16 dibawah selian arkitek ulung Uthmaniyyah Mimar Sinan. Jambatan tersebut pernah runtuh dan ranap akibat perang saudara dan ketika zaman Yugozlavia. Kami pulang lewat petang dan berehat sebelum seawal jam 6 pagi meninggalkan rumah penginapan menuju ke Sarajevo. 






SARAJEVO




Kami tiba di Sarajevo kurang lebih jam 10:30 pagi. Perjalanan dari Mostar ke Sarajevo mengambil masa 3 jam 30 minit. Kami di Sarajevo tidak lama. Kami singgah bandar tersebut kurang lebih selama 4 jam. Dari bandar kami menuju ke tengah bandar dengan berjalan kaki. Ia mengambil masa 30 minit jalan. Pada mulanya cuaca agak cloudy tetapi kemudian hujan turun berjujuran tanpa henti. Kami basah lencun dan beberapa kali terpaksa berhenti untuk berehat. Di Sarajevo banyak jambatan yang boleh kita lihat dan ada satu yang saya cari dengan sungguh iaitu Spanish Bridge yang terkenal sebagai lokasi pembunuh King Edward Ferdinand dan isteri yang menjadi pencetus kepada perang dunia pertama. Kami teruskan gigih berjalan mencari pasar lama di Sarajevo yang a must visit. Nama kawasan tersebut adalah Baščaršija. Dalam berjalan ke situ saya terlihat kesan perang Sbrenica yang masih kesannya ada di sekitar bandar tersebut dan negara tersebut. Barangkali luka sudah terawat tetapi kesan masih ada. Oh ye sesampai di destinasi yang dituju kami terus ke kedai makan dan makanan wajib untuk dirasa bila di Bosnia adalah Cevapi. Ia seperti kofte di Turki dihidang didalam roti seakan roti Naan. Pemilik kedai tersebut sangat baik memberikan kami heater kerana melihat betapa basahnya kami ketika masuk ke kedainya. 



Setelah selesai makan, matahari muncul dan kami berjalan sekeliling pasal lama itu. Dikatakan pasar tersebut adalah pusat persinggahan pedagang yang melawati spicec route untuk ke eropah. Dalam pada berjalan itu baju kamipun kering dan sebelum balik ke stesyen bas saya mengambil kesempatan merasa kopi Bosnia dan manisan. Sungguh tinggalan Uthmaniyyah banyak sekali terkesan di kota ini. Masjid Gazi Husrev Bey dan sebilij fountain ada kesan daulah tersebut padanya. Kami bergerak dari Sarajevo menuju ke Jajce sebuah pekan kecil mengambil masa 2 jam 30 minit. Disitu kami menunggu bas kami seterusnya pada jam 12 malam ke Plitvice Croatia. 






JAJCE


Kami tiba sebelum matahari terbenam di Jajce. Disini tempat ini terkenal dengan Pliva waterfall dan walled city of Jajce. Kami berjalan ke bandar tersebut untuk mencari masjid dan menemui masjid Esma Sultana. Seperti masjid-masjid yang lain kami solat dan bergerak semula ke stesen bas. Kami berdua sahaja yang berada disitu dan bandar tersebut adalah bandar mati bila malam menjelma. Terkadang ada rasa risau dan seram tetapi hanya pada Allah kami berlindung. Bila waktu bas hampir tiba pekerja disitu akan datang dan kami bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Plitvice National Park di Croatia. 











Bersambung....... 

nota kaki : dalam semua 6 negara yang saya pergi Bosnia yang berjaya mencuri hati. Saya ingin kembali ke Bosnia semula nanti inshaAllah. 


Thursday, 20 December 2018

Salju 2018

Bismillahirahmanirahim


Semalam. Adalah hari pertama salju turun dengan lebat walaupun jisimnya tidak padat tetapi cukup untuk menggembirakan hati si anak rantau ini. Saya ketika itu sedang menghirup kopi panas di kedai kecil berhampiran dengan tempat immigresen untuk proses permohonan "resident permit". Indahnya hari itu adalah apabila saya sebenarnya sepanjang hari berdebar. Kerana permohonan kali ini sendiri. Bannyak tribulasi dalam permohonan tersebut. Tika waktu diri menyaksikan salju, Iyka ada bersama. Sungguh saya sangat gembira kerana sedari hari sebelumnya saya terfikir siapa yang akan menemani dan saya sentiasa berharap serta berdoa ada yang ingin menemani diri ini. Alhamdulillah Allah utuskan Iyka. 
Pagi semalam mendung seperti hari-hari lain dan sejuknya tidak payah cakap, sampai ke tulang. Selalunnya kalau redup sahaja dan sejuk luar biasa, itu petanda salju bakal turun. Saya bangun tidur terus mandi dan memanaskan bihun yang dimasak malam sebelumnya sewaktu Riad, Afifi, Amal dan Balqis datang. Sarapan dan kemudian terus bersiap dan menyemak kembali dokumen yang perlu dibawa untuk ke temu janji "residen permit" tersebut. Debar dihati hanya saya yang rasa. Selepas siap saya dan Iyka memulakan langkah dengan ke kedai untuk print dan photocopy. Langkah dicepatkan kerana hujan renyai mula membasahi bumi dan suhu semakin turun. Saya mengambil telefon dan menyemak suhu, Oh my suhunya 4 degree celcius tetapi feels like -6. Terus saya tepuk dahi. Patutla sejuk menusuk. 

Kami menaiki Metro line 1 ke arah Yenikapi, tukar stesen ke metro line 2 menuju ke Sisli. Sesampai di Sisli Mecideyekoy kami menaiki bas 30 M yang berhenti di perhentian Telefon Bas Mudurlugu. Oh ye lupa pula nak cakap. Selalunya temu janji untuk buat "resident permit" dilaksanakan dibelakang rumah iaitu headquarters Immigresen tetapi kerana mereka sedang melaksanakan renovasi saya telah diberikan Besiktas Il Goc Idaresi untuk temu janji. Sesampai di stesen bas tadi saya keluarkan telefon bimbit dari kocek dan membuka aplikasi map untuk mencari tempat tersebut. 6 minit kemudian kami sampai ke destinasi. Debar mula kencang tetapi hilang apabila di sapa pegawai polis disitu yang sangat ramah dalam membantu dan melayan mereka yang hadir ke tempat tersebut. Mereka menyemak dokumen saya dan kemudian memaklumkan untuk datang semula selepas jam 1 kerana mereka akan berhenti rehat tengahari. 

Saya dan Iyka melangkah keluar dari bangunan tersebut dan terus ke arah bas stop tadi. Dalam berjalan ke arah situ sambil berbincang kerana saya belum membayar yuran untuk permohonan kami terlihat satu kedai kecil. Seakan kedai kopi dikawasan itu. Konsepnya rusty and woody. Kami mengambil keputusan untuk duduk menunggu di situ. Rupanya memang best disitu! Masuk sahaja bau kopi semerbak, saya si peminat kopi tegar terus terasa seperti di awan kerana bau itu bisa memberi kebahagian. Saya menempah Cappucino dan Iyka mengambil White Chocolate Mocha. Kemudian kami duduk disisi kedai. Berborak tentang beberapa perkara. Seketika kemudian saya yang menghadap ke cermin kedai terlihat titisan putih seakan cotton/buih sabun yang turun terkadang deras dan perlahan turun dari langit. Sungguh salju turun! Awal tahun ini tapi memberi kebahagiaan. Bila di semak di aplikasi suhu pufff 0 degree celcius dan rasa sebenar -8 degree. Patut rasa sejuk dia lain macam. Orang Asia yang berdua ini gembira tak terkata kerana salju adalah benda yang tidak ada di negara kami walaupun sudah berkali-kali kami melihatnya. 

Kurang lebih sejam di kedai tersebut kami berjalan kembali ke pejabat yang saya ada temujanji. Tika itu salju turun dan kami excited walaupun ia tidak mampat tapi cukup memberi  kebahagiaan. Saya yang debar menanti waktu temu janji hilang rasa itu. Masuk ke pejabat pegawai polis tersebut meminta saya terus ke tingkat 4 menaiki tangga dan dihantar dokumen. Disitu prosesnya cepat dan polis bertugas disitu sangat baik hati dan memberi penerangan serta membantu proses yang diperlukan. Saya yang belum membuat pembayaran yuran permohonan diminta dijelaskan yuran tersebut dan kembali ke bangunan tersebut. Diberi penerangan tempat bayaran iaitu Vergi Dairesi cabang Besiktas serta diberikan slip alamat tempat berlalu pergi bersama Iyka. Kami berjalan dalam salju dengan rasa sejuk beserta angin yang kuat. Dari situ terus dibayar dan dihantar semula borang dan alhamdulillah semua selesai. Sekarang saya hanya perlu tunggu lagi sebulan untuk ikamet sampai ke rumah. 


Usai di Il goc idaresi Besiktas kami menuju ke Besiktas Meydan untuk ke kedai Burger kerana Iyka ingin sekali makan burger di kawasan tersebut. Kami memilih untuk pergi ke Yuri Burger! Sedap! Kemudian untuk dessert kami ke Mendel Chocolate Shop yang selalu dikhabarkan Hidayah. Sedap juga! Calories not to count day because its cold. I need to eat to burn them off. hahahaha. Kami pulang sekitar kurang lebih 6 petang. Dengan menaiki bas 28T seusai naik terus kami duduk dan tidur. Kami bangkit ketika hampir sampai ke destinasi kami iaitu Capa Tip. Dari situ dengan pisat dimuka saya terus ke kedai kopi Dopamine untuk minum cay dan sebelum itu ke kedai sayur membeli bekalan sayur. Sungguh rasa seperti sudah berhari-hari tidak makan sayur hijau. 

Sewaktu masuk ke kedai kopi tersebut saya terus disapa barista disitu. Nama beliau Yavuz Abi. Beliau sudah seperti abang saya kerana saya sering ke situ untuk mendapatkan kopi di grind segar. Abi berkata saya kelihatan seperti penat. Sebenarnya saya itu baru bangkit tidur.. Winter Tea adalah pilihan saya untuk memanaskan badan. Saya dan Iyka meneruskan bicara hati ke hati. Abi Yavuz kemudian menyapa kami dan satu perkataan yang terkesan yang diberikan beliau adalah bila kita serabut atau tidak menentu dengan zaman cuba terbalikkan perkataan itu dan jawapan untuk menghilangkan rasa itu ada disitu. zaman (masa dalam bahasa melayu) jika diterbalikkan adalah namaz(solat dalam bahasa melayu). Saya terdiam dan berfikir. Sungguh abi ini utusan Allah untuk menasihat. Setiap peringatan atau perkara itu getus baiknya Allah akan beri untuk orang itu dan sekelilingnya. 

Oh ye kedai kopi ini bukan hanya kedai semata tetapi tempat saya belajar dari orang biasa yang hatinya luar biasa. The real means of don't judge the book by its cover. Disini juga trust saya di restore semula. Disini juga saya punya kawan baru yang banyak mengajar tentang kehidupan. Sungguh satu hari nanti saya ingin ada tempat seperti itu. Sebuah kedai kopi kecil tetapi dengan tambahan sudut membaca. Kopi juga saya rasa simbol perpaduan dan kehidupan. Biji kopi memberi nafas dan kehidupan buat semua. 

Akhir hari saya pulang ke rumah dengan rasa syukur. Kerana hari yang turunnya salju adalah hari yang penuh pengajaran untuk kehidupan. Bukan mudah untuk belajar dari hidup. Kerana setiap kita ada ego. Apa yang perlu kita buat adalah belajar dengan mata hati dan dengan hati terbuka. Berlapanglah dada ! Lihat dan amat sekeliling kerana disitu ada yang boleh dipelajari. Dalam hidup ini kalau hanya duduk disatu tempat dan mengulang perkara sama, mengikut kata hati tidak akan ke mana. Cuba bertoleransi dan belajar dari alam. Moga semua dapat merasa dan memberi. Terima Kasih Allah. 





nota kaki : Giving doesn't make you get less. Memberi tidak bermakna kamu dapat kurang :)




2314pm
Meja Belajar Putih, 
Sanggar Rasa, 
Capa Sehremini, Istanbul, Turki