Bismillahirahmanirahim
gambar diambil dari instagram @thefamily.uk |
Senario 1
"Adik, setiap apa yang berlaku pada kita dan dugaan yang Allah berikan kita kena redha. Dalam redha itu ada rahmat Allah. Kalau kita tak redha, susah untuk kita dapat rahmat Allah".
Kata - kata diatas selalu disebut pada mama setiap kali teringatkan arwah baba. Atau kadangkala bila ada yang bertanya bagaimana mama mampu menjaga baba yang menjalankan rawatan dialisis selama 12 tahun. Kerana tahap redha yang tinggi mama menjadi seorang yang kuat dan tabah. Contoh isteri mithali yang sentiasa menjaga dan mencintai baba sepenuh hatinya. Sehingga kini juga mama sering kata yang dia sangat mencintai baba dan merelakan pemergian baba adalah benda yang berat tetapi ketetapan yang Allah tentukan. Kadang ada yang mengusik mama untuk berkahwin lain, akan tetapi mama akan jawab dengan baik, mama tak nak kahwin dengan sesiapa dah, cukup baba seorang sahaja. Mama janji nak tunggu baba di pintu syurga. Cinta mereka walaupun terpisah nyawa tetapi tidak pada hati dan doa. Redha adalah kunci yang mengutuhkan lagi cinta mama dan baba.
Senario 2
"Amirah, redha mak ayah itu penting dalam kita nak belajar atau tuntut ilmu. Sama juga dengan redha Allah. Kalau nak berjaya kena ingat ini"
Dahulu sewaktu di sekolah menengah, saya ada seorang ustazah yang sangat sayangkan saya. Jujur saya katakan ustazah ini jugalah yang membentuk saya kepada siapa saya dihari ini. Dia jugalah yang berjaya memujuk saya kembali ke jalan yang diredhai. Bukanlah saya ni budak liar (pergi clubbing, pesta etc tak pernah sebab baba garang sebelum jam 6 dah kena ada dirumah), tetapi liat dalam nak beribadah. Saya dulu sampai sekolah tingkatan lima tak pakai tudung selepas waktu sekolah tetapi ustazah mengajar dengan hati yang ikhlas telah sedikit demi sedikit membuatkan saya ingin berubah ke arah kebaikan. Alhamdulillah ramadan pertama 2008 saya mula memakai tudung sepenuh masa. Kembali kepada redha, saya dahulu selepas tamat sekolah menengah ada sedikit konflik dengan mama dan baba sebab saya nak sangat masuk UIAM. Masa itu saya sudah dapat tawaran ke UITM untuk pengajian asasi undang-undang. Saya bertekad nak juga sampai satu tahap tidak mahu bercakap dengan mama dan baba. Habis sudah dipujuk tetap degil. Sampai satu ketika, saya dimaklumkan untuk daftar UPU semua UITM tanpa satu tempat untuk UIAM. Sedih tapi kena buat demikian untuk mendapat restu mama dan baba. Saya katakan pada ustazah kesedihan ini dan ustazah pesan seperti diatas. Saya pun redha dengan keputusan yang diambil kedua mama dan baba saya. Tidak lama kemudian, jiran sebelah rumah saya dahulu secara tiba-tiba menghubungi mama, ditanya pada mama kalau saya ingin masuk ke UIAM. Pada waktu itu saya rasa subhanaAllah, Allah jawab doa saya. Ini rahmat Allah kalau redha.
Senario 3
" Akak saya tahu akak sayangkan dia tapi nak buat macam mana, hati manusia itu berbolak balik dan pemilik hati itu adalah Allah. Akak kena redha dengan keputusan yang dia buat dan akak boleh berdua semampu akak untuk tenang dan diberi kekuatan"
Saya pernah suka pada seseorang tetapi selalunya tepuk sebelah tangan. Saya tidak pernah bercinta. Ada satu ketika itu Allah berikan saya ruang dan peluang untuk rasa cinta dan suka saya bertukar cinta itu bertepuk dua tangan. Saya dan dia itu kawan rapat agak lama tapi tidak pernah saya rasa cinta atau suka pada dia lebih dari seorang kawan. Pernah juga saya katakan kalau ada satu hari nanti saya suka dia mahu terbalik dunia. Kami bercinta dan saya suka dia. Benar dunia memang terbalik. Dunia saya yang terbalik kerana paksi saya pada dia selepas Allah, Rasulullah dan keluarga. Ada satu ketika itu dia berkata hasrat nak berkahwin dan selepas itu terus senyap. Hubungan kami regang dan khabar kahwin itu lenyap. Walaupun sampai satu tahap pak long saya (telah kembali ke rahmatullah pada tahun ini) sampai mengalir air mata gembira bila saya khabarkan ada orang nak berkahwin dengan saya. Di pihak kami yang perempuan pasti persiapan itu perlu ke depan. Banyak perkara untuk disiapkan. Tetapi sudah ketentuan Allah belum sampai jodoh kami. Dia senyap sepi dan mengambil keputusan untuk berdiam diri. Sehingga ke hari ini saya masih doakan dia supaya diberi ketetapan hati kerana sekali lagi isu ini menjadi perkara paling tidak disukainya. Saya ingat lagi adik rumah saya bersama beberapan adik yang lain memujuk saya kerana sedih berhari-hari sedih tidak lega. REDHA kak, serahkan segalanya pada Allah. Setelah beberapa ketika air mata saya kering dan Allah kirimkan ramai teman baik untuk memberi semangat dan dorongan. Mama juga kembali baik denganku dan kami sekeluarga lebih baik hubungan kerana sebelum itu sampai bergaduh tak bertegur kerana malu dengan beberapa keluarga yang tahu perihal ini yang tidak jadi. Redha dalam ujian Allah bagi syafaat.
Kita didalam kehidupan ini, sering kali kita mengeluh kalau ditimpa ujian. Sedangkan ujian itu sebenarnya rahmat untuk kita sekiranya kita dapat melaluinya dengan baik. Firman Allah SWT yang bermaksud : Jikalau mereka bersungguh-sungguh redha dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta mereka berkata "cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan sebahagian daripada kurniaNya, dan demikian (pula) RasulNya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap pada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka)." (Surah at Taubah ayat 59). Syukur adalah regu untuk redha, seperti dalam ayat alQuran yang saya petik, syukur dengan nikmat Allah dan cukup Allah bagi kita akan memberikan kita kebahagiaan dan kurniaan dariNya yang tak terhitung nilainya. Sebagai konklusi, ingin saya ingatkan diri saya dan anda diluar sana untuk apabila berlaku sesuatu (selalunya dugaan mahupun yang tidak disukai) pada anda, redhalah dengan ketentuannya. Kerana hikmah disebalik itu yang perlu kita lihat dan amati. Setiap yang dihajati akan ada ketentuannya cepat atau lambat sahaja Allah akan bagi. Hikmah dalam dugaan adalah satu kemanisan iman. Moga Allah kuatkan hati-hati mereka diluar sana dan sentiasa diberikan REDHA yang tinggi hendaknya. Jagi diri, jaga iman, jaga hati.
nota kaki : simpan saya dalam doa kalian dan saya akan simpan kalian dalam doa saya.
No comments:
Post a Comment