Pages

Saturday, 25 November 2017

AYLA ( DAUGHTER OF WAR)



Ayla adalah sebuah cerita arahan Can Ulkay berdurasi 2 jam 15 minit berkisarkan kisah tentang seorang tentera Turki yang dihantar untuk misi ke Korea Selatan dengan seorang kanak-kanak Korea yang dinamakannya Ayla. Latar belakang cerita ini adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku antara askar tersebut dan Ayla. Filem ini mendapat sambutan hangat sehinggakan mendapat pencalonan Oscar. Penggambaran filem ini mengambil tempat di Turki pada 2 tahun lepas. Saya sangat menyukai filem ini kerana runut bunyinya baik dan sinematografinya sangat indah. 

Jalan cerita filem ini berkisar tentang kecintaan seorang bapa kepada anak, harapan, persahabatan dan realiti sebenar peperangan. Mengambil tempat sewaktu perang Korea 1950-1953 filem ini menampilkan erti kasih sayang dah harapan. Penonton disajikan juga dengan unsur suspend, peperangan, cinta dan perpisahan serta pertemuan. Disyorkan membawa tisu sewaktu menonton kerana emosi anda akan tersentuh setiap masa. 


Sebelum itu, sedikit info mengenai Perang Korea. Perang Korea telah tercetus pada 25 Jun 1950 dan tamat pada 27 Julai 1953. Perang ini tercetus apabila seramai 75,000 askar dari Democratic Peoples Republic of Korea telah melintasi garisan “38th parallel boundary” yang memisahkan antara Korea Utara dan Korea Selatan. Korea Utara mendapat sokongan dari Soviet Union dan Korea Selatan dari Barat khususnya Amerika Syarikat. Pada ketika itu kegusaran akan berlaku Perang Dunia 3 telah memuncak dengan gerakan komunis yang menular ke seluruh dunia. Disebabkan itu berlakunya Perang Korea sebagai sebab untuk membanteras penularan kuasa komunis ke bahagian lain dunia. Perang Korea berdurasi hanya selama 3 tahun tetapi jumlah kematian dari perang tersebut adalah seramai 5 juta orang. Perang ini tamat dengan persetujuan genjatan senjata dan penguatkuasaan semula garisan 38th parallel boundary . Korea Selatan telah diberikan 1,500 sm tanah dan kawasan sepanjang sempadan sepanjang 2 batu telah ditetapkan sebagai “ demilitarized area” hingga hari ini. 


Watak utama dalam cerita ini bernama Suleyman Dilbirliğı seorang askar berpangkat sarjan berasal dari Kahraman yang di tugaskan di Iskenderun dibawah unit penyeliaan kenderaan dan jentera ketenteraan. Gambaran awal filem ini menunjukka beliau bersama sahabat-sahabat kegirangan menyelusuri pekan iskenderun dan kelihatan juga watak buah hati beliau tika itu. Cara pemakaian zaman 1950an ditampilkan dengan unsur warna warni. Lelaki berkemeja berseluar yanki dan si gadis berbaju skirt paras lutut. Ada seorang lagi watak bernama Ali. Beliau adalah sahabat baik Suleyman yang juga seorang sniper askar Turki. 

Selepas tercetusnya perang Korea, Turki menjadi salah sebuah negara yang terawal menghantar kumpulan askar pengaman di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Korea. 17 September 1950, seramai 5090 askar Turki telah bertolak ke Korea dengan menaiki kapal perang Amerika Syarikat. Bridget tersebut diketuai oleh General Tahsin Yazici. Mereka tiba di Korea dan disambut oleh Nuran (lakonan Murat Yildirim) seorang pegawai penterjemah untuk askar Turki. Permulaan filem ini sudah memasukkan suspen dengan kem mereka tiba-tiba diserang oleh tentera lawan. 


Seterusnya, mereka berkonvoi ke kawasan kem mereka yang baru sebelum diserang oleh sekumpulan tentera lawan. Kenderaan yang membawa mereka rosak diletupkan tentera lawan. Pada ketika itu, mereka perlu berjalan pulang ke kem terdengar bunyi sayup didalam semak. Pada awalnya mereka memikirkan suara itu dibuat oleh tentera lawan dan berada dalam keadaan sedia untuk menyerang. Pada saat itu, Suleyman menuju ke semak berhampiran dan menjumpai seorang kanak-kanak diatas timbunan mayat dalam keadaan kesejukan. Dia menghampiri kanak-kanak tersebut dan mendukung berjumpa dengan yang lain. Apabila ditanya bagaimana mahu memanggil kanak-kanak tersebut beliau berkata saya namakan dia AYLA kerana wajahnya persis bulan mengambang yang cerah dimalam hari. 

Sepanjang filem ini menunjukkan kehidupan Ayla bersama keseluruhan skuad tentera pengaman Turki. Ayla dijaga seperti anak dan adik mereka. Dialah penyeri di kem mereka yang memberi bahagia dan membuatkan mereka lupa yang mereka berada di medan perang sedangkan kawasan konflik terletak hanya beberapa km dari kem tersebut. Ayla diberikan makan, pakai dan diajar bahasa Turki sehingga dia mampu menterjemahkan bahasa Korea ke Turki. Ayla tinggal di kem tersebut hampir 15 bulan. Antara adegan yang ditunjukkan adalah mereka ke Jepun bersama, menonton konsert Marilyn Monroe dan pelbagai lagi. Satu adengan yang menyayat hati adalah apabila Ali sahabat baik Suleyman mati ditembak oleh tentera lawan ketika sedang membuat kawalan. Dari situ Ayla menjadi satu-satunya peneman Suleyman yang kemurungan setelah kehilangan kawan karibnya sedari kecil. Sampai satu ketika kumpulan pengaman Turki perlu pulang kerana sudah tamat tempoh untuk pulang. Disini bermula sedikit konflik apabila Suleyman tidak mahu pulang kerana tidak tahu bagaimana apa boleh dibuat dengan Ayla. Ayla kemudian dihantar ke sekolah Ankara yang dibuka atas jasa orang Turki dan Suleyman perlu pulang tetapi dia tidak mahu berpisah dengan Ayla. Seterusnya saat dia diarah pulang, Suleyman kerana ingin membawa Ayla pulang merancang membawa pulang Ayla dengan meletakkan Ayla didalam beg dan dibawa pulang tetapi dipatahkan rancangan tersebut di pelabuhan. Saat itu kata-kata yang menyayat hati disebutkan beliau pada Ayla “ Jangan menangis, saya berjanji saya cari awak semula satu hari nanti”. 

Ayla dan Suleyman Dilbirligi(yang sebenar) sewaktu gala movie Ayla

Seterusnya, hari-hari Suleyman adalah di Turki sehingga ke tua dia masih mencari peluang untuk berhubung dengan anaknya itu. Setiap hari, setiap detik tidak sesaatpun beliau melupakan Ayla. Sehingga satu ketika pada tahun 1999 gempa bumi yang teruk telah melanda Turki. Kumpulan sukarelawan dari Korea datang ke Turki dan dibuat liputan media tempatan, beliau mengharap Ayla ada datang membantu serta mencari ayahnya itu. Kemudian pada tahun 2002, perlawanan piala dunia Turki menentang Korea berlangsung di Korea Selatan. Suleyman membuatkan rekod video perlawanan tersebut dan mengamati setiap wajah orang Korea yang menghadiri dan menonton berkali-kali sehingga ke pagi dengan harapan dapat mengecam Ayla. 


Saat yang memberi sinar harapan buat beliau adalah ketika beliau menerima jemputan untuk menghadiri majlis ulangtahun ke 60 perang Korea. Ketika itu beliau ditemuramah oleh sekumpulan wartawan dan menyatakan hasrat beliau untuk bertemu dengan anak angkatnya sebelum beliau menutup mata. Usaha dijalankan oleh wartawan dan pengkaji dari Korea dan Turki untuk menjejak anak angkatnya pada mulanya menjumpai jalan buntu kerana dokumen yang terdapat di Turki banyak sudah musnah disebabkan kebakaran besar. Akhirnya  pencarian mereka berhasil apabila mereka mendapati dokumen di Arkib Korea Selatan mengenai maklumat pelajar Sekolah Ankara dan didalam itu ada ditulis Ayla namanya ditukar kepada Kim Eun Ja. Pencarian memberi sinar apabila mendapat maklumat dari bekas pelajar Sekolah Ankara. Ada diantara mereka yang mengenal pasti Ayla yang sentiasa hadir ke perjumpaan alumni sekolah tersebut. Dari situ pengkaji tersebut telah pergi ke rumah Ayla yang terletak diluar kawasan Seoul dan membawa gambar-gambar Suleyman bersama. Saat itu, Ayla menangis sebak dan berkata itu ayah saya, dimana dia , adakah dia sihat? 

gambar sewaktu kali pertama berjumpa setelah 60 tahun pada tahun 2010

Ayla dan Suleyman
Tidak lama kemudian khabar gembira itu disampaikan kepada Suleyman dan beliau diterbangkan ke Seoul untuk ditemukan semula dengan anaknya itu. Penantiannya selama 60 tahun untuk bertemu semula dengan anak perempuannya itu berhasil. Sungguh saat itu Suleyman kelihatan agak gementar kerana beliau tidak tahu bagaimana agaknya rupa anaknya sekarang. Sesampai di taman beliau berdebar dan kemudian dari jauh beliau melihat satu sosok wanita bersama keluarga datang kearahnya. Beliau bangkit dan terus berjalan pantas kearah anaknya itu. Disitu saat yang menyebakkan saya. Kerana penantian selama ini akhirnya berakhir. Diselitkan juga dalam movie ini dibahagian akhirnya video sebenar pertemuan semula Ayla dan Suleyman pada tahun 2010.


Dari sudut pandang saya, cerita ini boleh diberikan 5 bintang kerana jalan cerita berdasarkan kisah benar yang sangat menyentuh hati, sinematografi yang cantik dan hebat, runut bunyi yang baik, pelakon yang hebat serta jalan cerita yang disusun rapi. Selalunya filem bergenre sejarah adalah agak berat untuk tontonan dan tidak mendapat sambutan ramai tetapi Ayla adalah sesuatu yag lain dari yang lain. Ayla adalah filem kedua Turki dalam bentuk Sejarah yang saya pernah tonton dan saya secara peribadi sangat menyukai cara penyampaian filem mereka. Sejarah diangkat martabatnya dan ditampilkan dengan baik. Filem ini yang dilancarkan pada 27 Oktober 2017 masih ditayangkan di Turki dan masih lagi menarik pengunjung menonton filem tersebut. Tiket sentiasa “full  house” disetiap waktu tanyangan. Orang Turki adalah orang yang bersemangat dalam mengangkat sejarah mereka. Ini adalah satu sikap yang perlu dipelajari oleh kita. Saya sendiri membayangkan satu hari nanti kajian saya pula di jadikan filem oleh mereka dan menjadi pengukuh hubungan kedua Negara. 

p/s : mohon doa dari semua kerana Suleyman Dilbirligi (yang sebenar) dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital di Turki. Beliau yang berumur 91 tahun telah dikejarkan ke hospital pada minggu lepas dan sedang diletakkan dibawah kawalan mesin bantuan pernafasan. 



2 comments:

  1. film ini bisa di download dmn ya, mohon petunjuk

    ReplyDelete
  2. Assalam, hi. Mcm mn nk hubungi awk. Bole emel kat sy arzalif@gmail.com. Nanti sy cerita kenapa.tq

    ReplyDelete