Pages

Showing posts with label penulisan. Show all posts
Showing posts with label penulisan. Show all posts

Tuesday, 5 March 2019

Saluran Air


Bismillahirahmanirahim


Pada ahad pagi hari minggu lalu saya telah bangun seawal jam 0430 pagi untuk menyiapkan tempahan makanan untuk kumpulan pelancong Malaysia yang mahu ke Bursa. Selepas 2 jam berperang di dapur alhamdulillah selesai menyediakan 20 set makanan nasi goreng bersama ayam goreng berempah dan sambal belacan diulamkan timun. Jam 0745 pagi keluar ke rumah di kedinginan pagi transisi musim sejuk ke musim bunga mengangkut 3 beg berisi makanan dan air tempahan. Alhamdulillah ala kulli hal atas rezeki yang diterima. Pulang dari menghantar makanan satu perang lagi muncul iaitu mengemas dapur pasca perang pertama. Sungguh bahagian ini yang paling tidak semua orang suka tetapi saya suka kerana sedari kecil memang suka bermain air. Mama pernah sekali cerita yang saya sehingga dibawa mimpi bermain air tatkala penat seharian membantu membasuh pinggan mangkuk di kenduri rumah nenek. 

Semua periuk belanga, sudu dan bekas dikumpul berdekatan singki dengan harapan boleh dibasuh one shot tapi baru dua tiga perkakas dibasuh air sudah memenuhi ruangan singki dapur. Mulanya saya fikir mungkin sampah dilantai singki menyukarkan air lalu tetapi jangkaanku meleset. Saya mula mengeluarkan semua barang yang perlu dicuci dari dalam singki dan memeriksa. Sejurus itu terdengar bunyi titisan air. Dicari punca rupanya dari bawah singki. Air mula menitik petanda ada yang sumbat. Melihat pada lelohong aluran air ternyata kosong. Maksudnya benar sangkaanku yang air tersumbat mungkin kerana kotoran atau sisa makanan yang berlebihan pada bukaan mulut lorong air. 

Mulalah saya menjadi seperti kelasi kapal yang sedang gigih mengeluarkan air dari kapal yang bocor. Besen demi besen dikeluarkan air. Ditatang bekas air yang penuh ke tandas dan dibuang ke singki tandas. Sehingga tinggal searas satu garis jari. Mulalah pula kerja yang agak renyah iaitu menggunakan mangkuk kecil diletakkan dibawah singki dan bersama kain untuk menyerap air yang tinggal. Sehingga tiada lagi air saya terus mengambil screwdriver dan membuka saluran air tersebut. Nah kotol sekali. Sisa makanan dan kotoran yang sudah menjadi lendiran campuran habuk dan benda asing menjadi asbab ia tersumbat. Saya tuntas cabut saluran tersebut dan membawa ke tandas untuk dibersihkan. 


Dalam saluran itu hitam dan kotor sekali. Air dialirkan dan setiap kali itu juga kotoran hitam yang keluar. Dimasukkan sabun beberapa kali sehingga kotoran tersebut hilang. Tuntas itu juga saya terbayangkan saluran paip itu seperti perut manusia. Kita sering sekali makan pelbagai benda dan kurang rasanya menghadkan pengambilan sesuatu itu. Baik dan buruk diselang seli. Terkadang perut kita menjadi sakit kerana penghadaman tidak baik mungkin faktor utamanya adalah makanan yang diambil. Justeru itulah datangnya logik untuk puasa supaya sistem penghadaman kita dapat berehat dan membaiki dari kerosakan yang berlaku. Seperti mana sistem saluran air perlu di rawat/dibersihkan sama juga buat perut kita. Selain dari puasa, makanan yang dipilih juga penting untuk memastikan kekuatan serta ketahanan perut kita. Bukanlah ia ingin diguna sehari dua tetapi selamanya. 

Antara langkah yang terbaik untuk menjaga perut kita adalah ; 
  1. Lakukan lebih senaman
  2. Kekalkan diet yang sihat
  3. Minum air secukupnya
  4. Ambil pro- dan prebiotik secukupnya
  5. Hadkan pengambilan lemak, garam, dan gula


Dengan memastikan kesihatan perut terjaga kita akan menjalani hidup yang lebih sihat dan selesa. Bukan apa perut itu boleh diumpamakan seperti central/pusat utama badan yang mana kalau sistemnya lumpuh maka lumpuh lah secara keseluruhan badan serta mencacatkan urusan harian kita. 


nota kaki : dahulu saya selalu sakit perut sehinggakan beberapa kali ke hospital. Rupanya kerana tidak makan dengan betul dan tidak menjaga kesihatan perut. Sekarang saya lebih berhati-hati dan sayangkan diri serta perut saya lebih!




Wednesday, 24 December 2014

Sultan Ahmet Camii @ Masjid Sultan Ahmet


Bismillahirahmanirrahim.

Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha pemurah. 



                 Alhamdulillah hasrat di hati untuk menulis semakin dipermudahkan dan inshaAllah akan diteruskan dari hari ke hari dan konsisten setiap hari inshaAllah. Kali ini saya ingin entri saya adalah berkenaan Masjid Sultan Ahmet yang juga dikenali sebagai Masjid Biru. Seperti yang sedia maklum, masjid ini antara lambang kemegahan pelancongan di Turki dan bagi saya pula masjid ini lambang kegemilangan Islam. Kedudukan masjid ini terletak bertentangan Aya Sofia menjadikannya sebuah bangunan yang sangat dihormati dan pertunjuk kebesaran Islam. Pembinaan masjid ini mengambil masa 7 tahun setengah secara kesuluruhan. 
               



      Masjid Sultan Ahmet telah diilhamkan oleh Sultan Ahmet 1( 1590-1617) telah bermula pada tahun 1609 dan siap sepenuhnya pada tahun 1617.Sedikit info tentang Sultan Ahmet 1, baginda adalah Sultan Uthmaniyyah yang ke 14 dan memegang tahta selama 14 tahun sebelum meninggal dunia sewaktu berusia 28 tahun. Sewaktu umur baginda 19 tahun, beliau telah mengarahkan Mehmet Aga untuk membina Masjid tersebut dan baginda sendiri bersama terlibat dalam proses pembinaan masjid.


        Pembinaan masjid telah dilaksanakan oleh pelajar Mimar Sinan yang bernama Sedefkar Mehmet Aga dibawah selian Mimar Sinan sendiri. Selepas Mimar Sinan meninggal dunia Mehmet Aga diangkat sebagai ketua arkitek untuk kerajaan Uthmaniyyah. Sejurus dilantik sebagai ketua arkitek, tugasan pertama beliau adalah melaksanakan restorasi keatas Kaaba dan talang kaabah. 
      
  Fungsi masjid di zaman kerajaan Uthmaniyyah tidak hanya tertakluk pada masjid sebagai pusat beribadah tetapi masjid yang dibina dilengkapi pelbagai kemudahan. Di antara kemudahan terdapat diperkarangan kompleks masjid termasuk hospital, madrasah, sekolah menengah dan rendah, pasar serta makam diraja. Selain itu, sebuah bilik disediakan untuk pakar astronomi yang dipanggil muvakkithane (rumah masa) tempat untuk menentukan waktu solat serta perkiraan kalendar Islam. 


antara pintu yang terdapat di masjid 

                                        



 Pandangan dalam masjid Sultan Ahmed





penulis bersama sahabat 

perkarangan masjid 

penulis bergambar di hadapan masjid 

gambaran masjid biru dari taman di antara Masjid dan Aya Sofia


nota kaki: Sungguh setiap binaan masjid di Turki ini dipengaruhi seni bina agung gurunya iaitu Mimar Sinan. Ini dapat dilihat pada reka bentuk dan penggunaan marmar beserta abstrak lukisan yang digunakan untuk menghiasi reka dalaman masjid. Masjid ini juga adalah tempat yang paling saya suka untuk menenangkan fikiran disaat kegusaran. Sejauh-jauh Umraniye saya sanggup merentas bosphorus ke tempat ini.

Thursday, 10 July 2014

kehidupan (part 2) Tangisan Syurga Gaza dan Syria

Bismillahirrahmanirrahim 

      Dingin pagi sahur ramadhan, meniti masuk ke minggu kedua di bulan yang penuh barakah dan nikmah, kita perlu bersyukur bumi yang indah ini aman. Tiada bunyi tembakan, tiada teriak tangisan dan ketakutan, tiada gegar gempita serta percikan api dimerata tempat. Kalau mereka disana berpeluang bersahur di dunia dan berbuka diakhirat. Trauma itu tidak terkata tetapi iman dihati melenyapkan perasaan itu.  Hari ini mungkin mereka menangis sepuas hati, esok mereka kembali berjihad mempertahankan tanah suci. 

      Atas dasar kedamaian dan hak, di musnahkan kehidupan, dirobohkan tempat berlindung dan dihanncurkan masa hadapan. Apakah ini makna kedamaian yang diagung-agungkan. Kalau benar ini damai kenapa tidak mulakan dengan kemaafan dari dilontar kemarahan dan kemusnahan. Ini sama sekali bukan cara untuk memaafi atau melindungi, ini hanya cara melafazkan kebencian dan keegoan dihati. Andai sahaja bukan begitu hati mereka ini yang tidak berhati dan  hanya hidup dengan aliran darah kekejaman pasti makna kemanusiaan sebenar akan dikecapi. 

      Kalau benar ingin menakluk kota suci demi menyempurnakan agama yang sudah pesong dan kotor, hentikan sahaja hasratmu itu. Tanah suci ini adalah milik yang berhak bukan exclusif untuk kamu dan puak kamu sahaja. Ini telah memberi gambaran betapa kejinya sikapmu. Berdirilah dengan kakimu sendiri, lawan dengan kami menggunakan cara sendiri, alat sendiri dan tidak menyorok di belakang raja dunia. Hanya dengan menggunakan peralatan dan bersikap duniawi pasti kau menang tapi hanya di sini sahaja, jalanmu selepas ini sudah pasti di satu tempat yang kau sendiri sudah ketahui. 

      Rasulullah SAW bersabda:“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah, ” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya”.(Riwayat Bukhari)

     
     Dalam meniti hari ini, di pinggir tanah suci, tempat bermulanya arah kiblat sebelum di arah ke masjidil haram dibasahi dengan darah para syuhadak yang berjuang memelihara kesucian tanah ini. Andai sahaja diberi peluang untuk keluar pasti tidak dilakukan atas rasa tanggungjawab dan kecintaan pada agama dan negara. Bulan yang mulia ini dimulakan dengan pesta berdarah dan bunga api bertalu - talu ke arah tanah Palestin. Gaza terutamanya menjadi sasaran rejim Zionis yang senantiasa laparkan darah dan tanah. Apakah mungkin dilakukan perkara ini kerana takut, bersatunya rakyat Palestin dari dua aliran berbeza Fatah dan Hamas maka berakhirlah sudah riwayat mereka. Mereka menganggap dalam bulan ini pasti akan dikerah lebih lagi semangat dan bantuan untuk menjatuhkan mereka lantas disiapkan alatan bantuan untuk melawan keimanan. 

    Perkara yang sama dialami mereka yang berada di Syria. Saban hari jumlah pelarian dan mangsa terkorban meningkat. Hanya kerana dek kuasa untuk menjadi raja di dunia, seorang insan sanggup membunuh orang lain untuk mengekalkan kuasa yang hanya sementara. Anak - anak kecil yang dahulunya bermimpi untuk hidup yang indah bersama keluarga kini hanya mengimpikan kedamaian dan makanan. Dibunuh cita-cita dan makna sebenar kehidupan. Sehari-harian untuk makan adalah satu rahmat dan kita disini mati kekenyangan. Apalah rasa dalam hati membaca dan mendengar kisah mereka? adakah dilekatkan rasa kasihan? Apakah hanya bermusim ? atau Sentiasa ada ruang di hati dan minda setiap umat Islam di tempat lain? 


      Usaha murni telah dilakukan oleh segelintir rakyat yang peduli dan menjadi penggerak fardhu kifayah untuk kita yang selalu mengatakan kekurangan waktu untuk membantu. Kini segalanya dihujung jari, apalah salahnya sekiranya disumbang sedikit untuk mengurangkan beban mereka. Mahu ke sana dan perang bukanlah adat kita dari sini. Doa dan usaha adalah yang terbaik. Keterbatasan berada di baris utama bukan alasan untuk memberi dan mengurangkan beban mereka. Kerana janji Allah itu pasti. 






Semoga Allah menahan kekuatan orang-orang kafir dan Allah yang lebih kuat dan lebih sangat siksaNya. Ya Tuhan yang Maha Pemelihara dan Maha Pemberi Keselamatan." (An Nisaa':84)


p/s: doa jangan henti kerana itulah senjata manusia paling berkesan. 


  

Tuesday, 8 July 2014

diari ramadhan 1

Bismillahirrahmanirahim. 

ÙŠَا Ø£َÙŠُّÙ‡َا الَّذِينَ آمَÙ†ُوا Ùƒُتِبَ عَÙ„َÙŠْÙƒُÙ…ُ الصِّÙŠَامُ ÙƒَÙ…َا Ùƒُتِبَ عَÙ„َÙ‰ الَّذِينَ Ù…ِÙ†ْ Ù‚َبْÙ„ِÙƒُÙ…ْ Ù„َعَÙ„َّÙƒُÙ…ْ تَتَّÙ‚ُونَ


“Hai orang2 yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang2 sebelum kamu. Mudah2an kamu bertakwa” (Al -Baqarah:183)

Alhamdulillah thumma alhamdulillah hari ini telah masuk ramadhan 11. Sesungguhnya setiap kali dipertemukan setiap manusia dengan bulan suci ini pasti akan terdetik rasa syukur atas pertemuan. Bulan ini bukan hanya untuk menahan lapar dan dahaga tetapi pelbagai lagi perkara yang boleh dipelajari dan dilaksanakan. 

Sungguh orang yang berpuasa bukan hanya dengan lapar dan dahaga adalah orang yang paling beruntung sekali. 

Puasa bermaksud menahan diri daripada makan danminum dan perkara - perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat. Kita sering kali beranggapan hanya cukup dengan pemahaman secara literal terhadap penerangan pendek mengenai puasa sudah cukup memadai dalam menentukan penerimaan dan pelaksanaan puasa sepanjang tahun. 


Saban tahun apabila tiba bulan yang penuh rahmat dan barakah ini pelbagai aktiviti berbentuk islami diperbanyak disetiap lapisan dan ruang hidup seharian. Dari rancangan tv, radio, artikel berkaitan bulan ini di akhbar, majalah serta pembawakan manusia. Hati menjadi tenang dan syukur dengan perubahan yang berlaku disepanjang berlansung bulan ini. Masjid kelihatan cerah dilimpahi cahaya nur menyambut kedatangan penghuni bumi untuk sujud pada Allah tuhan sekalian alam. Sungguh perubahan dari sudut pengisian rohani merancakkan lagi hari hari dalam bulan ini. Sebagai contoh, radio-radio dan tv mula mengalunkan bacaan al quran dan zikrullah memuji kebesaran Allah. Jikalau dapat diteruskan di bulan-bulan yang lain alangkah indahnya hidup di bumi bertuah ini. 


Dalam bulan ini, pelbagai aktiviti yang bersifat sedekah amal jariah dilakukan terutama sekali meraikan golongan anak yatim dan asnaf @ fakir miskin. Aktiviti ini adalah amalan yang mulia dan digalakkan cuma sesekali terasa seperti program sebegini hanya di esklusifkan semasa bulan ramadhan semata- mata. Apakah ada dianjurkan dan dinyatakan membantu mereka yang memerlukan ini hanya tertakluk di masa - masa tertentu sahaja? Apakah tiket melakukan kebaikan itu ada tamat tempoh dan had masa waktunya? tepu dada tanya iman. Sesungguhnya apabila ini melakukan kebaikan, laksanakanlah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan. Dengan itu diharap apa yang dilaksanakan itu diredhai dan di nilai oleh Tuhan bukan manusia semata-mata. Kalau dikejar puji-pujian maka segala yang dilaksana adalah sia-sia. 

PUASA KALI INI

Alhamdulillah kali ini saya berpeluang berpuasa dan berbuka disamping keluarga tercinta. Beberapa tahun lepas kehadiran berbuka dan bersahur bersama keluarga tidak mencapai keputusan yang baik kerana berada di kampus. Kali ini tertunai hajat dihati untuk makan dan minum serta berpuasa bersama mama, baba dan kakak. Juadah dirumah sudah pasti yang terbaik dan berkhasiat. Bukan apa kalau dikampus sudah pasti terbiasa membeli juadah berbuka di kantin mahupun dibazaar. Syukur juga kali ini sepanjang 10 hari pertama saya tidak berkunjung ke mana-mana bazaar ramadhan untuk membeli juadah berbuka, semuanya di masak sendiri di rumah. Dari lauk sahur, makanan berbuka disediakan dengan penuh kasih sayang. 

Tahun ini juga saya mengikuti satu program tadarus yang sangat bermanfaat. ODOJ ( One day One Juzuk). Program ini sangat bagus dan ini adalah salah satu langkah terbaik untuk terus istiqomah khatam 30 juzk Al Quran dalam bulan ramadhan. Moga dengan usaha ini dapat meningkatkan lagi pemahaman dengan bahasa syurga selain dapat menambahkan pahala bulan ramadhan. 











Saturday, 30 June 2012

senyumkan yang lain itu indah

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih diberikan oxygen untuk bernafas, waktu untuk hidup, kaki untuk melangkah.. Selawat dan salam buat Rasulullah SAW dan doa buat keluarga, sahabat2 baginda beserta dengan keluargaku sekali. Kali ini saya ingin berbicara tentang senyumkan yang lain itu indah. 


sering sahaja kita susah bukan 
cuba bantu orang lain yang susah 
nescaya kita kembali senyum 

terkadang kita menjadi tempat menangis 
menjadi tempat  melepaskan kemarahan 
menjadi tempat  untuk mengumpulkan kekuatan 
biarkan ia berlaku 


selalu selepas di bantu menghilang
menyepi tapi yang pasti 
kita jangan lupa kirimkan doa penguat bagi diri
agar tidak buat perkara yang sama dan disakiti


biarlah tidak diberi ganjaran 
biarlah tak diucap terima kasih 
mahupun senyuman 
tetapi yang pasti niat yang  diberikan 
Allah pasti lihat,dengar dan balas 


selalu sahaja aq buat lain tersenyum 
bila tiba saatku 
pasti diri tersenyum sendiri
menggembirakan lain itu keutamaanku 
karna janji Allah itu pasti. 




nota kaki: mungkin aq sering menjadi tempat itu, tapi tidak apa aq masih punya Allah :')

Friday, 26 August 2011

Islam agamaku dunia akhirat



Namaku Lim Thiam Foong . Nama itu hanya tinggal kenangan , aku kini bergelar Muhammad Yusoff bin Muhammad Abdullah . Berumur 21 tahun . Aku adalah anak tunggal kepada sepasang suami isteri berbangsa cina yang menetap di Petaling Jaya . Sewaktu berumur 15 tahun ibu bapaku telah terbuka hati untuk memeluk agama Islam bermaksud akupun secara automatik mesti masuk agama itu kerana masih di bawah umur 18 tahun . Saat itu ku rasakan hidupku telah berakhir , tiada lagi kebebasan melakukan segala perkara tidak mengira waktu , tetapi kini terikat dengan waktu solat 5 kali sehari yang membebankanku ketika itu .


Sejak saat itu aku sering membelakangkan ibubapaku dan selalu mengingkari arahan mereka kerana menganggap keputusan mereka itu adalah salah dan mereka akan menyesal dengan keputusan yang di lakukan . Aku bertambah benci dengan agama ini apabila kawan – kawan yang sering lepak dan keluar bersama mula meminggirkanku setelah mengetahui status ku kini yang bergelar orang islam . Selain itu , aku mula di jadikan bahan ejekan oleh rakan sedarjatku yang berbangsa cina dan sering di katakan pembelot kepada agama buddha di sekolah yang majoriti pelajarnya bukan Islam .


Yang menambahkan pilu di hatiku adalah kekasihku Michelle telah meninggalku dan mula membenciku . Cinta kami yang indah seperti cerita sehinggakan tiada siapa yang boleh memisahkan kami dan janji sehidup semati selamanya hanya tinggal kenangan . Hancur dan musnah segala – galanya bagiku dan dunia seakan sudah berakhir. Saudara - maraku juga meminggirkan keluargaku sehinggakan datuk dan nenekku tidak lagi mengaku yang ibu bapaku adalah anak mereka .


Aku yang dulunya periang dan terkenal di sekolah bertukar menjadi seorang yang dan pemarah . Pada suatu hari , ustazah Siti Aisyah memanggilku dan menyuruhku datang untuk aktiviti Persatuan Islam sekolah kerana persatuan itu wajib di sertai oleh pelajar islam di sekolahku . Pada mulanya aku menolak tetapi tiba – tiba aku terbuka hati untuk menghadiri persatuan itu . Agak janggal rasanya menyertai kelab yang di sertai oleh mereka yang tidak pernah ku sapa sebelum ini . Selepas menghadiri ke persatuan pelajar islam sekolah aku mula meyedari keindahan dan keistimewaan agamaku kini .


Di kelas agama aku lebih menumpukan perhatian daripada sebelum ini . Pada satu hari ustazah memanggilku dan memberi sepucuk surat , aku terus membuka dan membaca isi surat tersebut . Ia adalah surat jemputan ke kem kepimpinan pelajar islam selama 3 hari 2 malam yang akan berlansung hujung minggu itu dan tanpa sempat memberitahu ibubapaku aku bersetuju untuk menyertai kem itu kerana sudah pasti ibubapaku bersetuju untuk aku pergi ke kem itu . Semalaman aku tidak dapat melelapkan mata mengenangkan apa yang akan berlaku di kem .

Hari yang ditunggu muncul tiba , aku tiba di UIA di hantar oleh ibu bapaku selepas solat jumaat . Sesampai di sana , beberapa rakan sekolahku telah sampai dan kami mendaftar diri bersama – sama dan kami dapat menginap di bilik yang sama . Inilah pertama kali aku tinggalkan rumah untuk aktiviti keagamaan dan walaupun keadaan bilik hostel kami itu tidak secantik bilikku di rumah , tetapi ia telah mengajarku erti kehidupan dan rasa syukur dengan apa yang kita ada . Aktiviti bermula selepas solat asar , seperti biasa aktiviti yang biasa di lakukan adalah sesi ice breaking .

Banyak aktiviti yang dijalankan sewaktu kem itu menyedar dan menginsafkanku serta membuatkanku menyesal atas segala yang aku lakukan semenjak menjadi seorang muslim . Pada hari kedua di kem itu , seorang penceramah telah memberi ceramah yang mengubah diriku dan memberi impak dalam diriku sehingga kini . Segala yang dikatakannya telah membuka mata dan hatiku untuk menjadi seorang muslim yang sejati. Aku juga tidak lagi berasa keseorangan kerana kini aku mempunyai ramai kawan dalam erti kata yang lain kawan sejati yang boleh menolongku dalam apa jua keadaanpun .

Setelah pulang dari kem itu aku membuat ikrar untuk menjadi seorang yang berani seperti sahabat rasulullah , Saidina Umar bin Al Khattab yang berani dan tegas dalam menegakkan agama Islam dan memerintah kerajaan khulafa’ ar – rasyidin pada suatu masa dahulu . Tiada lagi rasa gentar untuk bertemu kawan yang meminggir dan membuliku . Aku bukanlah Lim tetapi Yusoff dan Yusoff ini bukan yang sering di perkotak – katikkan oleh rakan bukan islam .

Semua itu adalah kisahku di sekolah menengah dan hanya menjadi kenangan buatku sepanjang hayat . Kini aku sedang melanjutkan pelajaran di UIAM dalam bidang pyschology supaya boleh memahami seseorang manusia itu dengan lebih mendalam . Ibu bapaku akan berangkat ke tanah suci mekah pada tahun ini untuk menunaikan haji . Mereka sangat gembira dengan perubahanku sejak pulang dari kem itu . Aku di maklumkan rakanku bahawa michelle sekeluarga telah memeluk islam , syukurlah mereka telah terbuka hati dan berada di jalan yang benar . Aku percaya segala yang baik datang dari ALLAH . fii emanillah .


p/s: Allah sayangkan setiap hamba-Nya .. 

Thursday, 18 November 2010

Siswi : Selangkah ke Hadapan

Boleh ke Seorang wanita itu di angkat tarafnya setanding dengan lelaki ? Bisakah wanita melakukan perkara - perakara berat yang lelaki lakukan ? Bukankah wanita itu sebaiknya tinggal dirumah dan hanya patuh kata - kata suami ? Semua ini persoalan yang ingin saya rungkaikan dalam post kali ini dan saya skopkan persoalan ini kepada Siswi . 
 Sebelum memulakan ke isi yang diselitkan bersama bukti sokongan eloklah didefinisikan maksud siswi . Siswi boleh ditakrifkn sbg satu golongan pelajar wanita yang sedang menuntut di universiti . Siswi juga ditakrifkn sbg golongan berintelektual dalam masyarakat wanita . Kedudukan mereka disisi masyrakat dipandang tinggi dan mempunyai pengaruh apabila memberi pendapat dan bersuara . Ini boleh disokong dgn kata - kata napoleon bonerpart " tangan yang menghayun buaian bisa mengoncang dunia " .
Kita dapat lihat perkara ini pada ketokohan Zeinab Al ghazali dalam memimpin gerakan wanita di timur tengah . .Beliau adlah tokoh kelahiran  Mesir yg menubuhkan gerakan wanita Islam begitu gigih memperjuangkan persamaan hak kaum perempuan berdasarkan keyakinannya, sesuai dgn ajaran Islam yang benar. Oleh karenanya, sejarah mencatat Zainab lebih dikenal sebagai aktivis Islam dan juga  cendekiawan Islam .
Disini kita bisa melihat betapa suara siswi itu setanding dgn siswa
Definisi telah diungkapkan
Penghuraian akan tersingkap .
Justeru saya ingin membawa sidang hadirin sekalian ,  kpd tiga faktor dominan  yang membawa siswi melangkah ke hadapan , Kata kunci saya yg pertama dari aspek peranan siswi ,   Kedua ,  sejauh mana siswi itu mampu mengugat sesuatu keadaan  dalam aspek gerakan pelajar di dalam kampus  dan akhir sekali cabaran yang dihadapi siswi di zaman ini .

Memetik dari kata - kata Prof Syed Naquib Al Attas , a good man @ dalam bahasa manusia yang baik bukan sahaja bijak dalam pelajaran tetapi bijak juga dalam berakhlak dan tindakan . Kita boleh kaitkan kata - kata beliau dengan siswi . Siswi seperti yg telah kita definasikan seorang yg terpelajar dan mampu mempengaruh minda tidak kira dalam lingkungan mereka mahupun masyarakat . Antara peranan yang perlu ada pada siswi adalah kebersangupan mereka untuk membantu masyarakat / terjun kedalam masyarakat dan menjadi cream of society  . Persoalan disini adakah  nilai - nilai sedemikian terdapat pada siswi ? Tepuk dada tanya selera . Sidang warga dewan sekalian , dalam era mehnah dan tribulasi dewasa kini hanya minoriti  siswi yg mempunyai nilai - nilai kebersangupan untuk membantu masyarakat . Hal ini demikian adalah kerana sifat individualistik yang semakin membarah di dalam diri remaja khususnya para siswi . Ingin saya memetik kata - kata dari buku karangan ustaz hasrizal "erti hidup pada memberi " justeru sebagai siswi pemberian yg bisa kita lakukn adalah tidak lain tidak bukan kerahan tenaga untuk kebajikan .
  Firman Allah S.W.T di dalam surah an-Nahl,ayat 97 yang bermaksud :

“ Barangsiapa mengerjakan kebajikan baik lelaki-lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. “

Kata kunci yang kedua dibawah , penglibatan siswi dalam gerakan pelajar di kampus . Sidang hadirin hadirat yang saya muliakan sekalian ,
memetik kata - kata omar al tilmisani
" hamasatush shabab fi hikmati syuyukh "
Yang bermaksud semangat org muda dalam hikmah org tua .
Semangat orang muda yang dimaksudkan disini boleh diadaptasikan sebagai golongan siswi yg bersemangat . kerana spt yg kita sedia maklum golongan siswi terdiri drpd golongan muda samasekali bukan org tua . Gerakan pelajar di kampus yang saya maksudkan adalah gerakan yg berorentasikan idealism , intelektualism , activism dan spritualism yg mana keempat - empat ism ini boleh melahirkan siswi yg mempunyai pemikiran kelas pertama . Pada era globalisasi hari ini peratusan majoriti yang mendominasi tampuk gerakan pelajar di kampus adalah dikalangan siswi . Ke mana hilangnya siswa ? Fikir2 kanlah , renung2kanlah . Mengikut kajian terbaru jabatan statistik negara peratusan golongan wanita ke institut pengajian tinggi meningkat saban tahun , tetapi sebaliknya yang berlaku terhadap golongan lelaki adalah majoriti antara mereka menempah tiket ke pusat serenti , lokap dan sadisnya ke liang lahad . Nah disini telah terbukti penglibatan siswi dalam gerakan pelajar telah merubah paradigma dan lompatan saujana sesebuah institusi tersebut .

Kata kunci  yang terakhir dibawah lembayung cabaran siswi era ini . Hidup tanpa cabaran ibarat manusia tanpa akal . Masakan bisa manusia hidup tanpa akal  ? Renung - renungkanlah . Masalah utama siswi sekarang adalah tidak mengenali pemaknaan falsafah perjuangan mereka sendiri. Mereka boleh mengenali elemen-elemen pembangunan fizikal tetapi buta daripada mengenali pembangunan insani diri mereka. Menurut Muhammad Abu Bakar dalam artikelnya  Falsafah Perjuangan Mahasiswa, falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada pengolakan dunia semasa. Ketiga-tiga elemen ini perlu memberi impak kepada pemaknaan diri mahasiswa/mahasiswi yang merangkumi watak dan aspirasi mahasiswa. Persoalan yang timbul, berapa kerat mahasiswa yang memahami ketiga-tiga elemen berbanding longlai bersama aktiviti berseronok di universiti? Jika kita telusuri revolusi kebangkitan semangat siswi  bermula pada tahun 1960 an . Kemana hilangnya semangat Zainab Al Ghazali dan Leila Ahmad  ?
Barangkali siswi hari ini dirantai dgn rantaian hedonisme dan socialisme yang ditunjangi oleh hawa nafsu .
 Tidak dinafikan adanya kritikan-kritikan membina didengari malah ianya sentiasa diambil kira dalam pada untuk melihat peranan siswi tidak dibataskan seterusnya digilap dan dibentuk mengikut acuan syariat yang bermanhaj wasotiyah (sederhana). Sabda Baginda S.A.W yang bermaksud :

“ Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan

 
Memetik sabda Rasulullah saw :
Wanita adalah sayap kiri bagi lelaki
Disini telah terbukti betapa wanita mempunyai peranan penting dalam sesuatu , terutama aspek melibatkn hal ehwal wanita . Justeru , jangan dipandang enteng akan peranan wanita . Karna dibelakang suami ada isteri  dan dibelakang siswa ada siswi .
Mungkin kita bukan generasi Zainab Al Ghazali mahupun Leila Ahmad tetapi kita mampu untuk mewujudkan generasi mereka semula …. Bangkitlah .. Bangkitlah …

nota kaki : tajuk ini dan isinya adalah dari pidato yang saya sampaikan tika pertandingan Pidato Piala AKSA