Pages

Monday 30 November 2020

Hari akhir November 2020

Rindu pada ruang ini 
 

Bismillahirahmanirrahim 


Hari ini hari akhir bulan ini 

Sungguh bulan ini banyak yang berlaku 

Banyak emosi yang saya akur 

Banyak juga yang keluar dari terbuku 


Hari ini saya keliru 

Fikir dan emosi diganggu

Tidur tak menentu, sedih tak berair mata seperti selalu 


Hari ini saya ingin bermimpi 

Agar esok semua yang diimpi jadi realiti 

Menghadap hari yang tidak pasti 


Esok bulan baru 

Bulan akhir di tahun ini 

Sungguh 2020 itu lain 

Tahun aneh sebelum hidup bertukar 30 


Bulan akhir saya ingin guna sehabis baik 

Supaya boleh ubah 

Ubah kepada kebaikan 

Ubah kepada ketaatan 

Ubah kepada fokus 

Ubah untuk 2021 


Banyak lagi yang mahu dicapai 

Walaupun nampak seperti sukar tergapai 

Tuhan jangan kau tinggal saya 

Atau saya jauh darimu

Kerana hanya kau yang saya perlu dan ada 

Untuk meniti hari yang tidak diduga

Kerana hidup didunia yang seketika ini 

Terasa lama bila tidak buat apa-apa. 


p/s:

Moga saya istiqomah dengan jalan yang dipilih 

Moga dimurahkan rezeki untuk menggembirakan keluarga dan orang lain 

Moga impi dan cita jadi realiti 

Moga boleh memberi dan terus lupa 



Sunday 22 November 2020

Ahad dan filem Jilbab Traveller Love Spark in Korea

 

Bismillahirahmanirahim 


Hari ini hari minggu yang saya mulakan dengan kesakitan. Kesakitan kepala saat bangun dari tidur untuk solat subuh. Kenyataannya saya telah bangun beberapa kali malam tadi kerana ke tandas dan merasa sakit sangat kepala. Selepas sudah saya solat subuh terus saya sambung tidur kerana tidak tahan dengan rasa sakit kepala tika dibuka mata dan mahu duduk. Sampai jam 10 pagi saya bangun tidur dan benar-benar bangun jam 12 tengahari itu pun kerana saya berlari menuju ke tandas untuk muntah yang isinya hanya air mineral yang diminum setiap kali terjaga dari tidur. 

Mulanya rencana saya sebelum tidur malam tadi adalah untuk bangun awal dan selepas solat subuh terus berjalan 5km. Azam untuk kembali fit yang tertangguh. Tambahan pula saya merasa sihat ketika berjalan dan merembeskan sebanyak mungkin peluh. Sambil itu melihat alam yang indah ciptaan Allah yang Maha Esa. Tidak lama itu dari itu saya mandi dan bersiap dan maklong beserta Along dan Kak long juga datang. Mereka saja singgah selepas pulang dari rumah yang Along buat di Londang. Tika itu kugagahkan apa yang mampu untuk sedia air dan kek yang telah tersedia di meja untuk dijamah mereka. Adat dan adab melayu yang diajar padaku mengingatkan agar dijamu tetamu yang datang kerana mereka itu membawa rezeki. 

Selepas mereka pulang, saya dan mama kembali menyiapkan kemas rumah. Saya memilih untuk membaiki langsir yang terjatuh disebabkan pemegangnya yang sudah rapuh. Selepas dibetulkan saya duduk di susunan tilam dan terus terlelap. Sungguh saya tidak sihat yang benar-benar. Meniti umur 30 tahun dan berat bertambah ini membuatkan sakit itu rasa berat. Ini membuatkan saya ingin dan tekad menurunkan berat. Untuk mudah ibadah dan gerak seharian. Oh ye pada petangnnya selepas asar saya dan mama ke pasar malam. Walaupun ada sedikit kesan sakit dikepala tinggal saya gagahkan juga supaya saya dapat keluar dari rumah dan berpeluh. Dibeli kami nasi kerabu dan yong tau foo yang berhari sudah saya sebut nak makan. 

Sebaik pulang dirumah, saya dan mama terus set up meja untuk makan juadah yang dibeli di pasar malam. Sambil makan kami menonton filem Jilbab Traveller Love Spark in Korea. Saya tidak pernah menonton filem ingin bahkan juga belum lagi melihat trailernya. Cuma yang pernah saya dengar adalah tajuk novel dimana filem ini mengadaptasi. Rating di IMDB juga menunjukkan 6.5/10, kira not bad to watch la kan? 

Jalan cerita filem ini secara ringkasnya adalah mengenai seorang hijabis traveller yang mendapat dokongan dari ayahnya untuk mengembara dengan semangat ibn batutah. Antara kata ayah beliau adalah pergilah mengembara menjadi mata dan telinga untuk ibu dan bapak. Sungguh saya sangat tertarik dengan restu ayahnya ini. Rania (lakonan Bunga Citra Lestari) telah mengembara ke puluhan negara dan satu hari itu dipanggil keluarga pulang kerana ayahnya sedang gering. Sesampainya ke Indonesia dia melawat ayahnya yang sedang sakit. Ayahnya menyuruhnya terus pergi travel dan jangan berhenti. Ayahnya kemudian menyampaikan hajat agar dia pergi ke Baluran, ke tempat dimana ibu dan ayahnya menemui cinta mereka. Disitu juga beliau ditemukan dengan Hyun Guen seorang muslim korea juga photographer yang sedang merakamkan pemandangan disitu. 

Awal plot cerita pertermuan Rania dan Hyun Guen agak kritikal kerana mereka bertikam lidah tetapi dan saling mencabar tentang mana satu yang lebih cantik. Antara Indonesia dengan Korea. Rania rasa terpanggil untuk menunjukkan keindahan Indonesia di daerah Baluran dan disebabkan itu mereka tertinggal pengangkutan akhir ke bandar. Lewat malam itu Ilhan, kawan keluarga Rania datang untuk menjemputnya pulang kerana ayah Rania telah pulang ke rahmatullah. Rania pulang dan sesampai di rumah dengan sedih menyatakan pada Ibunya yang dia tidak akan pergi mengembara lagi. H.G. ternampak kamera Rania tertinggal dan ke Jakarta untuk memulangkannya dan mengajaknya pergi mengembara tetapi Rania maklumkan yang dia tidak lagi mahu melakukannya. 



Tidak lama kemudian mereka berpisah dan tidak bertemu kerana H.G. berpegian pulang ke Korea. Setelah beberapa bulan Rania mendapat jemputan ke Korea untuk penulis selama sebulan. Jodoh mempertemukan dia dengan H.G. semula dan dari situ terbit kembali cinta mereka dalam travel dan fotografi. Klimaks cerita ini adalah apabila H.G. dikhabarkan bakal berkahwin dan Rania kerana sedih bersetuju untuk kahwin dengan Ilhan. Rania pulang ke Indonesia dan meneruskan kehidupan seperti biasa dan bersedia bernikah dengan Ilhan. Sebulan sebelum perkahwinan dia Rania menerima khabar yang H.G. dari Alvin yang memaklumkan H.G telah kehilangan tangannya ketika berada di Palestin. Alvin meminta Rania membantu H.G. yang depress kerana itu yang membawanya pulang ke Korea menemui H.G. Ilhan ada bersama dan memberi restu mereka serta menyerahkan Rania pada H.G. Membawa kepada pengakhiran cerita dimana cinta mereka bersatu. Antara quotes yang saya suka dari filem ini adalah : 

1. “Jadilah Ibnu Batutah untuk ayah, seorang muslim penjelajah yang menjadi rujukan dunia. Kehebatannya mampu melampui sejumlah penjelajah Eropa, seperti Christopher Columbus, Vasco da Gamma, dan Magellan. Dia menempuh perjalanan 120 ribu mil membelah lautan, tanpa bantuan mobil, kapal laut atau pesawat terbang.”

2. "Kamu mencuri mimpi-mimpiku dan aku suka". 

3. "Jangan katakan cinta pada burung-burung sebelum kau yakin tumbuh sayap yang menerbangkan hasratmu pada cinta-Nya"



Saya sangat sukakan watak Rania ini, seorang jilbab traveller yang mengembara dan mengikut langkah ibn batutah. Saya juga suka ayahnya yang menyokong impi anaknya. RESTU itu yang paling utama yang saya lihat. Teringat saya pada baba saya dan juga mama yang memberikan restu serta dokongan dimana sekarang saya telahpun berjaya menjejakkan kaki ke 21 buah negara dan lebih 100 kota. Semua kerana mereka. Syurga saya yang menyulamkan sayap buat saya untuk terbang. Saya akan terus dan sering travel seperti Rania supaya saya dapat titipkan doa buat Syurga saya dan memberi kisah dari mata dan hati saya yang melihat tempat yang saya jejaki. Semoga dunia cepat sihat dan kita semua boleh terbang semula bertebaran di bumi Allah untuk ilmu, amal dan ikhsan. 




nota kaki : sungguh saya rindu untuk mengembara kerana tika mengembara saya kenal diri dan syukur dengan kurniaan Allah. 


  

Wednesday 11 November 2020

Tahun ini tahun aku sendiri

 




Tahun ini ku rasa seperti singkat

Atau mungkin tidak lansung ada apa apa

Atau juga aku yang terleka

Kerana berlalunya ia seperti kerdipan mata

Yang pergi tapi tidak diletak erti 


Tahun ini ku rasa selalu emosi 

Mungkin kerana tidak gerak ke sana sini 

Atau hanya terperangkap dalam alam mimpi 

Juga fantasi yang terkongkong dalam diri 


Tahun ini ku rasa berjiwa 

Kerana dekat dengan keluarga 

Dekat juga dengan sayang dimata 

Tidak seperti tahun tahun lalu 

Berlalunya ditempat asing 


Tahun ini ku rasa hilang diri 

Kerana apa yang mahu tidak dapat 

Jadi aku mula bentak 

Kerana hasratku tunggi 

Tapi yang dapat hanya debu pasir yang hilang bertebaran 

Ditiup angin kencang 


Tahun ini sudah meniti hujungnya 

Apa mungkin ada tahun baru yang baru 

Atau masih seperti lama 

Adakah akan terus aku menunggu 

Seperti pungguk rindukan bulan 


Tahun ini tahun aku cipta sendiri 

Dibiar pergi hari hari duniawi 

Dikejar ukhrawi yang kadang berlari 

Penat dan lelah terus hilang arah 

Kemudian bertatih pulang 

Menuju reda ilahi


Tahun ini 

Aku mahu habiskan dengan erti 

Tidak lagi mengeluh dusta pada diri 

Tapi dengan azam serta tekad yang tinggi 

Kerana selagi esok masih ada mentari 

Selagi itu aku perlu kuatkan diri 

Menggapai impian dan cita yang tinggi 

Bukan untuk siapa 

Untuk diri