Pages

Thursday 10 July 2014

kehidupan (part 2) Tangisan Syurga Gaza dan Syria

Bismillahirrahmanirrahim 

      Dingin pagi sahur ramadhan, meniti masuk ke minggu kedua di bulan yang penuh barakah dan nikmah, kita perlu bersyukur bumi yang indah ini aman. Tiada bunyi tembakan, tiada teriak tangisan dan ketakutan, tiada gegar gempita serta percikan api dimerata tempat. Kalau mereka disana berpeluang bersahur di dunia dan berbuka diakhirat. Trauma itu tidak terkata tetapi iman dihati melenyapkan perasaan itu.  Hari ini mungkin mereka menangis sepuas hati, esok mereka kembali berjihad mempertahankan tanah suci. 

      Atas dasar kedamaian dan hak, di musnahkan kehidupan, dirobohkan tempat berlindung dan dihanncurkan masa hadapan. Apakah ini makna kedamaian yang diagung-agungkan. Kalau benar ini damai kenapa tidak mulakan dengan kemaafan dari dilontar kemarahan dan kemusnahan. Ini sama sekali bukan cara untuk memaafi atau melindungi, ini hanya cara melafazkan kebencian dan keegoan dihati. Andai sahaja bukan begitu hati mereka ini yang tidak berhati dan  hanya hidup dengan aliran darah kekejaman pasti makna kemanusiaan sebenar akan dikecapi. 

      Kalau benar ingin menakluk kota suci demi menyempurnakan agama yang sudah pesong dan kotor, hentikan sahaja hasratmu itu. Tanah suci ini adalah milik yang berhak bukan exclusif untuk kamu dan puak kamu sahaja. Ini telah memberi gambaran betapa kejinya sikapmu. Berdirilah dengan kakimu sendiri, lawan dengan kami menggunakan cara sendiri, alat sendiri dan tidak menyorok di belakang raja dunia. Hanya dengan menggunakan peralatan dan bersikap duniawi pasti kau menang tapi hanya di sini sahaja, jalanmu selepas ini sudah pasti di satu tempat yang kau sendiri sudah ketahui. 

      Rasulullah SAW bersabda:“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah, ” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya”.(Riwayat Bukhari)

     
     Dalam meniti hari ini, di pinggir tanah suci, tempat bermulanya arah kiblat sebelum di arah ke masjidil haram dibasahi dengan darah para syuhadak yang berjuang memelihara kesucian tanah ini. Andai sahaja diberi peluang untuk keluar pasti tidak dilakukan atas rasa tanggungjawab dan kecintaan pada agama dan negara. Bulan yang mulia ini dimulakan dengan pesta berdarah dan bunga api bertalu - talu ke arah tanah Palestin. Gaza terutamanya menjadi sasaran rejim Zionis yang senantiasa laparkan darah dan tanah. Apakah mungkin dilakukan perkara ini kerana takut, bersatunya rakyat Palestin dari dua aliran berbeza Fatah dan Hamas maka berakhirlah sudah riwayat mereka. Mereka menganggap dalam bulan ini pasti akan dikerah lebih lagi semangat dan bantuan untuk menjatuhkan mereka lantas disiapkan alatan bantuan untuk melawan keimanan. 

    Perkara yang sama dialami mereka yang berada di Syria. Saban hari jumlah pelarian dan mangsa terkorban meningkat. Hanya kerana dek kuasa untuk menjadi raja di dunia, seorang insan sanggup membunuh orang lain untuk mengekalkan kuasa yang hanya sementara. Anak - anak kecil yang dahulunya bermimpi untuk hidup yang indah bersama keluarga kini hanya mengimpikan kedamaian dan makanan. Dibunuh cita-cita dan makna sebenar kehidupan. Sehari-harian untuk makan adalah satu rahmat dan kita disini mati kekenyangan. Apalah rasa dalam hati membaca dan mendengar kisah mereka? adakah dilekatkan rasa kasihan? Apakah hanya bermusim ? atau Sentiasa ada ruang di hati dan minda setiap umat Islam di tempat lain? 


      Usaha murni telah dilakukan oleh segelintir rakyat yang peduli dan menjadi penggerak fardhu kifayah untuk kita yang selalu mengatakan kekurangan waktu untuk membantu. Kini segalanya dihujung jari, apalah salahnya sekiranya disumbang sedikit untuk mengurangkan beban mereka. Mahu ke sana dan perang bukanlah adat kita dari sini. Doa dan usaha adalah yang terbaik. Keterbatasan berada di baris utama bukan alasan untuk memberi dan mengurangkan beban mereka. Kerana janji Allah itu pasti. 






Semoga Allah menahan kekuatan orang-orang kafir dan Allah yang lebih kuat dan lebih sangat siksaNya. Ya Tuhan yang Maha Pemelihara dan Maha Pemberi Keselamatan." (An Nisaa':84)


p/s: doa jangan henti kerana itulah senjata manusia paling berkesan. 


  

Tuesday 8 July 2014

diari ramadhan 1

Bismillahirrahmanirahim. 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ


“Hai orang2 yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang2 sebelum kamu. Mudah2an kamu bertakwa” (Al -Baqarah:183)

Alhamdulillah thumma alhamdulillah hari ini telah masuk ramadhan 11. Sesungguhnya setiap kali dipertemukan setiap manusia dengan bulan suci ini pasti akan terdetik rasa syukur atas pertemuan. Bulan ini bukan hanya untuk menahan lapar dan dahaga tetapi pelbagai lagi perkara yang boleh dipelajari dan dilaksanakan. 

Sungguh orang yang berpuasa bukan hanya dengan lapar dan dahaga adalah orang yang paling beruntung sekali. 

Puasa bermaksud menahan diri daripada makan danminum dan perkara - perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat. Kita sering kali beranggapan hanya cukup dengan pemahaman secara literal terhadap penerangan pendek mengenai puasa sudah cukup memadai dalam menentukan penerimaan dan pelaksanaan puasa sepanjang tahun. 


Saban tahun apabila tiba bulan yang penuh rahmat dan barakah ini pelbagai aktiviti berbentuk islami diperbanyak disetiap lapisan dan ruang hidup seharian. Dari rancangan tv, radio, artikel berkaitan bulan ini di akhbar, majalah serta pembawakan manusia. Hati menjadi tenang dan syukur dengan perubahan yang berlaku disepanjang berlansung bulan ini. Masjid kelihatan cerah dilimpahi cahaya nur menyambut kedatangan penghuni bumi untuk sujud pada Allah tuhan sekalian alam. Sungguh perubahan dari sudut pengisian rohani merancakkan lagi hari hari dalam bulan ini. Sebagai contoh, radio-radio dan tv mula mengalunkan bacaan al quran dan zikrullah memuji kebesaran Allah. Jikalau dapat diteruskan di bulan-bulan yang lain alangkah indahnya hidup di bumi bertuah ini. 


Dalam bulan ini, pelbagai aktiviti yang bersifat sedekah amal jariah dilakukan terutama sekali meraikan golongan anak yatim dan asnaf @ fakir miskin. Aktiviti ini adalah amalan yang mulia dan digalakkan cuma sesekali terasa seperti program sebegini hanya di esklusifkan semasa bulan ramadhan semata- mata. Apakah ada dianjurkan dan dinyatakan membantu mereka yang memerlukan ini hanya tertakluk di masa - masa tertentu sahaja? Apakah tiket melakukan kebaikan itu ada tamat tempoh dan had masa waktunya? tepu dada tanya iman. Sesungguhnya apabila ini melakukan kebaikan, laksanakanlah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan. Dengan itu diharap apa yang dilaksanakan itu diredhai dan di nilai oleh Tuhan bukan manusia semata-mata. Kalau dikejar puji-pujian maka segala yang dilaksana adalah sia-sia. 

PUASA KALI INI

Alhamdulillah kali ini saya berpeluang berpuasa dan berbuka disamping keluarga tercinta. Beberapa tahun lepas kehadiran berbuka dan bersahur bersama keluarga tidak mencapai keputusan yang baik kerana berada di kampus. Kali ini tertunai hajat dihati untuk makan dan minum serta berpuasa bersama mama, baba dan kakak. Juadah dirumah sudah pasti yang terbaik dan berkhasiat. Bukan apa kalau dikampus sudah pasti terbiasa membeli juadah berbuka di kantin mahupun dibazaar. Syukur juga kali ini sepanjang 10 hari pertama saya tidak berkunjung ke mana-mana bazaar ramadhan untuk membeli juadah berbuka, semuanya di masak sendiri di rumah. Dari lauk sahur, makanan berbuka disediakan dengan penuh kasih sayang. 

Tahun ini juga saya mengikuti satu program tadarus yang sangat bermanfaat. ODOJ ( One day One Juzuk). Program ini sangat bagus dan ini adalah salah satu langkah terbaik untuk terus istiqomah khatam 30 juzk Al Quran dalam bulan ramadhan. Moga dengan usaha ini dapat meningkatkan lagi pemahaman dengan bahasa syurga selain dapat menambahkan pahala bulan ramadhan.