Pages

Thursday, 7 March 2019

4 TAHUN BERLALU #masihrindu


Bismillahirahmanirrahim 

kucupan dahi buatmu yang dirindu

Tajuk itu mengambarkan bagaimana saban tahun saya pasti akan menghitung hari-hari yang datang dan bulan berganti tahun. Bukan sesuatu yang mudah tetapi takkan pernah di buang dari kota minda saya sampai bila-bila. Tarikh 7 Mac 2015 adalah tarikh dimana baba kesayangan saya telah dijemput Allah pulang kepadaNya. Sungguh tiada siapa pinta untuk perpisahan ini lagi pula saya ketika itu sudah pulang ke Istanbul semula. Boleh dikatakan genap sebulan sedari pulang dari Kuala Lumpur untuk cuti musim sejuk dan kenduri kahwin kakak.  


Jika di putar semula waktu itu, seakan semalam waktunya menerima khabar itu. Sedih dan pedih tidak perlu dinyata kerana saya ini seorang yang tidak mudah merembeskan air mata terutama di depan ahli keluarga. Kalau diulang tayang waktu itu saya ingat saya di dinleme odasi baru usai bertutur telefon bersama Hazwan. Saya melihat message yang masuk menderu ke telefon bimbit melalui whatsapp.  Saat itu tidak terduga apa yang akan dilihat. Terus melihat ruangan keluarga Che Mat Khatan Family. Scroll dari atas ke bawah ditemukan satu message yang membuatkan jantung saya berhenti degup sesaat. Mak Sedara saya yang digelar Mak Itam menulis diruangan itu " Orang cuba contact angah dan along tapi tak dapat. Ateh dah takde. Alfatihah". Nafas terasa sesak sekali dan kaki mula rasa longlai. Orang yang dimaksudkan itu adalah Baba. Saya meluru ke bahagian tengah tempat dimana letaknya kerusi-kerusi di aras dormitory. Kebetulan ada Nadja di situ. Terus saya pergi kepadanya dan rebah di depannya memberi khabar pemergian Baba.

Saat itu juga Nadja berlari ke bilik dan mendapatkan adik-adik yang lain untuk membantu saya. Saya mengambil nafas perlahan-lahan terus menelefon nombor telefon baba dengan harapan Baba akan menjawab tetapi tidak di jawab lansung. Bertalu-talu saya menelefon semula dan akhirnya mama angkat panggilan telefonku. Mama lantas berkata " adik takpe dik Baba pergi  dalam keadaan tidur. Ada di sebelah Mama ni. Adik Baba pergi dengan baik dik. Kita doa banyak-banyak ye. ". Saya seakan tidak percaya perkara ini berlaku. Terus semua kenangan bersama Baba bermain di fikiran. Terasa belum lagi diri ini dapat berbakti kepada Baba. Sama juga disaat itu teringat rindu yang bersarang dihati. Kurang lebih 3 minggu sedari kali terakhir berhubung dengan Baba. Kerana banyak yang berlaku sebelum pemergian Baba yang biarlah menjadi simpanan keluarga kami.

Habis bertutur dengan mama di telefon saya terus meluru balik ke bilik dan terus mengambil wudhu solat dan membaca Yaasin. Tidak tertanggung berat hati ini memikirkan Baba pergi buat selamanya ketika saya tidak disisinya. Sungguh berat rasanya dan itulah perkara yang perlu dihadap oleh mereka yang tinggal di luar negara atau jauh dari keluarga. Saya ingat ketika itu saya ditawarkan peluang balik ke Malaysia oleh abang senior Syahril Azfar yang kebetulan sedang berada di Turki dalam rangka kerja menghantar bantuan kepada rakyat Syria. Beliau dengan bantuan senior yang lain di Malaysia telah membelikan tiket pulang buat saya.

gambar raya 6 tahun lepas

Pengarah asrama bersama warden semua dikhabarkan tentang berita itu. Keesokan paginya mereka datang bergilir-gilir ke bilik saya untuk menyampaikan ucapan takziah. Tidak kurang yang membacakan Yaasin bersama. Pagi jam 10 saya bertolak ke Ataturk Havalimani dengan taksi bersama adik-adik dorm. Masih ingat lagi ketika itu tiada apa yang saya bawa hanyalah al quran, passport, purse dan sedikit biskut bekalan adik adik kerana saya tidak makan dari semalam. Air mata cuba disekat  dan bila terasa ingin jatuh disapu dengan cepat supaya tiada yang sedar.

Kapal terbang Malaysia Airlines di naiki mengambil masa 10 jam untuk sampai ke Kuala Lumpur. Sewaktu dalam penerbangan teringat saya nangis teresak dalam mimpi dan kemudiannya ternampak Baba senyum berpakaian ihram sambil melambai padaku. Bila tersedar rupanya kapal terbang tersebut sedang melalui tanah haram. Seterusnya saya kembali tidur. Tidak lama kemudian kembali bermimpikan Baba kali ini baba datang dekat denganku dan mencium dahiku. Seraya itu saya terbangun dan mendapati air mata mengalir dipipi. Rupanya sudah nak sampai ke Malaysia. Sesampai di Kuala Lumpur saya tersenyum sinis kerana sudah pasti tiada dari ahli keluarga yang akan hadir mengambil airport. Alhamdulillah Kak Naheed isteri Abg Syah datang mengambilku bersama Kak Paan dan Kak Kina. Merekalah sahabatku dunia akhirat.

Sesampai dirumah saya terus masuk ke rumah. Dari pintu pagar sudah terlihat wajah saudara mara yang sugul dan mula sebak melihat saya sampai dari jauh. Saya sebelum itu telahpun berniat untuk tidak menangis terutama di depan keluarga kerana itu sahaja yang boleh dilakukan untuk semua. Untuk kuat demi mereka. Terus saya salam pak long yang ada diluar rumah. Kemudiannya dengan debar masuk ke rumah mencari mama yang ketika itu didapur. Sungguh tidak ku sangka saudara mara yang berada di dapur ke semuanya mula menangis teresak-esak ketika melihat saya. Kakak yang nampak tubuhku disamping mama mula menangis dengan kuatnya. Hanya saya sahaja yang tidak nangis kerana telah berjanji pada diri tidak akan mengalirkan air mata lagi di depan mereka.

Sesudah itu, mama membawaku masuk ke dalam biliknya dan menunjukkan baju terakhir Baba pakai dan meninggalkan saya keseorang di dalam bilik itu. Saat itu ketika sendiri barulah air mata jatuh membasahi pipi. Sungguh rindu dan sedih tidak dapat menatap dan mengucup pipi baba serta memohon kemaafan buat kali terakhir. Hanya Allah sahaja yang tahu rasa dalam hati ini. Sehingga kini rasa itu ada dan doa sahaja penghubung buat saya dan Baba. Kerana saya percaya Husnul Khatimah pengakhiran buat Baba. Petang itu saya ke kuburan Baba dengan suggul rasa dihati membacakan Yaasin buat Baba di kuburannya.

Ketika di gerakkan jemari menaip kisah ini, esoknya genap 4 tahun Baba pergi bertemu Sang Pencipta. Pejam celik pejam celik dah selama itu Baba pergi. Dalam masa yang sama kakak telah pun selamat melahirkan 3 orang anak. Menjadi penyeri keluarga setelah Baba pergi. Anak angkat Baba yang Korea Esther pun telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. In total dah 4 cucu Baba. Dari adik je belum lagi kerana jodoh belum sampai lagi.

Baba walaupun kita tidak dapat bersua untuk kali terakhir tetapi adik pasti Allah itu punya perancangan yang terbaik dan syurga inshaAllah tempat kita akan bersua. Semoga adik menjadi anak solehah yang sentiasa tidak lupa untuk mendoakan Baba di sana. Adik akan lakukan sehabis baik untuk menjadi anak yang memberi gembira buat Mama dan Baba serta keluarga kita. Moga kita semua disatukan disyurga nanti. Sehingga itu doalah yang menghubungkan kita. Terima kasih Baba atas didikan dan dorangan buat adik sedari kecil hingga dewasa. Adik sentiasa merindui Baba. Sayang adik tidak akan kurang buat Baba. Cinta pertamaku.

SJNN family photo


Adik yang merinduimu
Istanbul, Turki
1717pm
06032019


nota kaki : Mohon doakan Alfatihah buat arwah Baba saya Shahrin bin Che Mat. Terima Kasih. 


No comments:

Post a Comment