Pages

Showing posts with label sjnn. Show all posts
Showing posts with label sjnn. Show all posts

Wednesday, 13 May 2020

Rumah SJNN


Bismillahirahmanirahim 




Apa khabar semua ? Hari ini telah masuk ramadhan ke 21. Cepat sungguh waktu berlalu seakan baru semalam rasanya ramadhan baru bermula. Syukur bagi saya, tahun ini buat kesekian kalinya setelah hampir tiga tahun tidak merasa ramadhan di rumah. Pada awalnya saya masih berkira nak balik atau tidak kerana dikhabarkan ada penerbangan khas yang disediakan untuk pelajar dan mereka yang terkandas di Istanbul pulang. Perasaan itu bercampur baur kerana saya risaukan keselamatan keluarga kalau saya pulang. Mana tidaknya, banyak kisah yang berlaku mengenai COVID 19 dimana mereka yang pulang dari luar negara dijangkiti penyakit ini. Yang paling mengerunkan apabila tidak tahu dimana mulanya terkena penyakit ini. Perkara kedua yang dirisaukan adalah sekiranya saya tidak dijangkiti tetapi membawa virus tersebut pulang bersama. Betapa saya rasa kalau saya ada nauzubillah akan memberi kemudaratan kepada keluarga saya. InshaAllah jika ada kelapangan saya akan menulis mengenai pengalaman saya dalam misi Pulang MASAT (bertugas bersama dan kuarantin). 

Rumah. rumah saya adalah syurga saya. Sepanjang hampir 29 tahun saya hidup, rumah yang satu ini telah menjadi tempat suka, duka, tangis, tawa, marah, kecewa semua perasaan saya belajar dari sini. Mama dan baba telah menyewa disini sejak dari saya lahir, sedari kawasan sekeliling masih lagi kebun getah dan hutan. Saya masih teringat waktu sekolah rendah belakang rumah saya ini adalah hutan yang besar dan tinggi sampai satu ketika itu ada lebah yang kami terpaksa memanggil bomba untuk hapuskan. Oh ye saya belum khabarkan satu, saya tinggal di kampung sungai kayu ara. Kawasan sini sangat strategik sekolah rendah, sekolah agama dan sekolah menengah saya dan kakak dekat. Hospital dekat. Tempat kerja mama juga dekat. Baba nak ke kilang baba juga dekat. Satu ketika dulu, kalau di sekolah selalu sahaja saya diejek kerana duduk disitu kerana banyak setinggan sedangkan saya tinggal di kawasan rumah orang melayu. Yela mana tidaknya, rakan-rakan saya di sekolah majoritinya anak orang kaya, anak orang berstatus tinggi dan ramai lagi. Tapi saya tak kisah kerana cukuplah dengan apa yang ada dan saya tahu ini usaha mama dan baba. 

Dalam rumah saya ada dua bilik dan satu bilik air. Bilik belakang bilik mama dan baba, bilik depan bilik saya dan kakak berkongsi. Cukuplah untuk keluarga kecil kami. Kalau saudara mara dari melaka datang pasti penuh rumah tapi kami tak kisah sebab keluarga kami kecil jadinya meriah sedikit bila ramai orang datang. Bila bercakap mengenai menjemput orang datang, saya ini jenis yang tidak suka mengajak orang ke rumah, dulu ye pernah saya rasa malu nak ajak kawan saya datang tapi sekejap sahaja rasa itu kerana ini adalah syurga saya. Saya pilih kawan yang boleh datang kerana saya percaya dan mahu buka ruang untuk rakan-rakan mengenali keluarga saya. Bagi saya keluarga saya  sangat precious. Sekiranya ada yang saya bawa atau benarkan balik maksudnya kalian adalah kawan yang paling saya percaya dan hargai untuk dijumpakan dengan keluarga saya. 

Kadang ada yang kata saya ini berlagak seakan anak orang kaya, pakai gadget mahal, makan tempat mahal, belajar luar negara. Sejujurnya ya kami pernah hidup senang tapi itu tidak bermakna perlu kami perlu berbelanja sekaligus untuk hidup mewah. Mama kerja kerajaan dan baba kerja sendiri. Bila ada keuntungan mama dan baba beli rumah di Melaka dengan cita-cita nak pindah ke Melaka bila mama dah pencen. Etika kerja dan berbusiness sangat tertib, sebab itu juga kami tidaklah dapat hidup mewah kerana kualiti itu lebih penting dari keuntungan untuk baba. Ada satu ketika itu saya pernah jadi sangat rebel nak pakai benda mahal dan sebagainya tapi mama dan baba tidak berikan kerana itu kehendak bukan keperluan. Dari situ juga saya belajar untuk setiap sesuatu kalau nak beli semak dulu keperluan atau kehendak dan kalau gunakan barang itu guna sampai rosak atau lusuh baru beli baru. Bila dah besar sedikit saya tahu untuk timbang tarakan keperluan dan kehendak.  

Setelah hampir 10 tahun lebih baba buka business baba jatuh sakit. Dari situ keluarga kami sedikit susah tetapi alhamdulillah hasil usaha baba bekerja sebelum itu semua digunakan untuk meneruskan kehidupan dan alhamdulillah juga mama bekerja jadinya dapatlah apa yang perlu. Saya melihat betapa kecewanya baba kerana merasa dirinya kecewa menjadi ketua keluarga tapi bagi kami tidak. Alhamdulillah anak-anak baba dapat habis belajar dan sambung belajar. Hidup kami cukup dengan apa adanya. Mama sebagai sumber kekuatan baba. Satu perkara yang pasti saya rasa keluarga kami sangat rapat selepas itu, baba kalau dulu sibuk kini sentiasa ada dirumah. Mama pula menjadi superwomen, idola saya kerana mama contoh isteri solehah yang sehingga ke hujung nyawa baba sangat menghormati suaminya walaupun bekerjaya. Nantilah saya cerita ye. Kami juga bersyukur, hospital dekat sahaja dengan rumah, sama juga sekolah dulu  

Tahun ini mama sudahpun pencen. Mama nak pulang ke Melaka kerana mahu melunaskan cita-cita nak duduk dirumah hasil pembelian mama dan baba. Walaupun baba sudah tiada (tahun ini masuk tahun ke 5), kami masih rasa baba masih bersama kami dan mama mahu pulang seperti yang diimpikan bersama lelaki yang sampai syurga mama sayang. Haritu bila saya dah balik mama cerita nak balik Melaka tapi dengan rasa sebak sebab rumah ini dah macam rumah kami. Disini mama dan baba bina keluarga disini. Jatuh bangun semuanya disini. Sayang sekali Tuan rumah kami ini tidak mahu menjualkan rumah ini pada kami kerana telah diwariskan pada anak beliau. Kami bakal berpindah dari sini tetapi kenangan yang dicipta disini akan terus hidup bersama kami. Kami bukan orang senang tapi kami orang bahagia. 

Cita - cita saya adalah satu hari saya ada rumah sendiri yang cukup serba serbi untuk keluarga saya dan menjadi taman syurga dunia kami dan tempat membentuk syurga akhirat bersama suami dan anak-anak. Saya tidak reti bermewah sebab saya tidak kaya dan saya tidak menidakkan mereka yang suka melakukan demikian. Kerana setiap kita itu ada cara dan suratan yang telah Allah sediakan untuk kita. Saya doakan semua berjaya mencari dan membentuk rumah idaman. Bagi saya, rumah SJNN kami ini adalah dunia kami dan taman syurga kami. Moga kami semua dipertemukan dengan baba di syurga nanti dan saya terus diberikan taufik dan hidayah dari Allah untuk menjadi aset mama baba ke syurga. Moga dapat pimpin tangan mama baba ke syurga nanti inshaAllah ke rumah kami di syurga. 


nota kaki : Selamat mengejar malam laylatul qadr. Sesungguhnya Allah itu dekat, Allah maha besar, Maha kuasa. Maha pemberi. Maha penyayang. 


Thursday, 7 March 2019

4 TAHUN BERLALU #masihrindu


Bismillahirahmanirrahim 

kucupan dahi buatmu yang dirindu

Tajuk itu mengambarkan bagaimana saban tahun saya pasti akan menghitung hari-hari yang datang dan bulan berganti tahun. Bukan sesuatu yang mudah tetapi takkan pernah di buang dari kota minda saya sampai bila-bila. Tarikh 7 Mac 2015 adalah tarikh dimana baba kesayangan saya telah dijemput Allah pulang kepadaNya. Sungguh tiada siapa pinta untuk perpisahan ini lagi pula saya ketika itu sudah pulang ke Istanbul semula. Boleh dikatakan genap sebulan sedari pulang dari Kuala Lumpur untuk cuti musim sejuk dan kenduri kahwin kakak.  


Jika di putar semula waktu itu, seakan semalam waktunya menerima khabar itu. Sedih dan pedih tidak perlu dinyata kerana saya ini seorang yang tidak mudah merembeskan air mata terutama di depan ahli keluarga. Kalau diulang tayang waktu itu saya ingat saya di dinleme odasi baru usai bertutur telefon bersama Hazwan. Saya melihat message yang masuk menderu ke telefon bimbit melalui whatsapp.  Saat itu tidak terduga apa yang akan dilihat. Terus melihat ruangan keluarga Che Mat Khatan Family. Scroll dari atas ke bawah ditemukan satu message yang membuatkan jantung saya berhenti degup sesaat. Mak Sedara saya yang digelar Mak Itam menulis diruangan itu " Orang cuba contact angah dan along tapi tak dapat. Ateh dah takde. Alfatihah". Nafas terasa sesak sekali dan kaki mula rasa longlai. Orang yang dimaksudkan itu adalah Baba. Saya meluru ke bahagian tengah tempat dimana letaknya kerusi-kerusi di aras dormitory. Kebetulan ada Nadja di situ. Terus saya pergi kepadanya dan rebah di depannya memberi khabar pemergian Baba.

Saat itu juga Nadja berlari ke bilik dan mendapatkan adik-adik yang lain untuk membantu saya. Saya mengambil nafas perlahan-lahan terus menelefon nombor telefon baba dengan harapan Baba akan menjawab tetapi tidak di jawab lansung. Bertalu-talu saya menelefon semula dan akhirnya mama angkat panggilan telefonku. Mama lantas berkata " adik takpe dik Baba pergi  dalam keadaan tidur. Ada di sebelah Mama ni. Adik Baba pergi dengan baik dik. Kita doa banyak-banyak ye. ". Saya seakan tidak percaya perkara ini berlaku. Terus semua kenangan bersama Baba bermain di fikiran. Terasa belum lagi diri ini dapat berbakti kepada Baba. Sama juga disaat itu teringat rindu yang bersarang dihati. Kurang lebih 3 minggu sedari kali terakhir berhubung dengan Baba. Kerana banyak yang berlaku sebelum pemergian Baba yang biarlah menjadi simpanan keluarga kami.

Habis bertutur dengan mama di telefon saya terus meluru balik ke bilik dan terus mengambil wudhu solat dan membaca Yaasin. Tidak tertanggung berat hati ini memikirkan Baba pergi buat selamanya ketika saya tidak disisinya. Sungguh berat rasanya dan itulah perkara yang perlu dihadap oleh mereka yang tinggal di luar negara atau jauh dari keluarga. Saya ingat ketika itu saya ditawarkan peluang balik ke Malaysia oleh abang senior Syahril Azfar yang kebetulan sedang berada di Turki dalam rangka kerja menghantar bantuan kepada rakyat Syria. Beliau dengan bantuan senior yang lain di Malaysia telah membelikan tiket pulang buat saya.

gambar raya 6 tahun lepas

Pengarah asrama bersama warden semua dikhabarkan tentang berita itu. Keesokan paginya mereka datang bergilir-gilir ke bilik saya untuk menyampaikan ucapan takziah. Tidak kurang yang membacakan Yaasin bersama. Pagi jam 10 saya bertolak ke Ataturk Havalimani dengan taksi bersama adik-adik dorm. Masih ingat lagi ketika itu tiada apa yang saya bawa hanyalah al quran, passport, purse dan sedikit biskut bekalan adik adik kerana saya tidak makan dari semalam. Air mata cuba disekat  dan bila terasa ingin jatuh disapu dengan cepat supaya tiada yang sedar.

Kapal terbang Malaysia Airlines di naiki mengambil masa 10 jam untuk sampai ke Kuala Lumpur. Sewaktu dalam penerbangan teringat saya nangis teresak dalam mimpi dan kemudiannya ternampak Baba senyum berpakaian ihram sambil melambai padaku. Bila tersedar rupanya kapal terbang tersebut sedang melalui tanah haram. Seterusnya saya kembali tidur. Tidak lama kemudian kembali bermimpikan Baba kali ini baba datang dekat denganku dan mencium dahiku. Seraya itu saya terbangun dan mendapati air mata mengalir dipipi. Rupanya sudah nak sampai ke Malaysia. Sesampai di Kuala Lumpur saya tersenyum sinis kerana sudah pasti tiada dari ahli keluarga yang akan hadir mengambil airport. Alhamdulillah Kak Naheed isteri Abg Syah datang mengambilku bersama Kak Paan dan Kak Kina. Merekalah sahabatku dunia akhirat.

Sesampai dirumah saya terus masuk ke rumah. Dari pintu pagar sudah terlihat wajah saudara mara yang sugul dan mula sebak melihat saya sampai dari jauh. Saya sebelum itu telahpun berniat untuk tidak menangis terutama di depan keluarga kerana itu sahaja yang boleh dilakukan untuk semua. Untuk kuat demi mereka. Terus saya salam pak long yang ada diluar rumah. Kemudiannya dengan debar masuk ke rumah mencari mama yang ketika itu didapur. Sungguh tidak ku sangka saudara mara yang berada di dapur ke semuanya mula menangis teresak-esak ketika melihat saya. Kakak yang nampak tubuhku disamping mama mula menangis dengan kuatnya. Hanya saya sahaja yang tidak nangis kerana telah berjanji pada diri tidak akan mengalirkan air mata lagi di depan mereka.

Sesudah itu, mama membawaku masuk ke dalam biliknya dan menunjukkan baju terakhir Baba pakai dan meninggalkan saya keseorang di dalam bilik itu. Saat itu ketika sendiri barulah air mata jatuh membasahi pipi. Sungguh rindu dan sedih tidak dapat menatap dan mengucup pipi baba serta memohon kemaafan buat kali terakhir. Hanya Allah sahaja yang tahu rasa dalam hati ini. Sehingga kini rasa itu ada dan doa sahaja penghubung buat saya dan Baba. Kerana saya percaya Husnul Khatimah pengakhiran buat Baba. Petang itu saya ke kuburan Baba dengan suggul rasa dihati membacakan Yaasin buat Baba di kuburannya.

Ketika di gerakkan jemari menaip kisah ini, esoknya genap 4 tahun Baba pergi bertemu Sang Pencipta. Pejam celik pejam celik dah selama itu Baba pergi. Dalam masa yang sama kakak telah pun selamat melahirkan 3 orang anak. Menjadi penyeri keluarga setelah Baba pergi. Anak angkat Baba yang Korea Esther pun telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. In total dah 4 cucu Baba. Dari adik je belum lagi kerana jodoh belum sampai lagi.

Baba walaupun kita tidak dapat bersua untuk kali terakhir tetapi adik pasti Allah itu punya perancangan yang terbaik dan syurga inshaAllah tempat kita akan bersua. Semoga adik menjadi anak solehah yang sentiasa tidak lupa untuk mendoakan Baba di sana. Adik akan lakukan sehabis baik untuk menjadi anak yang memberi gembira buat Mama dan Baba serta keluarga kita. Moga kita semua disatukan disyurga nanti. Sehingga itu doalah yang menghubungkan kita. Terima kasih Baba atas didikan dan dorangan buat adik sedari kecil hingga dewasa. Adik sentiasa merindui Baba. Sayang adik tidak akan kurang buat Baba. Cinta pertamaku.

SJNN family photo


Adik yang merinduimu
Istanbul, Turki
1717pm
06032019


nota kaki : Mohon doakan Alfatihah buat arwah Baba saya Shahrin bin Che Mat. Terima Kasih. 


Monday, 30 October 2017

MAMA NAIK HAJI

Bismillahirahmanirahim.



Alhamdulillah ala kulli hal. Untuk post yang ke 200 di blog ini saya ingin mencoretkan khabar gembira mama saya yang telah selamat pergi dan pulang menunaikan haji tahun ini 1438H bersamaan 2017. Sedari tahun 2016, teringat kenangan mama bersedia menunaikan haji dan bersiap untuk ke Mekkah. Dua hari sebelum penerbangan, mama dikhabarkan bahawasanya tiada visa dapat diberikan kepada mama. Sungguh mama sedih tika itu dan saya yang bersama mama sepanjang waktu itu turut merasa kesedihan mama. Selepas itu, mama ada beberapa kali ditawarkan peluang menunaikan Umrah dan sekali lagi tergendala. Benarlah Allah bersabda "Kun faya kun" Kalau dengan izinNya berlaku akan berlaku. Setahun mama menanti dengan penuh sabar dan banyak dugaan. Selepas tamat musim haji tahun lepas mama terfikir mengenai syarikat yang mama dan arwah baba pernah melalui syarikat tersebut menunaikan umrah pada tahun 2002 iaitu UTAS TRAVEL AND TOUR.


UTAS TRAVEL AND TOUR


Sedikit maklumat mengenai Syarikat UTAS TRAVEL AND TOUR. Nama UTAS dipilih kerana ia unik yang boleh membawa  maksud Urusan Tanah Suci. Ia juga menggambarkan "rantaian" dimana menjadi harapan syarikat ini untuk membuka rantaian cawangan di seluruh negara. Selain itu, sekiranya di eja terbalik ia bertukar menjadi "SATU" yang bermaksud impian syarikat untuk menjadi yang terbaik atau syarikat nombor 1 di Malaysia. (penerangan ini diambil dari website UTAS). Bagi maklumat lanjut boleh lawat laman sesawang UTAS di utastravel.com.

KHABAR GEMBIRA DARI TABUNG HAJI

Berbalik kepada mama naik haji. Pada 16.6. 2017, Mama dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran telah berkongsi pada kami khabar tawaran menunaikan haji ke Baitullah. Sungguh aku waktu itu saat membaca khabar gembira tersebut terasa sebak bercampur gembira kerana mama telah mendapat apa yang dihajatinya. Kami sekeluarga berasa syukur yang tidak terhingga. Mama memberi kami salinan gambar surat tawaran didalam group whatsapp dan SubhaAllah rezeki dari Allah. Sesampai mama di rumah saya mendakap penuh kesyukuran dan linangan air mata jatuh seiring itu.

PERSIAPAN MENUNAIKAN IBADAH KE 5

Hari-hari seterusnya kami sibuk mempersiapkan urusan penerimaan tawaran Haji dan membuat senarai semak untuk barang-barang keperluan untuk dibawa. Alhamdulillah barang- barang yang telah mama sediakan setahun sebelum itu masih tersimpan rapi didalam beg yang sepatutnya dibawa. Seterusnya pasti sekali saya bertuah kerana dapat membawa mama ke sana sini untuk membuat persiapan. Sungguh 1








bulan itu subhanaAllah sibuk dengan urusan mama tetapi saya berasa gembira dapat bersama Mama. Seusai raya, persiapan dilakukan dengan lebih teliti. Mama mendapatkan urusan pemeriksaan kesihatan, urusan cuti, kursus haji, membeli keperluan makanan dan melawat nenek di kampung.Sungguh ya Allah indah. Mudah sekali urusan mama sepanjang persiapan ke Baitullah. Sungguh Allah akan membantu hambaNya yang bergantung padaNya.


KEBERANGKATAN MAMA KE HAJI


Pada 29.7.2017,  Mama telah berangkat ke Tanah Suci. Sungguh beberapa malam sebelum itu, saya tidur memeluk mama dengan erat. Mana taknya selalunya saya yang tinggalkan mama dan berangkat ke program-program peringkat antarabangsa mahupun kembali ke Universiti. Sekarang giliran Mama pula yang meninggalkan saya. 50 hari. Tempoh yang bukan pendek panjang. Pagi itu kami semua bangun awal dan selepas solat subuh saudara mara sudah mula datang ke rumah untuk mengiringi mama pergi ke Haji. Saya yang tika itu  sudah mula rasa sebak menolong mana yang boleh persiapan untuk Mama berangkat. Sebelum bertolak kami adakan doa selamat dan Mama mengucp Chicko buat kali terakhir. Kami sekeluarga naik sekali dan sepanjang perjalanan tanganku tak melepaskan gengaman tangan Mama. Sesampai disana kami diturunkan kakak dan abang faiz, kemudian kami menuju ke dalam kawasan kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Saban tahun tempat ini kammi kunjungi untuk menghantar saudara mara dan kali ini giliran mama.





Beberapa orang saudara mara terdekat hadir sedikit demi sedikit. Adik beradik mama majoritinya hadir tidak kurangnya kehadiran ahli keluarga baba.  Kelihatan sahabat lama mama juga turut datang. Tidak lama kemudian kelihatan Uncle Top (Yusof) kawan baik baba sejak belajar di German turut hadir bersama isteri untuk mengucapkan selamat jalan pada mama. Sambil menunggu panggilan mama menghantar beg dan barang untuk check in. Selepas solat Zuhur lebih kurang lebih jam 130 petang, kedengaran takbir Haji

Ù„َبَّÙŠْÙƒَ اللَّÙ‡ُÙ…َّ Ù„َبَّÙŠْÙƒَ، Ù„َبَّÙŠْÙƒَ Ù„اَ Ø´َرِÙŠْÙƒَ Ù„َÙƒَ Ù„َبَّÙŠْÙƒَ
  Ø¥ِÙ†َّ الْØ­َÙ…ْدَ ÙˆَالنِّعْÙ…َØ©َ Ù„َÙƒَ ÙˆَالْÙ…ُÙ„ْÙƒَ لاَ Ø´َرِÙŠْÙƒَ Ù„َÙƒَ
Sejurus kedengaran takbir itu, airmata bergenang mengenangkan sayu hati seruan haji telah kendengaran. Mama juga kelihatan mula menangis dan tersenyum girang. Ahli keluarga seua telah berkumpul dan mula bersalaman. Bermulalah esakan tangisan memenuhi perkarangan kompleks Tabung Haji. Sungguh syahdu pada ketika itu. Selepas itu, kendengaran panggilan untuk mereka yang akan menaiki penerbangan KT 045. Saya iring mama sampai ke tempat yang dihadkan masuk. Mama masuk dan kemudian pusing memberikan lambaian terakhir pada kami. Saya terdiam dan mengekori kelibat mama yang kemudiannya hilang masuk ke dalam bangunan tabung haji. Saya kemudian bersalaman dengan saudara mara dan sesampai di kereta saya di pelawa naik kereta bersama Ayu untuk pulang ke rumahnya buat sementara waktu di PD. Kakak memberi kebenaran dan kami pulang untuk sehari dan pulang kembali ke PJ pada keesokan harinya kerana Chicko berseorang di rumah. 








50 HARI DI TANAH SUCI 


Seperti yang saya nyatakan tadi selalunya saya yang tinggalkan mama untuk ke luar negara tetapi kali ini mama yang meninggalkan saya untuk perjalanan ke kota suci. Sebulan tempoh saya di Malaysia terasa bila Mama tiada. Mana taknya selalu antara saya yang menghantar mama ke office atau menunggu mama pulang ke rumah. Sungguh terasaaaa. Beberapa hari selepas keberangkatan Mama saya terasa rindu sangat-sangat. Ini mungkin rasa yang sama mama rasa sepanjang saya ke luar negeri. Saya tidak mendapat khabar lansung dari Mama. Almaklumlah di tanah suci itu sukar sekali mendapatkan line Internet. Setelah beberapa hari mama mula menelefonku di rumah. Saya gembira tak terkata. Terkadang Mama ada juga update gambar beliau dengan sahabat-sahabat. Begitulah berhari-hari setelah keberangkatan mama ke tanah suci. Update di kirim buat tatapan keluarga. Sehinggalah bila saya akan pulang ke Turki. Sepanjang di Turki kami dapat berkomunikasi dengan mudah kerana tiada perbezaan waktu yang kami hadapi. Sama sahaja time zone Mekkah dan Turki. Terkadang bila tidak dihubungi saya faham tujuan utama ke sana adalah untuk beribadah dan menjadi tugas seorang anak untuk mendoakan yang terbaik untuk mamanya.

MAMAKU BERGELAR HAJJAH
16 September 2017, saat Malaysia meraikan hari kebangsaan, Mama selamat sampai ke tanah air. Kakak sekeluarga beserta beberapa sana saudara turut hadir bersama menjemput mama pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Saya berasa syukur kerana disaat itu juga mereka sempat menghubungiku melalui panggilan video call whatsapp. Sungguh riang wajah mama berjumpa ahli keluarga dan berseri wajah Mama ku tatap dalam panggilan telefon tersebut. 
Sungguh dalam setiap kesabaran itu ada nikmat yang akan diperoleh di hari kemudian. Allah itu kalau mahu memberi sesuatu bukan diberi terus kerana mungkin belum waktu terbaik untuk diberikan. SABAR+DOA + TAWAKAL adalah kunci kepada "dream come true". Yang paling penting kebergantungan kepada Allah dalam setiap sesuatu yang diinginkan. Sedari bangkit dari tidur sehingga mahu masuk tidur. Alhamdulillah ala kulli hal. Terima kasih Allah. 

Tahniah HAJJAH JARIAH BINTI MD JIDIN
Adik sayang mama selalu. 

Istanbul 29 Mayis Kiz Konukevi, Istanbul, Turkey
15;24 petang