Pages

Tuesday, 5 March 2019

Saluran Air


Bismillahirahmanirahim


Pada ahad pagi hari minggu lalu saya telah bangun seawal jam 0430 pagi untuk menyiapkan tempahan makanan untuk kumpulan pelancong Malaysia yang mahu ke Bursa. Selepas 2 jam berperang di dapur alhamdulillah selesai menyediakan 20 set makanan nasi goreng bersama ayam goreng berempah dan sambal belacan diulamkan timun. Jam 0745 pagi keluar ke rumah di kedinginan pagi transisi musim sejuk ke musim bunga mengangkut 3 beg berisi makanan dan air tempahan. Alhamdulillah ala kulli hal atas rezeki yang diterima. Pulang dari menghantar makanan satu perang lagi muncul iaitu mengemas dapur pasca perang pertama. Sungguh bahagian ini yang paling tidak semua orang suka tetapi saya suka kerana sedari kecil memang suka bermain air. Mama pernah sekali cerita yang saya sehingga dibawa mimpi bermain air tatkala penat seharian membantu membasuh pinggan mangkuk di kenduri rumah nenek. 

Semua periuk belanga, sudu dan bekas dikumpul berdekatan singki dengan harapan boleh dibasuh one shot tapi baru dua tiga perkakas dibasuh air sudah memenuhi ruangan singki dapur. Mulanya saya fikir mungkin sampah dilantai singki menyukarkan air lalu tetapi jangkaanku meleset. Saya mula mengeluarkan semua barang yang perlu dicuci dari dalam singki dan memeriksa. Sejurus itu terdengar bunyi titisan air. Dicari punca rupanya dari bawah singki. Air mula menitik petanda ada yang sumbat. Melihat pada lelohong aluran air ternyata kosong. Maksudnya benar sangkaanku yang air tersumbat mungkin kerana kotoran atau sisa makanan yang berlebihan pada bukaan mulut lorong air. 

Mulalah saya menjadi seperti kelasi kapal yang sedang gigih mengeluarkan air dari kapal yang bocor. Besen demi besen dikeluarkan air. Ditatang bekas air yang penuh ke tandas dan dibuang ke singki tandas. Sehingga tinggal searas satu garis jari. Mulalah pula kerja yang agak renyah iaitu menggunakan mangkuk kecil diletakkan dibawah singki dan bersama kain untuk menyerap air yang tinggal. Sehingga tiada lagi air saya terus mengambil screwdriver dan membuka saluran air tersebut. Nah kotol sekali. Sisa makanan dan kotoran yang sudah menjadi lendiran campuran habuk dan benda asing menjadi asbab ia tersumbat. Saya tuntas cabut saluran tersebut dan membawa ke tandas untuk dibersihkan. 


Dalam saluran itu hitam dan kotor sekali. Air dialirkan dan setiap kali itu juga kotoran hitam yang keluar. Dimasukkan sabun beberapa kali sehingga kotoran tersebut hilang. Tuntas itu juga saya terbayangkan saluran paip itu seperti perut manusia. Kita sering sekali makan pelbagai benda dan kurang rasanya menghadkan pengambilan sesuatu itu. Baik dan buruk diselang seli. Terkadang perut kita menjadi sakit kerana penghadaman tidak baik mungkin faktor utamanya adalah makanan yang diambil. Justeru itulah datangnya logik untuk puasa supaya sistem penghadaman kita dapat berehat dan membaiki dari kerosakan yang berlaku. Seperti mana sistem saluran air perlu di rawat/dibersihkan sama juga buat perut kita. Selain dari puasa, makanan yang dipilih juga penting untuk memastikan kekuatan serta ketahanan perut kita. Bukanlah ia ingin diguna sehari dua tetapi selamanya. 

Antara langkah yang terbaik untuk menjaga perut kita adalah ; 
  1. Lakukan lebih senaman
  2. Kekalkan diet yang sihat
  3. Minum air secukupnya
  4. Ambil pro- dan prebiotik secukupnya
  5. Hadkan pengambilan lemak, garam, dan gula


Dengan memastikan kesihatan perut terjaga kita akan menjalani hidup yang lebih sihat dan selesa. Bukan apa perut itu boleh diumpamakan seperti central/pusat utama badan yang mana kalau sistemnya lumpuh maka lumpuh lah secara keseluruhan badan serta mencacatkan urusan harian kita. 


nota kaki : dahulu saya selalu sakit perut sehinggakan beberapa kali ke hospital. Rupanya kerana tidak makan dengan betul dan tidak menjaga kesihatan perut. Sekarang saya lebih berhati-hati dan sayangkan diri serta perut saya lebih!




No comments:

Post a Comment