Pages

Showing posts with label ramadhan2020. Show all posts
Showing posts with label ramadhan2020. Show all posts

Monday, 25 May 2020

Raya 2020


Bismillahirahmanirahim

baju raya rona deep chocolate bersama tudung sophie nealofar


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.. La ilaha ilallahu wa Allahuakbar, Allahuakbar wa lillahilhamd. 

gambar bersama syurga saya MAMA
Syukur dan takbir kepada Allah yang maha esa dapat kita semua meraikan raya atau hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Sebulan berpuasa rasa seperti seminggu. Singkat tetapi penuh dengan hikmah. Bagi seluruh ummat Islam di dunia secara umum dan Malaysia secara khusus, ramadan dan syawal tahun ini adalah yang paling unik kerana disambut dengan norma baharu @ the new norm . Seperti yang sedia maklum, vaccine untuk COVID19 masih belum dijumpai dan jumlah kes walaupun berkurang di Malaysia, masih lagi dipantau dengan ketat agar tidak melonjak semula kes baharu atau barangkali wujud kluster baru dipanggil kluster hari raya. Saat saya menulis blog ini, siang tadi sewaktu sidang media KKM dimaklumkan jumlah positif melonjak ke 172 orang. Satu kejutan yang tidak mengejutkan barangkali. Ini kerana ada kluster baru wujud iaitu kluster depo tahanan. Saya risau dalam tempoh seminggu dua ini akan ada pula tambahan kes kerana hari raya. Masih ada lagi berdegil meneruskan tradisi rumah terbuka sedangkan kita dibenarkan pada hari pertama sahaja. Silalah ingat yang frontliner dah penat menjaga dan mengawal, janganlah bebal sangat. 

Walaubagaimanapun, ada yang menarik di raya kali ini. Banyak istilah kali pertama yang berlaku. Kali pertama banyak yang beraya diperantauan (dirumah masing-masing di negeri bekerja kerana tidak boleh lintas negeri). Pertama kali jadi imam solat sunat aidilfitri di rumah kerana tidak dibenarkan ke masjid. Pertama kali, tidak berjabat tangan mahupun berpeluk bila berjumpa. Juga pertama kali rumah terbuka diganti dengan sesi zoom terbuka @ virtual rumah terbuka. Semua ini menunjukkan uniknya manusia dalam mereka cipta cara untuk berhubung antara satu sama lain serta menyesuaikan diri dengan norma baharu. Sedari PKP yang pertama sudah mula dikeluarkan skill baru ini akan tetapi lebih seronok ketika di hari raya. 

menu pagi raya tradisi SJNN



abang ipar (abg Faiz), kakak, saya dan MAMA
dengan 2 orang anak buah mama ya, Ammar dan Fariha
MIA dalam gambar Hanan
Bagi saya dan keluarga pula, Alhamdulillah setelah hampir 3 tahun tidak menyambut ramadan dan beraya di rumah saya diberi kesempatan untuk melakukannya. Di tahun ini juga mama paling riang kerana rumah rasa meriah dengan hilai tawa dan tangisan anak buah yang tiga. Pulang nun jauh dari Shah Alam nak beraya dengan kami. Juga riang mama bila anak-anaknya yang take charge memasak untuk raya. Pelbagai lauk saya dan kakak beraksi menyiapkan. Satu kenyataan yang pasti, kakak dah pandai masak. Saya selaku yang jadi tukang masak kat rumah rasa bangga sebab akak bila dah kahwin dan beranak tiga ni dah mula pandai masak. Kalau dulu teringat sampai bergaduh dengan baba pasal masak sambal sotong. Menu kami yang pelbagai itu pula adalah makanan tradisi kami sekeluarga. Sering dinanti oleh sanak saudara bila berkunjung ke rumah. Antaranya, sup tulang, lodeh, kuah kacang, dendeng daging, rendang daging, ayam masak merah, ketupat dan lemang. Sedap macam dulu-dulu. Yela sendiri masak dan sendiri makan ye dak? 
mama dan anak -anaknya

PKP juga telah menyebabkan ada diantara sepupu saya yang tidak dapat pulang beraya dan mama sebagai mak sedara yang tua menjadi tempat dikunjungi sepupu dan saudara yang tidak dapat pulang. Ramai juga datang ke rumah kami sewaktu raya pertama tetapi tidaklah sampai 20 orang pada satu masa. Saya selaku anak dara rumah perlu menyiapkan segala serba serbinya menyambut tetamu yang datang. Menunggu juga yang sorang itu berkunjung tetapi kerana tugas tak dapat beliau beraya. Tambahan pula katanya malu nak datang ke rumah kalau seorang. Apapun mohon doa untuk kami ye sidang pembaca! 

Akhir kata, raya 2020 adalah tahun untuk kita rasa syukur dan masa untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Selalunya kita ambil lewa sahaja kemudahan dan nikmat yang diberi untuk bersama meraikan raya. Kali ini bila ditarik nikmat itu ada yang stress dan sedih tak dapat beraya tetapi dengan adanya teknoloji terubat rindu semua. Tambahan pula seperti saya yang pernah beraya diperantauan, masa yang ada untuk diluangkan bersama keluarga raya tahun ini saya manfaatkan sehabis baik untuk sama-sama kami raikan.Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dihadapan mahupun tahun depan yang penting kita hidup diwaktu ini dan saat ini. Bahagiakan diri, bahagiakan keluarga, bahagiakan hati. Selamat hari raya aidilfitri. Maaf zahir dan batin. 


satu gambar bersama si DIA yang bertugas dihari raya <3

nota kaki : raya sehabis baik tapi jangan balun semua makanan. Nanti terkejut pula perut tu. Syukur dengan nikmat dan moga kita sentiasa dibawah lembayung Allah SWT. 










Tuesday, 19 May 2020

Redha


Bismillahirahmanirahim

gambar diambil dari instagram @thefamily.uk 


Senario 1 

"Adik, setiap apa yang berlaku pada kita dan dugaan yang Allah berikan kita kena redha. Dalam redha itu ada rahmat Allah. Kalau kita tak redha, susah untuk kita dapat rahmat Allah". 

Kata - kata diatas selalu disebut pada mama setiap kali teringatkan arwah baba. Atau kadangkala bila ada yang bertanya bagaimana mama mampu menjaga baba yang menjalankan rawatan dialisis selama 12 tahun. Kerana tahap redha yang tinggi mama menjadi seorang yang kuat dan tabah. Contoh isteri mithali yang sentiasa menjaga dan mencintai baba sepenuh hatinya. Sehingga kini juga mama sering kata yang dia sangat mencintai baba dan merelakan pemergian baba adalah benda yang berat tetapi ketetapan yang Allah tentukan. Kadang ada yang mengusik mama untuk berkahwin lain, akan tetapi mama akan jawab dengan baik, mama tak nak kahwin dengan sesiapa dah, cukup baba seorang sahaja. Mama janji nak tunggu baba di pintu syurga. Cinta mereka walaupun terpisah nyawa tetapi tidak pada hati dan doa. Redha adalah kunci yang mengutuhkan lagi cinta mama dan baba. 

Senario 2 

"Amirah, redha mak ayah itu penting dalam kita nak belajar atau tuntut ilmu. Sama juga dengan redha Allah. Kalau nak berjaya kena ingat ini"

Dahulu sewaktu di sekolah menengah, saya ada seorang ustazah yang sangat sayangkan saya. Jujur saya katakan ustazah ini jugalah yang membentuk saya kepada siapa saya dihari ini. Dia jugalah yang berjaya memujuk saya kembali ke jalan yang diredhai. Bukanlah saya ni budak liar (pergi clubbing, pesta etc tak pernah sebab baba garang sebelum jam 6 dah kena ada dirumah), tetapi liat dalam nak beribadah. Saya dulu sampai sekolah tingkatan lima tak pakai tudung selepas waktu sekolah tetapi ustazah mengajar dengan hati yang ikhlas telah sedikit demi sedikit membuatkan saya ingin berubah ke arah kebaikan. Alhamdulillah ramadan pertama 2008 saya mula memakai tudung sepenuh masa. Kembali kepada redha, saya dahulu selepas tamat sekolah menengah ada sedikit konflik dengan mama dan baba sebab saya nak sangat masuk UIAM. Masa itu saya sudah dapat tawaran ke UITM untuk pengajian asasi undang-undang. Saya bertekad nak juga sampai satu tahap tidak mahu bercakap dengan mama dan baba. Habis sudah dipujuk tetap degil. Sampai satu ketika, saya dimaklumkan untuk daftar UPU semua UITM tanpa satu tempat untuk UIAM. Sedih tapi kena buat demikian untuk mendapat restu mama dan baba. Saya katakan pada ustazah kesedihan ini dan ustazah pesan seperti diatas. Saya pun redha dengan keputusan yang diambil kedua mama dan baba saya. Tidak lama kemudian, jiran sebelah rumah saya dahulu secara tiba-tiba menghubungi mama, ditanya pada mama kalau saya ingin masuk ke UIAM. Pada waktu itu saya rasa subhanaAllah, Allah jawab doa saya. Ini rahmat Allah kalau redha. 

Senario 3 

" Akak saya tahu akak sayangkan dia tapi nak buat macam mana, hati manusia itu berbolak balik dan pemilik hati itu adalah Allah. Akak kena redha dengan keputusan yang dia buat dan akak boleh berdua semampu akak untuk tenang dan diberi kekuatan"

Saya pernah suka pada seseorang tetapi selalunya tepuk sebelah tangan. Saya tidak pernah bercinta. Ada satu ketika itu Allah berikan saya ruang dan peluang untuk rasa cinta dan suka saya bertukar cinta itu bertepuk dua tangan. Saya dan dia itu kawan rapat agak lama tapi tidak pernah saya rasa cinta atau suka pada dia lebih dari seorang kawan. Pernah juga saya katakan kalau ada satu hari nanti saya suka dia mahu terbalik dunia. Kami bercinta dan saya suka dia. Benar dunia memang terbalik. Dunia saya yang terbalik kerana paksi saya pada dia selepas Allah, Rasulullah dan keluarga. Ada satu ketika itu dia berkata hasrat nak berkahwin dan selepas itu terus senyap. Hubungan kami regang dan khabar kahwin itu lenyap. Walaupun sampai satu tahap pak long saya (telah kembali ke rahmatullah pada tahun ini) sampai mengalir air mata gembira bila saya khabarkan ada orang nak berkahwin dengan saya. Di pihak kami yang perempuan pasti persiapan itu perlu ke depan. Banyak perkara untuk disiapkan. Tetapi sudah ketentuan Allah belum sampai jodoh kami. Dia senyap sepi dan mengambil keputusan untuk berdiam diri. Sehingga ke hari ini saya masih doakan dia supaya diberi ketetapan hati kerana sekali lagi isu ini menjadi perkara paling tidak disukainya. Saya ingat lagi adik rumah saya bersama beberapan adik yang lain memujuk saya kerana sedih berhari-hari sedih tidak lega. REDHA kak, serahkan segalanya pada Allah. Setelah beberapa ketika air mata saya kering dan Allah kirimkan ramai teman baik untuk memberi semangat dan dorongan. Mama juga kembali baik denganku dan kami sekeluarga lebih baik hubungan kerana sebelum itu sampai bergaduh tak bertegur kerana malu dengan beberapa keluarga yang tahu perihal ini yang tidak jadi. Redha dalam ujian Allah bagi syafaat. 


Kita didalam kehidupan ini, sering kali kita mengeluh kalau ditimpa ujian. Sedangkan ujian itu sebenarnya rahmat untuk kita sekiranya kita dapat melaluinya dengan baik. Firman Allah SWT yang bermaksud : Jikalau mereka bersungguh-sungguh redha dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta mereka berkata "cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan sebahagian daripada kurniaNya, dan demikian (pula) RasulNya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap pada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka)." (Surah at Taubah ayat 59). Syukur adalah regu untuk redha, seperti dalam ayat alQuran yang saya petik, syukur dengan nikmat Allah dan cukup Allah bagi kita akan memberikan kita kebahagiaan dan kurniaan dariNya yang tak terhitung nilainya. Sebagai konklusi, ingin saya ingatkan diri saya dan anda diluar sana untuk apabila berlaku sesuatu (selalunya dugaan mahupun yang tidak disukai) pada anda, redhalah dengan ketentuannya. Kerana hikmah disebalik itu yang perlu kita lihat dan amati. Setiap yang dihajati akan ada ketentuannya cepat atau lambat sahaja Allah akan bagi. Hikmah dalam dugaan adalah satu kemanisan iman. Moga Allah kuatkan hati-hati mereka diluar sana dan sentiasa diberikan REDHA yang tinggi hendaknya. Jagi diri, jaga iman, jaga hati. 


nota kaki : simpan saya dalam doa kalian dan saya akan simpan kalian dalam doa saya.