Bismillahirahmanirahim.
Nota kali ini sangat bermakna buat diriku. Ini adalah kisah saya dan sebuah persatuan. Persatuan yang itu adalah Persatuan Pelajar Malaysia di Turki. Saya adalah seorang yang tidak boleh duduk diam bila sahaja berada di satu tempat dan kalau saya duduk diam saya akan stress serta kejung membatu. Sudah berkali-kali dikata dalam hati tidak mahu berpartisipasi dalam persatuan apabila berada di tahap sarjana dan hanya mahu memberi perkongsian pengalaman tetapi saya gagal untuk mengatakan TIDAK. Sejurus dilamar masuk MASAT, sejak itu terus hati terpaut memberikan seribu daya bagi menggerakkan Persatuan. Teringat lagi sebelum masuk AJK MASAT, saya hanyalah seorang senior yang masuk ke dalam kerangka persatuan memberi pendapat mahupun kritikan tetapi setelah berada sebagai AJK saya memberi dan melaksanakan apa yang pernah diperkatakan serta menerima kritikan untuk meningkatkan prestasi kerja dan persatuan.
kunjungan rasmi ke Parlimen 2017 bertemu Presiden Pakatan Rakyat dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat |
MASAT adalah satu platform bagiku bukan sebagai medium mengasah bakat diri tetapi lebih kepada perkongsian dan penambahan ilmu. Disini kami menerapkan budaya mengajar, belajar dan diajar. Di awal tenure kami agak kekok kerana baru di fasa pengenalan. Ada sahaja yang tak kena dan tidak faham lagi sesama sendiri. Setelah satengah penggal berlalu kami makin rapat dan bergerak semakin laju. Dengan kepimpinan dibawah Muhammad bin Ahmad Zahid, kami bergerak dengan dinamik sehingga tak terkejar dibuatnya. Pemimpin majlis tertinggi kami kalau boleh ingin mengejar sehabis baik ruang dan peluang untuk memperkenalkan MASAT di Malaysia dan Turki. Beliaulah yang banyak berjasa dalam menghubungkan kami dengan kepakaran diplomasi dan jaringan kenalan beliau. Satu perkara sahaja yang kurang pada Presiden kami, kebolehan memahami orang. Beliau seorang yang telah dididik dengan baik dan kalau dalam masyarakat itu duduknya di paras lebih tinggi. Terkadang mereka yang baru dan tidak punya pengalaman akan merasa susah untuk mengejar rentak kerja beliau. Akan tetapi itu bukanlah satu halangan tetapi satu dorongan untuk bergerak seiringan dengan beliau dan mungkin lagi lebih dari beliau.
AJK MASAT 2016/2018 terbahagi kepada 2; Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif. MASAT telah melalui transisi pertukaran AJK banyak kali dan yang kekal dari awal hingga akhir adalah Presiden, VP II (Alia), Bendahari (Iqmal kemudian beliau dilantik sebagai VP I), Setiausaha I (Ashiqin), Exco Komunikasi (saya), Exco Sukan (Kak Teh), Exco Kesihatan dan Kebajikan (Zikri dan Amira). Biro yang lain mengalami transisi pertukaran kepimpinan setiap penggal. Sama juga buat saya yang berganti teman exco berkali-kali.
Majlis makan malam bersama TPM |
Sepanjang menjadi Exco Perhubungan, Komunikasi dan Maklumat MASAT, saya banyak belajar pertama ialah sabar. Kesabaran adalah perkara paling utama kerana berdepan dengan variasi sikap manusia. Keduanya, komunikasi dengan pelbagai aras masyarakat. Dari ahli politik, ahli akademik, sukan, kanak-kanak, orang tua, pelajar, wakil universiti dan macam-macam lagi. Ketiga, belajar untuk bersedia untuk tidak bersedia. Ini khususnya merujuk kepada program last minute dan kejadian yang tidak disangka seperti letupan dan bencana alam. Saya masih teringat ada satu ketika dalam tahun 2016, apabila Turki dikejutkan dengan serangan bom hampir setiap minggu. Saya sebagai exco komunikasi di berikan tugasan yang berat untuk memeriksa keadaan pelajar dan melaporkan semula kepada pihak kedutaan dalam tempoh satu jam. Sungguh bukan perkara yang mudah tapi pengalaman yang tak dapat dilupakan. Keempat, berjiwa besar dan berhati terbuka. Saya menyatakan ini adalah kerana dalam berorganisasi kita akan selalu diletakkan di keadaan dimana akan berlaku salah faham antara ahli. Dari sini sikap optimis dan berjiwa besar perlu supaya gerak kerja tidak terganggu. Kelima, saya diamanahkan sebagai Pengarah Program Persidangan Bosphorus 2018 (Saya akan menulis artikel khas untuk bahagian ini). Bagi saya banyak lagi perkara yang ingin disenaraikan tetapi ini yang ringkas dari semua yang berlalu sepanjang 2 tahun perkhidmatan.
#BOSS18 |
Siapa sangka dengan partisipasi berpersatuan kita akan diberikan peluang dan ruang menyampaikan hasrat serta pendapat kepada pemimpin negara mahupun mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa. Antara program yang saya pernah diberi ruang berpartisipasi atas perwakilan MASAT adalah the 4th Model OIC berlangsung di Mashad, Iran. The 1st OIC Youth Leaders Summit, An Evening with Minister of Sports and Youth Malaysia, MSGA Summit dan banyak lagi program di dalam dan luar negara. Dari sini saya dapat membina jaringan belia antarabangsa serta tempatan. Selain itu, saya berpeluang mewakili MASAT sebagai speaker di beberapa program antaranya ASEAN Youth Talk, Program Meja Bulat Pelajar Malaysia Antarabangsa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, saya juga diberi ruang mengasah bakat mengacarakan majlis yang dahulunya menjadi perkara yang lazim di waktu sarjana muda. Antara yang tidak akan dilupakan adalah diminta menjadi Pengacara Majlis 10 minit sebelum majlis makan malam bersama Timbalan Perdana Menteri yang ketika itu Datuk Seri Zahid Hamidi. Dengan tiada skripnya saya bergegas membuat separuh dari skrip dalam masa 5 minit dan dengan tiada rehearsal saya terus mulakan majlis. Bayangkan mengacarakan majlis pada saat akhir bukannya mudah lagi-lagi bila tetamunya TPM. Selain dari TPM, Menteri Luar Negeri, Delegasi Pelancongan Negeri Pahang serta beberapa dif kehormat turut hadir pada malam tersebut. Alhamdulillah saya dapat mengendalikan dengan baik tetapi sayangnya saya tidak dapat makan dengan tenang makanan yang dihidangkan di Shangrila Bosphorus.
wakil MASAT dan Malaysia ke 4th MODEL MOIC, Mashhad, Iran 2016 |
Malaysian representative at 4th MOIC, 2016 |
Sepanjang dua tahun berkhidmat banyak sekali pasang surut dalam perkhidmatan. Terkadang saya ada juga rasa nak berhenti tetapi ditolak permohonan atas sebab keberadaan saya diperlukan dalam persatuan. Dah rasa nak give up waktu tu tapi mengenangkan sikit sahaja lagi perjalanan akan berakhir saya teruskan walaupun dengan hati berat. Saya merasionalkan kembali pemikiran dengan sebab saya menyertai persatuan iaitu untuk memberi bukan untuk menerima. Dalam sesuatu perkara yang kita lakukan janganlah berharap kepada pujian mahupun habuan tetapi tetapkanlah pada hati ikhlas dalam memberi. Saya selalu tekankan pada diri, memberi tidak bermakna awak mendapat kurang. Kerana dengan memberi kita akan membuka hati orang lain untuk melakukan sedemikian. Jika ia tidak berlaku seperti yang dirancang mahupun yang mahu senyum kerana Allah ada perancangan yang baik untuk perkara itu. Nawaitu adalah satu lagi yang penting, sekiranya kita niatkan yang baik pasti yang baik akan berlaku dan sekiranya yang sebaliknya, sebalikya yang akan berlaku. Itu adalah hukum hidup diatas bumi ini. Dan saya berpegang kepada satu kata-kata "what goes around comes around". Ini adalah norma hidup, kehidupan itu ibarat roda terkadang kita diatas dan ada masanya kita dibawah. Kita menentukan apa yang kita mahukan dan keperluan untuk digerakkan.
Hari Sukan Negara peringkat Turki 2017 |
Diakhir perkhidmatan satu saya nyatakan pada kesemua AJK saya syukur. Syukur yang teramat kerana Allah memberikan ruang dan peluang untuk berbakti untuk pelajar Malaysia bersama insan-insan terpilih. Bukan mudah menggerakkan sebuah organisasi yang baru yang baru bertatih umurnya yang sekarang seantero Malaysia dan Turki serta dunia berbicara mengenainya. Dari sini saya belajar tentang erti persahabatan, pergaduhan, meraikan pendapat, berlapang dada, bermuram durja, berkomunikasi, berfikiran terbuka serta berbagi rasa dan masa. Setiap perkara yang dirasa dengan hati , dirungkai dengan minda adalah rancangan Allah yang terindah. Saya pasti pengalaman bersama MASAT adalah kenangan yang tidak akan saya lupakan dan boleh dikatakan yang akan saya banggakan untuk diceritakan pada anak cucu di masa hadapan. Kerana dari sini saya belajar erti rasa dan sayang terhadap negara. Terima kasih buat setiap satu dari mereka yang bersama dalam suka dan duka selama dua tahun tempoh menabur jasa di dalam MASAT sesi 2016-2018.
gambar akhir sebelum AGM 2018 |
nota kaki : MASAT adalah medan menguji kematangan diri. Thank You, Next.
No comments:
Post a Comment