Pages

Showing posts with label nukilan dr hati. Show all posts
Showing posts with label nukilan dr hati. Show all posts

Monday, 30 November 2020

Hari akhir November 2020

Rindu pada ruang ini 
 

Bismillahirahmanirrahim 


Hari ini hari akhir bulan ini 

Sungguh bulan ini banyak yang berlaku 

Banyak emosi yang saya akur 

Banyak juga yang keluar dari terbuku 


Hari ini saya keliru 

Fikir dan emosi diganggu

Tidur tak menentu, sedih tak berair mata seperti selalu 


Hari ini saya ingin bermimpi 

Agar esok semua yang diimpi jadi realiti 

Menghadap hari yang tidak pasti 


Esok bulan baru 

Bulan akhir di tahun ini 

Sungguh 2020 itu lain 

Tahun aneh sebelum hidup bertukar 30 


Bulan akhir saya ingin guna sehabis baik 

Supaya boleh ubah 

Ubah kepada kebaikan 

Ubah kepada ketaatan 

Ubah kepada fokus 

Ubah untuk 2021 


Banyak lagi yang mahu dicapai 

Walaupun nampak seperti sukar tergapai 

Tuhan jangan kau tinggal saya 

Atau saya jauh darimu

Kerana hanya kau yang saya perlu dan ada 

Untuk meniti hari yang tidak diduga

Kerana hidup didunia yang seketika ini 

Terasa lama bila tidak buat apa-apa. 


p/s:

Moga saya istiqomah dengan jalan yang dipilih 

Moga dimurahkan rezeki untuk menggembirakan keluarga dan orang lain 

Moga impi dan cita jadi realiti 

Moga boleh memberi dan terus lupa 



Thursday, 6 December 2018

Puisi Fikir Singkat




Lalumu di muka bumi, 
untuk beri bakti, 
terkadang bila kau bangkit dari lena, 
kau ada macam rasa, 
ada hari kau bahagia, 
ada hari depresi menjelma, 
ada hari kau penuh harapan, 
ada hari penuh kecewa. 

Kau itu bukan siapa, 
hanya hamba yang hina, 
tunduk mengejar rahmat esa, 
meminta dan merayu, 
pada yang kuasa si pemilik alam semesta. 

Bangkit dan gerak, 
kuatkan anggota, 
jauhkan sikap malas durjana, 
kalau kau tunggu sampai sempurna, 
tidak akan jadi segala. 

Kau ingin ubah tapi tak percaya, 
ego menjadi musuh utama, 
rendahkan ia lapangkan dada, 
kerna kau bukan tuhan tapi hamba. 

Ubah diri, ubah hati, 
tetapkan iman jangan hilang, 
kau boleh jadi berjaya, 
kerna getus hatimu ada yang bicara, 
kau punya kuasa tuhan yang beri, 
supaya berbudi dan berbakti, 
kau pasti berjaya nanti, 
Asal kau percaya pada diri. 


Sanggar Rasa, Capa sehremini, Istanbul, Turki
30/11/2018 

nota kaki : ini rasa aku, ini nawaituku. doakan aku. 

Saturday, 20 October 2018

Kembali menulis

Assalamualaikum. 
Hampir sahaja lupa wujudnya ruangan pena ini tetapi digerakkan hati mengintai. 
Moga dan impi diri ini untuk kembali menulis dan menukilkan. 
Kisah jalan hidup disini dan peri yang boleh menjadi kenang-kenang disini. 
Mungkin tidak senang tetapi moga moga semangat menulis kembali. 
Kerana banyak sekali dilalui dan syukur. Syukur adalah perkataan yang paling sesuai untuk mengambarkan rasa ini. 
Alhamdulillah ala kulli hal. 
Semoga berjumpa di nukilan seterusnya. 

Wallahualam. 

Capa Sehremini, Istanbul, Turki. 
20.10.2018 


Monday, 1 September 2014

Mimpi jadi realiti ( jalan menuju Istanbul)

Bismillahirahmanirrahim 

    Apa khabar hendaknya semua yang singgah di blog saya yang sudah bersawang ini? Harapnya baik - baik sahaja dan terus di berkati sang Pencipta, Allah SWT. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin bagi tahun 2014. Walaupun hanya tinggal beberapa hari untuk mengakhiri bulan yang mulia ini. Berbalik kepada tajuk blog kali ini, mungkin ada yang teragak - agak mimpi apakah itu? Saya kembali membelek blog post saya yang lepas dan pada tahun ( mimpi ke Turki ), saya ada menyatakan hasrat untuk ke Turki dan alhamdulillah mimpi itu bakal jadi realiti. 

    Pada tanggal 25 Julai 2014 jam 2:59 pagi saya telah menerima email dari pihak Turkiye Burslari. Pada mulanya saya yang ketika itu belum tidur terkejut menerima email di tengah malam. Saya tidak memahami bahasa yang dinukil apabila di 'scroll down' terjemahan dalam bahasa Inggeris kelihatan. Saat itu juga saya pergi mengejutkan mama dan baba yang sedang nyenyak tidur untuk mengkhabarkan berita tersebut. Sedari saat membaca email tersebut air mata bercucuran jatuh, sujud syukur dilakukan tanda bersyukur dan terima kasih atas pemberian yang tak terhingga. Saya telah ditawarkan biasiswa penuh daripada kerajaan Turki untuk melanjutkan pengajian dalam peringkat Master Degree di Universiti Marmara dalam bidang Sejarah Islam. 

PAGI YANG INDAH 

surat tawaran 

   Keesokan harinya saya bangkit seperti biasa tersenyum riang memikirkan tawaran biasiswa yang diterima. Dalam masa yang sama kami sekeluarga sedang sibuk menyiapkan barang - barang untuk dibawa pulang untuk sambutan hari raya. Sungguh syukur tak terhingga diungkap, mama dan baba turut berkongsi perasaan yang sama. Di mata mama terpancar cahaya kesyukuran yang tak terhingga. Mama cakap padaku, "Adik tau tak mama tak henti doakan adik supaya dapat sambung belajar sepanjang ramadhan ni ". Saya terus sebak mendengar kata - kata mama. Sungguh seorang ibu akan sentiasa doakan anaknya. Doa seorang ibu itu sangat berharga. 

   Beberapa nama yang naik dalam minda sejurus menerima berita terus saya beritahu terutamanya lecturerku dari Turkey, Dr Mehmet Mehdi Ilhan. Beliau pernah berpesan sekiranya dapat keputusan biasiswa tersebut beliau ingin jadi antara yang terawal untuk ketahui dan saya jadikan kenyataan dengan menelefon beliau sepantas mungkin. Beliau meluahkan rasa syukur dan tahniah kepada saya. Sejurus itu, saya menghubungi beberapa orang rakan karib untuk mengkhabarkan berita tersebut dan mereka juga turut gembira. 

bersama teman sekampus yang bakal terbang bersama ke Turki
  Pada awalnya baba dan mama sudah berpesan, jangan dihebahkan dalam media sosial sebelum saya pergi ke Kedutaan Turki dan menandatangani perjanjian penerimaan. Saya simpan dulu dan khabarkan perkara tersebut kepada rakan- rakan. Alhamdulillah setelah selesai menandatangani dokumen baru saya keluarkan sedikit demi sedikit hint yang saya akan terbang tak lama lagi. Urusan yang perlu dilakukan untuk mencapai ke sesi tandatangan sungguh berliku ( inshaAllah saya akan kongsikan pada entry khas). 

PERJUMPAAN BERSAMA EN AZAM DAN MAK CIK INA

 Setelah menerima berita gembira, perkara pertama di pesan mama adalah untuk dimaklumkan pada En Azam dan Mak Cik Ina. Bagi mereka yang tidak tahu, Kedua - dua insan ini adalah Ibu dan Ayah kepada Sehedimiz Ammar yang meninggal dunia di bumi Turki. Sungguh segala perancangan Allah itu yang terbaik. Kebetulan saya mendapat peluang pengajian di Universiti dan pengkhususan yang sama dengan Ammar cuma yang membezakan antara kami adalah tahap pengajian. Saat diri ini menghulurkan surat tawaran kepada Mak Cik Ina terpancar kegembiraan di wajahnya. Ucapan tahniah dan syukur tidak henti diucapkan pada saya. Perjumpaan dengan En Azam pula lebih serius dan amanat yang disampaikan cuba dihadam sebaik mungkin. Yang paling utama nawaitu untuk belajar perlu ditajdid selalu.

HARAPAN
 Tak salah bermimpi dan memasang impian, cuma bila telah berhajat harus dilaksanakan. Untuk mendapatkan sesusatu itu memerlukan azam yang tinggi dan kebergantungan pada Allah sentiasa. Barulah makna usaha itu berbaloi. Terkadang kita terlupa tak semua  yang diimpikan akan kita peroleh dan tidak semestinya tak boleh peroleh apa yang diimpi. Sentiasa tajdid niat dan azam agar segala yang diimpi pasti menjadi realiti.

inshaAllah Istanbul aq datang











  

Wednesday, 18 June 2014

Kehidupan (part 1)

Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam meniti hari hari yang lepas, saya terasa kehidupan yang dipinjam Allah ini bukanlah sekadar hidup dan nikmat. Dugaan, cabaran dan ujian adalah lumrah pelengkap kehidupan. Masa adalah pengukur kepada kehidupan dan bukan kebahagiaan semata mata. Bagi segelintir manusia kebahagiaan itu dikecapi dalam tangisan, ujian dan pengorbanan. Pemaknaan kebahagiaan itu subjektif. Hanya manusia yang faham arti syukur pasti mengecapinya. Mungkin bunyinya agak "bias" tetapi itulah lumrah hidup. Kejarlah kebahagiaan tanpa jemu. Bukan hanya dengan keduniaan sahaja mencukupi. Kalau di panjatkan doa, dirapatkan diri dengan sang pencipta dan mencoret langkah dekat padaNya pasti kebahagiaan itu melebihi yang ada dibumi.

Kotaraya Kuala Lumpur sebagai contoh, telah diconteng isinya untuk pemaknaan bahagiayang subjektif. Tujuan kehadiran si suci dari kampung ke bandar demi mencapai cita dan bahagia dilakar sedari kaki dijejak keluar dari kampung. Fantasi itu indah bukan tetapi realiti seakan neraka dunia menanti mangsa kunjung tiba. Sedikit demi sedikit kemanusiaan terhapus, membawa makna diri dengan sikap aku dan aku. Lalu siapa sahaja berhak membantu dan dibantu. Apa mungkin hanya menunggu arahan dari tuhan baru digeral hati membantu. Apakah ini manusia yang dicipta tetapi hatinya gagal fungsi diganti alat peranti kemanusiaan.

Kisah saudara di perantauan, menangisi pemergian yang tersayang, berjuang demi keamanan dan agama. Palestin, Syria, Iraq, apakah suara mereka didengar atau kau buat tuli dengan suara itu. Si kecil dari lahir hanya perjuangan menghidupkan. Lantas kita hanya bisa duduk lihat dan simpati? Itukah makna diri seseorang yang bernama insan. Letak sahaja jawatanmu sebagai manusia. Tukarkan statusmu dari khalifah dan daei, seandainya hanya nawaitu sahaja dihati.

Terkadang aku jadi hairan mana pergi kesyukuran dan kenikmatan. Apakah hanya wang dapat mengubah makna hidup, makna kesenangan dan kebahagiaan. Tidak lupa juga peranannya sebagai penghancur dan punca perpecahan. Kalau tidak dibahagi makna hidup tidak apa ada baiknya sistem itu tetapi manusia sendiri yang ingkar dan taksub. Seakan itu adalah kehidupan melewati segalanya. Lalu apa yang tinggal hanya kenangan dan kematian.

Andai dibelek sejarah lampau perdagangan, perhubungan dan komunikasi antara tempat jauh tidak terkira seakan berkurun lama hadir tapi kejujuran melewati jarak antara dua, bezanya dengan kini jaraknya didekatkan tapi musuhnya semakin dekat diumpama senafas dari depan dan belakang. Jadi siapa yang bersalah, perlu dimaki dan dicacikah yang kini atau di salah pada yang lepas. Kalau mereka belajar tentang lepas takkan di ulang kalau yang lepas menjangka yang datang pasti semuanya sama.
Yang pasti selagi hidup bertuhan, sujud dan patuh, ikut suruhan tinggal larangan, inshaAllah kebahagiaan itu sentiasa hadir dalam diri di setiap saat. Agama dijadikan tiang, amalan dijadikan paku dan kita tinggal didalamnya. Syukuri kurniaan Allah disetiap masa. Memberi pada yang perlu mengajar erti kehidupan dan berkongsi kebahagiaan membawa kepada keamanan pada dunia.

Monday, 23 January 2012

sinar cahaya selepas kegelapan


Bismillahirrahmanirrahim


setiap insan itu pernah melakukan kesilapan 
termasuk diri kita.
tak perlu dihukum mereka bila mahu berubah 
tetapi sokongan itu perlu untuk mengekalkan niat mereka itu. 
bukan secara terus mencaci 
menghina, mengherdik 
seakan hanya mereka sahaja yang buat salah 
dan diri seendiri saja suci dari dosa 
Andai anda diletak di dalam diri mereka 
apakah anda cukup kuat 
di hina, diherdik dan dicaci 

Untuk berubah itu sukar 
tetapi lebih senang sekiranya kita membantu 
untuk mereka gapai hasrat itu 
bukan terus memandang serong 
sehingga mereka kembali pada masa lalu 

Tika sinar itu mula bersinar 
jangan dimalapkan 
tika mereka jauh dari menuju ke terang 
jangan dihentikan 
pimpin mereka 
sokong mereka 
agar mereka kembali kepada jalan yang diredhai 
jalan yang diberkati 
dan yang paling penting jalan pada Sang Pencipta.. 

nota kaki : tergerak untuk menulis kata-kata ini setelah pulang melawat saudara di salah sebuah pusat pemulihan di Pahang. Moga beliau diberi kekuatan menempuh hidup di masa mendatang... Sungguh diri ini gembira melihatnya mula rapat pada Sang Pencipta dan terurus hidupnya disitu. 

Monday, 7 November 2011

si pengangkut barang


Bismillahirahmanirrahim


Keldai itu penuh pengorbanan.. 
mengangkut barang untuk tuannya.. 
setia dengan tuannya.. 

Andai sahaja kita menggantikan tempatnya 
pasti tidak akan terdaya menjadi sekuat keldai itu.. 
Moga terus kuat ke akhir hayatmu :)







Saturday, 1 October 2011

jalan lurus itu

jalan luruh itu
dimana penghujungnya?
Apakah mungkin jalan itu tujunya kearah kebahagiaan
atau kearah kesuraman
jalan lurus itu
apakah mungkin membawa ke kehidupan yang kekal
atau yang sementara
apakah kita kan memilih jalan itu?

moga -moga jalan itu membawa kepada keredhaan dan cinta yang maha esa...
Published with Blogger-droid v1.6.9

Friday, 26 August 2011

Islam agamaku dunia akhirat



Namaku Lim Thiam Foong . Nama itu hanya tinggal kenangan , aku kini bergelar Muhammad Yusoff bin Muhammad Abdullah . Berumur 21 tahun . Aku adalah anak tunggal kepada sepasang suami isteri berbangsa cina yang menetap di Petaling Jaya . Sewaktu berumur 15 tahun ibu bapaku telah terbuka hati untuk memeluk agama Islam bermaksud akupun secara automatik mesti masuk agama itu kerana masih di bawah umur 18 tahun . Saat itu ku rasakan hidupku telah berakhir , tiada lagi kebebasan melakukan segala perkara tidak mengira waktu , tetapi kini terikat dengan waktu solat 5 kali sehari yang membebankanku ketika itu .


Sejak saat itu aku sering membelakangkan ibubapaku dan selalu mengingkari arahan mereka kerana menganggap keputusan mereka itu adalah salah dan mereka akan menyesal dengan keputusan yang di lakukan . Aku bertambah benci dengan agama ini apabila kawan – kawan yang sering lepak dan keluar bersama mula meminggirkanku setelah mengetahui status ku kini yang bergelar orang islam . Selain itu , aku mula di jadikan bahan ejekan oleh rakan sedarjatku yang berbangsa cina dan sering di katakan pembelot kepada agama buddha di sekolah yang majoriti pelajarnya bukan Islam .


Yang menambahkan pilu di hatiku adalah kekasihku Michelle telah meninggalku dan mula membenciku . Cinta kami yang indah seperti cerita sehinggakan tiada siapa yang boleh memisahkan kami dan janji sehidup semati selamanya hanya tinggal kenangan . Hancur dan musnah segala – galanya bagiku dan dunia seakan sudah berakhir. Saudara - maraku juga meminggirkan keluargaku sehinggakan datuk dan nenekku tidak lagi mengaku yang ibu bapaku adalah anak mereka .


Aku yang dulunya periang dan terkenal di sekolah bertukar menjadi seorang yang dan pemarah . Pada suatu hari , ustazah Siti Aisyah memanggilku dan menyuruhku datang untuk aktiviti Persatuan Islam sekolah kerana persatuan itu wajib di sertai oleh pelajar islam di sekolahku . Pada mulanya aku menolak tetapi tiba – tiba aku terbuka hati untuk menghadiri persatuan itu . Agak janggal rasanya menyertai kelab yang di sertai oleh mereka yang tidak pernah ku sapa sebelum ini . Selepas menghadiri ke persatuan pelajar islam sekolah aku mula meyedari keindahan dan keistimewaan agamaku kini .


Di kelas agama aku lebih menumpukan perhatian daripada sebelum ini . Pada satu hari ustazah memanggilku dan memberi sepucuk surat , aku terus membuka dan membaca isi surat tersebut . Ia adalah surat jemputan ke kem kepimpinan pelajar islam selama 3 hari 2 malam yang akan berlansung hujung minggu itu dan tanpa sempat memberitahu ibubapaku aku bersetuju untuk menyertai kem itu kerana sudah pasti ibubapaku bersetuju untuk aku pergi ke kem itu . Semalaman aku tidak dapat melelapkan mata mengenangkan apa yang akan berlaku di kem .

Hari yang ditunggu muncul tiba , aku tiba di UIA di hantar oleh ibu bapaku selepas solat jumaat . Sesampai di sana , beberapa rakan sekolahku telah sampai dan kami mendaftar diri bersama – sama dan kami dapat menginap di bilik yang sama . Inilah pertama kali aku tinggalkan rumah untuk aktiviti keagamaan dan walaupun keadaan bilik hostel kami itu tidak secantik bilikku di rumah , tetapi ia telah mengajarku erti kehidupan dan rasa syukur dengan apa yang kita ada . Aktiviti bermula selepas solat asar , seperti biasa aktiviti yang biasa di lakukan adalah sesi ice breaking .

Banyak aktiviti yang dijalankan sewaktu kem itu menyedar dan menginsafkanku serta membuatkanku menyesal atas segala yang aku lakukan semenjak menjadi seorang muslim . Pada hari kedua di kem itu , seorang penceramah telah memberi ceramah yang mengubah diriku dan memberi impak dalam diriku sehingga kini . Segala yang dikatakannya telah membuka mata dan hatiku untuk menjadi seorang muslim yang sejati. Aku juga tidak lagi berasa keseorangan kerana kini aku mempunyai ramai kawan dalam erti kata yang lain kawan sejati yang boleh menolongku dalam apa jua keadaanpun .

Setelah pulang dari kem itu aku membuat ikrar untuk menjadi seorang yang berani seperti sahabat rasulullah , Saidina Umar bin Al Khattab yang berani dan tegas dalam menegakkan agama Islam dan memerintah kerajaan khulafa’ ar – rasyidin pada suatu masa dahulu . Tiada lagi rasa gentar untuk bertemu kawan yang meminggir dan membuliku . Aku bukanlah Lim tetapi Yusoff dan Yusoff ini bukan yang sering di perkotak – katikkan oleh rakan bukan islam .

Semua itu adalah kisahku di sekolah menengah dan hanya menjadi kenangan buatku sepanjang hayat . Kini aku sedang melanjutkan pelajaran di UIAM dalam bidang pyschology supaya boleh memahami seseorang manusia itu dengan lebih mendalam . Ibu bapaku akan berangkat ke tanah suci mekah pada tahun ini untuk menunaikan haji . Mereka sangat gembira dengan perubahanku sejak pulang dari kem itu . Aku di maklumkan rakanku bahawa michelle sekeluarga telah memeluk islam , syukurlah mereka telah terbuka hati dan berada di jalan yang benar . Aku percaya segala yang baik datang dari ALLAH . fii emanillah .


p/s: Allah sayangkan setiap hamba-Nya .. 

Thursday, 18 August 2011

mereka menanti dengan harapan

Bismillahirahmanirrahim .. 

Alhamdulillah syukur pada Allah SWT kerana memberi peluang diri ini bernafas dan berpuasa di bumi penuh pancaroba.. Wahai hamba Allah sekalian, pada post kali ini yang ku nukilkan dengan air mata, mengharap akan ada sinar buat mereka -mereka yang saya fikir suara mereka kian sayup-sayup kedengaran... 

 AIR MATA HARAPAN SOMALIA 

Di saat ini  
tanahmu gersang dan kontang 
sumber makanan dan minuman berkurangan 
manusia bertempiaran di jalanan 
anak-anak kecil kesakitan 


hari demi hari 
kau menanti bantuan dan sinar harapan 
agar bisa mendapat sesuap makanan dan seteguk minuman 
kau tidak pernah mengeluh dan 
menyalahkan tuhan atas segala yang berlaku 


ada berduka dan ada yang tersenyum 
disaat menunggu kematian 
dan disaat melihat yang lain pergi meninggalkan dirimu


dalam usahamu mencari 
ada yang tersungkur jatuh
rebah di tengah jalan 
mengharap akan ada esok untuk diri 
meneruskan hidup di muka bumi 


ibu-ibu menangis 
mengenang anak yang sakit 
anak yang lapar 
diri yang tidak punya apa-apa 
hanya doa sebagai bekalan 



wahai manusia 
tidakkah kau berasa kasihan?
melihat mereka begini 
tangisan mereka hanya tinggal debu 
hati mereka tidak mampu berasa sayu lagi 
sudah cukup kuat di duga Tuhan 


mereka yang sedang menarik nafas-nafas akhir kehidupan 
memohon diberi belas kasihan 
bukan untuk diri sendiri tapi pada semua yang memerlukan
bantulah mereka seikhlasnya 
tanpa meminta balasan 

moga Allah sentiasa menjadikan mereka cekal di bumi gersang 





nota kaki: setiap dari kamu itu bersaudara..... bantulah mereka ... doaku buatmu somalia takkan berhenti .. 

Thursday, 4 August 2011

pengubat duka




 Di saat berduka
Di saat kecewa 
Di saat hampa 
ingat Allah masih ada 
bersama setiap masa 


tatkala berduka ingatlah dia 
tatkala kecewa mohon padanya 
agar kurang kesedihan yang dialami 

manusia tak mungkin mengubat 
kerana tanpa izin-Nya tak mungkin 
hamba-Nya yang lain dapat membantu 

di hamparan sejadah 
mahupun di selubungi selimut
berzikirlah 
mengingat Allah yang esa . 

Zikir itu tidak perlu dipaksa 
kerana ia akan datang dengan sendiri 
dengan berusaha 

amalkan selalu 
insyaAllah disaat berduka tiada rasa peritnya 
kerana anda percaya Allah sentiasa ada... 


p/s: percayalah Allah sentiasa ada bersama kita..  





Friday, 19 November 2010

si tua di muara sg sarawak


Si tua itu 
berdayung hampir setiap hari 
untuk rezeki 
bagi mengisi hidup 

Si tua itu 
walaupun terukir senyuman 
tetapi raut wajahnya penat

Si tua itu 
pagi dan petang 
meredah sg sarawak
yg dianggap sg emas 
sumber kehidupan 

Doaku untukmu wahai Si tua 
tenang selalu 
karna walaupun dipandang enteng kerjamu 
tetapi usahamu di pandang tinggi Allah 

Teruskan mendayung dengan keikhlasan 
memerah keringat di sg emas 


nota kaki : percubaan untuk mencipta puisi , datang dr hati turun ke jari .. gambar ditangkap ketika trip ke Sarawak Mac 2010