Pages

Showing posts with label kehidupan. Show all posts
Showing posts with label kehidupan. Show all posts

Wednesday, 19 June 2019

Syukur



Bismillahirahmanirahim. 

Saat ini, di waktu jemari menari di papan kekunci, saya melihat keluar awan senja sedang menyapa dilangit Istanbul. Deruan angin petang menghembuskan dingin menghilangkan hangat siang musim panas kali ini. Dalam masa yang sama saya sedang menghitung syukur pada yang Esa. Hari ini sedari pagi saya rasakan sedih dan pilu, seakan awan hitam menyinggah dilubuk hati. Terkenang yang jauh dan kenangan yang lepas dengan yang pernah singgah menjadi yang tersayang. Bukan satu dua tetapi ramai. Bukan hanya kekasih nan satu tapi jua rakan-rakan dan adik-adik yang pernah bersama dulu. Ditambah pula dengan dugaan dalam impi dan cita. Sungguh duka dan sakit rasanya. 

Dalam pada sedih itu dihadirkan rasa syukur dari Sang Pencipta. Penyembuh kedukaan yang dirasa tiba-tiba. Diilhamkan pada saya satu perkara, menghitungkan apa yang sedia ada yang diberi kurnia. Bukan satu dan dua tetapi lebih banyak dari yang ditangisi hiba. Misalannya yang boleh dikira, diberikan rezeki pada mama untuk hadir disini menemani diri ini. Diberi berkat dan semangat serta nasihat. Disalurkan cinta dan cita supaya tidak kurang rahmat. Malah bukan hanya itu, isi emosi, isi hati, isi akal dan perut juga dipenuhkannya bersama cinta. Itulah berkat seorang Ibu yang Allah kurniakan. Sama juga dengan mereka yang betul-betul menyanyangi diri ini dan tidak membiarkan diri tersisih sepi. Yang meletakkan prioriti pada satu ini supaya kuat menghadapi apa sahaja didepan ini. Suka dan duka. Tangis dan tawa. 


Lalu saya bertanya kembali kepada diri. 
Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan. 
Semua diberi hanya tinggal dirimu untuk mengerti dan memahami. 
Tadahkan tangan dan ucapkan syukur padaNya yang memberi bila kita memerlukan bukan diberi begitu sahaja. Kerana kalau pemberian begitu sahaja tanpa makna membuatkan manusia menjadi alpa. 
Terima Kasih Allah. 
Dengan nikmat. 
Dengan kurnia. 
Dengan segalaNya. 



Dari birai tingkap 
Teratak Sanggar Rasa 
Capa sehremini, Istanbul, Turki. 
2006 pm 
19.6.2019.

Thursday, 10 July 2014

kehidupan (part 2) Tangisan Syurga Gaza dan Syria

Bismillahirrahmanirrahim 

      Dingin pagi sahur ramadhan, meniti masuk ke minggu kedua di bulan yang penuh barakah dan nikmah, kita perlu bersyukur bumi yang indah ini aman. Tiada bunyi tembakan, tiada teriak tangisan dan ketakutan, tiada gegar gempita serta percikan api dimerata tempat. Kalau mereka disana berpeluang bersahur di dunia dan berbuka diakhirat. Trauma itu tidak terkata tetapi iman dihati melenyapkan perasaan itu.  Hari ini mungkin mereka menangis sepuas hati, esok mereka kembali berjihad mempertahankan tanah suci. 

      Atas dasar kedamaian dan hak, di musnahkan kehidupan, dirobohkan tempat berlindung dan dihanncurkan masa hadapan. Apakah ini makna kedamaian yang diagung-agungkan. Kalau benar ini damai kenapa tidak mulakan dengan kemaafan dari dilontar kemarahan dan kemusnahan. Ini sama sekali bukan cara untuk memaafi atau melindungi, ini hanya cara melafazkan kebencian dan keegoan dihati. Andai sahaja bukan begitu hati mereka ini yang tidak berhati dan  hanya hidup dengan aliran darah kekejaman pasti makna kemanusiaan sebenar akan dikecapi. 

      Kalau benar ingin menakluk kota suci demi menyempurnakan agama yang sudah pesong dan kotor, hentikan sahaja hasratmu itu. Tanah suci ini adalah milik yang berhak bukan exclusif untuk kamu dan puak kamu sahaja. Ini telah memberi gambaran betapa kejinya sikapmu. Berdirilah dengan kakimu sendiri, lawan dengan kami menggunakan cara sendiri, alat sendiri dan tidak menyorok di belakang raja dunia. Hanya dengan menggunakan peralatan dan bersikap duniawi pasti kau menang tapi hanya di sini sahaja, jalanmu selepas ini sudah pasti di satu tempat yang kau sendiri sudah ketahui. 

      Rasulullah SAW bersabda:“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang sentiasa berjuang bersama-sama kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian.” Maka para sahabat bertanya,”Dimanakah mereka?” Jawab Rasulullah, ” Di Baitul Maqdis dan sekitarnya”.(Riwayat Bukhari)

     
     Dalam meniti hari ini, di pinggir tanah suci, tempat bermulanya arah kiblat sebelum di arah ke masjidil haram dibasahi dengan darah para syuhadak yang berjuang memelihara kesucian tanah ini. Andai sahaja diberi peluang untuk keluar pasti tidak dilakukan atas rasa tanggungjawab dan kecintaan pada agama dan negara. Bulan yang mulia ini dimulakan dengan pesta berdarah dan bunga api bertalu - talu ke arah tanah Palestin. Gaza terutamanya menjadi sasaran rejim Zionis yang senantiasa laparkan darah dan tanah. Apakah mungkin dilakukan perkara ini kerana takut, bersatunya rakyat Palestin dari dua aliran berbeza Fatah dan Hamas maka berakhirlah sudah riwayat mereka. Mereka menganggap dalam bulan ini pasti akan dikerah lebih lagi semangat dan bantuan untuk menjatuhkan mereka lantas disiapkan alatan bantuan untuk melawan keimanan. 

    Perkara yang sama dialami mereka yang berada di Syria. Saban hari jumlah pelarian dan mangsa terkorban meningkat. Hanya kerana dek kuasa untuk menjadi raja di dunia, seorang insan sanggup membunuh orang lain untuk mengekalkan kuasa yang hanya sementara. Anak - anak kecil yang dahulunya bermimpi untuk hidup yang indah bersama keluarga kini hanya mengimpikan kedamaian dan makanan. Dibunuh cita-cita dan makna sebenar kehidupan. Sehari-harian untuk makan adalah satu rahmat dan kita disini mati kekenyangan. Apalah rasa dalam hati membaca dan mendengar kisah mereka? adakah dilekatkan rasa kasihan? Apakah hanya bermusim ? atau Sentiasa ada ruang di hati dan minda setiap umat Islam di tempat lain? 


      Usaha murni telah dilakukan oleh segelintir rakyat yang peduli dan menjadi penggerak fardhu kifayah untuk kita yang selalu mengatakan kekurangan waktu untuk membantu. Kini segalanya dihujung jari, apalah salahnya sekiranya disumbang sedikit untuk mengurangkan beban mereka. Mahu ke sana dan perang bukanlah adat kita dari sini. Doa dan usaha adalah yang terbaik. Keterbatasan berada di baris utama bukan alasan untuk memberi dan mengurangkan beban mereka. Kerana janji Allah itu pasti. 






Semoga Allah menahan kekuatan orang-orang kafir dan Allah yang lebih kuat dan lebih sangat siksaNya. Ya Tuhan yang Maha Pemelihara dan Maha Pemberi Keselamatan." (An Nisaa':84)


p/s: doa jangan henti kerana itulah senjata manusia paling berkesan. 


  

Wednesday, 18 June 2014

Kehidupan (part 1)

Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam meniti hari hari yang lepas, saya terasa kehidupan yang dipinjam Allah ini bukanlah sekadar hidup dan nikmat. Dugaan, cabaran dan ujian adalah lumrah pelengkap kehidupan. Masa adalah pengukur kepada kehidupan dan bukan kebahagiaan semata mata. Bagi segelintir manusia kebahagiaan itu dikecapi dalam tangisan, ujian dan pengorbanan. Pemaknaan kebahagiaan itu subjektif. Hanya manusia yang faham arti syukur pasti mengecapinya. Mungkin bunyinya agak "bias" tetapi itulah lumrah hidup. Kejarlah kebahagiaan tanpa jemu. Bukan hanya dengan keduniaan sahaja mencukupi. Kalau di panjatkan doa, dirapatkan diri dengan sang pencipta dan mencoret langkah dekat padaNya pasti kebahagiaan itu melebihi yang ada dibumi.

Kotaraya Kuala Lumpur sebagai contoh, telah diconteng isinya untuk pemaknaan bahagiayang subjektif. Tujuan kehadiran si suci dari kampung ke bandar demi mencapai cita dan bahagia dilakar sedari kaki dijejak keluar dari kampung. Fantasi itu indah bukan tetapi realiti seakan neraka dunia menanti mangsa kunjung tiba. Sedikit demi sedikit kemanusiaan terhapus, membawa makna diri dengan sikap aku dan aku. Lalu siapa sahaja berhak membantu dan dibantu. Apa mungkin hanya menunggu arahan dari tuhan baru digeral hati membantu. Apakah ini manusia yang dicipta tetapi hatinya gagal fungsi diganti alat peranti kemanusiaan.

Kisah saudara di perantauan, menangisi pemergian yang tersayang, berjuang demi keamanan dan agama. Palestin, Syria, Iraq, apakah suara mereka didengar atau kau buat tuli dengan suara itu. Si kecil dari lahir hanya perjuangan menghidupkan. Lantas kita hanya bisa duduk lihat dan simpati? Itukah makna diri seseorang yang bernama insan. Letak sahaja jawatanmu sebagai manusia. Tukarkan statusmu dari khalifah dan daei, seandainya hanya nawaitu sahaja dihati.

Terkadang aku jadi hairan mana pergi kesyukuran dan kenikmatan. Apakah hanya wang dapat mengubah makna hidup, makna kesenangan dan kebahagiaan. Tidak lupa juga peranannya sebagai penghancur dan punca perpecahan. Kalau tidak dibahagi makna hidup tidak apa ada baiknya sistem itu tetapi manusia sendiri yang ingkar dan taksub. Seakan itu adalah kehidupan melewati segalanya. Lalu apa yang tinggal hanya kenangan dan kematian.

Andai dibelek sejarah lampau perdagangan, perhubungan dan komunikasi antara tempat jauh tidak terkira seakan berkurun lama hadir tapi kejujuran melewati jarak antara dua, bezanya dengan kini jaraknya didekatkan tapi musuhnya semakin dekat diumpama senafas dari depan dan belakang. Jadi siapa yang bersalah, perlu dimaki dan dicacikah yang kini atau di salah pada yang lepas. Kalau mereka belajar tentang lepas takkan di ulang kalau yang lepas menjangka yang datang pasti semuanya sama.
Yang pasti selagi hidup bertuhan, sujud dan patuh, ikut suruhan tinggal larangan, inshaAllah kebahagiaan itu sentiasa hadir dalam diri di setiap saat. Agama dijadikan tiang, amalan dijadikan paku dan kita tinggal didalamnya. Syukuri kurniaan Allah disetiap masa. Memberi pada yang perlu mengajar erti kehidupan dan berkongsi kebahagiaan membawa kepada keamanan pada dunia.