Pages

Showing posts with label azam. Show all posts
Showing posts with label azam. Show all posts

Monday, 1 September 2014

Mimpi jadi realiti ( jalan menuju Istanbul)

Bismillahirahmanirrahim 

    Apa khabar hendaknya semua yang singgah di blog saya yang sudah bersawang ini? Harapnya baik - baik sahaja dan terus di berkati sang Pencipta, Allah SWT. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin bagi tahun 2014. Walaupun hanya tinggal beberapa hari untuk mengakhiri bulan yang mulia ini. Berbalik kepada tajuk blog kali ini, mungkin ada yang teragak - agak mimpi apakah itu? Saya kembali membelek blog post saya yang lepas dan pada tahun ( mimpi ke Turki ), saya ada menyatakan hasrat untuk ke Turki dan alhamdulillah mimpi itu bakal jadi realiti. 

    Pada tanggal 25 Julai 2014 jam 2:59 pagi saya telah menerima email dari pihak Turkiye Burslari. Pada mulanya saya yang ketika itu belum tidur terkejut menerima email di tengah malam. Saya tidak memahami bahasa yang dinukil apabila di 'scroll down' terjemahan dalam bahasa Inggeris kelihatan. Saat itu juga saya pergi mengejutkan mama dan baba yang sedang nyenyak tidur untuk mengkhabarkan berita tersebut. Sedari saat membaca email tersebut air mata bercucuran jatuh, sujud syukur dilakukan tanda bersyukur dan terima kasih atas pemberian yang tak terhingga. Saya telah ditawarkan biasiswa penuh daripada kerajaan Turki untuk melanjutkan pengajian dalam peringkat Master Degree di Universiti Marmara dalam bidang Sejarah Islam. 

PAGI YANG INDAH 

surat tawaran 

   Keesokan harinya saya bangkit seperti biasa tersenyum riang memikirkan tawaran biasiswa yang diterima. Dalam masa yang sama kami sekeluarga sedang sibuk menyiapkan barang - barang untuk dibawa pulang untuk sambutan hari raya. Sungguh syukur tak terhingga diungkap, mama dan baba turut berkongsi perasaan yang sama. Di mata mama terpancar cahaya kesyukuran yang tak terhingga. Mama cakap padaku, "Adik tau tak mama tak henti doakan adik supaya dapat sambung belajar sepanjang ramadhan ni ". Saya terus sebak mendengar kata - kata mama. Sungguh seorang ibu akan sentiasa doakan anaknya. Doa seorang ibu itu sangat berharga. 

   Beberapa nama yang naik dalam minda sejurus menerima berita terus saya beritahu terutamanya lecturerku dari Turkey, Dr Mehmet Mehdi Ilhan. Beliau pernah berpesan sekiranya dapat keputusan biasiswa tersebut beliau ingin jadi antara yang terawal untuk ketahui dan saya jadikan kenyataan dengan menelefon beliau sepantas mungkin. Beliau meluahkan rasa syukur dan tahniah kepada saya. Sejurus itu, saya menghubungi beberapa orang rakan karib untuk mengkhabarkan berita tersebut dan mereka juga turut gembira. 

bersama teman sekampus yang bakal terbang bersama ke Turki
  Pada awalnya baba dan mama sudah berpesan, jangan dihebahkan dalam media sosial sebelum saya pergi ke Kedutaan Turki dan menandatangani perjanjian penerimaan. Saya simpan dulu dan khabarkan perkara tersebut kepada rakan- rakan. Alhamdulillah setelah selesai menandatangani dokumen baru saya keluarkan sedikit demi sedikit hint yang saya akan terbang tak lama lagi. Urusan yang perlu dilakukan untuk mencapai ke sesi tandatangan sungguh berliku ( inshaAllah saya akan kongsikan pada entry khas). 

PERJUMPAAN BERSAMA EN AZAM DAN MAK CIK INA

 Setelah menerima berita gembira, perkara pertama di pesan mama adalah untuk dimaklumkan pada En Azam dan Mak Cik Ina. Bagi mereka yang tidak tahu, Kedua - dua insan ini adalah Ibu dan Ayah kepada Sehedimiz Ammar yang meninggal dunia di bumi Turki. Sungguh segala perancangan Allah itu yang terbaik. Kebetulan saya mendapat peluang pengajian di Universiti dan pengkhususan yang sama dengan Ammar cuma yang membezakan antara kami adalah tahap pengajian. Saat diri ini menghulurkan surat tawaran kepada Mak Cik Ina terpancar kegembiraan di wajahnya. Ucapan tahniah dan syukur tidak henti diucapkan pada saya. Perjumpaan dengan En Azam pula lebih serius dan amanat yang disampaikan cuba dihadam sebaik mungkin. Yang paling utama nawaitu untuk belajar perlu ditajdid selalu.

HARAPAN
 Tak salah bermimpi dan memasang impian, cuma bila telah berhajat harus dilaksanakan. Untuk mendapatkan sesusatu itu memerlukan azam yang tinggi dan kebergantungan pada Allah sentiasa. Barulah makna usaha itu berbaloi. Terkadang kita terlupa tak semua  yang diimpikan akan kita peroleh dan tidak semestinya tak boleh peroleh apa yang diimpi. Sentiasa tajdid niat dan azam agar segala yang diimpi pasti menjadi realiti.

inshaAllah Istanbul aq datang











  

Thursday, 10 January 2013

tahun baru, azam recycle

Bismillahirrahmanirrahim.. 


Tahun lalu, 2012 telah memberikan terlampau banyak kisah pahit, manis, sedih, gembira, tawar, masin, kelat semua jenis rasa dalam hidup tapi yang paling penting masa merasa hidup bertuhan. Ya saya percaya sebaik - baik perancangan adalah rancangan yang ditetapkan oleh Allah. kita sebagai manusia perlu merancang dan berusaha melaksanakan selepas itu biar Allah menentukan apa yang terbaik :)



ALLAH berfirman dalam al-Quran “Dan Mereka Merancang(tipu daya),Allah juga merancang(membalas tipu daya),Dan ALLAH sebaik-baik Perancang(membalas tipu daya)”
surah al-Imran : 54


Setelah sekian lama menyepi dari menaip di sini saya kembali. Maaf tak sempat nak menaip dan berkarya disini. banyak sebab musabab yang meminda agenda berblogging ni. Moga lebih rajin diri ini mengupdate akan datang insyaAllah. 

Setiap kali tahun baru menjelma, mesti semua akan mula memasang azam untuk dilunaskan di tahun ini dan yang pasti tak semua azam- azam tersebut terlunas di tahun sebelumnya. Bukan nak menjatuhkan semangat mereka yang memasang hajat, cuma saya fikir tak salah memasang hajat tapi sebaiknya "walk the talk" (ditujukan pada diri sendiri juga). So saya rasa yang terbaik bawa ke depan hajat yang yang tak terlunas dan tambah(jika perlu) hajat baru. 

Bagi saya, hajat yang sudah dilunaskan juga perlu di lakukan semula untuk diperbaiki jika perlu. Hajat dan azam tahun baru saya tak banyak berubah. Masih banyak yang sama (sebab saya punya hajat yang banyak) cuma tahun ini punya penambahan sikit. Ada 5 azam baru yang insyaAllah akan cuba dilunaskan di tahun ini :)

"Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya".
Surah Ali-Imran : Ayat 159



Untuk tahun 2013, azam yang baru masuk carta hajat tahun 2013 saya adalah seperti berikut:

1. terbang ke destinasi yang di impikan (Istanbul 2013)

2. masuk marathon 

3. naikkan pointer lagi supaya tak payah bayar PTPTN 

4. buat perancangan master di Istanbul 

5. boleh memandu dengan cekap 


Kesemua diatas nampak simple tapi memerlukan keazaman dan semangat juang yang tinggi untuk dilaksanakan. Mohon semua kirimkan doa buat saya ye :) saya tidak mahu hanya sekadar di taip sahaja azam-azam ini tapi mahu "walk the taip". Mogakan terlaksana. bagi 5 azam yang di recycle biar saya sahaja yang tahu dan moga akan tercapai dan tergapai.

 Saya ingin sekali mencontohi semangat Sultan Mehmet II Fateh dalam membuka Kota Constantinople (kini Istanbul). Dalam usaha awalnya, kegagalan secara berterusan berlaku dan beliau serta askar hampir berputus asa tetapi setelah mendengar tentang kisah seorang sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub Al Ansari RA yang  tidak mahu terlepas daripada menyertai kempen jihad fisabillah tersebut. Peperangan tersebut berlaku pada 674M semasa pemerintahan dinasti Umaiyyah. Ketika itu, umur Abu Ayub sangat tua iaitu dalam lingkungan 98 tahun. Miskipun uzur, Abu Ayub tetap berkeras mahu turut ikut serta dalam kempen bersejarah tersebut. Kempen tersebut diketuai oleh anak kepada Muawiyyah bin Abi Sufian, Yazid bin Muawiyyah. Amanat terakhir beliau sebelum meninggal dunia adalah supaya beliau ditanamkan berdekatan dinding konstantinople. Ini kerana dia ingin mendengar bunyi derapan kuda Islam yang akan membuka kota dan melunaskan kata Rasulullah iaitu " sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik askar yang akan berjaya membuka kota tersebut"


Ibrah dari cerita tersebut membawa kepada pembukaan kota tersebut dan jatuhnya kota tersebut ke tangan Islam. Sungguh dengan keazamaan dan cita-cita beserta usaha dan tawakal segala mimpi bisa menjadi realiti. Cuma kita yang membezakan keberlansungan dan kejadian perkara tersebut. Sampai di sini sahaja dahulu. Moga saya akan diberi lebih banyak lagi kelapangan mengemaskini blog ini insyaAllah. 


Nota kaki : doa tidak putus untuk saudara seIslam di Gaza, Syria, Arakan dan seluruh dunia. 

Friday, 2 December 2011

penghijrahan ke tahun baru 1433

Bismillahirahmanirahim.. 


Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana masih diberikan nikmat hidup di bumi-Nya dan menempuh tahun baru hijrah 1433. Tahun baru Islam di sambut saban tahun tetapi tidak oleh semua kerana kita sudah terbiasa dengan tahun baru masihi yang diajar dan didik pada manusia sejak lahir lagi. Mungkin mereka berjaya menakluk mentaliti kita tetapi tak mungkin mereka akan dapat memadamkan Islam dari jiwa kita.

Berkesempatan dengan ini saya ingin mengucapkan selamat menempuh tahun baru hijrah pada semua dan berharap kita semua dapat menjadi umat yang lebih baik, hamba yang lebih patuh pada Tuhan-Nya. Selain itu, diharapkan agar semua menyelami dan menghayati kisah penghijrahan Rasulullah SAW daripada Mekah ke Madinah. Kisah persaudaraan Ansar dan Muhajirin dan yang pasti kisah bermulanya agama kita dan perjuangan untuk menyebar dan memasuki hati-hati manusia tika itu yang kita boleh implimentasikan pada zaman ini.

Selalunya bila dengar tahun baru mesti kita akan pasang niat nak berazam baru bukan? Apa kata kali ni kita tukar waktu untuk buat azam baru. Berhijrah dari meletakkan azam baru di tahun masihi ke tahun hijrah . Mungkin sukar tapi kalau kita mulakan dari sekarang mungkin akan jadi kebiasaan di masa hadapan? Tahun in saya mulakan! sebab saya mahu membiasakan diri dengan tahun hijrah dan bulan-bulan di dalamnya.

Dan seperti biasa saya suka berazam setiap kali masuk tahun baru . Antara Azam saya pada tahun ini adalah :
- menjadi anak,wanita,sahabat solehah
-berbakti pada Mama, Baba dan Kakak
-dapat naikkan pointer
-dapat berkhidmat dan beri komitmen pada setiap badan yang saya sertai
-teruskan buat orang gembira
-melawat ke luar negara lagi
-terus belajar dan menimba pengalaman sebanyak mungkin
-dan yang pasti mencari redha Allah, menjadi hambanya yang sentiasa sujud dan patuh padanya dan menjadi ummat yang bisa membuatkan Rasulullah SAW tersenyum di atas sana

Sebenarnya banyak je lagi list azam tapi tak semua boleh di beritahu disini bukan takut-takut kalau tak terlaksana. Tapi apapun saya berharap dengan azam baru, semangat baru saya dapat terus berjaya dalam hidup beserta dengan rahmat Allah. Saya akan buat yang terbaik untuk memastikan kesemua azam saya terlaksana InsyaAllah :)

nota kaki: Pasang niat dan laksanakan niat adalah sebaik-baik perkara dan niatlah kerana Allah taala :)