Pages

Showing posts with label nota hati. Show all posts
Showing posts with label nota hati. Show all posts

Monday, 19 April 2021

#notaramadhan Hari ke 7

 

Bismillahirahmanirahim 




Alhamdulillah thumma alhamdulillah. Hari ini masuk hari ke tujuh kita berpuasa. Alhamdulillah hari ke tujuh juga kita dapat berterawikh inshaAllah dan Alhamdulillah hari ke tujuh juga kita dapat bersahur dan semua ini biiznillah (dengan izin Allah). Hati saya terpanggil untuk menulis dihari ini. Di hari yang saya paling suka nombornya iaitu 7. Kenapa 7? Sebab saya dilahirkan di bulan 7. Hehe. Setakat 7 hari ini apa yang telah anda semua capai? Saya juga sentiasa bertanya pada diri saya juga.

Kalau sedari mula ramadan ada yang telah mula berhijab @ bertudung, tahniah saya ucapkan. Kalau ada yang berniat untuk bertudung tahniah juga saya ucapkan. 

Kalau sedari mula ramadan ada yang dapat solat terawikh dan konsisten solat terawikh dan witir tidak kira berapa rakaat, 8, 16, 20 tahniah saya ucapkan. Kalau ada yang berniat untuk melakukannya tetapi punya kekangan tahniah juga saya ucapkan. 

Kalau sedari mula ramadan ada yang cuba konsisten buat qiamulail, tahniah saya ucapkan. Kalau ada yang berniat untuk lakukan sedemikian tapi belum mampu tahniah saya ucapkan. 

Kalau sedari mula ramadan ada yang cuba kawal makan, tahniah saya ucapkan. Kalau ada yang berniat untuk mengawal tapi belum buat perlahan tahniah saya ucapkan. 


Kenapa saya ucapkan tahniah walaupun yang kedua tidak dapat melakukan atau menyelesaikan dan hanya berniat untuk lakukan? Sebab inna ma al a'malu bin niatti (setiap yang kita lakukan perlu dimulakan dengan niat). Lihat sahaja pada solat kita perlukan niat untuk mulakan dan ia adalah salah satu rukun solat. Jika tidak dilakukan tidak sempurna. Sama juga dengan puasa, kita perlu berniat puasa kerana ia adalah salah satu rukun puasa. InshaAllah Allah mengetahui niat kita dan akan perkenankan ganjaran walaupun dengan berniat. Tetapi ingin saya ingatkan sebaik-baik niat adalah niat kerana Allah dan disusuli dilaksanakan kerana Allah. Diharap kita hindari hati dan diri kita dari berniat perkara yang tidak disukai Allah. Niat juga adalah pembuka pintu kepada kebaikan dan penunjuk arah perkara dan matlamat kerjaan yang kita ingin lakukan. 




Seminggu berlalu saya rasakan seperti sehari singkatnya. Hidup kita dan hari dah semakin pendek ke? Tempoh dari pagi ke malam juga terasa pendek. Ada dua possibility antara saya gunakan waktu dengan bermanfaat ataupun sebaliknya. Moga Allah tahu apa yang saya kerjakan dan redhakannya dengan ganjaran. Suka ingin saya kongsikan satu perkara. Di bulan ramadan kali ini salah satu niat dan hajat saya adalah untuk menghabiskan baca buku MizzNina - Light for the Lost Soul. Jujur saya katakan saya mula jatuh hati dengan buku ini sedari muka surat pertama. Sekarang saya dibahagian pendahuluan. Saya tak sabar rasanya nak habiskan dan selami kandungan buku ini yang ditulis terus dari hati oleh mizznina. Cara penghasilan buku ini pula tak tumpah seperti Mizi Wahid (mentor projek buku dia). Doa saya dalah satu hari nanti saya dapat berkerjasama dengan Mizi Wahid dan Mizznina juga. (sebut Amin). Penuh dengan pengalaman, nasihat, juga ada poem yang dimasukkan. Menariknya ada juga QR CODE untuk kita scan dan dapat access ke music untuk didengar sewaktu membaca. Penjelasan secara lebih lagi dalam youtube or QALBYAPPS. Moga usaha Mizznina mengejar mardhatilah dan rahmat ALLAH diberikan ketetapan hati dan minda. 




Bagi yang baru mahu memulakan habit baru, melunaskan niat yang dipasang awal ramadan teruskan. Kita masih berbaki kurang lebih 22 ke 23 hari untuk melaksanakannya. Tidak terlambat mahupun cepat. Seperti mati dan jodoh. Allah dah janjikan tak lambat tak cepat tapi tepat pada waktunya. KUN FA YA KUN. Bagi yang telah mula saya doakan agar istiqomah sehingga selepas ramadan dan terus terusan sampai kita masuk syurga Allah inshaAllah. 

Allah berfirman dalam sebuah hadis qudsi,

"Aku menyesuaikan diri dengan sangka hamba-Ku terhadap Ku. Dan Aku bersamanya ketika ia mengingat Ku. Apabila ia mengingat-Ku dalam hatinya, Ku ingat dia dalam hati-Ku."

"Kalau dia mengingat-Ku dan menyebut-nyebut Ku di depan umum, maka Ku ingat dan Ku sebut-sebut dia di khalayak yang lebih baik. Siapa yang mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta. Dan siapa yang mendekat sehasta, Aku akan mendekat kepadanya sedepak."

"Dan siapa yang datang kepada Ku dengan berjalan, Aku datang menyambutnya dengan berlari," 


Moga kita tergolong dalam orang yang sentiasa mahu mengejar mardhatillah Allah. Moga kita dimasukkan ke dalam syurga, dimudahkan mizan, ditetapkan jalan menuju Allah. Doakan saya juga istiqomah ye. Saya doakan buat mereka yang membaca blog ini. Moga kita sama-sama berjalan menuju Allah SWT. Juga saya doakan sahabat-sahabat yang hilang, Allah tunjukkan jalan untuk pulang padaNya. Kerana Allah sayangkan setiap satu ciptaanNya dan kita adalah salah satu ciptaan teragung telah diciptakanNya. 


Salam Ramadan 1442H 


-mira- 

Taman Harmoni, 

Masjid Tanah Melaka.


Monday, 30 November 2020

Hari akhir November 2020

Rindu pada ruang ini 
 

Bismillahirahmanirrahim 


Hari ini hari akhir bulan ini 

Sungguh bulan ini banyak yang berlaku 

Banyak emosi yang saya akur 

Banyak juga yang keluar dari terbuku 


Hari ini saya keliru 

Fikir dan emosi diganggu

Tidur tak menentu, sedih tak berair mata seperti selalu 


Hari ini saya ingin bermimpi 

Agar esok semua yang diimpi jadi realiti 

Menghadap hari yang tidak pasti 


Esok bulan baru 

Bulan akhir di tahun ini 

Sungguh 2020 itu lain 

Tahun aneh sebelum hidup bertukar 30 


Bulan akhir saya ingin guna sehabis baik 

Supaya boleh ubah 

Ubah kepada kebaikan 

Ubah kepada ketaatan 

Ubah kepada fokus 

Ubah untuk 2021 


Banyak lagi yang mahu dicapai 

Walaupun nampak seperti sukar tergapai 

Tuhan jangan kau tinggal saya 

Atau saya jauh darimu

Kerana hanya kau yang saya perlu dan ada 

Untuk meniti hari yang tidak diduga

Kerana hidup didunia yang seketika ini 

Terasa lama bila tidak buat apa-apa. 


p/s:

Moga saya istiqomah dengan jalan yang dipilih 

Moga dimurahkan rezeki untuk menggembirakan keluarga dan orang lain 

Moga impi dan cita jadi realiti 

Moga boleh memberi dan terus lupa 



Saturday, 20 October 2018

Kembali menulis

Assalamualaikum. 
Hampir sahaja lupa wujudnya ruangan pena ini tetapi digerakkan hati mengintai. 
Moga dan impi diri ini untuk kembali menulis dan menukilkan. 
Kisah jalan hidup disini dan peri yang boleh menjadi kenang-kenang disini. 
Mungkin tidak senang tetapi moga moga semangat menulis kembali. 
Kerana banyak sekali dilalui dan syukur. Syukur adalah perkataan yang paling sesuai untuk mengambarkan rasa ini. 
Alhamdulillah ala kulli hal. 
Semoga berjumpa di nukilan seterusnya. 

Wallahualam. 

Capa Sehremini, Istanbul, Turki. 
20.10.2018 


Monday, 1 September 2014

Mimpi jadi realiti ( jalan menuju Istanbul)

Bismillahirahmanirrahim 

    Apa khabar hendaknya semua yang singgah di blog saya yang sudah bersawang ini? Harapnya baik - baik sahaja dan terus di berkati sang Pencipta, Allah SWT. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat hari raya maaf zahir dan batin bagi tahun 2014. Walaupun hanya tinggal beberapa hari untuk mengakhiri bulan yang mulia ini. Berbalik kepada tajuk blog kali ini, mungkin ada yang teragak - agak mimpi apakah itu? Saya kembali membelek blog post saya yang lepas dan pada tahun ( mimpi ke Turki ), saya ada menyatakan hasrat untuk ke Turki dan alhamdulillah mimpi itu bakal jadi realiti. 

    Pada tanggal 25 Julai 2014 jam 2:59 pagi saya telah menerima email dari pihak Turkiye Burslari. Pada mulanya saya yang ketika itu belum tidur terkejut menerima email di tengah malam. Saya tidak memahami bahasa yang dinukil apabila di 'scroll down' terjemahan dalam bahasa Inggeris kelihatan. Saat itu juga saya pergi mengejutkan mama dan baba yang sedang nyenyak tidur untuk mengkhabarkan berita tersebut. Sedari saat membaca email tersebut air mata bercucuran jatuh, sujud syukur dilakukan tanda bersyukur dan terima kasih atas pemberian yang tak terhingga. Saya telah ditawarkan biasiswa penuh daripada kerajaan Turki untuk melanjutkan pengajian dalam peringkat Master Degree di Universiti Marmara dalam bidang Sejarah Islam. 

PAGI YANG INDAH 

surat tawaran 

   Keesokan harinya saya bangkit seperti biasa tersenyum riang memikirkan tawaran biasiswa yang diterima. Dalam masa yang sama kami sekeluarga sedang sibuk menyiapkan barang - barang untuk dibawa pulang untuk sambutan hari raya. Sungguh syukur tak terhingga diungkap, mama dan baba turut berkongsi perasaan yang sama. Di mata mama terpancar cahaya kesyukuran yang tak terhingga. Mama cakap padaku, "Adik tau tak mama tak henti doakan adik supaya dapat sambung belajar sepanjang ramadhan ni ". Saya terus sebak mendengar kata - kata mama. Sungguh seorang ibu akan sentiasa doakan anaknya. Doa seorang ibu itu sangat berharga. 

   Beberapa nama yang naik dalam minda sejurus menerima berita terus saya beritahu terutamanya lecturerku dari Turkey, Dr Mehmet Mehdi Ilhan. Beliau pernah berpesan sekiranya dapat keputusan biasiswa tersebut beliau ingin jadi antara yang terawal untuk ketahui dan saya jadikan kenyataan dengan menelefon beliau sepantas mungkin. Beliau meluahkan rasa syukur dan tahniah kepada saya. Sejurus itu, saya menghubungi beberapa orang rakan karib untuk mengkhabarkan berita tersebut dan mereka juga turut gembira. 

bersama teman sekampus yang bakal terbang bersama ke Turki
  Pada awalnya baba dan mama sudah berpesan, jangan dihebahkan dalam media sosial sebelum saya pergi ke Kedutaan Turki dan menandatangani perjanjian penerimaan. Saya simpan dulu dan khabarkan perkara tersebut kepada rakan- rakan. Alhamdulillah setelah selesai menandatangani dokumen baru saya keluarkan sedikit demi sedikit hint yang saya akan terbang tak lama lagi. Urusan yang perlu dilakukan untuk mencapai ke sesi tandatangan sungguh berliku ( inshaAllah saya akan kongsikan pada entry khas). 

PERJUMPAAN BERSAMA EN AZAM DAN MAK CIK INA

 Setelah menerima berita gembira, perkara pertama di pesan mama adalah untuk dimaklumkan pada En Azam dan Mak Cik Ina. Bagi mereka yang tidak tahu, Kedua - dua insan ini adalah Ibu dan Ayah kepada Sehedimiz Ammar yang meninggal dunia di bumi Turki. Sungguh segala perancangan Allah itu yang terbaik. Kebetulan saya mendapat peluang pengajian di Universiti dan pengkhususan yang sama dengan Ammar cuma yang membezakan antara kami adalah tahap pengajian. Saat diri ini menghulurkan surat tawaran kepada Mak Cik Ina terpancar kegembiraan di wajahnya. Ucapan tahniah dan syukur tidak henti diucapkan pada saya. Perjumpaan dengan En Azam pula lebih serius dan amanat yang disampaikan cuba dihadam sebaik mungkin. Yang paling utama nawaitu untuk belajar perlu ditajdid selalu.

HARAPAN
 Tak salah bermimpi dan memasang impian, cuma bila telah berhajat harus dilaksanakan. Untuk mendapatkan sesusatu itu memerlukan azam yang tinggi dan kebergantungan pada Allah sentiasa. Barulah makna usaha itu berbaloi. Terkadang kita terlupa tak semua  yang diimpikan akan kita peroleh dan tidak semestinya tak boleh peroleh apa yang diimpi. Sentiasa tajdid niat dan azam agar segala yang diimpi pasti menjadi realiti.

inshaAllah Istanbul aq datang











  

Saturday, 4 May 2013

Pilihan raya (aq si pemerhati)

Bismillahirrahmanirrahim...

Tarikh diumum,
Seluruh Malaysia seakan hidup menunggunya,
Mula dari pengumuman,
Sampai pencalonan,
Kini tinggal sehari.

Warna warni jalan dimana-mana,
Warna asas diguna,
Biru,merah,hijau,
Penuh jalan2 menunjukkan azam.

Semangat sang pengikut,
Menaikkan semangat sang calon,
Bendera jatuh dipungut dan dipacak kembali,
Manifesto disebar menjanjikan amanah.

Aq berjalan sendiri,
Tersenyum melihat pesta raya kali ini,
Mungkin akan ada perubahan,
Mungkin kekal sama sedia ada.

Pulang ke rumah melihat warna warni,
Di sini berlainan,
Disana lain seperti alam diputar,
Yang pasti amanah wajib dipikul,
Karna kelak sang penciptakan tanya,
Bukan berdasarkan apa yang diwakili,
Tapi apa yang dilakukan.

Nota kaki: Undi itu rahsia tapi bukan rahsia pada sang Pencipta.
                "Selamat mengundi" - dari pemerhati politik