Bismillahirahmanirahim
team muzium dalam kapal selam |
Pada 11 Januari 2019, saya telah pergi ke muzium Rahmi M Köç bersama Fatiha, Nafeesah dan Nasihah. Ia adalah perancangan yang singkat kalau tak silap beberapa hari sebelumnya. Muzium ini terletak di daerah Hasköy, Beyoglu. Kalau dari Eminonu mungkin dalam 30 minit ke 1 jam menaiki kenderaan awam. Muzium ini mengambil perhatian saya ketika pergi ke rumah Char yang terletak kurang lebih 7 minit berjalan dari situ. Dari luar nampak gah dan kurang lebih post republic dengan koleksi kereta, jet fighter dan lain lagi. Hari yang kami pergi itu cuaca tidak menyebelahi kami kerana hujan sepanjang hari.
Muzium ini dikenali sebagai antara muzium terbesar di Istanbul yang merangkumi keluasan kawasan sebanyak 27,000 m2. Terdapat 3 bahagian iaitu Bangunan Mustafa V. Köç , Kawasan pelabuhan bersejarah Haskoy, Open Air Musuem. Nama muzium ini telah diambil dari seorang hartawan yang sangat kaya iaitu Rahmi M Köç. Beliau adalah ahli perniagaan yang terkaya di Turki yang asetnya dan produk digunakan di seluruh Turki. Muzium ini adalah milik penuh keluarga beliau yang didalamnya mempunyai barangan bersejarah tinggalan keluarga ini dari turun temurun. Dari permainan kanak-kanak, miniature, barisan kereta, jet peribadi, kapal terbang, kapal laut, pelbagai jenis mesin, barangan teknologi masa dulu dan kini terdapat di muzium ini. Ada juga kawasan khas di dalam muzium ini yang ditujukan khas untuk Presiden pertama Turki iaitu Mustafa Kamal Ataturk.
sapu tangan yang ada terdapat beberapa titis darah Presiden Ataturk |
Selain itu, tinggalan Uthmaniyyah juga dapat dilihat pada muzium ini. Bangunan utama muzium ini dulu adalah tempat pembuatan kapal yang telah digunakan sejak dari kurun ke 19. Ada juga di ruangan luar muzium ini mempamerkan pelbagai jenis kereta api yang digunakan di zaman Uthmaniyyah sehingga republik. Boleh dikatakan disini adalah tempatnya untuk melihat peredaran zaman untuk sistem pengangkutan di Turki terutama di lewat kurun ke 19. Antara yang menarik adalah vagon/gerabak kereta api yang dinaiki oleh Sultan Abdul Aziz (Sultan ke 33 Uthmaniyyah) ketika ke London.
Aktiviti yang saya paling tunggu dalam kunjungan ke muzium ini adalah lawatan ke Kapal Selam. Pada mulanya saya agak teragak-agak untuk pergi kerana takut tak muat dan saya ada sedikit claustophobia. Tapi dengan dorongan adik-adik yang ada bersama saya pergi juga. Oh ye sebelum terlupa tiket masuk muzium utama adalah sebanyak 7tl dan untuk lawatan ke kapal selam adalah sebanyak 6tl. Berbalik kepada kapal selam, kapal selam tersebut dinamakan TCG. Uluç Ali Reis. Ia merupakan kapal selam yang telah diberikan kepada armada laut Turki oleh armada perang US. Menariknya, kapal selam ini pernah berkhidmat ketika perang dunia kedua. Selepas diberikan kepada Turki ia digunakan selama kurang lebih 50 tahun sebelum di tamatkan perkhidmatan pada 2002. Kami sangat beruntung kerana yang membawa kami melawat kapal selam ini adalah jurutera kapal itu sendiri Encik Ahmet Malalan.
Setelah ke kapal selam kami berhenti sebentar memanjat ke atas awan untuk melihat kapal terbang pertama yang digunakan Turkish Airlines. Kapal tersebut adalah dari tahun 1970an yang kapasiti penumpang hanyalah 15 orang sahaja. Menarik tetapi gerun kerana kapal tersebut diletakkan dalam kedudukan senget dan tinggi dilangit.
Sebenarnya kalau diikutkan kami hanya sempat menghabiskan 70 peratus sahaja kawasan muzium dan itupun telah mengambil waktu kurang lebih 4 ke 5 jam. Ada lagi sebahagian tempat kami tidak lawati iaitu bangunan Mustafa V. Köç. Kalau ditanya mahu atau tidak pergi ke muzium ini sudah tentu iya kerana ada sebahagian tempat tidak habis dilawati dan banyak lagi aktiviti yang menarik boleh dicuba disini. Habis lawatan kami terus ke rumah Char untuk makan kerana perut pun sudah bergendang.
nota kaki : Kemajuan sistem pengangkutan telah membawa manusia dari satu tempat ke tempat yang lain dengan cepat.
No comments:
Post a Comment