Bismillahirahmanirahim
Kembara masuk hari ke 4 dan saya meninggalkan Dubrovnik, Croatia ke Mostar, Bosnia Herzegovina. Perjalanan dari Autobusni Kolodvor Dubrovnik ke Mostar mengambil masa 3 jam dan harga tiket sehala adalah dalam 15 euro. Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan pemandangan Blue Lagoon dan jambatan baru bina menghubungkan Croatia dan Bosnia. Masih teringat lagi tika itu melihat matahari dihujung lautan luas diantara dua pulau yang sungguh indah. Selepas itu saya selelap sebelum kami tiba ke destinasi yang dituju iaitu Mostar, Bosnia. Oh ye sebelum itu, keadaan di sempadan negara di point immigration berjalan dengan lancar.
Kami tiba di Mostar sekitar jam 6 petang dan matahari sudah mula redup. Turun dari bas kami mengambil keputusan mengambil teksi ke rumah penginapan yang kami tempah melalui air bnb. Kalau ikutkan ia mengambil masa kurang lebih 15 ke 20 minit berjalan tetapi disebabkan kami kepenatan kami ambil sahaja teksi. Sesampai di rumah tersebut kami disambut dengan mesra oleh pemilik rumah iaitu Puan Fatma. Beliau yang tidak boleh berbahasa inggeris hanya menggunakan gerak badan untuk kami berhubung. Rumah beliau sangat kemas dan cantik dengan rona warna yang ceria menghiasi dinding. Kami meletakkan barang dan kemudian solat sebelum turun berjumpa Fatma semula. Beliau dan anak lelaki beliau mengusahakan rumah konsep bed and breakfast yang sering mendapat review yang baik di laman sesawang air bnb dan booking.com. Taip GUESTHOUSE MIRZA untuk maklumat lanjut harga penginapan. Kami diajak Puan Fatma pusing kota mostar di waktu malam. Beliau yang kelihatan berumur kurang lebih 70 tahun kelihatan sihat dan aktif berjalan ke bandar lama Mostar yang jaraknya 1 km jauhnya. Kami pusing kota tersebut dan pulang berehat. Kami bangkit sedikit lewat kerana penat hari sebelumnya belum habis lagi.
BLAGAJ
Jika ke Mostar salah satu tempat utama yang perlu dilawati adalah Tekke di Blagaj. Kawasan ini terletak 15 minit dari kota lama Mostar. Ada dua cara untuk ke sana. Pertama dengan kereta/teksi dan Kedua dengan bas. Kami mengambil teksi kerana ia lebih mudah dan cepat. Harga teksi ke sana adalah dalam 5 USD. Tekke adalah dalam bahasa Turki yang bermaksud rumah beruzlah tarikat sufi sangat terkenal di blagaj. Dibuka oleh seorang Ulama Sufi pada kurun ke 14 yang bermusafir ke kawasan tersebut. Sehingga hari ini tempat tersebut telah dijaga oleh Tarikat Naksyabandiyah dari Turki. Tempat ini menjadi tumpuan pelancong terutamanya dari Turki. Air yang mengalir dari sungai dari dalam gua memberi ketenangan yang tidak terhingga. Jangan lupa untuk merasa makan ikan trout di restoran berhampiran tekke tersebut. Harga satu set makanan dalam 8 euro dan portion besar!
KOTA MOSTAR
Hampir separuh hari saya dan Kak Leeza berada di blagaj. Di situ kami dapat merehatkan minda dan badan kami untuk mengumpul semangat menyambung perjalanan kami kembara Balkan yang tinggal 2 negara lagi. Separuh perjalanan kami belajar tentang banyak perkara dan paling penting mengenali satu sama lain. Balik dari Blagaj kami terus ke old city Mostar. Saya seperti biasa terus menuju ke muzium dan mengambil masa kurang lebih 30 minit sendirian. Di muzium mostar bridge (Stari Mostar) saya memanjat ke menara yang setiap tingkat ada meletakkan tinggalan sejarah sampai ke atas sekali saya dapat melihat view Mostar 360 darjah. Seperti biasa dimana sahaja saya pergi mesti muzium tempat yang paling tiada orang tetapi saya bahagia kerana itu adalah kegembiraan bagi saya. Kami juga pergi melihat sekitar Kujundziluk (Pasar Lama) dan menghabiskan baki masa melawati dan bergambar di bawah jambatan Stari Mostar. Jambatan tersebut telah dibina oleh Sultan Sulaiman pada kurun ke 16 dibawah selian arkitek ulung Uthmaniyyah Mimar Sinan. Jambatan tersebut pernah runtuh dan ranap akibat perang saudara dan ketika zaman Yugozlavia. Kami pulang lewat petang dan berehat sebelum seawal jam 6 pagi meninggalkan rumah penginapan menuju ke Sarajevo.
SARAJEVO
Kami tiba di Sarajevo kurang lebih jam 10:30 pagi. Perjalanan dari Mostar ke Sarajevo mengambil masa 3 jam 30 minit. Kami di Sarajevo tidak lama. Kami singgah bandar tersebut kurang lebih selama 4 jam. Dari bandar kami menuju ke tengah bandar dengan berjalan kaki. Ia mengambil masa 30 minit jalan. Pada mulanya cuaca agak cloudy tetapi kemudian hujan turun berjujuran tanpa henti. Kami basah lencun dan beberapa kali terpaksa berhenti untuk berehat. Di Sarajevo banyak jambatan yang boleh kita lihat dan ada satu yang saya cari dengan sungguh iaitu Spanish Bridge yang terkenal sebagai lokasi pembunuh King Edward Ferdinand dan isteri yang menjadi pencetus kepada perang dunia pertama. Kami teruskan gigih berjalan mencari pasar lama di Sarajevo yang a must visit. Nama kawasan tersebut adalah Baščaršija. Dalam berjalan ke situ saya terlihat kesan perang Sbrenica yang masih kesannya ada di sekitar bandar tersebut dan negara tersebut. Barangkali luka sudah terawat tetapi kesan masih ada. Oh ye sesampai di destinasi yang dituju kami terus ke kedai makan dan makanan wajib untuk dirasa bila di Bosnia adalah Cevapi. Ia seperti kofte di Turki dihidang didalam roti seakan roti Naan. Pemilik kedai tersebut sangat baik memberikan kami heater kerana melihat betapa basahnya kami ketika masuk ke kedainya.
Setelah selesai makan, matahari muncul dan kami berjalan sekeliling pasal lama itu. Dikatakan pasar tersebut adalah pusat persinggahan pedagang yang melawati spicec route untuk ke eropah. Dalam pada berjalan itu baju kamipun kering dan sebelum balik ke stesyen bas saya mengambil kesempatan merasa kopi Bosnia dan manisan. Sungguh tinggalan Uthmaniyyah banyak sekali terkesan di kota ini. Masjid Gazi Husrev Bey dan sebilij fountain ada kesan daulah tersebut padanya. Kami bergerak dari Sarajevo menuju ke Jajce sebuah pekan kecil mengambil masa 2 jam 30 minit. Disitu kami menunggu bas kami seterusnya pada jam 12 malam ke Plitvice Croatia.
JAJCE
Kami tiba sebelum matahari terbenam di Jajce. Disini tempat ini terkenal dengan Pliva waterfall dan walled city of Jajce. Kami berjalan ke bandar tersebut untuk mencari masjid dan menemui masjid Esma Sultana. Seperti masjid-masjid yang lain kami solat dan bergerak semula ke stesen bas. Kami berdua sahaja yang berada disitu dan bandar tersebut adalah bandar mati bila malam menjelma. Terkadang ada rasa risau dan seram tetapi hanya pada Allah kami berlindung. Bila waktu bas hampir tiba pekerja disitu akan datang dan kami bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Plitvice National Park di Croatia.
Bersambung.......
nota kaki : dalam semua 6 negara yang saya pergi Bosnia yang berjaya mencuri hati. Saya ingin kembali ke Bosnia semula nanti inshaAllah.
No comments:
Post a Comment