Pages

Showing posts with label moviereview. Show all posts
Showing posts with label moviereview. Show all posts

Sunday, 22 November 2020

Ahad dan filem Jilbab Traveller Love Spark in Korea

 

Bismillahirahmanirahim 


Hari ini hari minggu yang saya mulakan dengan kesakitan. Kesakitan kepala saat bangun dari tidur untuk solat subuh. Kenyataannya saya telah bangun beberapa kali malam tadi kerana ke tandas dan merasa sakit sangat kepala. Selepas sudah saya solat subuh terus saya sambung tidur kerana tidak tahan dengan rasa sakit kepala tika dibuka mata dan mahu duduk. Sampai jam 10 pagi saya bangun tidur dan benar-benar bangun jam 12 tengahari itu pun kerana saya berlari menuju ke tandas untuk muntah yang isinya hanya air mineral yang diminum setiap kali terjaga dari tidur. 

Mulanya rencana saya sebelum tidur malam tadi adalah untuk bangun awal dan selepas solat subuh terus berjalan 5km. Azam untuk kembali fit yang tertangguh. Tambahan pula saya merasa sihat ketika berjalan dan merembeskan sebanyak mungkin peluh. Sambil itu melihat alam yang indah ciptaan Allah yang Maha Esa. Tidak lama itu dari itu saya mandi dan bersiap dan maklong beserta Along dan Kak long juga datang. Mereka saja singgah selepas pulang dari rumah yang Along buat di Londang. Tika itu kugagahkan apa yang mampu untuk sedia air dan kek yang telah tersedia di meja untuk dijamah mereka. Adat dan adab melayu yang diajar padaku mengingatkan agar dijamu tetamu yang datang kerana mereka itu membawa rezeki. 

Selepas mereka pulang, saya dan mama kembali menyiapkan kemas rumah. Saya memilih untuk membaiki langsir yang terjatuh disebabkan pemegangnya yang sudah rapuh. Selepas dibetulkan saya duduk di susunan tilam dan terus terlelap. Sungguh saya tidak sihat yang benar-benar. Meniti umur 30 tahun dan berat bertambah ini membuatkan sakit itu rasa berat. Ini membuatkan saya ingin dan tekad menurunkan berat. Untuk mudah ibadah dan gerak seharian. Oh ye pada petangnnya selepas asar saya dan mama ke pasar malam. Walaupun ada sedikit kesan sakit dikepala tinggal saya gagahkan juga supaya saya dapat keluar dari rumah dan berpeluh. Dibeli kami nasi kerabu dan yong tau foo yang berhari sudah saya sebut nak makan. 

Sebaik pulang dirumah, saya dan mama terus set up meja untuk makan juadah yang dibeli di pasar malam. Sambil makan kami menonton filem Jilbab Traveller Love Spark in Korea. Saya tidak pernah menonton filem ingin bahkan juga belum lagi melihat trailernya. Cuma yang pernah saya dengar adalah tajuk novel dimana filem ini mengadaptasi. Rating di IMDB juga menunjukkan 6.5/10, kira not bad to watch la kan? 

Jalan cerita filem ini secara ringkasnya adalah mengenai seorang hijabis traveller yang mendapat dokongan dari ayahnya untuk mengembara dengan semangat ibn batutah. Antara kata ayah beliau adalah pergilah mengembara menjadi mata dan telinga untuk ibu dan bapak. Sungguh saya sangat tertarik dengan restu ayahnya ini. Rania (lakonan Bunga Citra Lestari) telah mengembara ke puluhan negara dan satu hari itu dipanggil keluarga pulang kerana ayahnya sedang gering. Sesampainya ke Indonesia dia melawat ayahnya yang sedang sakit. Ayahnya menyuruhnya terus pergi travel dan jangan berhenti. Ayahnya kemudian menyampaikan hajat agar dia pergi ke Baluran, ke tempat dimana ibu dan ayahnya menemui cinta mereka. Disitu juga beliau ditemukan dengan Hyun Guen seorang muslim korea juga photographer yang sedang merakamkan pemandangan disitu. 

Awal plot cerita pertermuan Rania dan Hyun Guen agak kritikal kerana mereka bertikam lidah tetapi dan saling mencabar tentang mana satu yang lebih cantik. Antara Indonesia dengan Korea. Rania rasa terpanggil untuk menunjukkan keindahan Indonesia di daerah Baluran dan disebabkan itu mereka tertinggal pengangkutan akhir ke bandar. Lewat malam itu Ilhan, kawan keluarga Rania datang untuk menjemputnya pulang kerana ayah Rania telah pulang ke rahmatullah. Rania pulang dan sesampai di rumah dengan sedih menyatakan pada Ibunya yang dia tidak akan pergi mengembara lagi. H.G. ternampak kamera Rania tertinggal dan ke Jakarta untuk memulangkannya dan mengajaknya pergi mengembara tetapi Rania maklumkan yang dia tidak lagi mahu melakukannya. 



Tidak lama kemudian mereka berpisah dan tidak bertemu kerana H.G. berpegian pulang ke Korea. Setelah beberapa bulan Rania mendapat jemputan ke Korea untuk penulis selama sebulan. Jodoh mempertemukan dia dengan H.G. semula dan dari situ terbit kembali cinta mereka dalam travel dan fotografi. Klimaks cerita ini adalah apabila H.G. dikhabarkan bakal berkahwin dan Rania kerana sedih bersetuju untuk kahwin dengan Ilhan. Rania pulang ke Indonesia dan meneruskan kehidupan seperti biasa dan bersedia bernikah dengan Ilhan. Sebulan sebelum perkahwinan dia Rania menerima khabar yang H.G. dari Alvin yang memaklumkan H.G telah kehilangan tangannya ketika berada di Palestin. Alvin meminta Rania membantu H.G. yang depress kerana itu yang membawanya pulang ke Korea menemui H.G. Ilhan ada bersama dan memberi restu mereka serta menyerahkan Rania pada H.G. Membawa kepada pengakhiran cerita dimana cinta mereka bersatu. Antara quotes yang saya suka dari filem ini adalah : 

1. “Jadilah Ibnu Batutah untuk ayah, seorang muslim penjelajah yang menjadi rujukan dunia. Kehebatannya mampu melampui sejumlah penjelajah Eropa, seperti Christopher Columbus, Vasco da Gamma, dan Magellan. Dia menempuh perjalanan 120 ribu mil membelah lautan, tanpa bantuan mobil, kapal laut atau pesawat terbang.”

2. "Kamu mencuri mimpi-mimpiku dan aku suka". 

3. "Jangan katakan cinta pada burung-burung sebelum kau yakin tumbuh sayap yang menerbangkan hasratmu pada cinta-Nya"



Saya sangat sukakan watak Rania ini, seorang jilbab traveller yang mengembara dan mengikut langkah ibn batutah. Saya juga suka ayahnya yang menyokong impi anaknya. RESTU itu yang paling utama yang saya lihat. Teringat saya pada baba saya dan juga mama yang memberikan restu serta dokongan dimana sekarang saya telahpun berjaya menjejakkan kaki ke 21 buah negara dan lebih 100 kota. Semua kerana mereka. Syurga saya yang menyulamkan sayap buat saya untuk terbang. Saya akan terus dan sering travel seperti Rania supaya saya dapat titipkan doa buat Syurga saya dan memberi kisah dari mata dan hati saya yang melihat tempat yang saya jejaki. Semoga dunia cepat sihat dan kita semua boleh terbang semula bertebaran di bumi Allah untuk ilmu, amal dan ikhsan. 




nota kaki : sungguh saya rindu untuk mengembara kerana tika mengembara saya kenal diri dan syukur dengan kurniaan Allah. 


  

Monday, 24 December 2018

#reviewmovie The Accidental Detective 2 : In Action




Pada malam semalam saya telah memutuskan untuk menonton filem bagi menghabiskan waktu malam minggu sebelum memulakan minggu baru. Saya membuat keputusan untuk memilih Filem ber genre aksi, penyiasatan dan komedi berjudul The Accidental Detective 2 : In Action. Filem ini berdurasi selama 116 minit. Diarahkan oleh sutradara Lee Eon Hee dan diterbitkan dibawah syarikat CJ Entertaiment. Filem ini telah mula ditayangkan di pawagam Korea Selatan pada 13 Jun 2018. Filem ini adalah sekual daripada Drama The Accidental Detective. Saya mengikuti dekat drama tersebut cumanya yang saya boleh simpulkan secara ringkas adalah filem ini adalah gabungan antara drama The Accidental Detective dan Live 2018. Kedua pemeran utama cerita ini adalah pemeran watak utama dari drama yang saya nyatakan. 

Berbalik kepada filem ini, pelakon utama bagi filem ini adalah Kwon Sang Woo sebagai Kang Dae Man (pemilik kedai komik yang bercita-cita untuk menjadi detektif), Sung Dong Il sebagai Noh Tae Soo (pegawai polis yang berpangkat detektif yang dikenali sebagai white shark) dan Lee Kwang Soo sebagai Yeochi (seorang hacker yang mempunyai agensi perisikan siber rahsia). Kang Dae Man dan Noh Tae Soo telah bekerjasama membuka syarikat penyiasatan sendiri tanpa memberi tahu isteri masing-masing. Pada mulanya mereka tidak mempunyai sebarang kes dan kisah penyiasatan mereka bermula apabila mereka berada di balai polis tempat Noh Tae Soo pernah bertugas. 

Plot cerita ini bermula apabila Kang Dae Man telah ditahan polis ketika sedang menampal stiker promosi syarikat mereka di tandas balai polis tempat Tae Soo pernah bekerja. Beliau yang pernah mendapat augerah Citizen telah ditahan atas tuduhan mengintai ditandas perempuan. Pada waktu itu juga mereka terdengar rayuan seorang wanita yang sedang hamil yang meminta pihak polis membantu membuka kes penyiasatan kematian tunangnya. Dae Man yang begitu cekap mendengar terus menuju ke arah wanita tersebut dan memberikan kad serta menawarkan servis penyiasatan. 

Sejurus selepas itu mereka memulakan penyiasatan kes tersebut. Pengembangan plot filem ini adalah sangat menarik dengan sikap dan keletah kedua-dua watak utama yang saling tak tumpah seperti Sherlock Holmes. Noh Tae Soo lebih tenang kerana beliau adalah pegawai penyiasat yang berpengalaman dan Dae Man adalah seorang peminat komik penyiasatan yang berkecimpung dalam dunia penyiasatan sebenar. Dalam pada mereka melakukan penyiasatan, satu watak baru diperkenalkan iaitu Yeochi seorang pakar dalam scamming dan voice pishing. Beliau adalah penyeri dalam filem ini yang mempamerkan keletah yang lawak. Siapa yang kenal dengan Lee Kwang Soo pasti cukup mengenali beliau yang bersahaja dan versatile dalam lakonan. Yeochi telah memberikan khidmat mengesan seorang dari kawan kepada tunang wanita yang mengupah mereka. 

Dalam misi penyiasatan, mereka telah mengunjungi sekolah anak yatim yang pernah dihuni oleh mangsa yang hilang dan dari situ satu per satu kisah kematian beberapa penghuni di tempat tersebut muncul. Mereka pada mulanya merasakan pemilik sekolah tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kematian ahlinya tetapi sedikit demi sedikit misteri kematian bekas penghuni terungkai dengan penemuan hubungan kematian mereka dengan seorang bernama Kim Jae Min. Pada awalnya kes dianggap telah berakhir akan tetapi seseorang bernama Venom telah muncul dan menjadikan kes yang dianggap telah selesai belum lagi terungkai sepenuhnya. 

Setelah dikaji dengan teliti dengan bukti-bukti yang ada Kang Dae Man telah dapat merungkaikan kes kematian penghuni rumah anak yatim tersebut bukanlah disebabkan oleh Insurance scamming tetapi Organ Harvesting. Pemilik rumah anak yatim itu yang berwajah seperti malaikat sebenarnya villain sebenar! Klimaks filem ini adalah apabila mereka cuba menjejak tunang client mereka dan akhirnya menemui dan mengakhirkan rancangan jahat menjual organ tunang client mereka. 

Dari pandangan saya, saya sangat suka cara penyusunan plot cerita ini. Ia tersusun dan dikembangkan dengan cara yang menarik. Selingan lawak jenaka dimasukkan supaya cerita ini tidak terlalu berat dan plot twistnya mendebarkan. Saya berikan 7/10 rating sebagai seorang peminat tegar cerita korea. 





nota kaki : Sherlock Holmes adalah detektif terulung di zaman renaissance Eropah. Beliau sangat bijak dalam penyiasatan dan tiada kes yang tidak pernah dirungkai olehnya. 

Saturday, 25 November 2017

AYLA ( DAUGHTER OF WAR)



Ayla adalah sebuah cerita arahan Can Ulkay berdurasi 2 jam 15 minit berkisarkan kisah tentang seorang tentera Turki yang dihantar untuk misi ke Korea Selatan dengan seorang kanak-kanak Korea yang dinamakannya Ayla. Latar belakang cerita ini adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku antara askar tersebut dan Ayla. Filem ini mendapat sambutan hangat sehinggakan mendapat pencalonan Oscar. Penggambaran filem ini mengambil tempat di Turki pada 2 tahun lepas. Saya sangat menyukai filem ini kerana runut bunyinya baik dan sinematografinya sangat indah. 

Jalan cerita filem ini berkisar tentang kecintaan seorang bapa kepada anak, harapan, persahabatan dan realiti sebenar peperangan. Mengambil tempat sewaktu perang Korea 1950-1953 filem ini menampilkan erti kasih sayang dah harapan. Penonton disajikan juga dengan unsur suspend, peperangan, cinta dan perpisahan serta pertemuan. Disyorkan membawa tisu sewaktu menonton kerana emosi anda akan tersentuh setiap masa. 


Sebelum itu, sedikit info mengenai Perang Korea. Perang Korea telah tercetus pada 25 Jun 1950 dan tamat pada 27 Julai 1953. Perang ini tercetus apabila seramai 75,000 askar dari Democratic Peoples Republic of Korea telah melintasi garisan “38th parallel boundary” yang memisahkan antara Korea Utara dan Korea Selatan. Korea Utara mendapat sokongan dari Soviet Union dan Korea Selatan dari Barat khususnya Amerika Syarikat. Pada ketika itu kegusaran akan berlaku Perang Dunia 3 telah memuncak dengan gerakan komunis yang menular ke seluruh dunia. Disebabkan itu berlakunya Perang Korea sebagai sebab untuk membanteras penularan kuasa komunis ke bahagian lain dunia. Perang Korea berdurasi hanya selama 3 tahun tetapi jumlah kematian dari perang tersebut adalah seramai 5 juta orang. Perang ini tamat dengan persetujuan genjatan senjata dan penguatkuasaan semula garisan 38th parallel boundary . Korea Selatan telah diberikan 1,500 sm tanah dan kawasan sepanjang sempadan sepanjang 2 batu telah ditetapkan sebagai “ demilitarized area” hingga hari ini. 


Watak utama dalam cerita ini bernama Suleyman Dilbirliğı seorang askar berpangkat sarjan berasal dari Kahraman yang di tugaskan di Iskenderun dibawah unit penyeliaan kenderaan dan jentera ketenteraan. Gambaran awal filem ini menunjukka beliau bersama sahabat-sahabat kegirangan menyelusuri pekan iskenderun dan kelihatan juga watak buah hati beliau tika itu. Cara pemakaian zaman 1950an ditampilkan dengan unsur warna warni. Lelaki berkemeja berseluar yanki dan si gadis berbaju skirt paras lutut. Ada seorang lagi watak bernama Ali. Beliau adalah sahabat baik Suleyman yang juga seorang sniper askar Turki. 

Selepas tercetusnya perang Korea, Turki menjadi salah sebuah negara yang terawal menghantar kumpulan askar pengaman di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Korea. 17 September 1950, seramai 5090 askar Turki telah bertolak ke Korea dengan menaiki kapal perang Amerika Syarikat. Bridget tersebut diketuai oleh General Tahsin Yazici. Mereka tiba di Korea dan disambut oleh Nuran (lakonan Murat Yildirim) seorang pegawai penterjemah untuk askar Turki. Permulaan filem ini sudah memasukkan suspen dengan kem mereka tiba-tiba diserang oleh tentera lawan. 


Seterusnya, mereka berkonvoi ke kawasan kem mereka yang baru sebelum diserang oleh sekumpulan tentera lawan. Kenderaan yang membawa mereka rosak diletupkan tentera lawan. Pada ketika itu, mereka perlu berjalan pulang ke kem terdengar bunyi sayup didalam semak. Pada awalnya mereka memikirkan suara itu dibuat oleh tentera lawan dan berada dalam keadaan sedia untuk menyerang. Pada saat itu, Suleyman menuju ke semak berhampiran dan menjumpai seorang kanak-kanak diatas timbunan mayat dalam keadaan kesejukan. Dia menghampiri kanak-kanak tersebut dan mendukung berjumpa dengan yang lain. Apabila ditanya bagaimana mahu memanggil kanak-kanak tersebut beliau berkata saya namakan dia AYLA kerana wajahnya persis bulan mengambang yang cerah dimalam hari. 

Sepanjang filem ini menunjukkan kehidupan Ayla bersama keseluruhan skuad tentera pengaman Turki. Ayla dijaga seperti anak dan adik mereka. Dialah penyeri di kem mereka yang memberi bahagia dan membuatkan mereka lupa yang mereka berada di medan perang sedangkan kawasan konflik terletak hanya beberapa km dari kem tersebut. Ayla diberikan makan, pakai dan diajar bahasa Turki sehingga dia mampu menterjemahkan bahasa Korea ke Turki. Ayla tinggal di kem tersebut hampir 15 bulan. Antara adegan yang ditunjukkan adalah mereka ke Jepun bersama, menonton konsert Marilyn Monroe dan pelbagai lagi. Satu adengan yang menyayat hati adalah apabila Ali sahabat baik Suleyman mati ditembak oleh tentera lawan ketika sedang membuat kawalan. Dari situ Ayla menjadi satu-satunya peneman Suleyman yang kemurungan setelah kehilangan kawan karibnya sedari kecil. Sampai satu ketika kumpulan pengaman Turki perlu pulang kerana sudah tamat tempoh untuk pulang. Disini bermula sedikit konflik apabila Suleyman tidak mahu pulang kerana tidak tahu bagaimana apa boleh dibuat dengan Ayla. Ayla kemudian dihantar ke sekolah Ankara yang dibuka atas jasa orang Turki dan Suleyman perlu pulang tetapi dia tidak mahu berpisah dengan Ayla. Seterusnya saat dia diarah pulang, Suleyman kerana ingin membawa Ayla pulang merancang membawa pulang Ayla dengan meletakkan Ayla didalam beg dan dibawa pulang tetapi dipatahkan rancangan tersebut di pelabuhan. Saat itu kata-kata yang menyayat hati disebutkan beliau pada Ayla “ Jangan menangis, saya berjanji saya cari awak semula satu hari nanti”. 

Ayla dan Suleyman Dilbirligi(yang sebenar) sewaktu gala movie Ayla

Seterusnya, hari-hari Suleyman adalah di Turki sehingga ke tua dia masih mencari peluang untuk berhubung dengan anaknya itu. Setiap hari, setiap detik tidak sesaatpun beliau melupakan Ayla. Sehingga satu ketika pada tahun 1999 gempa bumi yang teruk telah melanda Turki. Kumpulan sukarelawan dari Korea datang ke Turki dan dibuat liputan media tempatan, beliau mengharap Ayla ada datang membantu serta mencari ayahnya itu. Kemudian pada tahun 2002, perlawanan piala dunia Turki menentang Korea berlangsung di Korea Selatan. Suleyman membuatkan rekod video perlawanan tersebut dan mengamati setiap wajah orang Korea yang menghadiri dan menonton berkali-kali sehingga ke pagi dengan harapan dapat mengecam Ayla. 


Saat yang memberi sinar harapan buat beliau adalah ketika beliau menerima jemputan untuk menghadiri majlis ulangtahun ke 60 perang Korea. Ketika itu beliau ditemuramah oleh sekumpulan wartawan dan menyatakan hasrat beliau untuk bertemu dengan anak angkatnya sebelum beliau menutup mata. Usaha dijalankan oleh wartawan dan pengkaji dari Korea dan Turki untuk menjejak anak angkatnya pada mulanya menjumpai jalan buntu kerana dokumen yang terdapat di Turki banyak sudah musnah disebabkan kebakaran besar. Akhirnya  pencarian mereka berhasil apabila mereka mendapati dokumen di Arkib Korea Selatan mengenai maklumat pelajar Sekolah Ankara dan didalam itu ada ditulis Ayla namanya ditukar kepada Kim Eun Ja. Pencarian memberi sinar apabila mendapat maklumat dari bekas pelajar Sekolah Ankara. Ada diantara mereka yang mengenal pasti Ayla yang sentiasa hadir ke perjumpaan alumni sekolah tersebut. Dari situ pengkaji tersebut telah pergi ke rumah Ayla yang terletak diluar kawasan Seoul dan membawa gambar-gambar Suleyman bersama. Saat itu, Ayla menangis sebak dan berkata itu ayah saya, dimana dia , adakah dia sihat? 

gambar sewaktu kali pertama berjumpa setelah 60 tahun pada tahun 2010

Ayla dan Suleyman
Tidak lama kemudian khabar gembira itu disampaikan kepada Suleyman dan beliau diterbangkan ke Seoul untuk ditemukan semula dengan anaknya itu. Penantiannya selama 60 tahun untuk bertemu semula dengan anak perempuannya itu berhasil. Sungguh saat itu Suleyman kelihatan agak gementar kerana beliau tidak tahu bagaimana agaknya rupa anaknya sekarang. Sesampai di taman beliau berdebar dan kemudian dari jauh beliau melihat satu sosok wanita bersama keluarga datang kearahnya. Beliau bangkit dan terus berjalan pantas kearah anaknya itu. Disitu saat yang menyebakkan saya. Kerana penantian selama ini akhirnya berakhir. Diselitkan juga dalam movie ini dibahagian akhirnya video sebenar pertemuan semula Ayla dan Suleyman pada tahun 2010.


Dari sudut pandang saya, cerita ini boleh diberikan 5 bintang kerana jalan cerita berdasarkan kisah benar yang sangat menyentuh hati, sinematografi yang cantik dan hebat, runut bunyi yang baik, pelakon yang hebat serta jalan cerita yang disusun rapi. Selalunya filem bergenre sejarah adalah agak berat untuk tontonan dan tidak mendapat sambutan ramai tetapi Ayla adalah sesuatu yag lain dari yang lain. Ayla adalah filem kedua Turki dalam bentuk Sejarah yang saya pernah tonton dan saya secara peribadi sangat menyukai cara penyampaian filem mereka. Sejarah diangkat martabatnya dan ditampilkan dengan baik. Filem ini yang dilancarkan pada 27 Oktober 2017 masih ditayangkan di Turki dan masih lagi menarik pengunjung menonton filem tersebut. Tiket sentiasa “full  house” disetiap waktu tanyangan. Orang Turki adalah orang yang bersemangat dalam mengangkat sejarah mereka. Ini adalah satu sikap yang perlu dipelajari oleh kita. Saya sendiri membayangkan satu hari nanti kajian saya pula di jadikan filem oleh mereka dan menjadi pengukuh hubungan kedua Negara. 

p/s : mohon doa dari semua kerana Suleyman Dilbirligi (yang sebenar) dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital di Turki. Beliau yang berumur 91 tahun telah dikejarkan ke hospital pada minggu lepas dan sedang diletakkan dibawah kawalan mesin bantuan pernafasan.