Pages

Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Saturday, 23 September 2017

Awal Muharram 1439H





Bismillahirahmanirahim. 

Semua sedia maklum pada hari Jumaat 22/9/2017 kita menyambut awal Muharram 1439 H. Dilihat pada tahun, ribuan tahun telah berlansung kalendar Islam. Sejarah awal pengunaan kalendar Islam ini dikira dari detik hijrah Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah. Ibrah dari perpindah junjungan mulia ini membawa kepada satu tingkat yang lain sejarah Islam. Sungguh kita dapat lihat pengorbanan Rasulullah bersama masyarakat Islam yang awal dalam memaknai Islam dalam diri untuk disebarluas ke luar dari tanah sendiri.


SEJARAH HIJRAH RASULULLAH SAW 

Dalam beberapa riwayat yang sahih disebutkan bahawa setelah Abu Bakar ra melihat kaum Muslim sudah banyak yang berangkat hijrah ke Madinah, ia datang kepada Rasulullah saw meminta izin untuk berhijrah. Tetapi dijawab oleh Rasulullah saw, “Jangan tergesa-gesa, aku ingin memperoleh izin dulu dari Allah.“ Abu Bakar bertanya, “Apakah engkau juga menginginkannya?“ Jawab Nabi saw, “Ya.“Kemudian Abu Bakar ra menangguhkan keberangkatannya untuk menemani Rasulullah saw. Ia lalu membeli dua ekor unta dan dipeliharanya selama empat bulan.

Selama masa tersebut kaum Quraisy mengetahui bahawa Rasulullah saw telah memiliki pengikut dan sahabat dari luar Mekkah. Mereka khawatir Rasulullah saw keluar dari Mekkah kemudian menghimpun kekuatan di sana dan menyerang mereka. Maka diadakanlah pertemuan di Darun-Nadwah (rumah Qushayyi bin Kilab, tempat kaum Quraisy memutuskan segala perkara) utuk membahas apa yang harus dilakukan terhadap Rasulullah saw. Akhirnya diperoleh kata sepakat untuk mengambil seorang pemuda yang kuat dan perkasa dari setiap kabilah Quraisy. Kepada masing-masing pemuda itu diberikan sebilah pedang kemudian secara bersama-sama mereka serentak membunuhnya, agar Bani Manaf tidak berani melancarkan serangan terhadap semua orang Quraisy. Setelah ditentukan hari pelaksanaannya, Jibril as datang kepada Rasulullah saw memerintahkan berhijrah dan melarangnya tidur di tempat tidurnya pada malam itu.

MAKNA HIJRAH DARI KACA MATA DIRI 

Dalam diri ini, pemaknaan HIJRAH itu bagi saya ada dua, dalaman dan luaran. Hijrah mengikut dalaman pada hemat saya adalah penghijrahan yang didorong logik akal fikiran dan hati. Ini sering kali berkait dengan perubahan dari sudut mental seseorang dan tingkah laku. Selalunya dari yang kurang baik kepada lebih baik. Kita sering mendengar khabar penghijrahan ini sinonim dalam hidup beragama akan tetapi ia melibatkan kerangka yang lebih besar. Sudah tentu penghijrahan kearah lebih baik dalam konteks keagamaan adalah sesuatu yang baik kerana ia akan mendorong seseorang itu kearah  positif dan lebih baik.

Dari sudut luaran, saya melihat ini sebagai perubahan dari segi fizikal dan sekeliling. Perubahan ini didorong oleh faktor perseketikaran seseorang itu. Sebagai contoh sekiranya dia berada di lingkungan jemaah dia akan terdorong melakukan perkara yang terbiasa dilaksanakan oleh pihak jemaah tersebut. Satu lagi contoh, sekiranya dia berada didalam kalangan mereka yang menyokong kumpulan bola sepak Real Madrid dia akan terdorong mengikut perilaku penyokong kelab tersebut. 

Perubahan kedua-dua aspek ini membawa kepada perubahan secara total seseorang dan ia boleh membawa tarikan sifat positif mahupun negatif. Dorongan dan pengaruh terutama luaran yang banyak mengalirkan daya ubah dalaman. Justeru, seseorang perlulah bijak dalam memilih persekitaran agar tidak membawa diri kearah yang tidak baik mahupun jauh dari yang asal. 




PENGALAMAN HIJRAH DIRI 

Ingin sekali saya berkongsi dari pengalaman diri HIJRAH saya. Bagi saya yang paling besar HIJRAH pernah saya lakukan adalah berpindah dari Malaysia ke Turki. Asbabnya adalah tawaran biasiswa dari kerajaan Turki dan pengajarannya saya banyak. Kerana asbab yang satu saya belajar banyak sekali yang impaknya pada diri, keluarga dan sekeliling. Saya berjaya memenuhi cita-cita belajar di Turki (Alhamdulillah). Semua ini berkat doa mama dan baba beserta orang sekeliling dan paling utama Allah yang memberi peluang ini. Akan tetapi dalam mencorak kehidupan di tempat asing banyak sekali perkara yang berlaku dan peristiwa yang mengubah diri. Nak atau tidak diri sendiri yang perlu bangkit kalau jatuh, membumi kalau terlalu ke langit dan sedar kalau sudah lalai. Sampai hari ini, saya akan selalu ingatkan diri untuk faham arti ke sini dan perancangan masa hadapan. Kita hanya mampu merancang dan hanya Allah yang akan menentukan. 

AYAT  ALQURAN MENGENAI SARANAN DAN MAKNA HIJRAH 

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَّا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman) . Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. [Al Anfaal (8): 63]

وَإِن كَادُوا لَيَسْتَفِزُّونَكَ مِنَ الْأَرْضِ لِيُخْرِجُوكَ مِنْهَا ۖ وَإِذًا لَّا يَلْبَثُونَ خِلَافَكَ إِلَّا قَلِيلًا
Dan sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri (Mekah) untuk mengusirmu daripadanya dan kalau terjadi demikian, niscaya sepeninggalmu mereka tidak tinggal, melainkan sebentar saja. [Al Israa’ (17): 76]
Maksudnya: kalau sampai terjadi Nabi Muhammad s.a.w. diusir, oleh penduduk Mekah, niscaya mereka tidak akan lama hidup di dunia, dan Allah segera akan membinasakan mereka. Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah bukan karena pengusiran kaum Quraisy, melainkan semata-mata kerana perintah Allah.

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖوَسَاءَتْ مَصِيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya : “Dalam keadaan bagaimana kamu ini?.” Mereka menjawab: “Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah).” Para malaikat berkata: “Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?.” Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali. [An Nisaa’ (4): 97]


Konklusinya, Hijrah itu perlu kearah kebaikan dan jauhi segala aspek yang memperbaiki diri, meningkatkan daya pemikiran dan memberikan impak kepada sekeliling. 

Apa makna hijrah pada diri anda?


Nuramirah Shahrin 
Istanbul 29 mayis kiz konukevi, 
Umraniye, Istanbul 


12.18am 

Thursday, 3 March 2016

PERSAHABATAN DUA BENUA (TURKI DAN JEPUN), PERKONGSIAN FILEM “ERTUGRUL 1890/KAINAN 1890”



Pada 25 Disember 2015, sebuah filem bersempena 125 tahun tragedi karamnya kapal Ertugrul Frigate 1890 di perairan pulau Kii Oshima. Usaha pembikinan filem ini telah dipersetujui oleh kedua-dua negara diantara President Turkey, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada tahun 2014. Menariknya tentang filem ini adalah pembikinan filem ini mengambil masa kurang dari setahun dan diselia rapat oleh Perdana Menteri Jepun yang bertindak selaku penasihat bagi pembikinan filem ini. Filem ini ditayangkan serentak di kedua-dua buah negara pada 25 Disember 2015 dengan nama Ertugrul 1890 di Turki dan Kainan di Jepun. Filem ini berdurasi selama
2 jam 12 minit telah memberi latar tentang 2 zaman yang berbeza melibatkan peristiwa yang memberi makna kepada persahabatan dua buah negara.

Jalan cerita filem ini dimulakan dengan gambaran perkhabaran dari negara Turki untuk menghantar pingat kembali kepada kerajaan Jepun setelah lawatan rasmi dari Jepun diketuai Putera Kumatsunomiya Akihito bersama isteri ke Istanbul. Pada 1889, kapal Ertugrul, sebuah kapal milik kerajaan Uthmaniyyah diketuai Komander Osman Pasha beserta 587 anak kapal telah memulakan pelayaran. Sepanjang perjalanan ke Asia Timur mereka berhenti di beberapa port utama di rantau Asia terutama negara Islam dan salah satunya di Singapura atas sebab untuk membaiki kapal yang mengalami kerosakan sedikit. Selepas itu, mereka meneruskan perjalanan ke Jepun dan sampai di perairan Jepun selepas 11 bulan pelayaran. Diselitkan juga aktiviti didalam kapal tersebut yang menggambarkan kehidupan sebagai anak kapal menghiburkan hati satu sama lain dengan lagu dan bergusti sebagai hiburan beradu kekuatan.










                Kapal Ertugrul di Perairan Konstantinople





Sepanjang berada di Jepun, kapal tersebut menghadapi beberapa masalah kewangan yang menyekat mereka untuk pulang. Ada juga diantara anak kapal yang menghidap penyakit cholera yang membawa kepada kematian. Selepas 3 bulan, barulah mereka mula memulakan pelayaran pulang  dan meninggalkan pelabuhan Yokohama menuju laut lepas untuk pulang ke Turki. Didalam filem tersebut digambarkan kegembiraan para anak kapal membeli hadiah buat yang tersayang dan kenang kenangan. Ada diantara mereka yang tidak sabar untuk pulang kerana menerima perkhabaran kelahiran anak pertamanya. Sebagai contoh, ketua bahagian enjin kapal membeli simbol bulan dan bintang dan dipakukan di enjin kapal lambang kebanggaan negaranya. Selain itu, ada yang membeli patung geisha serta kain sutera Jepun yang dirasakannya sangat unik dan hadiah terindah buat keluarga.


Pada masa yang sama, di kepulauan Kii Oshima seorang Doktor didukung waktu oleh pelakon terkenal Jepun, Masaaki Uchino, menerima surat khabar dari tanah besar mengenai negara jauh di tengah Asia hadir memberikan pingat kepada Maharaja Jepun. Selain itu, waktu utama iaitu anak perempuan kepada Doktor kampung itu turut dipamerkan, anaknya menjadi bisu sejak lahir kehilangan suami sewaktu ribut di laut. Gambaran perkampungan itu bersiap untuk menghadapi musim monsoon turut digambarkan. Penduduk kampung telah bersedia dengan meningkatkan lapisan pada dinding rumah supaya boleh meghadapi ribut pada ketika itu. Digambarkan juga ada pesta kecil di rumah geisha dengan hiburan oleh Geisha sebelum kesemua mereka tersentak denan bunyi yang kuat dari laut.

Pada 16 September 1890, ketika mendekati kawasan berhampiran kepulauan tersebut, ribut monsoon telah menyebabkan kapal Ertugrul tidak dapat menahan keganasan lambungan ombak. Digambarkan tiang layar kapal patah yang membawa kepada pengemudian kapal menjadi sukar. Seterusnya dibahagian enjin mereka kekurangan bahan bakar yang kemudiannya mengarahkan kesemua mereka untuk memberikan segala barang yang ada untuk dibakar untuk memastikan kapal boleh terus belayar. Di saat kemuncak, watak utama Yuzbasi Mustafa lakonan Kenan Ece, diberikan botol air mata dari ketua bahagian enjin amanah untuk diberikan kepada keluarga beliau. Seketika kemudian kapal pecah dan membawa kepada insiden yang tidak disangka.





tempat  kejadian di Kepulauan Kii Oshima yang bangkai kapal masih berada didasar laut ini


Selepas itu, penduduk kampung yang terdengar bunyi kuat dari laut menuju ke tebing tinggi dan terlihat mangsa dan mayat mereka yang tersadai di gigi air. Mereka tidak henti menyelamatkan mereka yang masih hidup beserta menyelamatkan mayat-mayat mereka yang terkorban. Selain itu, diperlihatkan juga usaha orang kampung yang memberikan segala yang ada untuk membantu termasuk bekalan makanan mereka. Berita mengenai insiden tersebut sampai kepada Maharaja dan kapal perang Jepun telah diarah menuju ke Kepulauan tersebut untuk membantu membawa mereka yang masih hidup dan memerlukan rawatan ke hospital. Disini diperlihatkan juga keprihatinan orang pulau tersebut yang bersama merasai keperitan kehilangan krew kapal tersebut.

Pasca insiden, mereka pulang ke Turki dan insiden 100 tahun kemudian di pertontonkan. Kali ini, diperlihatkan sewaktu krisis di Iran dimana rakyat Jepun disitu tidak dapat pulang disebabkan kapal terbang Jepun tidak boleh melalui ruang udara Iraq sewaktu itu. Berlaku ketegangan di airport apabila kapal terbang yang tinggal ketika itu adalah pesawat “Turkish Airlines”. Ramai rakyat Turki di Iran marah dan meminta agar diberikan tiket kepada mereka supaya boleh bergerak pulang ke negara mereka cepat dan selamat. Sewaktu itu juga diperlihat President Turki yang ke 8, mengarahkan supaya kapal terbang tersebut diberikan kepada rakyat Jepun yang terperangkap di Iran. Mulanya rakyat Jepun yang berkumpul di airport putus harapan kerana tiada lagi pengangkutan pulang tetapi kemudian mereka diberikan ruang terakhir untuk terbang pulang ke Turki selepas diperingatkan tentang kisah Ertugrul yang diselamatkan oleh mereka. Dari sini diperlihat kemulian hati mereka yang sanggup memberi peluang kepada rakyat Jepun sebagai membalas jasa nenek moyang mereka yang lepas.

Dari pendapat saya, filem ini adalah gambaran keakraban dan pengorbanan persahabatan yang kukuh antara dua negara. Persahabatan mereka ini bukanlah hanya pada atas nama diplomasi dicoret diatas kertas tetapi lebih dari itu. Ia melibatkan pengorbanan harta, darah dan kesanggupan berkongsi apa yang ada untuk satu sama lain. Justeru, saya sangat merekomandasikan semua menonton filem ini selain dari kualiti dan jalan cerita ini sangat menarik sesuai untuk tontonan pelbagai lapisan umur. Sorotan sejarahnya juga memberikan kemudahan untuk memahami perjalanan Sejarah yang cuba ditonjolkan bertepatan dengan tema penceritaan.

Berada di bumi 2 benua pasti kita akan tertarik dengan keindahan lanskap alam dan seni bina lamanya. Tidak dilupakan kehebatan empayar besar Islam yang berpusat di kotanya bahkan sebelum itu kotanya menjadi pusat utama kerajaan Bizantium. Kota Constantinople atau namanya selepas pembukaan Istanbul telah menjadi pusat tumpuan pedagang dan kuasa besar dunia untuk aktiviti perdangangan dan diplomasi antara negara. 


Pada tahun 1839, Tanzimat telah diperkenalkan membawa kepada reformasi didalam kerajaan Turki Uthmaniyyah. Polisi-polisi diubah dan gelombang perubahan berkonsepkan permodenan telah diperkenalkan. Tradisi ini telah diteruskan untuk generasi seterusnya sehinggalah ke zaman Sultan yang ke 32 iaitu Sultan Abdul Hamid II. Di era pemerintahan beliau, Turki telah membina banyak hubungan diplomasi bersama kerajaan luar terutama mereka yang mendokong gerakan reformis yang datang cetusan idea dari Barat.


Di Jepun, tugu peringatan mangsa yang terlibat dengan incident ini telah dibina dipulau tersebut dan setiap lima tahun diadakan upacara memperingati dengan kehadiran pemimpin utama dari kedua negara. Selain itu, muzium juga dibina untuk peringatan

Saya sendiri berharap satu hari nanti akan ada initiatif yang dilaksanakan untuk penghasila filem yang mengenai hubungan rantau kita bersama kerajaan Turki Uthmaniyyah yang saya fikir lebih dekat kerana samanya Islah dan Islam buat keduanya. Saya akhiri dengan kata- kata hikmah berikut,”Circumstance and coincidence may cause us to be in the right place at the right time to do God's work in a specific way- Suzanne Farnham”.



Tuesday, 28 June 2011

blogging medium baru penulisan kreatif dalam kalangan pelajar UIAM



Bismillahirahmanirahim 


Dalam kajian ketiga kami, kami menggunakan teknik pemerhatian pada medium blogging yang kini menjadi satu fenomena baru di seluruh Negara. Peratusan mereka yang menggunakan medium ini sebagai diari untuk mencatatkan aktiviti yang dilakukan serta sebagai tempat perkongsian ilmu meningkat. Remaja khususnya golongan mahasiswa kini rata-rata menggunakan blogging sebagai tempat untuk mereka mengasah bakat dalam penulisan. Tidak dinafikan ada juga segelintir daripada mereka menggunakan bahasa campur dalam berblogging tetapi itu juga boleh di ambil erti sebagai penulisan kreatif.

             Kepelbagaian cara dan jenis tulisan serta isi tulisan yang kita dapat lihat pada karangan pelajar UIAM. Ada diantara mereka menulis untuk menyebarkan dakwah, memanggil sahabat-sahabat kepada kebaikan.Ada juga yang menggunakan medium blogging untuk menyebarkan maklumat atau memberi pendapat mengenai  isu semasa seperti Isu yang berlaku di dalam atau di luar Negara, sebagai contoh isu pergolakan di Palestin. Selain itu, kita dapat lihat ada diantara mahasiswa yang menjadikan blog mereka tempat mereka mengumpulkan hasil karya-karya mereka seperti  himpunan puisi hasil nukilan diri sendiri serta penulisan cerpen yang menarik untuk bacaan umum. 
            Dari pemerhatian yang kami telah laksanakan sebanyak 8 dari 10 mahasiswa UIAM mempunyai blog. Antara blog yang boleh dijadikan contoh adalah http://elmishkat.blogspot.com/, http://pemudacahaya.blogspot.com/, http://qurss.blogspot.com/, dan  http://nurdalilamelatusamsi.blogspot.com/. Dalam keempat-empat blog di atas terdapat variasi penulisan kreatif. Ada yang mengekspresikan sesuatu keadaan atau perasaan itu dalam bentuk puisi, cerpen, ulasan dan pelbagai lagi. Isi kandungan dalam blog mereka sangat bermanfaat dan dapat menarik golongan remaja khususnya untuk membaca kerana gaya bahasa dan penulisan yang mereka gunakan tidak berat dan mudah untuk difahami.
Kesimpulan yang saya dapat lakukan disini adalah blogging merupakan satu fenomena baru dalam mengasah penulisan kreatif di dalam diri pelajar khususnya mahasiswa UIAM . Medium blogging adalah medium yang paling efisyen dan terbaik pada zaman ini kerana mudah, cepat dan percuma. Seseorang mahasiswa itu boleh berkongsi ilmu dan idea mereka dengan cara ini dan tidak perlu lagi menggunakan cara konvensional iaitu menghantar surat untuk di terbitkan dalam majalah mahupun akhbar.
Diharap dengan fenomena baru ini lebih ramai mahasiswa akan menulis dan memartabatkan semula penulisan kreatif dengan menggunakan medium yang lebih cepat, senang dan murah iaitu blogging. Moga para mahasiswa juga menjadikan medium ini untuk memartabatkan bahasa serta memperbaiki tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang perlu di jaga dan di pelihara. 

Monday, 27 June 2011

Laman Sosial medium Penyatuan Semangat Revolusi


Sejak awal tahun ini, dunia Islam ditiup dengan angin yang menginginkan perubahan. Dari Algeria ke Tunisia, Maghribi ke Libya, Syria ke Yemen hingga ke Dataran Tahrir di Mesir gelombang revolusi bersebaran. Seluruh dunia arab bertukar menjadi medan domino pabila satu per satu Negara jatuh dek penyatuan rakyat yang menuntut kepada perubahan.
Terdapat pelbagai pengantara yang menjadi pencetus sesebuah revolusi itu, kalau kita singkap semula sejarah kebanyakan cara untuk menyemarakkan api perubahan adalah dengan medium penulisan dan media massa. Kedua – dua elemen ini merupakan aspek penting dan cara yang paling cepat untuk digapai manusia tika itu. Bak ungkapan pujangga, pena itu lebih tajam dari mata pisau .
 Di era globalisasi moden ini, penyebaran maklumat bertambah pantas lagi dengan adanya rangkaan internet dan internet tanpa wayar. Segala jenis berita dan maklumat  boleh diperoleh dengan sekelip mata dan segala-galanya berada di hujung jari sahaja. Dalam pada masa yang sama, laman sosial juga muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Pelbagai jenis laman sosial boleh kita sertai seawall Friendster, myspace dan tagged sehinggalah laman yang popular kini iaitu mukabuku atau facebook dan juga twitter.
Secara majoritinya pemilik laman sosial selalunya adalah kaum belia atau remaja. Medium ini digunakan untuk berkongsi minat, bertukar pendapat dan juga mencari kawan baru tetapi awal tahun ini, dunia digemparkan dengan berita mengenai laman sosial menjadi medium penyatuan revolusi di timur tengah dan dunia Arab. Pada zaman ini, cara terbaik untuk mengumpulkan semua penduduk khususnya belia untuk sama-sama bergerak adalah dengan menggunakan laman sosial. Penyebaran maklumat berlaku dalam sekelip mata. Contohnya perkara yang berlaku beberapa minit yang lalu sudah pasti berada di dalam status terkini anda di facebook mahupun di twitter.                                                                                                
Fenomena ini telah memberi nafas baru dalam penyaluran maklumat serta bertindak sebagai agen penyatuan semua manusia secara umum dan menjadi landasan penyatuan rakyat sesuatu Negara secara khususnya. Sebagai contoh peristiwa di Dataran Tahrir, Mesir, di mana salah satu faktor atau penyebab pengumpulan rakyat Mesir khususnya belia di dataran tersebut adalah disebabkan salah seorang aktivis  telah menjadikan facebook dan twitter sebagai medium  mengumpul pendapat dan menyusun strategi.
Aktivis tersebut adalah Wael Ghonim, seorang eksekutif muda di Google muncul sebagai pencetus utama gerakan pembaharuan di Mesir. Beliau yang mempunyai lebih 500,000 orang pengikut di facebook telah ditahan oleh pihak berkuasa Mesir sebelum dilepaskan selepas 12 hari. Penggunaan laman sosial adalah landasan terbaik untuk memupuk semangat kebersamaan dan mungkin revolusi tidak akan berlaku sekiranya laman sosial seperti Facebook , Twitter dan sebagainya tidak wujud.
Bukan sahaja di Mesir, laman sosial juga menjadi faktor pencetus semangat revolusi di Libya dan juga di Syria. Ini telah mengangkat darjat laman sosial dari hanya sebagai tempat berkumpul dan berkongsi minat kepada pusat pembentukan semangat revolusi.
Secara kesimpulannya, laman sosial berjaya menyatukan rakyat di sesebuah Negara. Mungkin dalam lingkungan kita rakyat Malaysia boleh mengadaptasikan penggunaan dan cara mereka( rakyat Mesir) untuk membuat perubahan dalam masyarakat sebagai contoh Himpunan 1juta Belia yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya mengumpulkan sejumlah besar bilangan belia bersama-sama di Putrajaya dan kebanyakan promosi dilaksanakan menerusi laman sosial.                                                            
Akhir kalam, peredaran masa telah membawa arus perubahan kepada penyebaran semangat tidak kira semangat penyatuan mahupun semangat kekitaan telah beralih kepada penggunaan medium baru. Zaman revolusi kertas dahulunya kini ditukar dengan revolusi laman sosial. Iktibar perlulah diambil dari peristiwa yang telah berlaku dan jadikanlah ia sebagai rujukan untuk diaplikasikan di kalangan kita.
nota kaki : artikel ini InsyaAllah akan dimuatkan di dalam majalah survival, PKPIM UIAM GOMBAK..