Sejak awal tahun ini, dunia Islam ditiup dengan angin yang menginginkan perubahan. Dari Algeria ke Tunisia, Maghribi ke Libya, Syria ke Yemen hingga ke Dataran Tahrir di Mesir gelombang revolusi bersebaran. Seluruh dunia arab bertukar menjadi medan domino pabila satu per satu Negara jatuh dek penyatuan rakyat yang menuntut kepada perubahan.
Terdapat pelbagai pengantara yang menjadi pencetus sesebuah revolusi itu, kalau kita singkap semula sejarah kebanyakan cara untuk menyemarakkan api perubahan adalah dengan medium penulisan dan media massa. Kedua – dua elemen ini merupakan aspek penting dan cara yang paling cepat untuk digapai manusia tika itu. Bak ungkapan pujangga, pena itu lebih tajam dari mata pisau .
Di era globalisasi moden ini, penyebaran maklumat bertambah pantas lagi dengan adanya rangkaan internet dan internet tanpa wayar. Segala jenis berita dan maklumat boleh diperoleh dengan sekelip mata dan segala-galanya berada di hujung jari sahaja. Dalam pada masa yang sama, laman sosial juga muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Pelbagai jenis laman sosial boleh kita sertai seawall Friendster, myspace dan tagged sehinggalah laman yang popular kini iaitu mukabuku atau facebook dan juga twitter.
Secara majoritinya pemilik laman sosial selalunya adalah kaum belia atau remaja. Medium ini digunakan untuk berkongsi minat, bertukar pendapat dan juga mencari kawan baru tetapi awal tahun ini, dunia digemparkan dengan berita mengenai laman sosial menjadi medium penyatuan revolusi di timur tengah dan dunia Arab. Pada zaman ini, cara terbaik untuk mengumpulkan semua penduduk khususnya belia untuk sama-sama bergerak adalah dengan menggunakan laman sosial. Penyebaran maklumat berlaku dalam sekelip mata. Contohnya perkara yang berlaku beberapa minit yang lalu sudah pasti berada di dalam status terkini anda di facebook mahupun di twitter.
Fenomena ini telah memberi nafas baru dalam penyaluran maklumat serta bertindak sebagai agen penyatuan semua manusia secara umum dan menjadi landasan penyatuan rakyat sesuatu Negara secara khususnya. Sebagai contoh peristiwa di Dataran Tahrir, Mesir, di mana salah satu faktor atau penyebab pengumpulan rakyat Mesir khususnya belia di dataran tersebut adalah disebabkan salah seorang aktivis telah menjadikan facebook dan twitter sebagai medium mengumpul pendapat dan menyusun strategi.
Aktivis tersebut adalah Wael Ghonim, seorang eksekutif muda di Google muncul sebagai pencetus utama gerakan pembaharuan di Mesir. Beliau yang mempunyai lebih 500,000 orang pengikut di facebook telah ditahan oleh pihak berkuasa Mesir sebelum dilepaskan selepas 12 hari. Penggunaan laman sosial adalah landasan terbaik untuk memupuk semangat kebersamaan dan mungkin revolusi tidak akan berlaku sekiranya laman sosial seperti Facebook , Twitter dan sebagainya tidak wujud.
Bukan sahaja di Mesir, laman sosial juga menjadi faktor pencetus semangat revolusi di Libya dan juga di Syria. Ini telah mengangkat darjat laman sosial dari hanya sebagai tempat berkumpul dan berkongsi minat kepada pusat pembentukan semangat revolusi.
Secara kesimpulannya, laman sosial berjaya menyatukan rakyat di sesebuah Negara. Mungkin dalam lingkungan kita rakyat Malaysia boleh mengadaptasikan penggunaan dan cara mereka( rakyat Mesir) untuk membuat perubahan dalam masyarakat sebagai contoh Himpunan 1juta Belia yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya mengumpulkan sejumlah besar bilangan belia bersama-sama di Putrajaya dan kebanyakan promosi dilaksanakan menerusi laman sosial.
Akhir kalam, peredaran masa telah membawa arus perubahan kepada penyebaran semangat tidak kira semangat penyatuan mahupun semangat kekitaan telah beralih kepada penggunaan medium baru. Zaman revolusi kertas dahulunya kini ditukar dengan revolusi laman sosial. Iktibar perlulah diambil dari peristiwa yang telah berlaku dan jadikanlah ia sebagai rujukan untuk diaplikasikan di kalangan kita.
nota kaki : artikel ini InsyaAllah akan dimuatkan di dalam majalah survival, PKPIM UIAM GOMBAK..
No comments:
Post a Comment