Pages

Wednesday, 13 May 2020

Rumah SJNN


Bismillahirahmanirahim 




Apa khabar semua ? Hari ini telah masuk ramadhan ke 21. Cepat sungguh waktu berlalu seakan baru semalam rasanya ramadhan baru bermula. Syukur bagi saya, tahun ini buat kesekian kalinya setelah hampir tiga tahun tidak merasa ramadhan di rumah. Pada awalnya saya masih berkira nak balik atau tidak kerana dikhabarkan ada penerbangan khas yang disediakan untuk pelajar dan mereka yang terkandas di Istanbul pulang. Perasaan itu bercampur baur kerana saya risaukan keselamatan keluarga kalau saya pulang. Mana tidaknya, banyak kisah yang berlaku mengenai COVID 19 dimana mereka yang pulang dari luar negara dijangkiti penyakit ini. Yang paling mengerunkan apabila tidak tahu dimana mulanya terkena penyakit ini. Perkara kedua yang dirisaukan adalah sekiranya saya tidak dijangkiti tetapi membawa virus tersebut pulang bersama. Betapa saya rasa kalau saya ada nauzubillah akan memberi kemudaratan kepada keluarga saya. InshaAllah jika ada kelapangan saya akan menulis mengenai pengalaman saya dalam misi Pulang MASAT (bertugas bersama dan kuarantin). 

Rumah. rumah saya adalah syurga saya. Sepanjang hampir 29 tahun saya hidup, rumah yang satu ini telah menjadi tempat suka, duka, tangis, tawa, marah, kecewa semua perasaan saya belajar dari sini. Mama dan baba telah menyewa disini sejak dari saya lahir, sedari kawasan sekeliling masih lagi kebun getah dan hutan. Saya masih teringat waktu sekolah rendah belakang rumah saya ini adalah hutan yang besar dan tinggi sampai satu ketika itu ada lebah yang kami terpaksa memanggil bomba untuk hapuskan. Oh ye saya belum khabarkan satu, saya tinggal di kampung sungai kayu ara. Kawasan sini sangat strategik sekolah rendah, sekolah agama dan sekolah menengah saya dan kakak dekat. Hospital dekat. Tempat kerja mama juga dekat. Baba nak ke kilang baba juga dekat. Satu ketika dulu, kalau di sekolah selalu sahaja saya diejek kerana duduk disitu kerana banyak setinggan sedangkan saya tinggal di kawasan rumah orang melayu. Yela mana tidaknya, rakan-rakan saya di sekolah majoritinya anak orang kaya, anak orang berstatus tinggi dan ramai lagi. Tapi saya tak kisah kerana cukuplah dengan apa yang ada dan saya tahu ini usaha mama dan baba. 

Dalam rumah saya ada dua bilik dan satu bilik air. Bilik belakang bilik mama dan baba, bilik depan bilik saya dan kakak berkongsi. Cukuplah untuk keluarga kecil kami. Kalau saudara mara dari melaka datang pasti penuh rumah tapi kami tak kisah sebab keluarga kami kecil jadinya meriah sedikit bila ramai orang datang. Bila bercakap mengenai menjemput orang datang, saya ini jenis yang tidak suka mengajak orang ke rumah, dulu ye pernah saya rasa malu nak ajak kawan saya datang tapi sekejap sahaja rasa itu kerana ini adalah syurga saya. Saya pilih kawan yang boleh datang kerana saya percaya dan mahu buka ruang untuk rakan-rakan mengenali keluarga saya. Bagi saya keluarga saya  sangat precious. Sekiranya ada yang saya bawa atau benarkan balik maksudnya kalian adalah kawan yang paling saya percaya dan hargai untuk dijumpakan dengan keluarga saya. 

Kadang ada yang kata saya ini berlagak seakan anak orang kaya, pakai gadget mahal, makan tempat mahal, belajar luar negara. Sejujurnya ya kami pernah hidup senang tapi itu tidak bermakna perlu kami perlu berbelanja sekaligus untuk hidup mewah. Mama kerja kerajaan dan baba kerja sendiri. Bila ada keuntungan mama dan baba beli rumah di Melaka dengan cita-cita nak pindah ke Melaka bila mama dah pencen. Etika kerja dan berbusiness sangat tertib, sebab itu juga kami tidaklah dapat hidup mewah kerana kualiti itu lebih penting dari keuntungan untuk baba. Ada satu ketika itu saya pernah jadi sangat rebel nak pakai benda mahal dan sebagainya tapi mama dan baba tidak berikan kerana itu kehendak bukan keperluan. Dari situ juga saya belajar untuk setiap sesuatu kalau nak beli semak dulu keperluan atau kehendak dan kalau gunakan barang itu guna sampai rosak atau lusuh baru beli baru. Bila dah besar sedikit saya tahu untuk timbang tarakan keperluan dan kehendak.  

Setelah hampir 10 tahun lebih baba buka business baba jatuh sakit. Dari situ keluarga kami sedikit susah tetapi alhamdulillah hasil usaha baba bekerja sebelum itu semua digunakan untuk meneruskan kehidupan dan alhamdulillah juga mama bekerja jadinya dapatlah apa yang perlu. Saya melihat betapa kecewanya baba kerana merasa dirinya kecewa menjadi ketua keluarga tapi bagi kami tidak. Alhamdulillah anak-anak baba dapat habis belajar dan sambung belajar. Hidup kami cukup dengan apa adanya. Mama sebagai sumber kekuatan baba. Satu perkara yang pasti saya rasa keluarga kami sangat rapat selepas itu, baba kalau dulu sibuk kini sentiasa ada dirumah. Mama pula menjadi superwomen, idola saya kerana mama contoh isteri solehah yang sehingga ke hujung nyawa baba sangat menghormati suaminya walaupun bekerjaya. Nantilah saya cerita ye. Kami juga bersyukur, hospital dekat sahaja dengan rumah, sama juga sekolah dulu  

Tahun ini mama sudahpun pencen. Mama nak pulang ke Melaka kerana mahu melunaskan cita-cita nak duduk dirumah hasil pembelian mama dan baba. Walaupun baba sudah tiada (tahun ini masuk tahun ke 5), kami masih rasa baba masih bersama kami dan mama mahu pulang seperti yang diimpikan bersama lelaki yang sampai syurga mama sayang. Haritu bila saya dah balik mama cerita nak balik Melaka tapi dengan rasa sebak sebab rumah ini dah macam rumah kami. Disini mama dan baba bina keluarga disini. Jatuh bangun semuanya disini. Sayang sekali Tuan rumah kami ini tidak mahu menjualkan rumah ini pada kami kerana telah diwariskan pada anak beliau. Kami bakal berpindah dari sini tetapi kenangan yang dicipta disini akan terus hidup bersama kami. Kami bukan orang senang tapi kami orang bahagia. 

Cita - cita saya adalah satu hari saya ada rumah sendiri yang cukup serba serbi untuk keluarga saya dan menjadi taman syurga dunia kami dan tempat membentuk syurga akhirat bersama suami dan anak-anak. Saya tidak reti bermewah sebab saya tidak kaya dan saya tidak menidakkan mereka yang suka melakukan demikian. Kerana setiap kita itu ada cara dan suratan yang telah Allah sediakan untuk kita. Saya doakan semua berjaya mencari dan membentuk rumah idaman. Bagi saya, rumah SJNN kami ini adalah dunia kami dan taman syurga kami. Moga kami semua dipertemukan dengan baba di syurga nanti dan saya terus diberikan taufik dan hidayah dari Allah untuk menjadi aset mama baba ke syurga. Moga dapat pimpin tangan mama baba ke syurga nanti inshaAllah ke rumah kami di syurga. 


nota kaki : Selamat mengejar malam laylatul qadr. Sesungguhnya Allah itu dekat, Allah maha besar, Maha kuasa. Maha pemberi. Maha penyayang. 


No comments:

Post a Comment