Pages

Tuesday 19 September 2017

Membawa kembali semangat yang hilang



Bismillahirahmanirahim. 


Alhamdulillah wa syukurillah. Setelah sekian lama barulah saya boleh memulakan semula penulisan di blog saya ini. Sungguh untuk menulis itu perlukan "consistency" sama juga dalam penulisan tesis. Sedangkan setahun ini banyak sungguh perkara yang berlaku pada diri saya dan sekeliling saya. Sehingga tak terungkap hendaknya. Dari wakil Malaysia ke Mashhad ke kembara 10 negara. Dari kisah gembira perkahwinan sahabat dan mama naik haji ke perginya sahabat baik saya bertemu ilahi. 
Sungguh banyak ingin dinukilkan dalam ruangan penulisan ini. Saya harap dapat menulis sebanyak mungkin seiiring penulisan tesis saya. 

Tahun ini masuk tahun ke 4 saya berada di Turki dan tahun 3 pengajian master. Lama bukan? tetapi inilah realiti kami yang mengambil pengajian Sarjana di Turki. Sukar untuk dihabiskan pengajian "on time" dek kerana bahasa yang agak sukar. Akan tetapi dalam tempoh inilah kami dapat belajar pelbagai perkara. Biar apa orang lain ingin katakan, kami tetap akan berusaha hingga tamat pengajian. 

Saya kini dalam proses penulisan tesis dan alhamdulillah saya sudah tamat mencari bahan dan membuat kajian. Harapnya tajuk tesis yang dikaji ini bakal memberi manfaat pada rakyat Malaysia dan Turki serta dapat menghubungkan kedua negara semula. Bukanlah terpisah tetapi hilang titik persamaan dan hubungan sedari sebelum merdeka dan perubahan global dek perang dunia yang dua. 

bayu bosphorus di waktu senja 

Kota Istanbul sedari saya pulang ke sini agak panas hawanya. Angin musim panas belum menunjukkan redanya dan musim luruh belum menunjukkan tanda-tanda. Saya banyak memilih untuk tinggal di dalam asrama dan menulis di "etut odasi". Disini juga tempat terbaik untuk bertapa kerna tiada lagi sesiapa kesini kerana minggu pembelajaran baru sahaja bermula. Bayu bosforus baru beberapa kaliku sapa. Setiap kali menaiki "vapur" pasti tersengih dan tersenyum kerana inilah paling dirindu. Masakan tidak kerana disinilah tempat merasa tenang dan damai melihat kota yang sesak namun tinggalan sejarahnya yang ku kejar sedari 4 tahun yang lalu. Benarlah tempat ini telah mencuri hatiku dan ia menjadi rumah kedua ku kini. 

Pada yang ingin menyambung pengajian di sini saya alu-alukan, akan tetapi anda perlu bersedia mental serta fizikal untuk menghadapi segala dugaan disini. Dengan budaya yang asing serta cara pentadbiran yang bertukar setiap detik pasti memerlukan jiwa yang kental. Kerinduan pada keluarga dan tanah air belum dikira akan tetapi inilah yang boleh mematangkan jiwa-jiwa. Adanya elemen matang itu lebih penting dari perkara yang hanya menghiburkan hati dan kosong erti. Pengakhirannya berbalik pada nawaitu kita hadir untuk apa dan mengapa. 

Apapun saya mohon doa dari semua agar dimudahkan segala sesuatu yang dilaksanakan. Saya doakan buat setiap kamu juga. Semoga jua rajin menulis dan mengarang pengalaman sedari 2016 ke hari ini. Walaupun perlahan tapi dibuat untuk tatapan masa hadapan. InshaAllah. 


Saya akhiri post kali ini dengan serangkap syair karangan Hamzah Fansuri yang kena dengan tajuk post kali ini :

Syair Perahu
Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah,
di sanalah i’tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal diammu.

Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.

Perteguh jua alat perahumu,
hasilkan bekal air dan kayu,
dayung pengayuh taruh di situ,
supaya laju perahumu itu

Sudahlah hasil kayu dan ayar,
angkatlah pula sauh dan layar,
pada beras bekal jantanlah taksir,
niscaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
muaranya sempit tempatmu lalu,
banyaklah di sana ikan dan hiu,
menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikanpun banyak,
di sanalah perahu karam dan rusak,
karangnya tajam seperti tombak
ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit,
sempurnalah jalan terlalu ba’id.



Wallahualam. 


Nuramirah Shahrin 
Istanbul 29 Mayis Universitesi Kiz Konukevi,
Umraniye, Istanbul, Turki
Rabu, 7:03 malam 




saya peminat baju kurung nombor satu dan ini adalah pakaian saya di hari pertama universiti


1 comment: