Pages

Showing posts with label istanbul rara datang. Show all posts
Showing posts with label istanbul rara datang. Show all posts

Tuesday, 19 September 2017

Membawa kembali semangat yang hilang



Bismillahirahmanirahim. 


Alhamdulillah wa syukurillah. Setelah sekian lama barulah saya boleh memulakan semula penulisan di blog saya ini. Sungguh untuk menulis itu perlukan "consistency" sama juga dalam penulisan tesis. Sedangkan setahun ini banyak sungguh perkara yang berlaku pada diri saya dan sekeliling saya. Sehingga tak terungkap hendaknya. Dari wakil Malaysia ke Mashhad ke kembara 10 negara. Dari kisah gembira perkahwinan sahabat dan mama naik haji ke perginya sahabat baik saya bertemu ilahi. 
Sungguh banyak ingin dinukilkan dalam ruangan penulisan ini. Saya harap dapat menulis sebanyak mungkin seiiring penulisan tesis saya. 

Tahun ini masuk tahun ke 4 saya berada di Turki dan tahun 3 pengajian master. Lama bukan? tetapi inilah realiti kami yang mengambil pengajian Sarjana di Turki. Sukar untuk dihabiskan pengajian "on time" dek kerana bahasa yang agak sukar. Akan tetapi dalam tempoh inilah kami dapat belajar pelbagai perkara. Biar apa orang lain ingin katakan, kami tetap akan berusaha hingga tamat pengajian. 

Saya kini dalam proses penulisan tesis dan alhamdulillah saya sudah tamat mencari bahan dan membuat kajian. Harapnya tajuk tesis yang dikaji ini bakal memberi manfaat pada rakyat Malaysia dan Turki serta dapat menghubungkan kedua negara semula. Bukanlah terpisah tetapi hilang titik persamaan dan hubungan sedari sebelum merdeka dan perubahan global dek perang dunia yang dua. 

bayu bosphorus di waktu senja 

Kota Istanbul sedari saya pulang ke sini agak panas hawanya. Angin musim panas belum menunjukkan redanya dan musim luruh belum menunjukkan tanda-tanda. Saya banyak memilih untuk tinggal di dalam asrama dan menulis di "etut odasi". Disini juga tempat terbaik untuk bertapa kerna tiada lagi sesiapa kesini kerana minggu pembelajaran baru sahaja bermula. Bayu bosforus baru beberapa kaliku sapa. Setiap kali menaiki "vapur" pasti tersengih dan tersenyum kerana inilah paling dirindu. Masakan tidak kerana disinilah tempat merasa tenang dan damai melihat kota yang sesak namun tinggalan sejarahnya yang ku kejar sedari 4 tahun yang lalu. Benarlah tempat ini telah mencuri hatiku dan ia menjadi rumah kedua ku kini. 

Pada yang ingin menyambung pengajian di sini saya alu-alukan, akan tetapi anda perlu bersedia mental serta fizikal untuk menghadapi segala dugaan disini. Dengan budaya yang asing serta cara pentadbiran yang bertukar setiap detik pasti memerlukan jiwa yang kental. Kerinduan pada keluarga dan tanah air belum dikira akan tetapi inilah yang boleh mematangkan jiwa-jiwa. Adanya elemen matang itu lebih penting dari perkara yang hanya menghiburkan hati dan kosong erti. Pengakhirannya berbalik pada nawaitu kita hadir untuk apa dan mengapa. 

Apapun saya mohon doa dari semua agar dimudahkan segala sesuatu yang dilaksanakan. Saya doakan buat setiap kamu juga. Semoga jua rajin menulis dan mengarang pengalaman sedari 2016 ke hari ini. Walaupun perlahan tapi dibuat untuk tatapan masa hadapan. InshaAllah. 


Saya akhiri post kali ini dengan serangkap syair karangan Hamzah Fansuri yang kena dengan tajuk post kali ini :

Syair Perahu
Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah,
di sanalah i’tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal diammu.

Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.

Perteguh jua alat perahumu,
hasilkan bekal air dan kayu,
dayung pengayuh taruh di situ,
supaya laju perahumu itu

Sudahlah hasil kayu dan ayar,
angkatlah pula sauh dan layar,
pada beras bekal jantanlah taksir,
niscaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
muaranya sempit tempatmu lalu,
banyaklah di sana ikan dan hiu,
menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikanpun banyak,
di sanalah perahu karam dan rusak,
karangnya tajam seperti tombak
ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit,
sempurnalah jalan terlalu ba’id.



Wallahualam. 


Nuramirah Shahrin 
Istanbul 29 Mayis Universitesi Kiz Konukevi,
Umraniye, Istanbul, Turki
Rabu, 7:03 malam 




saya peminat baju kurung nombor satu dan ini adalah pakaian saya di hari pertama universiti


Saturday, 25 October 2014

Sebulan Anak Perantau (Diari Istanbul Rara)


Bismillahirahmanirrahim


                        Alhamdulillah wa syukurillah, selawat dan salam junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Hari ini 16 Oktober 2014, genap sebulan saya di bumi orang. Sepanjang bulan pertama inilah banyak pengalaman ilmu yang diperoleh. Sesungguhnya dalam mencari ilmu jalannya tidak pernah lurus tapi berliku. Sedari hari pertama, tiada istilah rehat dan terus sahaja mengorak langkah mengerti Negara ini isi dalamnya. Mungkin ada yang menganggap hidup diperantaun pastinya indah tetapi makna sebenar bukanlah mudah. Justeru, saya akan berkongsi pengalaman sebulan mengikut minggu yang saya susuri.

MINGGU PERTAMA (ISTANBUL AKU SAMPAI)

pelajar Malaysia yang membantu saya 

di bandar eminonu 
Pada tanggal 16 September 2014 jam 11.15 malam, pesawat TR06 telah memulakan redahan awannya menuju bandar tua di titik pertemuan Eropah dan Asia. Saya bersama 15 pelajar Malaysia yang lain dengan azam dan cita bergerak menuju kehidupan baru. 10 jam kemudian kami selamat tiba di Atartuk International Airport. Seusai mengambil bagasi menuju ke anjung ketibaan terlihat meja ketibaan untuk pelajar atas biayaan kerajaan Turki sedang menanti. Terus sejurus itu kami di bawa ke penempatan sementara di wilayah Uskudar. Kami menyegarkan badan seketika dan terus bersiap membelah laut Bosphorus untuk menyelesaikan urusan pendaftaran pelajar baru. Pendaftaran di Postgraduate centre di teruskan pada hari berikutnya dan seterusnya urusan kad pengangkutan dan pelbagai lagi.

Istanbul minggu pertama
MINGGU KEDUA (IYI BAYRAMLAR)

sesi orentasi pusat bahasa Marmara Universiti

Selepas seminggu yang pertama berakhir bermulah episode orientasi pendek di Pusat Bahasa Universiti Marmara. Kami di beritahu bahawa kelas akan bermula sejurus selepas hari raya haji yang jatuh pada hujung minggu tersebut. Kami juga di bawa melawat sekitar kampus dan kelas belajar. Selama setahun kami akan belajar bahasa di “Fen Edebiyat(Sains dan Sastera)” fakulti. Sungguh pengalaman kali pertama di sana mengingatkan diriku lansung kepada IIUM yang pelajarnya terdiri dari pelbagai Negara cuma kini aku bertindak sebagai pelajar asing.

mantai raya di Sultan Ahmet

Sejurus selepas itu kami menyambut eidul adha dan pengalaman menyambut hari raya yang penting ini telah saya coretkan dalam penulisan yang lepas. Apapun ini adalah pengalaman pertama berjauhan malahan diri berterima kasih pada teknologi kerana yang jauh didekatkan.

MINGGU KETIGA (BISMILLAH KELAS BERMULA)
bersama guru dan rakan rakan 

Alhamdulillah selepas cuti raya haji selama 4 hari kami memulakan kelas. SubhanaALLAH sekali lagi diri terasa seperti melangkah masuk ke UIAM semula kerana kami semua seakan sedang berada di CELPAD atau language centre. Di dalam kelas saya terdapat seramai 20 orang pelajar yang datang dari pelbagai Negara dan mereka adalah dari Negara jiran Thailand, Tunisia, Morocco, Macedonia, Mauritania, Syria, Sierra Leone, Uganda, Botswana, Somalia dan saya  dari Malaysia. Pada mulanya kami agak kekok antara satu sama lain selepas beberapa hari kami boleh masuk antara satu sama lain.
classmate TOMER
Guru bahasa dalam masa yang sama adalah Guru bahasa Perancis yang membuatkan saya pada mulanya agak confuse untuk memahami pengajian yang pada mulanya diajar dalam bahasa Turki fully diterangkan beberapa maksud dalam bahasa Perancis dan sangat minima penggunaan bahasa Inggeris. Lama kelamaan perkara tersebut adalah sesuatu yang baik kerana saya dapat mempelajari 2 bahasa dalam satu masa yang sama.  Kedua duanya menarik dan keperluan untuk dipelajari. Oh ye saya mempunyai 3 orang guru, mereka adalah Emel Hoca, Aylin Hoca dan Melek Hoca. Seorang guru Almanca(German language) dan guru Fransiz (Perancis language).





MINGGU KEEMPAT ( ASSALAMUALAIKUM AMMAR)

AL FATIHAH buat AMMAR 

Minggu berganti minggu, hari bersilih ganti terkenang dihati ini melawat kubur sahabat yang disemadikan di tanah rantau. Sungguh diri ini terinspirasi dengan kisah beliau yang nawaitunya ditetapkan dengan Ummah bukan annaniyah. Sedari pemergian beliau, sungguh hati-hati mereka yang mengikuti cerita cinta beliau pada tanah asing ini dan dunia kemanusiaan. Al kisahnya saya bertemankan sahabat baik dari Brunei berniat untuk berjumpa senior-senior saya yang baru pulang dari Syria. Selepas sesat hamper sejam setengah(berjalan kaki) kami berjanji temu di Perkhuburan Ammar. Saat kaki menapak di kawasan perkuburan tersebut hati mula bergetar. Mengenangkan perancangan Allah yang indah menentukan masa yang terbaik buat kami berkunjung ke kubur beliau. Setibanya di kawasan tersebut dan terlihat bendera Malaysia, airmata jatuh bercucuran. Sebak terasa dan sayu terasa didalam hati. Sungguh dipanggil ilahi disaat ummat perlukan pemimpin yang bisa membawa pembaharuan dan penambah baikan. Sejurus itu, saya tunggu seketika berdoa dan menyedekahkan al fatihah di pusara beliau. Walaupun dia sudah pergi meninggalkan kita tetapi saya berasa dekat jiwanya bersama saya. (ALFATIHAH buat Ahmad Ammar Ahmad Azzam).

perjumpaan bersama coordinator UNIW 


BAIK BAIK SAYANG

wefie bersama keluarga 
Dalam menelusuri kehidupan baru di Istanbul, doaku adalah seperti berikut
Allah,
Moga nawaitu ke sini satu,
Bukan dunia untuk dikejar,
Tetapi mardhotillah menujuMu.
Andai aku terjatuh angkatlah aku,
Andai aku alpa ingatkan aku,
Andai aku sesat tunjukkan jalan buatku.
Sungguh aku hamba hina,
Damba kasih TuhanNya,
Doaku,
Agar ilmu di berkati,
Amalan di terima,
Jalan ditunjuki,

Agar aku bisa melihat jalan menujuMu. 
senja di Istanbul 





p/s: Mahu lebih bersemangat menulis. Doakan aku teman!

Friday, 3 October 2014

Hadiah dari Mereka (Diari Istanbul Rara)


Bismillahirrahmanirahim 

Sebelum keberangkatan ke Turki saya dihadiahkan beberapa hadiah dari keluarga dan sahabat handai. Tak semua yang dapat dibawa bersama tetapi inshaAllah akan dibawa seterusnya apabila saya pulang ke Malaysia bulan Januari inshaAllah. 


hadiah dari adik gen 9/ PKPIM UIAM GOMBAK 


hadiah dari Mardhiyyah 


PPIWP 


adik busyuk Aunie


bestie Hanisah 


pashmina dari GEN 7 


A good book from Uzair 


dictionary from bestie Nadhirah Azidy 


buku dari sahabat PPIWP 


monopod dari Ayu 


pen dari kakak sayang 

mafla dari mak teh 
hadiah sama seperti kat atas tadi 

dari hanis :)

dari Amine alkoxide 

dari gen 7 

dari Adibah Tarmizi 


Sungguh saya sangat terharu dengan hadiah yang kalian berikan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas. Saya akan gunakan sehabis baik hadiah yang diberikan inshaALLAH.


Minggu Pertama ( diari Istanbul Rara)

Bismillahirrahmanirahim 

mia familia
     

         Alhamdulillah wa syukurillah setelah berminggu-minggu persiapan sampailah sudah saya di bumi Al Fateh. Perjalananku bermula dari rumah seawal jam 6 petang. Persiapan yang rapi telah dijalankan supaya tiada satupun barang yang tertinggal. Dalam meniti masa terakhir di KLIA ramai sanak saudara dan sahabat handai hadir untuk menghantarku di airport. Sayu hati tatkala diri ini perlu berlalu pergi. Langkah seakan berat diiringi salam, tangisan dan doa dari yang tersayang. Dalam ketika baru turun dengan escalator terdengar teriakan sahabat yang baru sampai ke airport menghantarku pergi. Sebak sekali lagi terasa melihat ramai sekali melambai penuh kesyahduan pada diriku. 
bersama mak long, pak long, mak uda dan pak uda beserta anak buah dan sepupu

        Terima kasih yang tak terhingga buat keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang hadir di airport untuk menghantarku. Doaku tak putus buat kalian semua. Terima kasih jua buat yang pm, whatsapp, message dan call sebelum keberangkatanku ke Turki. Saat terakhir sebelum masuk ke perut kapal terbang ternyata saat memilukan kerana disitu bermulanya suatu kisah hidup yang baru buat diriku. Sebuah karya agung dirancang sang Pencipta.
teman teman PKPIM dan gen 7 

Kenangan di awan biru 

         Sewaktu diumumkan penerbangan akan berlepas dari Kuala Lumpur International Airport, hatiku tak henti berdebar. Satu mungkin kerana perjalanan kali ini jauh. Memakan masa lebih 10 jam. Kedua terkenang kisah MH17 dan MH370. Apakah ini perasaan yang sama mereka rasa atau hanya khayalku sahaja. Alfatihah buat mereka. Sepanjang perjalanan aku tidak tidur nyenyak. Di berikan makan 2 kali sepanjang perjalanan cukup untuk mengalas perut sepanjang perjalanan ke sana. Makanan yang disajikan adalah makanan Turki yang saya fikir agak baru untuk perutku tetapi cuba dihadam sehabis baik.

bersama adik Anis 
           Sepanjang perjalanan saya habiskan dengan melihat keluar tingkap seakan diri berada diawan seiring bulan yang benar benar dipagari bintang. Dengan nikmat Allah berikan alam yang terbentang hati kembali tenang. Kedudukan pelajar yang menerima biasiswa kerajaan turki hampir jadi kami dapat berkongsi rasa dan cita. Tika dalam perjalanan juga diri ini mendapat peluang solat di awan biru. Dengan pengetahuan cara solat diawan yang diajar En Azam dan Ustaz Hasrizal alhamdulillah saya dapat solat Subuh.

kami di depan welcoming desk 
          Tepat jam 5.30 pagi kami selamat tiba di Atartuk International Airport. Saat di khabarkan we have safely arrived syukur tak terhingga terasa di hati. Bersama cita dan cinta dibawa ke tanah baru untuk dicipta kenangan baru. Urusan imigresen berjalan lancar dan kami semua bergerak ke luar airport di sambut welcoming desk Turkiye Burslari.

Selamat datang Istanbul 

tempat tinggal sementara di Uskudar 
         Selepas selesai urusan di welcoming desk kami terus di bawa ke Dormitory sementara di Uskudar sebelum di hantar ke bangunan penginapan di Umraniye. Jam 11 pagi kami mulakan langkah kami menuju ke Istanbul bahagian eropah. Dengan rasa keterujaan kami memulakan perjalanan dengan menaiki bas, kemudian ferry dan seterusnya tramp. Pada mulanya agak kekok tetapi ini adalah perkara yang akan berulang kali kami lakukan. Pada hari kedua dan seterusnya kami menggunakan medium yang sama untuk berulang alik dari Asia ke Eropah. Terima kasih tak terhingga kepada pelajar Malaysia yang membantu kami sepanjang awal minggu kami di sini.


Konklusinya minggu pertama adalah minggu yang penuh dengan warna warni kehidupan. Harapnya di masa muka ini adalah penguat hati kami dan penguat semangat untuk terus belajar dan membetulkan niat kami untuk berada disini.