Bismillahirahmanirahim
Hari ini sudah masuk hari yang tidak terhitung bagi saya sejak kali terakhir menaiki pengangkutan awam, tramvay mahupun bas, setelah arahan penutupan Universiti untuk tiga minggu. Ingat lagi mula arahan itu pada 16.3.2020 dan hari ini di hari terakhir bulan Mac kalau dihitung dalam 15 hari lamanya. Ada juga sekali itu saya pergi ke seberang jalan utama dari rumah untuk membayar sewa rumah dan alang-alang membeli bekalan makanan sepanjang self lockdown ini. Cuaca Istanbul di minggu ini masih lagi sama. Mendung dan berangin. Dimana perginya sang mentari yang menyinar tika waktu ini di tahun lalu? Sungguh saya rindu. Selalunya diwaktu sebegini pesta bunga tulip pasti sudah bermula dan saya barangkali sudah ke Emirgan Park atau Gulhane bersama teman-teman.
Tahun ini setakat hari ini, cuaca Istanbul masih kelam dan berawan. Angin juga masih bertiup kencang dan dinginnya seakan musim sejuk yang tidak berkesudahan. Dengan wabak pandemik yang melanda dunia lagi memberi satu kegusaran kerana pada cuaca sebegini penyakit tersebut lebih aktif. Saban hari jumlah mereka yang positif penyakit ini meningkat ribuan dan kematian telah mencecak 200 keatas. Tipu kalau saya tidak rasa takut atau gusar. Akan tetapi dengan kelas yang terus menerus berlangsung tiap hari melimitkan akal untuk berfikir yang tak tentu kerana ada perkara lagi mustahak perlu dilakukan.
Diwaktu yang sama Malaysia sedang dalam MRO (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk menghindarkan penularan wabak pandemik disana. Malaysia juga punya pertambahan kes tetapi alhamdulillah terkawal walaupun jumlahnya meningkat. Kalau sebelum ini Turki dan Malaysia seakan berlawan selang tambahan yang positif tetapi hingga kehari ini Turki telah jauh meninggalkan Malaysia dengan jumlah banyaknya berkali ganda dari Malaysia. Moga Allah lindungi kita dan keluarga dari wabak ini. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab dengan terus kekal di rumah. Kalau di Turki kempennya #evdekal. Tidak seperti di Malaysia yang mempunyai MRO Turki hanya menghadkan larangan keluar kepada rakyatnya yang berusia 65 tahun dan ke atas. Akan tetapi dengan angka yang meningkat berganda saban hari dan negara-negara jiran mencatatkan kes tinggi, rakyat Turki dan kami pelajar antarabangsa terutamanya memilih untuk terus kekal di rumah. Kami hanya keluar bila benar-benar terpaksa seperti membeli barang harian.
Esok kita akan melangkah masuk ke bulan April 2020. Sungguh tahun ini saya rasakan waktu itu berlalu sangat perlahan. Ini kerana banyak sekali yang berlaku dalam tempoh yang singkat ini. Terkadang terfikir apakah pula yang menanti di bulan hadapan ini. Kalau terus menerus memikirkan perkara tersebut boleh depresi. Estaghfirullah. Jadi saya fikir lebih baik kita hidup melihat hari ini. Buat sehabis baik perkara yang kita mahu lakukan. Jadi lebih baik dan sebarkan cinta serta kebaikan pada semua. Dan juga Bulan baru ini, bakal bermulanya ramadhan di akhir bulan. Moga kita semua dapat menjalani bulan penuh rahmat ini dengan baik. Rindu hendaknya berterawikh di masjid. Rindu juga rasanya ingin pulang ke Malaysia dan berpuasa bersama keluarga. Moga kau kabulkan doaku ini ya Allah. Aku mahu beraya bersama keluarga ditahun ini.
Satu perkara yang pasti, dunia mengurangkan rentaknya untuk kamu dan aku berlaku adil pada diri. Ini kerana kita sering berkata yang kita tidak punya waktu untuk melakukan perkara yang kita mahukan atau barangkali BERUBAH. Nah banyak masa diberikan dan ini waktunya. Kalau rasa ibadah tak sempurna, sempurnakanlah. Kalau rasa berat dah bertambah usaha turunkanlah. Kalau kata nak merancang dan memulakan pembelajaran baru, mulakanlah. Kalau selama ini memendam rasa, luahkanlah. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok, akan tetapi kita tahu apa yang kita dapat hari ini. Masa itu tidak akan menunggu kita dan akan berlalu pantas seperti "a blink of an eye". Tambahan pula, dalam al quran surah Al Ahzab kalau tak silap, Dunia ini hanyalah sementara sahaja. Jangan leka mahupun alpa. Siapkanlah diri, mental dan fizikal serta yang paling utama bekalan di sana nanti.
Moga bulan April 2020 akan menjadi permulaan yang terbaik untuk kita semua dan dunia.
nota kaki : hatiku tertinggal di Malaya. Hati ini hanya rindu. jangan lupa basuh tangan.
No comments:
Post a Comment