Pages

Tuesday, 7 January 2020

Terima kasih 2019


Assalamualaikum. 






Hari ini telahpun masuk hari ke 7 dalam tahun 2020. Cepat bukan hari bertukar ganti. Pagi ke malam juga pantas berlalu terutama di musim sejuk. Kalau dicongak dari hari masa, bulan dan tahun pasti kita ini rasa singkat dan terkadang rasa panjang. Semua itu tergantung pada cara kita menggunakan masa dan bagaimana kita menghadapi masa. Kenapa saya berkata begitu? Semua ini kerana kita yang punya kuasa untuk menentukan apa yang akan bersama kita, apa yang kita mahu lakukan dan apa yang perlu ditinggalkan. Selalu kita diperingatkan apa yang lepas itu biarlah dibelakang dan kita perlu terus melangkah ke hadapan. Kalau falsafah hidup saya, sekali-sekala toleh kebelakang itu tidak salah kerana yang indah dan jerih itu yang membawa kita hidup dimasa ini. 

Tahun 2019 subhanaAllah bagi diri saya sendiri sangat pantas berlalu pergi dan diakhiri alhamdulillah dengan puji pada ilahi. Kerana mulanya agak mendatar dan penuh dengan liku dan sendu tapi syukur kerana disulam dengan bahagia. Sering saya berpegang pada ayat Allah dalam kesusahan ada kesenangan. Itu gambaran ringkas 2019 saya. 

Senarai di bawah ini adalah yang terbaik di tahun 2019 saya : 

1. Mula ke gym pada 1.3.2019 (stop seketika selepas raya)


2. Mama datang ke Istanbul di minggu kedua raya aidilfitri (Jun 2019)


3. Defend thesis (3.7.2019)




4. Graduan Master Sejarah Islam dari Marmara Universiti (9.7.2019)



5. Pulang ke Malaysia pada hari jadi (12.07.2019)


6. Mula PhD dalam Sejarah (23.9.2019)



7. Berjalan ke Edirne (Disember 2019)


Banyak lagi yang ingin dimasukkan dalam list tetapi ini paling disyukuri. Sungguh Allah itu maha kuasa dan pemberi segala yang diperlukan  pada masanya. Saya bersyukur kerana ditahun itu juga dihadirkan pelbagai kawan dan insan untuk belajar dari dan memberi. Ada episod duka dan juga suka. Terima kasih bagi yang hadir dan pergi. Setiap satu dari kalian sangat beerti dalam hidup saya. 

Azam tahun 2020 saya tidak ada bezanya dari sebelumnya. Paling utama adalah saya sedang mencari diri dan hala tuju hidup. Gapai impian dan memenuhi azam-azam lepas yang masih belum mampu dipenuhi. Semoga kalian yang membaca blog saya juga diberikan kekuatan dan diberkati hidup untuk memenuhi azam yang telah ditetapkan. Bak kata seorang senior saya " dalam hidup ini Amirah ada masa perlu cepat dan ada ketika perlu perlahan-lahan. Seperti kita didalam sampan. Pelan pelan kayuh tapi konsisten supaya sampai destinasi yang ingin dituju.". 





Selamat maju jaya. 

Selamat tahun baru 2020. 



Tuesday, 22 October 2019

Jalan Lurus atau Berliku?


Bismillahirahmanirahim.



Lurus, bersimpang siur, bengkang bengkok, putus-putus dan pelbagai lagi adalah gelar yang boleh diberi pada jalan. Setiap dari kita pasti akan melalui pelbagai jenis jalan dengan gelar yang disebutkan dalam hidup. Kita misalkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka. Ada beberapa yang jalan yang boleh dilalui seperti jalan kampung melalui pedas linggi ataupun lebuh raya melalui simpang empat atau ayer keroh. Anda yang memilih kerana setiap dari kita sudah pasti tahu destinasi akhir yang mahu dituju di Melaka. Begitu juga dengan kehidupan. Setiap dari kita ada matlamat hidup dan sudah pasti kita juga telah merangka pengakhiran hidup kita. Dengan erti kata lain cita yang kita mahu lengkapi. Dalam mencapai cita itu tidak mungkin jalannnya atau cara itu lurus tanpa sebarang rintangan. 

Saya bagi contoh dalam pelajaran. Setiap dari kita dari awal kehidupan telah ditentukan untuk belajar di tadika kemudian sekolah rendah dan terus ke sekolah menengah. Selepas melawati tangga aras pendidikan yang wajib kita diberi pilihan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi (Universiti) atau bekerja selepas habis sekolah menengah. Sudah pasti setiap kita seperti saya kata tadi ada matlamat cuma jalannya berbeza. Mereka yang merasakan matlamat yang dituju itu tidak memerlukan tangga pengajian tinggi akan terus bekerja dalam mencapai matlamat. Sebaliknya ada juga mereka yang rasa perlunya aras pengajian tinggi untuk merealisasikan matlamat mereka dan memilih untuk melanjutkan pengajian. Jadi anda rasa siapa yang memilih jalan yang benar? Adakah yang tidak melanjutkan pelajaran itu tidak mengambil jalan berliku dan lurus sahaja jalan menuju matlamat? 

Bagi saya kedua-dua mereka memilih jalan yang benar dan terbaik untuk mereka. Dalam mencapai matlamat pasti setiap orang itu akan menghadapi dugaan dan cabaran yang tersendiri. Tempoh perjalanan itu akan menyaksikan pelbagai jenis jalan yang perlu ditempuh dan setiap itu ada rintangan dan kemanisan. Saya misalkan pada pengalaman saya, saya selepas SPM mengambil keputusan meneruskan perjalanan hidup ke menara gading dalam bidang sejarah seusai laras pertama terus ke tingkat kedua master dan alhamdulillah sekarang dalam laras ketiga iaitu Doktor Falsafah. Dalam masa untuk sampai ke laras kini banyak yang saya hadap dan bukan garisan lurus yang kebanyakan mereka yang tidak bersama saya lihat. Kekecewaan, kehilangan, kesedihan mengiringi proses ini dan sentiasa jalannya tidak lurus. Akan tetapi dalam susah itu ada senang. Seperti sabda Allah dalam surah Al Insyirah ayat 6 dan 7. Dengan setiap kesusahan ada kesenangan dan diulang lagi diayat seterusnya dalam kesusahan ada kesenangan.

Apa pula jalan yang dipilih oleh anda? Lurus atau berliku? Saya doakan yang mana sahaja yang dipilih moga diberi kemudahan. Setiap lalu dan kehidupan. Percaya pada diri dan teruskan apa yang mahu dilakukan. Good Luck :)