Pages

Thursday, 3 March 2016

PERSAHABATAN DUA BENUA (TURKI DAN JEPUN), PERKONGSIAN FILEM “ERTUGRUL 1890/KAINAN 1890”



Pada 25 Disember 2015, sebuah filem bersempena 125 tahun tragedi karamnya kapal Ertugrul Frigate 1890 di perairan pulau Kii Oshima. Usaha pembikinan filem ini telah dipersetujui oleh kedua-dua negara diantara President Turkey, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada tahun 2014. Menariknya tentang filem ini adalah pembikinan filem ini mengambil masa kurang dari setahun dan diselia rapat oleh Perdana Menteri Jepun yang bertindak selaku penasihat bagi pembikinan filem ini. Filem ini ditayangkan serentak di kedua-dua buah negara pada 25 Disember 2015 dengan nama Ertugrul 1890 di Turki dan Kainan di Jepun. Filem ini berdurasi selama
2 jam 12 minit telah memberi latar tentang 2 zaman yang berbeza melibatkan peristiwa yang memberi makna kepada persahabatan dua buah negara.

Jalan cerita filem ini dimulakan dengan gambaran perkhabaran dari negara Turki untuk menghantar pingat kembali kepada kerajaan Jepun setelah lawatan rasmi dari Jepun diketuai Putera Kumatsunomiya Akihito bersama isteri ke Istanbul. Pada 1889, kapal Ertugrul, sebuah kapal milik kerajaan Uthmaniyyah diketuai Komander Osman Pasha beserta 587 anak kapal telah memulakan pelayaran. Sepanjang perjalanan ke Asia Timur mereka berhenti di beberapa port utama di rantau Asia terutama negara Islam dan salah satunya di Singapura atas sebab untuk membaiki kapal yang mengalami kerosakan sedikit. Selepas itu, mereka meneruskan perjalanan ke Jepun dan sampai di perairan Jepun selepas 11 bulan pelayaran. Diselitkan juga aktiviti didalam kapal tersebut yang menggambarkan kehidupan sebagai anak kapal menghiburkan hati satu sama lain dengan lagu dan bergusti sebagai hiburan beradu kekuatan.










                Kapal Ertugrul di Perairan Konstantinople





Sepanjang berada di Jepun, kapal tersebut menghadapi beberapa masalah kewangan yang menyekat mereka untuk pulang. Ada juga diantara anak kapal yang menghidap penyakit cholera yang membawa kepada kematian. Selepas 3 bulan, barulah mereka mula memulakan pelayaran pulang  dan meninggalkan pelabuhan Yokohama menuju laut lepas untuk pulang ke Turki. Didalam filem tersebut digambarkan kegembiraan para anak kapal membeli hadiah buat yang tersayang dan kenang kenangan. Ada diantara mereka yang tidak sabar untuk pulang kerana menerima perkhabaran kelahiran anak pertamanya. Sebagai contoh, ketua bahagian enjin kapal membeli simbol bulan dan bintang dan dipakukan di enjin kapal lambang kebanggaan negaranya. Selain itu, ada yang membeli patung geisha serta kain sutera Jepun yang dirasakannya sangat unik dan hadiah terindah buat keluarga.


Pada masa yang sama, di kepulauan Kii Oshima seorang Doktor didukung waktu oleh pelakon terkenal Jepun, Masaaki Uchino, menerima surat khabar dari tanah besar mengenai negara jauh di tengah Asia hadir memberikan pingat kepada Maharaja Jepun. Selain itu, waktu utama iaitu anak perempuan kepada Doktor kampung itu turut dipamerkan, anaknya menjadi bisu sejak lahir kehilangan suami sewaktu ribut di laut. Gambaran perkampungan itu bersiap untuk menghadapi musim monsoon turut digambarkan. Penduduk kampung telah bersedia dengan meningkatkan lapisan pada dinding rumah supaya boleh meghadapi ribut pada ketika itu. Digambarkan juga ada pesta kecil di rumah geisha dengan hiburan oleh Geisha sebelum kesemua mereka tersentak denan bunyi yang kuat dari laut.

Pada 16 September 1890, ketika mendekati kawasan berhampiran kepulauan tersebut, ribut monsoon telah menyebabkan kapal Ertugrul tidak dapat menahan keganasan lambungan ombak. Digambarkan tiang layar kapal patah yang membawa kepada pengemudian kapal menjadi sukar. Seterusnya dibahagian enjin mereka kekurangan bahan bakar yang kemudiannya mengarahkan kesemua mereka untuk memberikan segala barang yang ada untuk dibakar untuk memastikan kapal boleh terus belayar. Di saat kemuncak, watak utama Yuzbasi Mustafa lakonan Kenan Ece, diberikan botol air mata dari ketua bahagian enjin amanah untuk diberikan kepada keluarga beliau. Seketika kemudian kapal pecah dan membawa kepada insiden yang tidak disangka.





tempat  kejadian di Kepulauan Kii Oshima yang bangkai kapal masih berada didasar laut ini


Selepas itu, penduduk kampung yang terdengar bunyi kuat dari laut menuju ke tebing tinggi dan terlihat mangsa dan mayat mereka yang tersadai di gigi air. Mereka tidak henti menyelamatkan mereka yang masih hidup beserta menyelamatkan mayat-mayat mereka yang terkorban. Selain itu, diperlihatkan juga usaha orang kampung yang memberikan segala yang ada untuk membantu termasuk bekalan makanan mereka. Berita mengenai insiden tersebut sampai kepada Maharaja dan kapal perang Jepun telah diarah menuju ke Kepulauan tersebut untuk membantu membawa mereka yang masih hidup dan memerlukan rawatan ke hospital. Disini diperlihatkan juga keprihatinan orang pulau tersebut yang bersama merasai keperitan kehilangan krew kapal tersebut.

Pasca insiden, mereka pulang ke Turki dan insiden 100 tahun kemudian di pertontonkan. Kali ini, diperlihatkan sewaktu krisis di Iran dimana rakyat Jepun disitu tidak dapat pulang disebabkan kapal terbang Jepun tidak boleh melalui ruang udara Iraq sewaktu itu. Berlaku ketegangan di airport apabila kapal terbang yang tinggal ketika itu adalah pesawat “Turkish Airlines”. Ramai rakyat Turki di Iran marah dan meminta agar diberikan tiket kepada mereka supaya boleh bergerak pulang ke negara mereka cepat dan selamat. Sewaktu itu juga diperlihat President Turki yang ke 8, mengarahkan supaya kapal terbang tersebut diberikan kepada rakyat Jepun yang terperangkap di Iran. Mulanya rakyat Jepun yang berkumpul di airport putus harapan kerana tiada lagi pengangkutan pulang tetapi kemudian mereka diberikan ruang terakhir untuk terbang pulang ke Turki selepas diperingatkan tentang kisah Ertugrul yang diselamatkan oleh mereka. Dari sini diperlihat kemulian hati mereka yang sanggup memberi peluang kepada rakyat Jepun sebagai membalas jasa nenek moyang mereka yang lepas.

Dari pendapat saya, filem ini adalah gambaran keakraban dan pengorbanan persahabatan yang kukuh antara dua negara. Persahabatan mereka ini bukanlah hanya pada atas nama diplomasi dicoret diatas kertas tetapi lebih dari itu. Ia melibatkan pengorbanan harta, darah dan kesanggupan berkongsi apa yang ada untuk satu sama lain. Justeru, saya sangat merekomandasikan semua menonton filem ini selain dari kualiti dan jalan cerita ini sangat menarik sesuai untuk tontonan pelbagai lapisan umur. Sorotan sejarahnya juga memberikan kemudahan untuk memahami perjalanan Sejarah yang cuba ditonjolkan bertepatan dengan tema penceritaan.

Berada di bumi 2 benua pasti kita akan tertarik dengan keindahan lanskap alam dan seni bina lamanya. Tidak dilupakan kehebatan empayar besar Islam yang berpusat di kotanya bahkan sebelum itu kotanya menjadi pusat utama kerajaan Bizantium. Kota Constantinople atau namanya selepas pembukaan Istanbul telah menjadi pusat tumpuan pedagang dan kuasa besar dunia untuk aktiviti perdangangan dan diplomasi antara negara. 


Pada tahun 1839, Tanzimat telah diperkenalkan membawa kepada reformasi didalam kerajaan Turki Uthmaniyyah. Polisi-polisi diubah dan gelombang perubahan berkonsepkan permodenan telah diperkenalkan. Tradisi ini telah diteruskan untuk generasi seterusnya sehinggalah ke zaman Sultan yang ke 32 iaitu Sultan Abdul Hamid II. Di era pemerintahan beliau, Turki telah membina banyak hubungan diplomasi bersama kerajaan luar terutama mereka yang mendokong gerakan reformis yang datang cetusan idea dari Barat.


Di Jepun, tugu peringatan mangsa yang terlibat dengan incident ini telah dibina dipulau tersebut dan setiap lima tahun diadakan upacara memperingati dengan kehadiran pemimpin utama dari kedua negara. Selain itu, muzium juga dibina untuk peringatan

Saya sendiri berharap satu hari nanti akan ada initiatif yang dilaksanakan untuk penghasila filem yang mengenai hubungan rantau kita bersama kerajaan Turki Uthmaniyyah yang saya fikir lebih dekat kerana samanya Islah dan Islam buat keduanya. Saya akhiri dengan kata- kata hikmah berikut,”Circumstance and coincidence may cause us to be in the right place at the right time to do God's work in a specific way- Suzanne Farnham”.



Monday, 5 October 2015

1. sinifi (Tahun Pertama) musim luruh 2015


Bismillahirahmanirahim. 
 
Isnin minggu lalu, saya telah memulakan tahun 1 sem 1 untuk pengajian Master dalam Sejarah Islam di Marmara Universiti, Istanbul. Ternyata pengalaman pertama sebagai Siswi di Luar Negara adalah satu perkara baru yang diberi Allah dalam helaian takdir diri. Perasaan bercampur baur dari suka dan gentar saat melangkah masuk ke kelas yang pertama. Ternyata minggu pertama kelas tidaklah seperti yang disangka. Sungguh bukanlah seperti yang disangka, pengajian di negara asing menggunakan bukan bahasa ibunda ternyata memberi seribu satu makna yang mendalam diri sebagai seorang pelajar asing. Menjadi satu-satunya pelajar dari luar negeri dan bukan graduan tempatan menjadikan diriku lebih tercabar memasuki semua kelas. Untuk semester ini saya diwajibkan mengambil 5 matapelajaran yang semuanya membawa kredit sebanyak 30 dan dilaksanakan dalam bahasa Turki. 

Sungguh ini adalah cabaran yang terbesar dalam hidup bilamana memilih untuk melawan arus pengajian di tahap master bertentang kebiasaan. Selalunya bila disebut tentang pengajian di peringkat Master, kebanyakan insan di negara kita lebih memandang kepada barat. Sumber kajian juga digunakan dari sudut andang Orientalis dan saya memilih ke negara pertemuan dua benua. Alangkah aneh di bilang orang bila melihat kemampuan diri untuk meneruskan pengajian sedangkan diwaktu sarjana muda tidak sehebat yang lain. Apalah ada pada impi yang satu ini yang berharap menjadi Sejarawan Ummat tatkala semua rujukan dalam negeri diceduk dari acuan barat. 

Berbalik kepada kelas, Jadual Kelas saya adalah seperti berikut :
 
Isnin 
Osmanli Sosyal ve Kultural Hayat Giris (Prof Dr Ziya Yilmazer)
Gunumuz Islam Ulkeleri Siyasah Tarihi (Prof Dr Ismail Safa Ustun)
 
Rabu 
Osmanli Arsivleri ve Kaynaklari (Prof DrTahsin Ozcan)
Islam Tarihi Klasik Metin Okuma (Prof Dr Nuh Arslantas)
Osmanli Paleografya (Yardimci Asst Dr Betul Ipsirli Argit)
 
Kesemua kelas dilaksanakan dalam bahasa Turki dan sejujurnya tidak mudah untuk menangkap bahasa akademik Turki. Atau mungkin kealpaan diri yang membawa kepada ketidakfahaman sekali dua. Sungguh dikesekian kalinya saya berasa berat dan hilang keyakinan diri untuk hadirkan diri di kelas. Saat mula gundah bayangan wajah mama dan arwah baba menyergah diri, lalu naik semula tekad. Saat jiwa patah, di detik hati oleh Allah membaca surat cintanya lalu tingkat semangat naik. Saat terasa rebah, sahabat tidak putus mengutus kata semangat agar semua itu berhikmah. Adapun mungkin mukadimmah sahaja membawa kepada pengakhiran sedangkan jalan kejayaan itu masih jauh menanti untuk dikunjung. 
 
Ayat penawar hati yang gundah 
 
Benar kalau seseorang itu merasa tidak tenang, kembalilah menjengah kitab suci Al Quran kalam suci Allah diturunkan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. Tujuan hanyalah berkongsi bukanlah menunjuk pada perkara baik dilaksana sekecil zarah. Mungkin bisa menjadi pedoman buat yang lain yang dalam payah. Balikkan sahaja hati pada Allah dan pasti Allah akan menjawab gundah dan renyuk hatimu. Tetapi jangan hanya pada saat payah tetapi setiap masa. Saya diajar oleh En Azzam untuk biasakan menyebut Alhamdulillah Ala Kulli Hal disetiap perkara dan ketika.Ayat ini penawar dan memberi makna keredhaan dan keikhlasan pada setiap sesuatu yang Allah takdirkan. 
 
Seterusnya, sabtu lalu saya bertekad ke Bursa untuk melawat seorang sahabat yang sakit. Saya yang buat kali pertama ke Bursa rasa teruja untuk berkunjung ke tempat baru. 2 jam menaiki ferry saya tiba di jeti Mudanya di Bursa. Sejurus sampai saya terus membeli ticket ke hospital tempat sahabat saya dimasukkan. Pada mulanya saya sesat sehingga di pekan kecil. SubhanAllah sungguh pekan tersebut indah dan perjalanan dari jeti ke pekan tersebut memberikan santapan landskap yang indah buat mata dan minda saya. Di pondok bas pekan tersebut saya mula berasa janggal karna tidak berani bertutur sedangkan praktis pertuturan bahasa adalah sangat baik ketika itu, 10 minit menanti kemudian saya beranikan diri bertanya pada seorang nenek tua dan makcik. Mereka sangat ramah. Bertutur dalam dialek yang sedikit berbeza membuatkan saya panik seketika tetapi kemudian dapat menjawab dengan baik pertanyaan mereka dan memahami direction ke hospital tersebut. Sebelum meneruskan perjalanan ke hospital, saya sempat singgah ke sebuah masjid di tengahpekan kecil tersebut. Walaupun strukturnya agak lama tetapi teguh dan selesa. 

Sesudah solat, saya meneruskan perjalanan kehospital tersebut berpandukan arah yang diberitahu makcik dan nenek di pondok dan google map. Sungguh didalam peta dinyatakan saya perlu berjalan sejauh 1 km untuk sampai ke hospital. Dalam perjalanan saya sangat terpegun melihat satu Bursa dari tepi jalan yang saya lalui. Ternyata pekan yang tadi tempat saya turun terletak di kaki bukit yang agak tinggi sebelum sampai ke lereng bukit yang lebih tinggi di kawasan Uludag. 10 minit kemudian saya tiba di hospital. Terus sahaja saya pergi melawat sahabat tersebut, doa dan kata-kata semangat diberikan agar terus kuat untuk si kecil yang baru mula disenyawakan dalam tubuh sahabat saya. Selesai waktu melawat saya menunggu di ruang legar hospital dan di saat itu disaksikan Allah 2 situasi, pertama dimana seorang wanita mengerang kesakitan mahu melahirkan dan ternyata gerun saat mendengar suarawanita tersebut. Suaminya ke hulur ke hilir seperti orang hilang arah dan ibunya berada di sisi menenangkan anaknya dan menantu. Keadaanyang satu lagi beberapa ibu yang sudah boleh pulang selepas bersalin, SubhanaAllah wajah mereka berseri-seri yang saya fikir mungkin itu anugerah yang Allah bagi pada wanita yang melahirkan anak iaitu penghapusan dosanya. 
 
Saya tergamam melihat situasi kedua-duanya dan mungkin ini hikmah yang Allah berikan pada diri untuk berkunjung bukan untuk satu sebab tetapi belajar dari sekeliling.  Saya menghantar mesej kepada mama memberitahu perkara yang dipelajari dan mama membalas Jodoh itu ditangan Allah. yang penting adik ingat matlamat utama ke sana untuk menuntut ilmu. Tidak lama kemudian saya kembali melawat sahabat saya sebelum pulang ke Istanbul. Di temani seorang junior, kami bergerak pulang. Dalam perjalanan pulang, saya disoal junior tersebut, Apakah satu perkara yang perempuan selalu lupa? Saya membalas: tidak tahu. Dia meneruskan dengan berkata Perempuan selalu lupa yang dirinya sangat berharga. Rasulullah bersusah payah mengangkat martabat perempuan setinggi mungkin tetapi terkadang bila perempuan terlupa permaknaan tersebut tidakkah mereka rasa bersalah pada pengorbanan yang Rasulullah telah lakukan?. Saya terkedu sebentar memikirkann kata-kata junior tadi. Kami selamat sampai di Istanbul 2 jam kemudian. 
 
gambar Bursa sumber dari Google

Sungguh seminggu yang penuh manfaat dan berkat. Allah tidak membenarkan sesuatu itu berlaku tanpa sebab dan setiap yang berlaku direncanakan dengan baik. Sebagai hambanya kita perlu sentiasa merefleksi diri karna norma setiap manusia itu pelupa dan alpa. Juga pesanan buat diri dan perempuan ciptaan terindah oleh Allah ingat betapa berharganya diri anda dan juga peranan anda. Jangan hanya mengejar cita sampai lupa sebab kejadian dan jangan terlalu mengejar cinta sampai lupa cita dihadapan. Sekali lagi Alhamdulillah ala kulli hal buat seminggu pertama pengajian dan saya mohon doa dari semua pembaca agar saya dipermudah menuntut ilmu dan diberkati ilmu yang dituntut. Matlamat menjadi Sejarawan Ummat dan ingin membanggakan mama dan arwah baba sentiasa disemat padu dalam diri. Moga terus diredhai jalan yang di pilih ini, biar payah tapi punya banyak hikmah. 

p/s: musim luruh sudah bermula di kota Istanbul dan saya tak lama lagi bakal mendapat anak buah. Doakan kakak saya (Nuramnani Shahrin) dipermudahkan proses bersalin ye!

wassalam. 

Nuramirah Shahrin 
11.46 malam
5/10/2015
29 Mayis Universitesi Kiz Konukevi, 
Umraniye,Istanbul, Turki
#diaryistanbulrara 
#sonbaharhosgeldiniz 
#istanbulmalezya 
#islamtarihi
#marmaruniversitesi