Bismillahirahmanirahim.
Saat ini, di waktu jemari menari di papan kekunci, saya melihat keluar awan senja sedang menyapa dilangit Istanbul. Deruan angin petang menghembuskan dingin menghilangkan hangat siang musim panas kali ini. Dalam masa yang sama saya sedang menghitung syukur pada yang Esa. Hari ini sedari pagi saya rasakan sedih dan pilu, seakan awan hitam menyinggah dilubuk hati. Terkenang yang jauh dan kenangan yang lepas dengan yang pernah singgah menjadi yang tersayang. Bukan satu dua tetapi ramai. Bukan hanya kekasih nan satu tapi jua rakan-rakan dan adik-adik yang pernah bersama dulu. Ditambah pula dengan dugaan dalam impi dan cita. Sungguh duka dan sakit rasanya.
Dalam pada sedih itu dihadirkan rasa syukur dari Sang Pencipta. Penyembuh kedukaan yang dirasa tiba-tiba. Diilhamkan pada saya satu perkara, menghitungkan apa yang sedia ada yang diberi kurnia. Bukan satu dan dua tetapi lebih banyak dari yang ditangisi hiba. Misalannya yang boleh dikira, diberikan rezeki pada mama untuk hadir disini menemani diri ini. Diberi berkat dan semangat serta nasihat. Disalurkan cinta dan cita supaya tidak kurang rahmat. Malah bukan hanya itu, isi emosi, isi hati, isi akal dan perut juga dipenuhkannya bersama cinta. Itulah berkat seorang Ibu yang Allah kurniakan. Sama juga dengan mereka yang betul-betul menyanyangi diri ini dan tidak membiarkan diri tersisih sepi. Yang meletakkan prioriti pada satu ini supaya kuat menghadapi apa sahaja didepan ini. Suka dan duka. Tangis dan tawa.
Lalu saya bertanya kembali kepada diri.
Nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan.
Semua diberi hanya tinggal dirimu untuk mengerti dan memahami.
Tadahkan tangan dan ucapkan syukur padaNya yang memberi bila kita memerlukan bukan diberi begitu sahaja. Kerana kalau pemberian begitu sahaja tanpa makna membuatkan manusia menjadi alpa.
Terima Kasih Allah.
Dengan nikmat.
Dengan kurnia.
Dengan segalaNya.
Dari birai tingkap
Teratak Sanggar Rasa
Capa sehremini, Istanbul, Turki.
2006 pm
19.6.2019.