Pages

Saturday, 21 May 2011

wujudkah couple islamik ?


Hari ini macam-macam istilah direka untuk memperlihatkan kepada remaja tentang keislamikkan cinta. Ayat-ayat cinta, mihrab cinta, tasbih cinta, syurga cinta, sujud cinta, istikharah cinta, bunga cinta…bla, bla, bla. Semuanya didatangkan eksklusif kepada remaja Islam yang sedang tercari-cari cinta.

Sekadar gambar hiasan.
Apalagi ya istilah cinta yang tak dipopularkan? Kalau ambil bahagian masjid, mihrab cinta dah ada, yang belum ada mungkin menara cinta dengan kubah cinta. Kalau syurga cinta dah dipopularkan, neraka cinta takder dengar lagi. Hal ini walaupun bertujuan untuk mengislamikkan cinta tapi dalam masa yang sama menunjukkan betapa kroniknya masalah cinta di kalangan remaja.
 
Apabila masalahnya kronik, ada pihak yang begitu anti dengan soal cinta, sehingga mengharamkan semua perkara yang melibatkan cinta. Semuanya itu zina kata mereka. Di pihak yang lain pula, ada yang begitu meringan-ringankan soal cinta dan membiarkan remaja terbabas dalam perangkap cinta.
 
Kemunculan salah satu pihak ini adalah reaksi kepada pihak satu lagi. Apabila ada pihak yang terlampau meremehkan soal ini, maka muncullah pihak yang memayahkan, dalam masa yang sama apabila muncul pihak yang memayahkan maka muncul pula pihak yang meremehkan.
 
Bak kata Imam Syatibi: “Andai kamu melihat kepada keseluruhan syariat maka engkau akan dapati syariat itu cenderung kepada pertengahan. Andai kamu melihat ada kecenderungan kepada sisi terlampau memudahkan atau sisi terlampau menyusahkan maka itu bagi berhadapan dengan lawannya daripada sisi lain.    

Sisi memayahkan (kebanyakannya pada menakutkan, menggerunkan, melarang) didatangkan bagi berdepan dengan mereka yang cenderung mempermudahkan agama.    

Sisi memudahkan (kebanyakannya pada pengharapan, galakan, dan rukhsah kemudahan) didatangkan bagi mereka yang cenderung memayahkan agama.

Kalau tiada masalah pada kedua-duanya maka aku melihat pertengahan itu lebih utama, dan jalan kesederhanaan itu jelas, dan itulah kaedah asal yang menjadi rujukan dan pusat yang menjadi tempat pergantungan”. (Rujuk Kitab Al-Muwafaqat oleh Imam Syatibi, jilid 2 , m/s 286, cetakan Dar Ibni Affan)

ZINA HATI
Dalam artikel-artikel tulisan saya yang lepas, saya cuba menjelaskan maksud zina hati yang telah disalah faham oleh kebanyakan kita di forum-forum dan laman-laman islamik.
 
Saya sendiri jarang membuka laman-laman bercirikan islamik ini kerana lebih cenderung membaca laman-laman berita dan politik. Namun pada suatu hari, terbuka juga sebuah laman dan terlihat forum tentang zina hati yang menjadi tumpuan ramai.
 
Membelek-belek pandangan forumer di laman tersebut membuatkan saya geleng kepala dan berkata dalam hati: Apasal teruk sangat fahaman mereka tentang zina hati ni?
 
Bukan tak biasa mendengar tentang zina hati, ketika saya di sekolah menengah dulu pun pernah mendengar tentangnya. Namun oleh sebab saya bersekolah di sekolah yang dihuni oleh pelajar lelaki sahaja maka isu-isu seperti ini tidak menjadi keutamaan buat pelajar-pelajar di sana.
 
Dahlah sekolah satu jantina sahaja, duduk pulak kat asrama, alamatnya takderlah kecoh bab zina-zina semua tu. Namun, akibat terkejut dengan pelbagai pandangan yang disebut dan persoalan yang ditanya oleh forumer di laman islamik tersebut membuatkan saya merasa terpanggil untuk member penjelasan.
 
Bayangkan sahaja komen-komen yang entah di mana asas ilmunya berhamburan di laman tersebut:
Ada yang tak semena-mena membuat konklusi bahawa “Ingat kepada bukan mahram itu adalah zina hati”. (Geleng kepala saya).
 
Ada pula yang bertanya: Kalau saya mimpi dan terjumpa seorang yang bukan mahram dalam mimpi. Kemudian teringatkan dia bila bangun, adakah itu zina hati? (Tepuk dahi saya mendengar soalan macam tu).
 
Ada pula yang mereka-reka keadaan, katanya: “Kalau saya bercinta, tapi saya taklah selalu ingat dan tak rindu pun kepada si dia, adakah itu juga zina hati??? (Bercinta tapi tak ingat dan tak rindu, are you kidding me!!!)
 
Betapa teruknya fahaman tentang zina hati. Siapalah agaknya ustaz yang telah berdosa menabur fahaman yang menyeleweng ke dalam minda mereka.
 
Zina hati adalah hati yang memikirkan dan menginginkan kepada perbuatan zina. Itulah zina hati.
Soal zina hati ni bukan berkaitan dengan soal mahram atau bukan mahram. Ia soal syahwat atau bukan syahwat.
 
Kalau ada seorang ayah yang berfikiran kotor mahu berzina atau merogol anaknya sendiri maka si ayah itu telah berzina hati.
 
Kalau ada seorang abang yang melihat adik perempuannya sendiri dengan penuh bernafsu, maka si abang tersebut telah berzina mata walau dengan adiknya sendiri.
 
Itulah zina yang dipanggil sebagai zina kecil. Bukannya semata-mata teringat kepada perempuan terus dikata zina hati, semata-mata terlihat perempuan terus dikatakan zina mata. Amboi, mudahnya melabel…

COUPLE ISLAMIK
Saya juga telah menyebut dalam artikel yang lepas bahawa memiliki dan berkongsi perasaan cinta dalam hati itu bukanlah suatu dosa, dan bukanlah zina hati.
 
Apa yang menjadi dosa adalah tindakan yang dilakukan oleh manusia tersebut dalam mempamerkan cintanya, adakah menepati syariat atau tidak.
 
Siapa pun tidak nafikan, andainya pasangan itu keluar berdua-duaan maka hukumnya menjadi haram. Bukan cinta dalam hati itu haram tetapi perbuatan keluar berdua-duaan itulah yang haram.
Begitu juga halnya dengan berpegangan tangan, bersentuhan, dan sebagainya daripada perkara-perkara yang dilarang dalam agama. 
 
Sekadar gambar hiasan.
Namun timbul persoalan, bagaimana pula dengan couple yang diistilahkan sebagai couple islamik? Sebuah couple di mana mereka berdating secara yang dibenarkan syarak iaitu dengan kehadiran orang ketiga, mereka tidak berpegangan tangan dan mereka menjaga batas-batas yang diletakkan oleh syarak. 
Apakah hukumnya? Adakah hukumnya juga haram?
Berdua-duaan itu jelas diharamkan, tapi kalau bertiga adakah haram juga?
Berpegangan tangan tu dah memang jelas haram, tapi kalau tak berpegangan tangan, haram jugak ke?
Mendedahkan aurat tu jelas dah haram, tapi kalau tak dedahkan aurat dan menjaga batas, adakah haram juga?
 
Kalau anda bertanya hukum kepada couple yang tidak berdua-duaan, tidak berpegangan tangan dan tidak mendedahkan aurat serta menjaga batas maka tentunya couple sebegitu tiada asas untuk diharamkan. 
 
Nak diharamkan sebab apa? Semua perkara-perkara haram tadi dah dibersihkan dan langkah keselamatan yang digariskan oleh syarak telah dipatuhi.
 
Justeru, hukum yang paling sesuai yang boleh diletakkan adalah harus. Wajib pun tidak, sunat pun tidak, haram pun tidak, makruh pun tidak, jawabnya haruslah. Paling jauh pun, boleh dikategorikan sebagai khilaful aula (menyalahi keutamaan).

KHILAFUL AULA (MENYALAHI KEUTAMAAN)
Apakah yang dimaksudkan sebagai khilaful Aula?
 
Khilaful Aula adalah meninggalkan perkara yang melakukannya lebih baik atau melakukan perkara yang meninggalkannya lebih baik walaupun tiada sebarang larangan terhadapnya. (At-Tahbir 3/1009, Sharhul Kaukabil Munir 1/420). Dalam takrifan arabnya berbunyi:

ترك ما فعله راجح أو فعل ما تركه راجح ولو لم يكن منهيا عنه

Ada perkara dalam agama yang tidak dapat kita letakkan hukum haram atau makruh padanya, tetapi sekadar berkata itu menyalahi keutamaan.
Sebagai contoh:
Solat di luar waktu hukumnya haram. 
Solat di hujung waktu hukumnya makruh.
Solat di pertengahan waktu??? Boleh dan diharuskan tetapi khilaful aula atau menyalahi keutamaan kerana keutamaan adalah solat di awal waktu.
 
Contoh-contoh lain:
1) Apa hukumnya bercakap ketika berwudhuk atau mandi wajib?
Hukumnya harus tapi menyalahi keutamaan. Seeloknya tak pelulah bercakap.
2) Apa hukumnya solat tanpa azan atau iqamat?
Hukumnya harus, tapi menyalahi keutamaan. Seeloknya azan atau iqamat terlebih dahulu.
3) Apa hukumnya mewariskan harta kepada anak sebelum meninggal?
Hukumnya harus, tapi menyalahi keutamaan. Seeloknya diwariskan selepas mati.
4) Apa hukumnya solat sunat 4 rakaat tanpa salam pada setiap dua rakaat?
Hukumnya harus tapi menyalahi keutamaan. Seeloknya member salam setiap dua rakaat.
5) Apa hukumnya seorang suami mencium isterinya pada siang hari bulan puasa?
Hukumnya harus, tapi menyalahi keutamaan. Seeloknya tak perlulah bercium.
6) Apa hukumnya membaringkan jenazah mengadap qiblat tapi atas lambung kiri?
Hukumnya harus tapi menyalahi keutamaan. Seeloknya dibaringkan atas lambung kanan.
7) Apa hukumnya bercakap ketika tawaf?
Hukumnya harus tapi menyalahi keutamaan. Seeloknya banyakkan berzikir
8) Apa hukum seseorang yang banyak mendengar muzik?
 
Hukumnya harus tapi menyalahi keutamaan. Seeloknya seorang muslim itu mambanyakkan membaca Al-Qur’an dan berzikir.
 
Begitulah juga halnya apabila anda bertanya hukum bercouple yang terjaga batas-batasnya, saya tidak dapat mengatakan hal itu haram, tidak dapat juga mengatakannya makruh, jawapan yang dapat saya berikan adalah hukumnya harus tapi khilaful aula atau menyalahi keutamaan.
 
Maknanya kalau dapat elakkan, elakkanlah daripada bercouple walaupun couple anda tu islamik sekalipun.. Tapi kalau dah tercouple tu pandai-pandailah jaga batas. Apapun, keutamaan anda sebagai mahasiswa bukan pada bercouple. 

PATUT ATAU TIDAK?
Daripada anda bertanya “apakah hukum bercouple dalam Islam”, saya rasa soalan yang lebih sesuai ditanya dan lebih membuatkan kita berfikir adalah “Patut atau tidak anda bercouple walaupun couple itu islamik?. Apa perlunya anda bercouple? Apa kesudahan daripada bercouple itu?
 
Untuk menjawab soalan patut atau tidak bercouple, hal itu patut dilihat kepada tujuan yang diinginkan daripada bercouple tersebut.
 
Apa tujuan yang ingin dicapai daripada couple “islamik” anda? 
-    Sekadar melayan rasa gatal dalam diri? 
-    Sekadar mengisi kesunyian diri? 
-    Atau sememangnya mahu mendirikan rumah tangga?
 
Kalau tujuan anda memang untuk mendirikan rumah tangga, apa sebenarnya tindakan yang paling baik bagi menjayakan tujuan mulia anda tersebut?
 
Apakah dengan berdating maka tujuan anda untuk mendirikan rumah tangga dengannya akan tercapai???
 
Apakah dengan bermesej-mesej setiap hari dengannya maka rumah tangga anda akan berjaya didirikan???
 
Tentunya tujuan anda akan tercapai apabila anda membuat persediaan yang sepatutnya berupa:
1) Persediaan spiritual  (akhlak): 
Kalau perangai pun tak tentu hala, esok nak jumpa mertua macam mana? Nak mengharungi dunia rumah tangga yang memerlukan kesabaran macam mana? 
2) Persediaan mental (ilmu): 
Kalau ilmu agama untuk diri sendiri pun jahil, air mazi dengan air wadi pun tak reti beza, esok kalau isteri tanya pasal haid dan nifas, nak jawab apa?
3) Persediaan fizikal (harta): 
Kalau minyak motor pun bapa yang bagi, pakaian dalam pun mak ayah belikan, macam mana nak tanggung anak isteri?
 
Itulah antara persediaan yang perlu difikir untuk berumah tangga, kalau betul anda serius menjalinkan hubungan untuk berumah tangga. Persediaan itu yang perlu difikir, bukannya sibuk berfikir nak berdating dan bercouple dengan dia.
 
Cuba bersikap kritis terhadap diri sendiri. Apa perlunya anda keluar berdating walaupun dengan kehadiran orang ketiga? Sekadar melayan rasa gedik dan rasa ke’monyetan’ dalam diri? Duit pun habis, masa pun habis. 
 
“Kami dating untuk berkenalan sesama kami, dan mencari keserasian, barulah kami fikir nak dirikan rumah tangga” jawab mereka. 
 
Ooo tiap-tiap hari dok berdating tu untuk kenal-mengenal lah ya? Dah lima tahun berdating tak kenal-kenal lagi ya? Bilakah agaknya sesi kenal mengenal tu akan tamat? 10 tahun lagi??? 
 
Cuba juga bersikap kritis terhadap diri sendiri. Apa perlunya bermesej-mesej setiap hari dan waktu dengan pasangan anda? Sekadar untuk melayan rasa hati yang lara?
 
Semua tahu bagaimana kemaruknya sesetengah orang yang bercinta bermesej.  Ada paling kurang tiga kali sehari. Dah macam makan dah. Lagi teruk kalau jenis bermesej sebelum dan selepas makan. Dah macam makan ubat dah.  (Maklumlah sedang sakit dalam hati…hehe)
 
“Kalau saya tak mesej dia tanya khabar tiap-tiap hari nanti dia merajuk, dia ingat saya tak sayang kat dia lagi. Susahlah nanti kalau dia cari yang lain” jawab seorang remaja.
 
Biarkanlah dia merajuk dan biarkanlah dia cari yang lain. Bayangkan, setelah anda berkahwin kelak, dan anda terpaksa bekerja out station, adakah dia juga akan merajuk dan cari yang lain??? 
 
Hakikatnya semua itu hanyalah bisikan-bisikan syaitan dalam diri untuk menakut-nakutkan. Bak firman Allah dalam Al-Qur’an:

إِنَّمَا ذَلِكُمُ الشَّيْطَانُ يُخَوِّفُ أَوْلِيَاءَهُ فَلا تَخَافُوهُمْ وَخَافُونِ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِين

Maksudnya: “Sesungguhnya itu adalah syaitan yang menakut-nakutkan pengikutnya, maka janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepadaku andainya kamu benar-benar beriman”. Surah Ali Imran, ayat ke-175.
 
Orang yang bercouple ni saya tengok mudah sangat berfikir macam-macam, dibuai perasaan yang bukan-bukan yang datang daripada syaitan. Mesti nak bermesej tiap-tiap hari, kalau tak mesej sikit mulalah fikir macam-macam. 
 
“Kenapa dia tak mesej aku hari ni? Dia dah tak sayang kat aku ke?, Dia dah ada orang lain ke?…bla bla bla”. Akhirnya berjaya juga syaitan meniup perasaan takut dalam diri membuatkan hati gundah tak tentu hala.
 
Tak dinafikan, cinta itu memang sesuatu yang indah, namun cinta yang indah itulah yang boleh buat kita gundah, membuat hati berdarah dan membawa kesalan yang tak sudah andai gagal diuruskan dengan baik.
 
Cuba fikirkan kembali hakikat sebuah kehidupan dan tujuan kepada sebuah ikatan perkahwinan antara lelaki dan perempuan.
 
Anda di dunia ini ibarat dalam sebuah perjalanan ke sebuah destinasi bernama akhirat. Anda perlu mempersiapkan bekalan untuk membolehkan anda selamat sampai di sana. Bekalan yang dicari itu boleh disiapkan sepanjang perjalanan.
 
Setelah lama berjalan secara berseorangan, sampai suatu ketika dalam perjalanan tersebut, anda merasa letih berseorangan dan memerlukan seorang teman yang dapat menemani anda dalam perjalanan tersebut.
 
Untuk itu, anda perlu mencari teman yang sesuai yang dapat membantu menguatkan langkah anda meneruskan perjalanan dan bukannya seorang teman yang menjadi beban yang memberatkan langkah anda dalam perjalanan.
 
Persoalannya, apakah couple “islamik” anda akan dapat membantu anda dalam perjalanan atau hanya melambatkan perjalanan anda ke destinasi? Tepuk dada tanya diri sendiri.
 
Sekian, wassalam.

Ahmad Fathi Muhammad
Selasa, 14 Jumada Thaniyah 1432 bersamaan 17 Mei 2011
Rabat, Maghribi.

p/s : post ini diambil selepas meminta izin dari blog persatuan mahasiswa malaysia morocco ... kalau anda berkelapangan jenguklah page tersebut .. InsyaAllah terdapat banyak artikel yang bermanfaat.